|
DERAF UCAPAN
KETUA PEMBANGKANG DATO' FADZIL MOHD. NOOR MEMBAHASAKAN RMK8 - Di
Parlimen 24 APRIL 2001 "CRONY-CAPITALISM MUSUH NO. 1
NEGARA"
Assalamualaikum wrt.
Dato'
Yang Dipertua, Izinkan saya mengambil bahagian membahaskan RMK8
seperti yang telah dibentangkan semalam oleh YAB Perdana Menteri.
1.
Pertamanya saya ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan kerana
telah menyediakan dan mengedarkan terlebih awal Dokumen mengenai RMK
8 ini bagi penelitian ahli-ahli Dewan. Nampaknya teguran tegas yang
kami berikan dalam dewan ini semasa dewan membahaskan RRJP3,
walaupun mendapat liputan yang negatif dalam media massa, akhirnya
diambil berat oleh kerajaan.
2.
Sekali lagi kita akan membahaskan satu rancangan jangka sederhana
yang akan menjadi panduan kerajaan dalam melaksanakan pentadbiran
dan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Apa yang
disarankan untuk 5 tahun akan datang kelihatannya adalah
kesinambungan program 5 tahun yang lalu. Ini tidaklah mengejutkan
atau menimbulkan tandatanya kerana banyak matlamat RMK7 masih tidak
tercapai. Sasaran untuk perumahan awam tidak tercapai; usaha
meningkatkan ekuiti bumiputera tidak kesampaian malah stagnant untuk
10 tahun yang lalu; usaha membasmi kemiskinan tidak berhasil; sektor
pertanian yang melibatkan ramai orang Melayu merudum; program
penswastaan diwarnai oleh proses ambil alih semula oleh kerajaan;
pencapaian prasarana pencegahan kesihatan merosot dan banyak lagi
kalau kita teliti secara halus dokumen yang disediakan.
3. Amat
payah untuk mengemukakan idea-idea baru seandainya budaya kerja yang
telah menggagalkan RMK7 masih wujud dalam pengurusan negara, dari
peringkat tertinggi hinggalah ke bawah. Amat susah untuk membuka
medan baru dalam mengendalikan ekonomi seandainya ketelusan dan
kebertanggung-jawaban dalam pengurusan negara masih bercelaru. Payah
untuk kita mempercayai hasrat serius kerajaan untuk meletakkan
pemulihan ekonomi pada rel yang lurus seandainya orang yang disiasat
kerana rasuah diambil untuk memberikan nasihat ekonomi kepada ketua
pegawai eksekutif negara.
4.
Beberapa terminologi baru dalam Rancangan Malaysia kali ini adalah
k-ekonomi, perkataan 'pintar' dan 'bestari' yang mana diperkenalkan
bagi menyesuaikan dengan pembangunan ICT yang menjadi agenda besar
kerajaan BN. Namun kita tidak terasakan kekaguman idea-idea baru ini
kerana dunia telah menyaksikan perangai pemimpin BN yang tidak
mematuhi dan mengikuti proses perkembangan IT di negara ini. Ada
menteri yang tidak tahu menggunakan internet untuk mencari maklumat
sehingga boleh mengelirukan dewan yang mulia ini. Ada menteri yang
bertanggungjawab mengenai multimedia, partinya sendiripun belum ada
websitenya. Lebih mencemaskan ialah pusat ICT negara iaitu Cyberjaya
kini terkenal sebagai pusat pembangunan hartanah, bukan IT. Sambutan
syarikat bertaraf MSC di Cyberjaya amat dingin. Kita sudah mendengar
keluhan Ahli Yang Berhormat Tambun semalam mengenai hal ini dan
hendaknya kerajaan boleh membuka mata dan sedar kelemahan mereka
ini.
Dato' Yang DiPerua.
5.
Persoalannya sekarang bukanlah status deraf perancangan yang elok
dibaca tetapi samada peringkat pelaksanaannya dapat dilakukan dengan
telus. Persoalannya bukan jumlah hospital baru dan jumlah katil yang
bertambah yang dibantah oleh rakyat tetapi bagaimana projek-projek
hospital ini dianugerahkan kepada beberapa kumpulan kroni-kroni
melalui proses penganugerahan yang menimbulkan banyak persoalan.
Soalannya bukanlah jumlah pusat pendidikan baru seperti sepuluh buah
pusat matrikulasi yang dibina oleh Maju Holdings tetapi mengapa
anggaran JKR tidak diterima dan akhirnya jumlah kos tendernya
meningkat hampir 100 peratus kepada RM 1 bilion. Soalannya bukan
usaha membesarkan lapangan terbang Alor Setar tidak penting, tetapi
mengapa yang dapat tender melalui 'perundingan langsung' atau
'direct negotiation' ialah Syarikat Usahasama Muhibbah
Engineering-Bina Kuari JV, yang telahpun mendapat projek besar
membina Kem Gerak Gerup Khas di Mersing Johor dengan kos RM 420 juta
dan Pengkalan Marin di Sepangar Bay, Kota Kinabalu yang mencecah RM
2 bilion. Rakan-rakan backbenchers BN pasti tahu siapa di belakang
syarikat yang saya sebutkan tadi.
6. Kini
kita dengar JKR telah membuat anggaran RM29.5 juta untuk baikpulih
Bangunan Parlimen kita ini. Kita sedang menunggu berapa jumlah kos
tender yang akan dianugerahkan dan syarikat kroni mana pula yang
dapat projek ini.
Dato'
Yang DiPertua,
7.
Keseluruhan RMK8 yang akan membelanjakan RM 110 bilion untuk
pembangunan, daripada sejumlah RM 322 bilion yang diperuntukkan,
sekali lagi adalah program pembangunan fizikal yang bertujuan untuk
memberikan kualiti hidup rakyat. Melalui strategi pembasmian
kemiskinan, rakyat diharap akan menikmati kehidupan yang lebih baik
dengan kemudahan asas yang munasabah. Melalui pembentukan masyarakat
yang penyayang, diharapkan perpaduan antara kaum akan wujud di
setiap lapisan komuniti. Melalui penstrukturan semula masyarakat,
diharapkan jurang kemiskinan intra etnik dan antara etnik
dirapatkan. Melalui beberapa 'affirmative action' untuk kaum
bumiputera, diharapkan pengagihan kekayaan negara dapat
memperkasakan golongan berpendapatan rendah. Keadilan yang
dilaungkan sepatutnya dapat dirasakan di seluruh negara tanpa
mengira parti yang memerintah negeri-negeri.
1
| 2 |
3 | 4 | 5 | 6

|