| Dato'
Yang diPertua,
16. Saya
ingin mengumpamakan negara kita ini sebagai sangat ketinggalan, umpama
'sepuluh jong masuk, anjing masih mencawat ekor'. Setelah 43 tahun
merdeka, kerajaan masih bergantung kepada undang-undang rimba yang tidak
adil dan kejam seperti ISA. Undang-undang yang dirangka oleh orang barat
ini sudah tidak ada lagi dipraktikkan di negara-negara lain kecuali satu
dua yang sefahaman dengan Malaysia. Kezalimannya cukup mengecewakan
rakyat. Imej negara menjadi buruk bila kerajaan yang dikatakan moden dan
demokratik ini hilang punca untuk menghadapi saingan politik mereka.
Tidak guna kita hantar misi dagang merata dunia kerana tidak ada orang
mahu berniaga dengan negara yang mengamalkan kezaliman terhadap
rakyatnya. Mereka bersikap dayus untuk mengambil jalan mudah dengan
melaksanakan ISA.
17. Saya
meminta kerajaan segera membebaskan mereka daripada tahanan yang penuh
misteri. Kita tidak tahu apa yang sedang dilakukan ke atas mereka.
Jaminan polis akan keselamatan mereka tidak kita yakini lagi berikutan
peristiwa kejam ke atas Anwar Ibrahim. Kalau benar dakwaan mereka
terlibat dengan senjata berbahaya, bawalah mereka ke muka pengadilan.
Pihak polis pula tolong jangan menakut-nakutkan orang ramai dengan
ancaman-ancaman tangkapan seterusnya terhadap penentang UMNO/BN. Kita
tidak mahu hidup ketakutan di bawah bayangan pihak polis dan pihak
berkuasa seumpama di bawah kehidupan pemerintahan diktator. Biarlah kami
berdepan dengan UMNO/BN, bukan dengan polis. ISA mesti dimansuhkan.
Saya
ingin mengulas beberapa perkara yang dibangkitkan dalam dokumen RMK8 dan
ucapan PM semalam.
18. Dalam
jangka yang terdekat ini, rakyat di negara ini telah ditampilkan dengan
berbagai perancangan pelan tindakan. Semalam 23 April, kita dibentangkan
pula dengan Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) untuk tahun 2001
sehingga 2005. Ia merupakan fasa pertama dari rancangan sepuluh tahun
RRJP-3 yang dibentangkan oleh YAB PM pada 3 April baru baru ini.
Kedua-dua dokumen dan perancangan ini adalah tanggungjawab Unit
Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sebelum ini
kita mendengar pembentangan Pelan Induk Sektor Kewangan (Financial
Sector Masterplan). Terdahulu dari itu pula, Pelan Induk Pasaran
Kewangan (Capital Market Masterplan) turut dibentangkan, walaupun bukan
untuk kelulusan di Dewan ini.
19.
Sementara Suruhanjaya Sekuriti bertanggungjawab terhadap Pelan Induk
Pasaran Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) adalah pihak yang
menyediakan Pelan Induk Kewangan. Senggang waktu diantara pembentangan
dua pelan ini adalah 2 bulan. Ini membayangkan semacam ada perlumbaan
dalam menyediakan berbagai 'master-plan' oleh berbagai agensi kerajaan.
Samada semua ini dirancang atau terpisah antara satu sama lain, tidaklah
kita ketahui.
Dato'
Yang DiPertua,
20. Kalau
pun persediaan dan kewujudannya memberikan semacam satu pengertian
bahawa kerajaan di negara ini amat peka terhadap keperluan perancangan,
di waktu yang sama, setelah menyaksikan berbagai senario dan natijah
dari perlaksanaan kesemua program pembangunan ini, maka adalah tidak
salah juga sekiranya ada pihak yang mandakwa bahawa ianya hanya cantik
atas kertas tetapi apa yang terhasil dalam masyarakat dan pembangunan
yang dilaksanakan tidak menggambarkan gambaran targets yang sebenarnya.
Dewan yang mulia ini perlu diperingatkan bahawa sementara usaha untuk
merancang dan menstrategikan pembangunan adalah baik dan perlu disokong
oleh semua pihak, kita tidak mahu pula perancangan ini hanya sekadar
komitmen atas kertas sahaja dan dirujuk hanya ketika peruntukan
belanjawan perlu dibuat.
21. Dewan
ini juga perlu diyakinkan bahawa kesemua perancanganan pelan ini
mempunyai mekanisme kawalan dan pemantauan yang terselaras kerana
dikhuatiri terkadangkali membawa persepsi kepada pihak awam bahawa
'tangan kanan tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kiri' tambahan
pula wujud dakwaan semacam ada persaingan untuk menjaga secara cemburu
"padang atau turf " masing-masing justru kerana antara lainnya
kerana kepala atau boss tertinggi tidak 'sehaluan' atau sekata antara
satu sama lain.
Dato'
Yang DiPertua,
22.
Sehubungan dengan perkara ini, setelah meneliti laporan RMKe-8 ini,
adalah amat jelas bahawa tidak ada satu analisis kritikal dibuat
bersabit dengan krisis ekonomi yang melanda negara dalam tahun 1998.
Laporan ini juga menerima, pada muka surat 5 dan 7, bagaimana krisis
ekonomi 1998 telah merencat pencapaian targets RMK7 di segi kadar
pertumbuhan KDNK, pembasmian kemiskinan, penyusunan semula masyarakat
dan peningkatan kualiti hidup dan sebagainya.
Tun Yang
DiPertua,
23. Saya
ingin sebutkan sekali lagi bahawa, satu analisis secara lebih berani dan
terbuka perlu dibuat dan dipelajari secara ilmiah dan berdasarkan
maklumat bahawa krisis ekonomi 1998 perlu pertama-tama dihadzam oleh
pemimpin negara ini. Sindrom penafian (Denial Syndrome) mestilah dikikis
dahulu dan segala pengajaran dari keruntuhan dan kemelut ekonomi 1998
mestilah didepani dengan kesanggupan untuk menerima kesalahan lantas
satu komitmen dibuat supaya tidak lagi mengulangi segala amalan pincang
dan tidak sihat yang secara jelas telah menjadi faktor utama yang
mendorong keruntuhan ekonomi pada tahun 1998. Kesemua perkara ini mesti
dimuatkan dahulu dalam RMK8 ini sebagai pendahuluannya dan satu komitmen
dibuat untuk tidak mengulangi kesilapan kesilapan tersebut. Saya dapati
ini tidak dilakukan dalam pembentangan RMK8 dan juga tidak dirakamkan
dalam RRJP-3 yang lalu. Saya khuatir bahawa kerajaan Umno/BN masih dalam
suasana dan sindrom penafian dan masih mahu menuduh dan menuding jari ke
pihak luar dan kuasa asing sebagai pencetus keruntuhan ekonomi negara
ini.
1
| 2 |
3 | 4 | 5 | 6

|