8. Apa yang berlaku ialah disebaliknya. Peristiwa pertumpahan darah di Taman Medan, kemiskinan petani dan nelayan, rompakan wang royalti minyak Terengganu oleh kerajaan pusat, golongan kaya semakin diperkayakan melalui 'bailout' yang tidak senonoh, syarikat hampir bankrap diselamatkan dengan wang rakyat tanpa rasa malu, dan berbagai amalan tidak telus, menjadikan Malaysia bahan ketawa pada mata masyarakat antarabangsa. Pencabulan hak asasi manusia semakin menjadi-jadi. Demokrasi dihina oleh mereka sendiri.

Sistem perundangan kita dipersoalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Bagi saya keseluruhan perancangan pembangunan negara sebelum ini telah gagal menjadikan Malaysia negara terbaik buat rakyatnya. Rakyat tidak lebih dari hamba abdi dan buruh paksa yang bekerja untuk mengkayakan golongan korporat. Sebarang pencapaiannya tidak lebih dari satu proses semulajadi yang tidak boleh dibanggakan. Rakyat berhak mendapatkan lebih daripada apa yang ada kini. BN tidak boleh berbangga dengan gaya kepimpinannya yang membawa negara melangkah kebelakang.

9. Kita semua akan bersetuju jika kita katakan bahawa pendidikan rakyat merupakan unsur penting dalam pembangunan insan bagi mengisi keperluan pembangunan negara. Pembentukan peribadi dan nilai baik kemanusiaan pasti akan melahirkan pemimpin, peniaga, penjawat jawatan awam dan rakyat awam yang baik. Sistem pendidikan negara kita jelas telah gagal dan ini diakui sendiri oleh pemerintah. Perdana Menteri turut berkata demikian. Namun sudut pandangan kita terbalik. Kita menyatakan bahawa kurangnya penekanan kepada ajaran agama antara punca kegagalan ini.

10. Bagi pihak umat Islam, tipisnya amalan dan kefahaman Islam berpunca daripada sistem pendidikan yang tandus nilai agama. Namun Perdana Menteri kita melihat kegagalan sistem pendidikan menurut sudut yang terbalik. Dia mengatakan bahawa sistem persekolahan yang terlalu menekankan kepada agama menyebabkan sekolah kerajaan tidak dapat membantu membina perpaduan antara kaum. Benarkah ini? Kami merasa amat takut dengan pandangan PM ini. Hala manakah yang dia hendak tuju? Tidak puas lagikah UMNO dan BN mengenepikan pendidikan Islam sehingga hari ini anak-anak kita buta jawi, tidak tahu membaca alQuran, bebas dengan gejala yang merosakkan moral?

11. Apakah mereka cemburu melihat anak kita menutup aurat seperti yang dianjurkan oleh agama kita? Pernahkah kita mendengar orang bukan Islam takut dengan anak-anak orang Islam yang menutup aurat? Pihak kami mencadangkan pemerintah untuk memulakan satu kajian sosiologi bagi mengenalpasti punca sebenar permasalahan perpaduan nasional, disamping kami mencadangkan sekali kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional bagi memantau, menyelidik dan membuat representasi kepada kerajaan atas isu-isu perpaduan nasional.

Dato' Yang diPertua,

12. Perdana Menteri semasa merasmikan UIA yang berumur 18 tahun itu, meneruskan serangannya dengan menegur golongan professional yang kononnya merasa berdosa kerana dulunya tidak mendapat pendidikan agama lalu menghantar anak mereka ke sekolah agama bagi menumpukan kepada ilmu akhirat. Ini juga dilihatnya sebagai mundur. Saya berani mengatakan bahawa PM tidak mengetahui realiti pendidikan pilihan yang ada dalam negara kita. Sistem yang dianjurkan oleh swasta terutamanya memberikan pendekatan pendidikan yang integrated. Kita mahu anak-anak kita mendapat 'the best of both world'. Kerajaanlah yang seharusnya mengubah kepada sistem yang sudah bertapak dalam pendidikan swasta. Janganlah malu untuk meniru perkara yang baik. Saya mencadangkan dalam RMK8 ini dibuat kajian semula kurikulum, kaedah mengajar dan latihan guru yang sesuai bagi memperkasakan mereka sebagai pendidik yang benar-benar dapat melaksanakan tugas pendidikan integrated ini.

13. Apa yang berlaku di Turki 77 tahun yang lalu akibat dasar sekular Mustafa Kamal tidak boleh dibenarkan berulang di Malaysia. Turki hari ini di panggil 'the Sick Man of Europe'. Maju tidak, Islam pun tidak. Berita RTM pada 21 April yang lalu memberikan highlight kepada satu berita dalam NST yang bertajuk "Muslim World Needs Another Ataturk". Apakah mesej kerajaan melalui RTM dalam hal ini? Apakah kita mahu ideologi sekular Mustafa Kamal bertapak di Malaysia? Yang kita tolak ialah sekularisme. Mata pelajaran yang dikatakan sekular seperti matematik, sains dsbnya tidak pernak kita tolak. PM jangan cuba mengelirukan orang ramai dalam isu ini. Yang kita tuntut ialah perubahan paradigma dalam pendidikan matapelajaran ini agar setiap kali anak kita belajar, mereka semakin cintakan agama dan menebalkan iman mereka.

14. BN tidak perlu takut kepada agama, malah BN harus menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Saya ingin tahu apakah perubahan dalam kurikulum sekolah yang akan dipinda dalam RMK8 bagi menerapkan pendidikan akademik selari dengan pendidikan Islam. Apakah mereka berpuas hati dengan sistem hari ini yang memaksa ibu bapa menghantar anak ke dua sekolah yang berbeda pagi dan petang bagi melengkapkan ilmu mereka? Apakah usaha BN dalam usaha melahirkan ilmuan yang mengintegrasikan kedua-dua ilmu akademik dan agama? Berapa banyak sekolah menengah agama berasrama penuh yang dirancang dalam RMK8?

15. Saya nak mengajak PM, UMNO dan BN supaya tidak berterusan memusuhi institusi ulama. Ulama ada peranan dalam mempertahankan Islam, melangsungkan pendidikan Islam, serta memimpin ummah bersama-sama dengan golongan umarak. Tidak perlulah kita dengki-mendengki dan menjatuhkah institusi-institusi yang sepatutnya bersama-sama memperkuatkan Islam. UMNO tidak harus risau kalau ada sebahagian anak-anak kita yang memilih untuk mengkhusus kepada ilmu Islam. Amat tidak munasabah jika mereka dikhuatiri akan memundurkan masyarakat kita. Sepanjang sejarah perkembangan Islam, ulama telah diiktiraf peranannya. Jika tiada ulama, siapa yang akan menjamin kehidupan ala maha bebas di barat, keruntuhan institusi keluarga, amalan mudarat anak remaja dapat kita kurangkan dalam negara Islam seperti Malaysia?

1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1