Belasungkawa

      

Dr Haji Othman Puteh

(5-1-1944 - 19-10-2003)

      

Pasti sahaja kehilangannya amat mengejutkan. Othman adalah satu-satunya pendorong angkatan muda yang terus-menerus merangsang.

SN Datuk (Dr) A. Samad Said

Penasihat Agung Kavyan

23 Oktober 2003

     

Kenyataan Akhbar:

Pada acara "Baca Cerpen Kavyan" - 29 Ogos 2003

Berita Dr Haji Othman Puteh meninggal dunia pada 19 Oktober 2003 mengejutkan pihak Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia (Kavyan). Dunia sastera kehilangan seorang tokoh yang pasti tidak dapat dicari ganti.

Pihak Kavyan sendiri amat merasakan suatu kehilangan besar kerana Allahyarham baru sahaja dilantik sebagai Penasihat Kehormat Kavyan pada Mesyuarat Jawatankuasa 27 September 2003.

Allahyarham sentiasa memberi motivasi dan menggalakkan kemunculan penulis baru dari kalangan kaum India. Uthaya Sankar SB, Saroja Theavy Balakrishnan, M. Mahendran, S. G. Prabhawathy, Nyanaambigai serta hampir semua penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia mendapat bimbingan daripada beliau – secara langsung atau tidak langsung.

Malah, Allahyarham telah menyatakan kesediaan untuk menjadi panel pada “Diskusi Karya Sasterawan Kaum India” yang dijadualkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 2003.

Allahyarham merupakan pembimbing, guru, pakar motivasi, penasihat dan bapa yang penyayang kepada para ahli Kavyan. Sesungguhnya pemergian Dr Haji Othman Puteh suatu kehilangan besar bagi Kavyan.

Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga Tuhan Yang Maha Penyayang menempatkan Allahyarham di kalangan insan yang amat dikasihi-Nya.

Uthaya Sankar SB, Presiden Kavyan

6:00 pm, 19 Oktober 2003

     

Press Statement:

Ask anyone in the Bahasa Malaysia literary circle; each and everyone would say they never expected to hear the shocking news of Dr Haji Othman Puteh passing away suddenly in Kota Kinabalu, Sabah on 19 October 2003.

This humble and gentle man was born on 5 January 1944 in Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka. After completing primary education there, he attended English secondary school in Bandar Melaka. Then continued his studies at Sultan Idris Teaching College, Tanjung Malim, Perak (1963-64).

Cikgu Seman, as he is affectionately called by his students, has nine years of teaching experience in primary and secondary schools. Later, he attended National University of Malaysia (UKM) to receive his first degree in 1977, masters in 1981 and doctorate in 1992. But most young writers still referred to him as “Pak Cik Othman” and “Pak Haji Othman”.

Though he wrote many adolescent novels, the late Dr Haji Othman wrote only two novels for adults: Munajat di Perkebunan (DBP: 1990) and Kalut (Fajar Bakti: 1997).

“During fall 1996, Pak Haji Othman attended International Writing Programme in University of Iowa. That’s where he wrote Kalut. I’m personally touched because he named one of the main characters after me,” recalls Uthaya Sankar SB, the President of Malaysian Indian Writers’ Foundation (Kavyan) and a writer who has been keeping close contact with the deceased since 1991.

Upon receiving the SEA Write Awards in 1998, Dr Haji Othman said, “I’m convinced that literature still has the endurance, relevancy and significance as a vehicle of critical and esthetical expression in humanity.”

At the age of 59 – he was to turn 60 next January – he still looks young and energetic. He was always on the move. He’s very active in Gapena besides accepting invitation to conduct workshops and delivering papers at seminars.

During a seminar in Kota Kinabalu last August, he presented a paper specifically about Uthaya Sankar SB. He was also honoured by Kavyan to read the very first short story in Baca Cerpen Kavyan, the non-stop reading which went on for 96 hours and 32 minutes; with the last piece being read by Datuk (Dr) A. Samad Said.

In September 2003, these two laureate were appointed advisors of Kavyan; along with Prof Madya Dr Krishanan Maniam. The deceased has also accepted an invitation to present a paper about Malaysian Indian writers in DBP this December; and to be the head judge for a short story competation organised by Kavyan and Ashwin Trading.

The late Dr Haji Othman Puteh has been – and will always be – a guide, a mentor, a guru and a father-figure to every Malaysian Indian writer in Kavyan. May his soul rest in peace and placed among His loved ones.

19 October 2003, 6:00 pm

     

Dr. Othman Puteh merupakan perangsang saya sekian lama. Melihat beliau beraksi di pentas sastera, sering menyakinkan saya bahawa sastera sangat penting, cerita manusia bukan hal remeh temeh. Kita terpaksa menelan hakikat pemergian beliau; dan kehilangan beliau mewujudkan suatu lopong yang sukar terisi.

Saroja Theavy Balakrishnan

Anak murid Allahyarham

     

Othman Puteh Meninggal Dunia Diserang Sakit Jantung

Kota Kinabalu, 19 Oktober 2003 – Penulis tanah air, Dr Othman Puteh, 59, meninggal dunia di unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth di sini, hari ini.

Seorang kenalan Allahyarham yang juga aktivis sastera Sabah, Ismail Bungsu berkata, Allahyarham dikejarkan ke hospital itu pada pukul 2:30 petang selepas didapati pengsan di hotel penginapannya.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 3:10 petang kerana dipercayai mengalami masalah jantung dan penyakit kencing manis.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Timah Baba (55), dan lima orang anak iaitu Hizairi (33), Haizulsham (31), Mohd Hafiz (28) Sadhila (26) dan Marini (24).

Katanya, malam tadi, Allahyarham menghadiri acara baca puisi dan bicara buku Selamat Tinggal Sabah karya Raymond Majmumah di rumah Sasterawan Sabah, Datuk Ismail Abas di Kampung Ketiau, Putatan di sini.

Beliau berkata, Allahyarham yang juga Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) pernah memenangi Anugerah Penulis SEA daripada kerajaan Thailand pada tahun 1998.

Utusan Malaysia, 20 Oktober 2003

      

Perginya Guru Penulis Muda

PENGARANG kreatif tanah air, Dr Othman Puteh, 59, pulang ke Rahmatullah Ahad lalu (19 Oktober 2003) di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah, selepas diserang sakit jantung.

Beliau yang juga bekas Pensyarah Jabatan Persuratan Melayu (JPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dikejarkan ke hospital itu pada 2.30 petang selepas didapati pengsan di hotel penginapannya dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.10 petang.

Allahyarham Dr Othman yang juga mempunyai kencing manis meninggalkan seorang balu, Timah Baba, 55 dan lima orang anak, Hizairi, 33, Haizulsham, 31, Mohd Hafiz 28, Sadhila, 26 serta Marini, 24.

Beliau yang banyak memberi sumbangan dalam dunia sastera tanah air khususnya dalam bidang penulisan cerpen kanak-kanak dan remaja sedang menghadiri program baca puisi dan bicara buku Selamat Tinggal Sabah karya Raymond Majmunah di Kota Kinabalu.

Allahyarham Dr Othman antara tokoh yang banyak terbabit dalam mengendalikan bengkel Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak beliau masih lagi berkhidmat di UKM.

Antara peserta bengkel MPR di bawah asuhan Allahyarham Dr Othman yang berjaya mencipta nama dalam dunia sastera tanah air ialah Uthaya Sankar SB yang terus mencatat kecemerlangan dalam berkarya sehingga kini.

Novel sulung Allahyarham, Rahsia Hutan Dara (1974) dan sehingga kini sudah menghasilkan 30 novel kanak-kanak dan remaja di samping mempunyai antalogi cerpen termasuk Matra, Tasik dan Laut.

Allahyarham Dr Othman juga sering dipilih sebagai panel penilai sayembara anjuran pelbagai institusi termasuk peraduan menulis Novel Sejarah (1980) dan Novel Fiksyen Sains (1981).

Berita Harian, 21 Oktober 2003

     

"Sumbangan Dr. Othman dalam mengasah bakat-bakat baru serta sumbangan beliau sebagai cerpenis tidak dapat dipertikaikan."

Uthaya Sankar SB, "Membudayakan Baca Cerpen", Utusan Malaysia, 17 Ogos 2003

     

Othman abadikan 60 novel, 200 cerpen
Oleh: Siti Rohayah Attan

TIADA yang mampu diungkapkan sebaik saja menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada penulis muda yang juga anak didik Dr. Othman Puteh, Siti Jasmina Ibrahim yang berbunyi “Sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Dr. Othman Puteh yang telah kembali ke rahmatullah siang tadi di Kota Kinabalu”.

Tiada siapa yang menduga pemergian penulis terkenal ini pada usia 59 tahun pukul 3.10 petang, Ahad lalu (19 Oktober 2003) di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah. Beliau meninggal akibat serangan jantung dan kencing manis ketika berada di bilik hotelnya. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bangi, Selangor sebelum Zuhur, semalam (20 Oktober 2003).

Sesungguhnya, pemergian penulis kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka yang dikenali dengan panggilan “Cikgu” itu amat mengejutkan kerana sebelum ini beliau sentiasa sihat dan rajin menghadiri seminar serta kegiatan sastera terutamanya anjuran persatuan penulis atau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hanya beberapa jam sebelum pemergiannya, Allahyarham turut menghadiri acara baca puisi dan bicara buku Selamat Tinggal Sabah karya Raymond Majmumah di Putatan.

Bekas pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini meninggalkan seorang balu yang juga penulis, Timah Baba, 55, dan lima anak iaitu Hizairi, 33, Haizulsham, 31, Mohd. Hafiz, 28, Sadhila, 26 dan Marini, 24.

Apa yang pasti, pemergian Cikgu Othman secara tidak langsung mengingatkan khalayak tentang kehilangan anaknya, Hizairi lebih dua tahun lalu. Hingga kini, pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Serdang itu tidak diketahui nasibnya.

Selain menerima anugerah tertinggi dalam sastera di peringkat antarabangsa iaitu SEA Write Award dari Thailand pada 1998, sumbangan penulis yang lahir pada 5 Januari 1944 ini tidak boleh dipadamkan begitu saja dalam dokumentasi sejarah sastera. Beliau banyak menghasilkan karya kreatif seperti cerpen, novel remaja di samping beberapa buku kajian mengenai kesusasteraan.

Berbekalkan konsep sebagai pendidik, beliau tidak hanya menulis malah memainkan peranan yang konsisten dalam usaha mengasah dan melahirkan bakat baru dalam penulisan kreatif melalui bengkel dan seminar. Justeru, ramai penulis muda yang lahir di bawah asuhannya terutamanya ketika beliau berkhidmat sebagai pensyarah jemputan di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Menariknya, Allahyarham adalah penulis yang mampu meletakkan dirinya dalam kelompok penulis veteran sebagai Bendahari Gabungan Penulis Nasional (Gapena). Dalam masa yang sama beliau adalah antara penulis mapan yang berkompromi menjadi pembimbing utama kepada penulis muda terutamanya yang bernaung di bawah Sekretariat Penulis Muda Gapena.

Dalam erti kata lain Cikgu Othman bukanlah penulis yang sombong, justeru tidak hairanlah beliau mempunyai ramai pengikut di kalangan penulis generasi baru.

Memperkatakan karya beliau, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Allahyarham adalah penulis yang paling mantap dan berterusan menghasilkan novel remaja.

Bermula dengan Rahsia Hutan Dara yang dihasilkan pada 1974, beliau berjaya menghasilkan lebih 60 novel berkonsep remaja. Barangkali inilah rekod yang belum diatasi oleh mana-mana penulis di negara ini. Kebanyakan novel tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.

Novelnya Terminal Tiga yang dihasilkan pada 1997 kini menjadi salah satu bahan pengajaran Kompenan Sastera Dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS) manakala Munajat di Perkebunan (1990) dan Kalut (1997) dianggap antara “karya besar dan penting” daripadanya. Novel terbaru beliau ialah Misteri Remaja yang diterbitkan dalam lima jilid terbitan Utusan Publication & Distributors (UP&D).

Lain-lain karya termasuklah Jabar Anak Nelayan (1981), Datangnya Macam Malaikat (1982), Matra, Tasik dan Laut (1984), Ario (1988), Tun Fatimah (1986), Gadis Bernama Srikandi (1985), Sepuluh Tahun Api Membara (1986), Pahlawan Bumi Adat (1979) dan Pengorbanan (1978).

Bekas guru yang dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sastera moden khususnya cerpen pada 1992 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini sebenarnya menjadikan cerpen sebagai landasan awal berkarya. Buat pertama kalinya, dua cerpen beliau tersiar di Utusan Pemuda dan Utusan Zaman pada 1961 ketika belajar dalam tingkatan empat di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak.

Sejak 1964, penulis tinggi lampai ini telah memenangi pelbagai hadiah dalam bidang ini termasuklah cerpen “Pahlawan Tua” yang terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1974 manakala “Datuk Pom” dan “Guruh” terpilih menerima Hadiah Utusan-Public Bank 1988 dan 1990. Hingga kini beliau telah menghasilkan lebih 200 cerpen yang mana sebahagian besarnya dimuatkan dalam kumpulan cerpen. Kumpulan cerpen Matra, Tasik dan Laut (1984) dan Jeneral (1992) memuatkan cerpen berunsur eksperimen.

Tidak hanya menghasilkan karya kreatif, bakat penulisan itu dikembangkan dengan menghasilkan buku-buku non-kreatif yang akhirnya menjadi rujukan utama kepada pelajar sastera. Antaranya ialah Cerpen Melayu Selepas Perang Dunia Kedua: Satu Analisis Tentang Pemikiran dan Struktur (1983), Langgam Penceritaan Cerpen Melayu (1994), Pengisian Dunia Sastera (1995), Persediaan Menulis Novel (1992) dan Penulisan Cerpen: Visi dan Langgam (1993).

Pemergian Cikgu Othman ke rahmatullah tidak sempat memberi ruang kepadanya untuk melihat karya Koleksi Cerpen Othman Puteh - 104 Cerpen terbitan UP&D yang akan berada di pasaran akhir November ini. Bagaimanapun, beliau masih sempat melihat tulisannya yang baru dipasarkan minggu lalu iaitu Siri Pengajian Sastera Utusan 2003 (Anak Laut & Di Hadapan Pulau; Anak Laut & Bukit Kepong; Anak Laut & Perlumbaan Kedua; Anak Laut & Terminal Tiga).

Kepakaran beliau dalam bidang sastera terus mendapat penghormatan dan sanjungan apabila dipilih menjadi hakim dalam pelbagai pertandingan di negara sendiri, Brunei dan Singapura. Antaranya, Allahyarham memberikan sumbangan yang besar kepada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan kerana telah bersama menjadi panel hakim hadiah sastera ini sejak 1997 hingga kini. Beliau juga menjadi salah seorang panel Hadiah Sako II Bagi Novel Nasional 2002.

Utusan Malaysia, 21 Oktober 2003

     

Pemuda Gerakan Hargai Jasa Allahyarham Othman Puteh

TERKEJUT sungguh saya apabila menerima panggilan telefon daripada Dr Goh Hin San yang memaklumkan bahawa Dr Othman Puteh telah meninggal dunia di Kota Kinabalu pada 19 Oktober 2003.

Ingin saya bagi pihak keluarga saya, Pergerakan Pemuda Gerakan dan anak murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM, menggunakan ruang ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Sesungguhnya, kami amat terhutang budi atas jasa baik dan bantuan yang diberikan oleh Allahyarham Dr Othman Puteh yang telah membantu kami menjayakan program SAMTEK, iaitu program pendidikan yang ada kaitannya dengan teknik menjawab soalan peperiksaan Bahasa Malaysia SPM di Sekolah Menengah Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas baru-baru ini.

Dr Othman mmeberi ceramah motivasi di sebuah sekolah di Melaka - 15 Februari 2003

Saya masih ingat dengan jelas bahawa Allahyarham Dr Othman Puteh, yang begitu sibuk pada ketika itu, telah sudi meluangkan masa untuk menerima undangan kami sebagai penceramah semata-mata kerana ingin membantu saya yang berasal dari kampung yang sama di Melaka, apabila beliau dimaklumkan bahawa program pendidikan untuk calon SPM berbilang kaum itu merupakan program untuk tahun keempat.

Kami amat terharu apabila mengetahui bahawa Dr. Othman Puteh terpaksa beredar ke Pulau Langkawi sebaik sahaja tamat berceramah di pekan kecil ini. Beliau tidak suka berlagak walaupun berstatus sebagai penulis tanah air yang begitu terkenal. Sifat mulia inilah yang menyebabkan ramai anak murid tidak berasa segan untuk meminta tunjuk ajar daripada beliau.

Kini, beliau telah meninggalkan kita semua buat selama-lamanya. Namun, apa yang telah beliau sumbangkan akan kami seluruh anak buah Pekan Nanas kenang buat selama-lamanya.

Tan Kee Teng, GB Yu Ming (1), Pekan Nanas

Utusan Malaysia, 21 Oktober 2003

    

Cikgu Seman’s Legacy

By: Bissme. S

The literary circle recently mourned the passing of Malaysian Literary Award winner Dr Haji Othman Puteh, who died in Kota Kinabalu, Sabah on Sunday, 19 October 2003.

The 59-years-old author of more than 40 youth novels was in KK to attend a poetry reading and book discussion on Raymond Majmumah’s novel, Selamat Tinggal Sabah.

He fainted at his hotel room at 2:30 pm on Sunday and was rushed to the hospital. He was pronounced dead at 3:15 pm. He was believed to be suffering from heart problems and diabetes.

31 Mei 1997 - Minggu Penulis Remaja

Othman leaves behind a wife, Timah Baba (55) and five children – Hizairi (33), Hiazulasham (31), Mohd Hafiz (28), Sadhila (26) and Marini (24). Incidentally, Hizairi, who was an up-and-coming writer, went missing several years ago and the mystery of his disappearance has yet to be solved.

This humble author and motivator was born on 5 January 1944 in Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka. After completing primary education there, he attended English secondary school in Bandar Melaka, before furthering his education at the Sultan Idris Teaching College in Tanjung Malim, Perak.

Cikgu Seman, as he was affectionately called by his students, spent nine years teaching before attending Universiti Kebangsaan Malaysia to take his first degree in Malay Literature in 1977. He followed up with a masters in 1981 and a doctorate in 1992.

Othman wrote many adolescent novels and was a motivating force in encouraging youths to try their hand at writing fiction. He also wrote two adult novels, Munajat di Perkebunan (1990) and his defining work, Kalut seven years later. Kalut is about the children of Chinese and Indian immigrants coming to terms with being Malaysian.

His other works include Debu Hiroshima (1987), a book on experiences of Haji Abdul Razak, who survived the atomic bombing of the Japanese city in 1945.

“During fall 1996, Pak Haji Othman attended an international writing programme at the University of Iowa in the US. That is where he wrote Kalut. I am personally touched because he named one of the main characters after me,” recalled Uthaya Sankar SB, the President of Malaysian Indian Writers’ Foundation (Kavyan).

Upon receiving the SEA Write Awards in 1998, Othman said: “I am convinced that literature still has endurance, relevancy and significance as a vehicle of critical and aesthetical expression in humanity.”

Othman was always on the move, and was very active in the National Writers Association (Gapena) besides accepting invitations to various workshops to deliver papers.

[In September 2003, Othman was appointed advisor of Kavyan; along with Datuk (Dr) A. Samad Said and Prof Madya Dr Krishanan Maniam. He has also accepted an invitation to present a paper about Malaysian Indian writers in Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) in December 2003; and to be the head judge for a short story competation organised by Kavyan and Ashwin Trading.]

Recently, he participated in Baca Cerpen Kavyan which created history as the longest reading event in Malaysia by having 96 hours and 32 minutes of non-stop Bahasa Malaysia short story reading. Unsurprisingly, Othman led the reading with two of his own stories, “Guruh” and “Ario”.

He will be missed.

TheSun, 22 October 2003

    

   Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut

Kavya, November 2003

    

Perginya Bersama Harapan

Oleh ROZNINAH ABD. AZIB

 

OP merupakan panggilan singkatan untuk Allahyarham Dr. Othman Puteh yang biasanya digunakan oleh kebanyakan editor di bahagian majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Singkatan OP bagi kami bermaksud Orang Penting, tetapi Allahyarham yang sememangnya suka merendahkan diri dan berseloroh sering pula mengambil pengertian Orang Pencen.

Sebagai Orang Pencen - bermula tahun 1999, beliau sebenarnya semakin sibuk dengan kegiatan sastera seperti penulisan, bengkel, ceramah menjadi pengadil sayembara penulisan dan sebagainya.

Dalam wawancara Dewan Sastera dengannya selepas mendapat anugerah S.E.A. Write Award pada tahun 1998 iaitu ketika beliau di ambang persaraan - beliau mengakui bahawa persaraannya hanya dalam hayat profesionnya sebagai pensyarah.

Katanya lagi dalam wawancara tersebut dia akan meneruskan apa-apa sahaja kerja yang berkaitan dengan dunia sastera yang dianggapnya sebagai amal jariah.

Lantaran niatnya untuk beramal jariah itulah maka semasa hayatnya allahyarham seorang yang begitu mudah diajak berurusan membantu kami editor di bahagian majalah dan buku.

Beliau tidak pernah menghampakan permintaan kami jika kami memerlukan bantuannya mendapatkan bahan untuk terbitan majalah. Beliau sering memudahkan dan melancarkan perjalanan kerja kami dan bersedia membantu kami pada bila-bila masa tanpa berkira tentang bayaran yang bakal diterimanya.

Jika tidak berkemampuan, beliau akan berterus terang dan menolaknya dengan penuh hormat - bahkan memberi `jalan' lain bagi memudahkan kami mendapatkan apa yang kami hajati dalam penerbitan majalah.

Beliau merupakan `jambatan' kepada kami untuk menjalinkan hubungan dengan penulis lain yang kami perlukan.

Ketika Sasterawan Negara A. Samad Said melangsungkan mogok seni keduanya allahyarham yang menjadi `jambatan' - mengembalikan semula Sasterawan Datuk Dr. A. Samad Said kepada Dewan Sastera.

Begitulah allahyarham - setiap kali kami meluahkan masalah dalam menangani ragam penulis kepadanya, dengan mengatakan: ``Hidup ini memang takkan lari daripada masalah. Kalau tak ada masalah, bukan namanya kehidupan. Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya.''

Namun kata-kata azimat itu akhirnya hilang dan tidak kami dengari lagi setelah beliau kehilangan anak lelaki sulungya Hizairi.

Hizairi begitu bermakna buatnya kerana beliau merupakan seorang saja daripada lima orang anaknya yang menceburi dengan penuh minat dan serius dalam bidang penulisan.

Malah Hizairi juga pernah mengakui dalam tulisannya di Dewan Sastera, Disember 1998 yang berjudul "Antara Ayahanda dengan Ayah Anda" bahawa 'kami mempunyai beberapa persamaan'.

Katanya: ``Tidak bermakna pula kami tidak mempunyai perbezaan. Saya misalnya menulis tentang filem. Ayah tidak. Saya juga kurang menggemari filem produk Bollywood. Sebaliknya ayah meminati filem Hindi.''

Kehilangan Hizairi merupakan tamparan hebat dalam hidup allahyarham sehingga beliau dalam diam mengakui bahawa ada juga masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam hidup ini biarpun dia telah berusaha sehabis daya.

Untuk pertama kali kami editor majalah menatap wajahnya yang bagaikan tidak pernah kenal kesedihan sentiasa dihiasi senyuman ikhlas - tiba-tiba menjadi muram dibasahi air mata dan matanya merah membengkak menangisi kehilangan permata harapannya. Ketika itu kami menziarahi keluarganya pada waktu awal kehilangan Hizairi.

Ingatannya terhadap Hizairi tidak pernah padam malah allahyarham sentiasa beranggapan bahawa Hizairi masih ada dan akan kembali ke pangkuannya pada suatu hari nanti kerana setiap bulan beliau akan mendapatkan dua naskhah majalah Dewan Sastera daripada saya - satu untuknya dan satu lagi untuk Hizairi.

Begitulah rutinnya dan saya amat tidak menyangkakan bahawa kesungguhannya untuk menatap majalah Dewan Sastera Oktober 2003 seawal mungkin sebelum allahyarham terbang ke Sabah, rupa-rupanya permintaan terakhirnya.

Berita kematian beliau yang saya terima pada jam 3.15 petang, Ahad lalu begitu memeranjatkan saya dan banyak yang membuatkan saya terkilan.

Dewan Sastera yang kebetulan akan menamatkan ruangan "Mekar Sastera", iaitu sisipan untuk pelajar elektif sastera SPM dan STPM pada bulan Disember 2003 - dan mengalihkan ruangan itu ke majalah Tunas Cipta bermula Januari 2004 juga seolah-olah ada pertalian dengan beliau.

Ketika saya bercakap dengannya untuk mendapatkan bahan tersebut bagi keluaran akhir Mekar Sastera saya secara berseloroh mengatakan bahawa: ``Inilah sumbangan terakhir OP untuk Dewan Sastera. Selepas ini kita akan berpisah. Kalau berpindah ke tempat baru jangan dilupakan tempat yang lama.''

Dan kami berjanji akan bertemu di DBP pada Isnin, 20 Oktober 2003 - kerana dia akan menyerahkan tulisan terakhirnya untuk Mekar Sastera.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Mudah-mudahan kerja-kerja jariahnya akan menemani kehidupan barunya di alam kubur.

Menjadi editor Dewan Sastera selama enam tahun memberi banyak peluang kepada saya untuk menghayati beberapa hal tentang cita-cita Allahyarham dalam persada sastera tanah air.

Antaranya penyair muda yang dihormati bakatnya ialah Zaen Kasturi. Penulis pelbagai kaum yang disenangi bakat dan kesantunannya ialah Seroja Theavy.

Daya tahan, keberanian dan pandangan jauh Samsiah Mohd. Noor bertindak menerbit sendiri novelnya sehingga berjaya diulang cetak lebih daripada sepuluh kali membuatkan allahyarham kagum - katanya kalau dia masih muda dia juga akan berbuat demikian untuk sastera zaman kini.

Di bahu Mohd. Saleeh Rahamad sebagai pengkaji muda sastera yang tekun dan serius dalam profesionnya - diletakkan harapan untuk menilai kedudukan sastera tanah air.

Siti Jasmina Ibrahim yang menubuhkan syarikat sendiri bersama-sama temannya membuka matanya bahawa sastera akan mampu hidup sampai bila-bila jika ada ramai lagi orang seni seperti mereka.

Zainal Rashid Ahmad dan S.M. Zakir cerpenis muda yang berbakat besar buatnya. Tentang kehebatan Faisal Tehrani dengan novel 1515, kebisuan Mawar Shafei dalam penghasilan karya dan banyak lagi harapan dan pandangan dan kegusaran beliau terhadap kelangsungan hidup sastera tanah air yang sempat saya dengar daripadanya.

Sesungguhnya allahyarham begitu prihatin terhadap perkembangan pengkaryaan penulis muda sama ada yang dalam asuhannya ataupun tidak.

Cuma kepincangan dalam Sekretariat Penulis Muda Gapena yang tidak sempat saya dengar pandangan dan komen peribadinya.

Semoga warga sastera tanah air akan terus hidup bersama-sama semangatnya mewarna-warnikan sastera tanah air dengan penuh kesefahaman dan kesantunan. Al-Fatihah.

Mingguan Malaysia, 26 Oktober 2003

 

   

Pak Haji Yang Saya Kenali

Uthaya Sankar SB

KAD ucapan Deepavali yang saya kirim pada 18 Oktober 2003 tentu telah sampai ke rumah. Namun, beliau sudah tiada untuk menatapnya.

Sejak mula-mula mengenali Allahyarham Dr Haji Othman Puteh pada tahun 1991, saya sentiasa mengirimkan kad ucapan Deepavali kepada beliau. Beliau pula mengirimkan kad ucapan Hari Raya Puasa kepada saya.

Antara saya dan beliau wujud keintiman dan rasa saling memahami yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Kali terakhir saya bercakap dengan Pak Haji - demikian saya memanggil beliau dengan mesra - pada 12 Oktober lalu.

Tujuannya, untuk meminta beliau menjadi panel pada majlis Diskusi Karya Sasterawan Kaum India anjuran Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia (Kavyan) dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dijadualkan pada Disember 2003.

Terdahulu, saya menghubungi Pak Haji untuk meminta beliau membicarakan karya mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) yang dirancang untuk diadakan pada 14 November 2003.

Setiap kali timbul masalah atau jika memerlukan nasihat dan pandangan, saya tidak teragak-agak menghubungi Pak Haji yang akan bertanya, "Apa cerita?"

Begitu juga sepanjang saya berada dalam tempoh "protes peribadi" (September 1999 - Ogos 2002). Kami saling berkomunikasi.

"Saya hormati pendirian Uthaya," kata beliau. "Semoga berjaya."

Allahyarham yang sentiasa sibuk tidak pernah menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak meluangkan masa melayan saya. Hubungan kami lebih seperti bapa dan anak walaupun saya memanggil beliau "Pak Haji".

"Jangan panggil saya begitu di kuliah, ya!" pesan beliau semasa saya menuntut di UKM.

Sumbangan idea dan sokongan moral yang beliau berikan bukan hanya kepada saya dan Saroja Theavy Balakrishnan.  

Saroja Theavy Balakrishnan, Dr Haji Othman Puteh, SG Prabhawathy, Uthaya Sankar SB - 22 Ogos 2002, Festival Sastera Perpaduan Malaysia, Kangar

Hubungan beliau dan para penulis kaum India, khususnya para ahli Kavyan, amat intim. Beliau sentiasa memberi sokongan, motivasi, galakan, bimbingan dan segala macam sumbangan yang pasti tidak dapat kami balas dengan wang ringgit.

Saroja dan saya sendiri memang sudah menjadi seperti anak angkat dan anak emas beliau. Walau di mana beliau berceramah, nama kami berdua pasti dipromosikan.

Pada akhir September 2003, saya juga telah menghubungi beliau dan bertanya sama ada beliau sudi menjadi Penasihat Kehormat Kavyan kerana itulah antara cara kami boleh menunjukkan kasih sayang dan penghormatan kami terhadap beliau.

"Saya tak ada masalah," jawab beliau tanpa berfikir panjang.

Sesungguhnya sumbangan Allahyarham sangat besar dalam membimbing hampir kesemua penulis kaum India yang menghasilkan karya - khususnya cerpen - Bahasa Malaysia. Sebab itulah pemergian beliau turut ditangisi kami.

Pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum V di Kota Kinabalu pada Ogos 2003, beliau menyampaikan kertas kerja bertajuk "Menelusuri Jalur Kepengarangan Uthaya Sankar SB".

Antara lain, beliau menyatakan rasa gembira kerana saya sudah mengakhiri protes peribadi selama tiga tahun dan sudah aktif semula dalam mengirim karya ke media cetak.

"Uthaya ada masa depan yang sangat cerah sebagai seorang sasterawan. Tak sia-sialah bimbingan saya selama ini," kata beliau sewaktu ditemui selesai pembentangan.

Semasa mengikuti International Writing Programme di Universiti Iowa (1996), beliau menghasilkan novel dewasa kedua (selepas Munajat di Perkebunan, 1990) berjudul Kalut (1997).

Apa yang istimewa, salah satu watak utama dinamakan 'Uthaya Sankar' kerana, menurut Allahyarham pada 20 Mei 1998, beliau terfikir akan saya secara spontan semasa beliau sedang menghasilkan Kalut.

Semasa Kavyan menganjurkan Baca Cerpen Kavyan baru-baru ini, kami secara khusus mempelawa beliau untuk membaca cerpen pertama.

"Sepatutnya bagi perasmi majlis membaca cerpen pertama." Itu cadang beberapa pihak.

"Tidak. Keputusan kami muktamad; Dr Othman Puteh akan membaca cepen pertama," tegas saya menjawab.  

Dr Othman mendaftar sebelum membaca cerpen pada Baca Cerpen Kavyan - 29 Ogos 2003

Pak Haji telah membacakan cerpen "Guruh" dan "Ario" pada acara berkenaan. Itu kali pertama dan terakhir beliau membaca cerpen di pentas.

Sasterawan mapan berumur 59 tahun ini dikenali umum. Saya merasa amat bertuah kerana berpeluang mengenali beliau secara peribadi.

"Kamu dan Dr Othman kurang bercakap. Tapi setiap kata yang diucapkan sangat bermakna dan pedas," ulas isteri saya, S.G. Prabhawathy semasa simposium di Kota Kinabalu.

Pada 19 Oktober 2003, saya baru selesai menaip rencana dan siaran akhbar bagi Diskusi Karya Sasterawan Kaum India apabila saya menerima panggilan mengenai pemergian Pak Haji. Saya tidak mahu percaya kerana tiada langsung tanda-tanda beliau sakit. Lalu saya menghubungi pihak Gapena dan mendapat pengesahan.

Maka saya terpaksa menerima hakikat pemergian Pak Haji. Linangan air mata tidak akan mengubah keadaan. Para ahli Kavyan yang saya hubungi untuk menyampaikan berita itu juga hampir tidak percaya. Dalam bidang penulisan, beliau digelar Raja Novel Remaja dan telah menghasilkan lebih 45 novel kategori itu. Mustahil ada remaja yang tidak pernah terbaca novel beliau.

Allahyarham turut terlibat dalam membimbing bakat-bakat muda. Begitu ramai penulis lahir hasil bimbingan beliau. Peluang bertemu pada Baca Cerpen Kavyan dirasakan terlalu singkat kerana masing-masing sibuk mencipta rekod.

Namun, kami telah merancang pelbagai program yang melibatkan beliau. Misalnya, beliau sudah menyatakan kesediaan untuk menjadi ketua hakim Sayembara Menulis Cerpen Kavyan-Ashwin Trading yang mana tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Disember 2003.

Selepas pemergian beliau, Kavyan memutuskan untuk mengubah nama sayembara menjadi Anugerah Cerpen Dr Othman Puteh.

Itulah sahaja penghormatan terakhir yang mampu kami berikan atas segala jasa dan sumbangan Pak Haji.

Deepavali? Maaf, saya berkabung tahun ini.

Utusan Malaysia, 27 Oktober 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1