| Dato'
Yang DiPertua,
24. Saya
tidak bercadang untuk menghuraikan sebab-musabab dan faktor faktor yang
mencetuskan keruntuhan ekonomi negara pada 1998 kerana ini telah banyak
ditulis dan dibahaskan oleh pakar-pakar ekonomi tempatan mahupun yang
asing. Saya cuma mahu menyentuh dan mempertegaskan hanya satu perkara
besar dalam hal ini. Memetik dari penulisan seorang tokoh ekonomi
tempatan dalam sebuah buku paling baru, "Malaysian Eclipse"
atau Gerhana Malaysia dengan izin, beliau antara lain menyenaraikan
beberapa pandangan pakar ekonomi antarabangsa yang meletakkan faktor
berikut:
i. amalan
kapitalisma kroni,
ii. kelemahan sistem kewangan yang tidak mampu berdepan dengan serangan
liberalisasi kewangan antarabangsa.
iii. defisit akaun semasa yang terlalu besar dan jurang
simpanan-pelaburan yang melebar.
iv. pengurusan ekonomi makro yang lemah dan sebagainya.
Dato'
Yang DiPertua,
25. Saya
ingin manrik perhatian Dewan yang mulia ini, bahawa faktor faktor yang
lain sedikit sebanyak cuba di atasi oleh pelan RMKe-8 ini mahupun RRJP-3
yang lalu, namun, persoalan gejala dan amalan buruk 'crony capitalism'
tidak langsung disentuh dalam laporan dan perancangan kedua-dua dokumen
ini. Ini amat mengecewakan pihak BA khususnya dan rakyat amnya, kerana
faktor inilah antara perkara yang akan sekali lagi membawa negara ini ke
kancah kemusnahan akibat dari amalan rakus segelintir manusia korporat
yang bersubahat dengan segelintir pihak eksekutif tertinggi.
26. Saya
ingin sebutkan bahawa kerajaan Umno/BN ini khususnya sedang mengalami
krisis keprcayaan yang paling teruk. Segala perancangan dan pelan pelan
yang disebutkan di atas pastinya tidak akan dapat membaikpulih krisis
keyakinan ini selama satu komitmen yang terang-terangan tidak dibuat
untuk membenteras habis-habisan amalan kronisme, nepotisme dan rasuah di
kalangan masyarakat bisnes dan korporat dan di kalangan pemimpin
politik. Saya rasa perlu untuk Dewan ini mengisytiharkan amalan
kronisme dan nepotisme serta rasuah ini sabagai "musuh negara
nombor satu" supaya penyakit barah ini dapat di atasi sekaligus
membaikpulih keyakinan pelabur asing dan tempatan.
27.
Serentak dengan itu juga akan dapat dipastikan bahawa program
pembangunan dan target RMK8 dapat dipacu tanpa diganggu-gugat oleh
kepentingan golongan tertentu yang senantiasa menjadi parasit dan
perosak kepada perlaksanaan program ini. Perkara ini telah kita saksikan
dalam perlaksanaan perancangan "Malaysia Incorporated" dan
program raksasa "penswastaan". Berbagai program
"bail-out" atau "menyelamatkan" syarikat kroni kroni
orang tertentu juga telah menelan berbilion ringgit walaupun tidak
dijadual dalam mana mana peruntukan dalam pelan induk kerajaan. Rakyat
sudah menjadi mual dan bosan dengan cerita cerita ini, samada semasa
mewah mahupun semasa ekonomi telah menjadi parah seperti hari ini.
28.
Perlakuan 'bail-out' kepada MAS dan pembelian semula oleh kerajaan dalam
program penswastaan yang jelasnya telah gagal dibuat sehingga kini,
sekaligus menunjukkan bahawa kerajaan Umno/BN ini seumpama tidak
langsung mahu belajar dari kesilapan lepas dan terus-menerus tidak
amanah dan bertanggungjawab menggunakan berbilion ringgit dana dan wang
rakyat untuk menyelamatkan kroni tertentu sementara rakyat awam dan
termiskin dibela sekadar melepaskan batuk di tangga seumpama RM 500 juta
yang diberikan kepada 500,000 pekebun pekebun kecil. Dewan yang mulia
ini mahukan gejala ini dirakamkan sebagai perosak dan pemusnah apa jua
kebaikan yang ada dalam RMK8 dalam perlaksanaannya. Pihak BA mahukan
perkara ini dibenteras habis-habis di negara ini. Pembanterasan ini
akan, antara lainnya, dapat menjamin targets pembangunan yang lebih
efisien dan juga peruntukan sumber yang tepat dapat dilakukan tanpa
campur tangan kroni dan pihak eksekutif yang rakus dan berkepentingan.
29. Saya
dapat membayangkan betapa besar penglibatan kewangan, masa apatah lagi
'sumber manusia' dan intelek yang perlu dipunggah dan digerakkan untuk
menyiapkan setiap satu perancangan ini. Sebagai contohnya, kalau pun YB
Menteri Kewangan telah mengisytiharkan akan Pelan Tindakan K-Ekonomi
yang telah beliau gembar-gemburkan dalam pembentangan Belanjawan 2000
yang dikatakan akan siap dalam masa 6 bulan, Dewan ini merakamkan bahawa
sehingga kini (bermakna selepas 14 bulan) Dewan ini masih menunggu
apakah rupa-bentuk K-Ekonomi yang telah banyak diperkatakan itu!
Menterinya pun dah bercuti panjang. Entah-entah akan berhenti terus.
Saya diberi faham bahawa Pelan Induk K-Ekonomi ini masih lagi dalam
persiapan terakhirnya. Kita tunggu saja lah.
4. Milikan Sektor Korporat: Dalam Kajian
Setengah Penggal RM7 dahulu, milikan Bumiputera dalam sektor
korporat dilaporkan telah meningkat ke 20.6% (1995). Ternyata
sekarang pencapaian ini telah undur ke belakang kepada hanya 19.1%
(2000), lebih rendah daripada apa yang dicapai pada tahun 1990
(19.3%).
45.
Kita mengira ini adalah satu angka yang tidak menggambarkan keadaan
sebenar (overstated) memandangkan terlalu banyak syarikat Bumiputera
yang sedang nazak menunggu saat maut sekarang. Ramai pula yang sudah
gulung tikar dan muflis. Tidak kurang pula yang telah menjual hak
mereka kapada pihak lain. Bilangan usahawan Bumiputera dalam sektor
korporat sebenarnya telah menguncup.
46.
Juga, keadaan pasaran saham yang tertekan sudah tentu menjatuhkan
nilai saham yang dipegang. Galakan kerajaan supaya syarikat-syarikat
mencari smart partners menyaksikan peningkatan penjualan saham oleh
Bumiputera kepada bukan Bumiputera dan orang asing. Lagipun milikan
saham Bumiputera di dalam syarikat-syarikat yang menjalankan
kegiatan haram seperti perjudian dan arak tidak membawa apa-apa
makna kepada kaum Bumiputra Islam.
47.
Amalan kroni dalam membangunkan sektor korporat Bumiputera juga
membawa natijah negatif kepada kaum Bumiputera kerana yang terhasil
ialah usaha yang tidak tulen yang tidak berupaya membangunkan daya
saing dan daya tahan. Mereka mudah rebah bila dilanda badai ekonomi
seperti yang berlaku sekarang. Oleh itu saya mencadangkan supaya
kerajaan tidak lagi menumpukan kepada segelintir kecil kaum koperat
gergasi yang malas dan manja, tetapi memfokuskan kepada kelahiran
usahawan tulin yang kental semangat mereka. Mereka ini harus
didedahkan kepada perniagaan sejati dan bukan 'short-cut' , dilatih
dan diuji, dipimpin oleh usahawan yang sudah berjaya. Jika terpaksa,
hantar mereka untuk pendedahan di luar negara.
48.
Masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera: Sukar untuk
dinilai berapa besarkah masyarakat perdagangan dan perindustrian
Bumiputera (MPPB) sekarang. Walaupun dilaporkan ada 697,900 syarikat
persendirian Bumiputera dan 57,700 syarikat sendirian berhad
Bumiputera dalam tahun 2000, bilangan yang sebenarnya aktif sukar
diketahui.
49.
Amalan kronisme, nepotisme dan korupsi dalam usaha mewujudkan
kelompok MPPB ini dikatakan amat menular. Usahawan tulen tidak
mendapat peluang sewajarnya tetapi usahawan psudonim (pseudonym -
yang tiada niat untuk menjadi usahawan tetapi sekadar mahu cepat
kaya) - kerana kabel mereka dengan golongan berkuasa besar - memang
ramai, dapat dilihat dalam waktu-waktu mewah. Inilah golongan
usahawan jual Melayu, jual tanah Melayu, jual projek dan ali baba
tidur. Ramai daripada mereka ini telah ghaib menjadi muflis dilanda
badai kegawatan ekonomi. Kini, berapa bilangan yang masih hidup
sukar diketahui. Tidak kurang juga mereka ini berjaya duduk dalam
kepimpinan UMNO melalui politik wang.
1
| 2 |
3 | 4 | 5 | 6

|