|
50.
Ketandusan MPPB ini amat terserlah. Pergilah ke mana-mana kawasan
perindustrian, perdagangan, bandar-bandar besar dan kecil, termasuk
di kampung-kampung, gedung-gedung membeli belah besar dan kecil,
deretan kedai-kedai di kawasan perumahan mewah dan tidak mewah,
pusat-pusat perkhidmatan dan kedai-kedai borong dan runcit, kita
akan dapati lanskapnya seragam sahaja - penguasaan hampir mutlak
kaum bukan Bumiputera.
51.
Memang banyak agensi diwujudkan untuk membantu kaum Bumiputera
meningkatkan penglibatan dalam sektor perniagaan, perdagangan dan
perindustrian seperti MARA, UDA dan senarainya cukup panjang. Namun
ada kalanya badan-badan ini dikatakan menjadi penghalang penyertaan
Bumiputera di dalam sesetengah kegiatan perdagangan kerana badan ini
mengusahakan perniagaan yang sama sehingga menjadi pesaing kepada
usahawan Bumiputera sehingga akhirnya usahawan Bumiputera itu yang
gulung tikar
52. Ada
juga tuduhan bahawa dana agensi ini disalurkan kepada orang politik
yang digunakan bukan untuk berniaga tetapi membeli sokongan.
Agensi-agensi kerajaan ini dikatakan dijadikan sarang untuk
membekalkan wang kepada ahli politik yang mengakibatkan semakin
galaknya amalan politik wang di dalam sebuah parti politik
pemerintah.
53.
Amalan kronisme di dalam badan-badan yang diwujudkan untuk membantu
Bumiputera nampaknya semakin menebal khasnya sejak pilihanraya umum
yang kesepuluh dahulu. Menteri-menteri telah mengumumkan bahawa
penyokong-penyokong parti selain daripada parti pemerintah akan
dinafikan segala bantuan yang disediakan kerajaan untuk Bumiputera.
Inilah satu amalan yang "membunuh diri sendiri" namanya dan
bertentangan sama sekali dengan lafaz untuk memartabatkan ekonomi
Bumiputera.
54.
Dengan berlalunya RMK7, ia bermakna tiga puluh tahun telah berlalu
namun sasaran DEB yang direncanakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak
masih belum kesampaian. Menggunakan ukuran DEB (bahagian atau syer
Bumiputera di dalam kek ekonomi) jelas kelihatan bahawa syer itu
masih kecil dan sesetengahnya telah semakin mengecil.
55.
Peristiwa Kampung Medan adalah amaran awal yang menagih kesungguhan
dalam usaha untuk mencapai keadilan agihan dan membasmi kemiskinan.
Dengan sokongan yang meningkat dari rakyat, Barisan Alternatif akan
meneruskan agenda perjuangan menegakkan keadilan dan menentang
kezaliman, penyelewengan, penyalahgunaan wang rakyat dan amalan KKN
yang terus berleluasa sekarang.
56.
Saya mencadangkan supaya langkah segera diambil untuk konsolidasi
usahawan bumiputera ini melalui 'merger' yang strategik dan
mengurangkan saingan dalam jenis perniagaan yang sama. Kerajaan
boleh membantu dengan merangsang R&D. Konsep koperasi juga harus
difikirkan semula supaya modal dapat dioptimakan.
Penswastaan yang Membebankan Rakyat
57.
Kerajaan melaksanakan dasar penswastaan sejak tahun 1983 yang
tujuannya ialah untuk meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat yang
diswastakan agar manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh
rakyat dalam bentuk kualiti perkhidmatan yang lebih baik pada harga
yang munasabah. Ia juga diharapkan berupaya mengurangkan beban
rakyat secara tidak langsung melalui pengurangan beban belanjawan
awam. Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya ialah penswastaan
diharapkan menjadi instrumen untuk meningkat-kan penyertaan
Bumiputera di dalam sektor korporat melalui pemilikan di dalam
syarikat yang diswastakan.
58.
Penunjuk-penunjuk yang ada menggambarkan bahawa secara amnya dasar
penswastaan telah dapat meningkatkan kecekapan syarikat yang
diswastakan. Namun, pada hakikatnya ") rakyat terpaksa membayar
harga yang lebih tinggi untuk pelbagai perkhidmatan yang telah
diswastakan sehingga ke tahap membebankan khasnya bagi golongan
miskin. Ini terjadi kerana adanya unsur-unsur monopoli, peningkatan
kos operasi yang tidak terkawal dan kos pembiayaan yang lebih
tinggi. Memanglah benar, pengguna membayar harga mengikut penentuan
pasaran tetapi apa yang terjadi ialah pengguna terpaksa membayar
harga monopoli yang biasanya lebih tinggi daripada harga yang
dikenakan bila wujud pertandingan. Kerajaan harus bersimpati dengan
rakyat susah.
59.
Badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan (ada 18 kesemuanya) untuk
melindungi kepentingan pengguna daripada ancaman kuasa monopoli yang
dimiliki oleh syarikat-syarikat yang diswastakan memang diakui tidak
berkesan kerana kekurangan kepakaran dan sokongan perundangan. Kita
mengharapkan agar keberkesanan badan-badan ini dalam melindungi
kepentingan pengguna benar-benar dipertingkatkan seperti mana yang
dihasratkan di dalam RMK8 ini.
60.
Sebagai instrumen untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam
sektor korporat, garispanduan di bawah dasar penswastaan menetapkan
agar sekurang-kurangnya 30% daripada ekuiti di dalam semua syarikat
yang diswastakan dipegang oleh bumiputera. Namun, daripada
perangkaan-perangkaan yang dipaparkan di dalam buku RMK8 ternyata
garispanduan itu telah dikesampingkan. Daripada sejumlah 98 syarikat
yang diswastakan dalam tempoh RMK7 (1996-2000), milikan Bumiputera
hanyalah 15.6%, meleset jauh daripada sasaran. Daripada sejumlah 203
syarikat yang diswastakan sejak 1983, milik ekuiti bumiputera di
dalam kesemua syarikat yang diswastakan hanyalah 25.6%.
61.
Maklumat-maklumat yang ada menunjukkan bahawa pemilikan di dalam
syarikat yang diswastakan bertumpu kepada sekumpulan kecil
bumiputera yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pemerintah dan
pemimpin-pemimpin kerajaan. Maka terjadilah keadaan di mana dasar
penswastaan itu dijadikan alat untuk memperkayakan kroni dan kaum
kerabat. Syarikat, kumpulan dan orang yang sama berulang-ulang kali
mendapat projek dan syarikat yang diswastakan.
1
| 2 |
3 | 4 | 5 | 6

|