"Uthaya Sankar" dalam novel Kalut karya Dr Othman Puteh
"Apakah sudah menjadi trend
sekarang untuk memasukkan nama saudara dalam karya fiksyen?” tanya seorang
pembaca yang mengaku dirinya peminat karya-karya saya.
Pada mulanya saya sangka dia sedang merujuk kepada kehadiran watak
“Uthaya” dan “Uthaya Sankar SB” dalam beberapa cerpen saya sendiri;
khususnya dalam “Persaudaraan Banyan” dan “Mengubah Teks” (Siru Kambam, DBP: 1996).
Dia rupa-rupanya merujuk kepada puisi Roslan Jomel dalam Dewan
Sastera, Jun 1998, puisi Mattaib Nordin dalam Dewan
Sastera, Julai 1998 dan novel terbaru Dr Othman Puteh berjudul ‘Kalut’.
Roslan mendedikasikan puisi “Sehari Suntuk” kepada saya manakala
Mattaib pula mendedikasikan “Menyihir Kepalsuan” kepada saya, Abdul Hadi
Yusof dan Hasni Abas. Mereka berdua mempunyai alasan yang logik untuk melakukan
dedikasi itu. Namun pertanyaan yang dikemukakan oleh pembaca tadi membuatkan
saya berfikir secara lebih serius mengenai kehadiran watak ‘Uthaya’ dalam
beberapa karya fiksyen lain; khususnya Kalut.
Dalam beberapa manuskrip cerpen yang dikirim kepada saya oleh beberapa
penulis baru juga terdapat watak “Uthaya”, “Uthaya Sankar” dan “Uthaya
Sankar SB”. Ada kalanya hanya persamaan pada nama. Namun ada masanya memang
diri saya yang ditampilkan sebagai salah satu watak dalam cerpen berkenaan.
Walau bagaimanapun, kali pertama yang melihat nama saya digunakan dalam
karya Dr Othman Puteh adalah pada 29 Mac 1997 apabila saya membaca
“Pertemuan” (fragmen novel Kalut)
dalam Dewan Sastera April 1998.
Bahagian akhir adalah begini:
“Terima
kasih … Sekejap lagi anak angkat aku datang. Bolehlah berkenalan dengannya
nanti. Dia minat main saham.”
“Sudah bagus.”
“Ha, itu pun dia … pantang disebut, ha, ha …”
“Hey, Uthaya Sankar!”
“Pak Cik …!”
Tersentak juga saya dibuatnya; apatah lagi apabila bahagian akhir
ditamatkan dengan semacam unsur suspen. Terpaksalah menunggu kelahiran novel Kalut
untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Semasa bertemu Puan Mawar Shafei di Jabatan Persuratan Melayu, UKM pada
19 Februari 1998, sempat beliau mengusik bahawa watak Uthaya Sankar dalam novel Kalut
kemungkinan besar berkahwin dengan seorang ‘amoi’. Novel Kalut
pada waktu itu sudah pun terbit dan berada di pasaran; tetapi saya belum
berpeluang membacanya. Kononnya mahu membeli secara langsung daripada Dr Othman.
Sementara itu, saya telah meneliti semula “Pertemuan” dalam Dewan
Sastera sambil tertanya-tanya apakah watak ‘Uthaya Sankar’ dalam novel Kalut
merupakan pinjaman cirta diri saya atau cuma pinjaman nama semata-mata.
Dalam “Pertemuan”, Ariosamy (Arokiasamy?) telah mengambil Uthaya
Sankar sebagai anak angkat. Menurut Ario, “… Dialah yang uruskan ladang itu.
Dia ada diploma dalam bidang Pengurusan Ladang. … Dia bukan orang lain. Dia
satu-satunya anak kepada bapa mentua angkat aku.” Bermakna, Uthaya Sankar
adalah anak tunggal Kandiapan dan Letchumi.
Maklumat ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa watak ‘Uthaya Sankar’
dalam “Pertemuan” (dan tentunya dalam Kalut)
bukan citra diri saya. Sebab itulah apabila seorang rakan bertanya dengan sinis,
“Awak tak hantar notis kepada pengarang kerana tak letak ‘SB’ pada nama
awak?”, saya sekadar mengatakan “Watak itu bukan saya.”
Pada masa yang sama, saya dapat mengagak bahawa tentu Dr Othman mendapat
idea bagi nama watak itu daripada nama saya. Saya berani katakan begitu kerana
memang tidak ramai manusia bernama ‘Uthaya Sankar’; apatah lagi dengan ejaan
U-t-h-a-y-a-S-a-n-k-a-r.
Saya mendapat pengesahan mengenai andaian saya berhubung nama watak
berkenaan pada 20 Mei 1998, iaitu semasa membeli senaskhah Kalut daripada Dr Othman Puteh. Saya bertanya apakah watak Uthaya
Sankar akan berkahwin dengan gadis keturunan Cina.
Sambil tertawa, Dr Othman menerangkan bahawa beliau hanya menimbulkan
kemungkinan berlakunya perkahwinan antara Uthaya Sankar dan Yow May Ying. Beliau
juga menjelaskan bahawa nama bagi watak ‘Uthaya Sankar’ timbul secara
spontan sahaja semasa beliau sedang menghasilkan Kalut.
Walaupun sudah mendapat pengesahan daripada pengarang sendiri bahawa
‘Uthaya Sankar’ dalam novel Kalut
bukan diri saya, namun saya masih begitu ingin mengetahui perkembangan watak
tersebut dalam Kalut. Maka saya
membaca setiap bahagian yang menampilkan watak Uthaya Sankar.
(Mujurlah ‘Uthaya Sankar’ bukan diri saya. Kalau tidak, saya mungkin
terpaksa menghantar surat meminta penjelasan mengapa ‘SB’ digugurkan!)
Fragmen “Pertemuan” sebenarnya adalah Bab 18 novel Kalut. Dan timbul sedikit kekalutan apabila saya membandingkan
kedua-duanya. Dalam “Pertemuan”, Uthaya Sankar adalah anak kepada pasangan
Kandiapan-Letchumi. Tetapi dalam Kalut, dia
anak kepada pasangan Manokaran-Letchumi (hlm 98). Ah, kalut!
Nama watak ‘Uthaya Sankar’ muncul pada halaman 102. Kemudian muncul
semula hanya pada halaman 144. Agaknya watak itu tidak sepenting watak Ario.
Begitulah andaian saya semasa menyelak halaman demi halaman novel Kalut.
Maklumat mengenai watak Uthaya Sankar antara lain boleh ditemui pada
halaman 144, 176-178 dan 184-185. Ternyata ‘Uthaya Sankar’ dalam Kalut
bukan diri saya. Persamaan hanya pada nama. Sah.
Novel Kalut sebenarnya turut
menampilkan banyak nama yang dikenali umum dalam dunia sastera Malaysia.
Misalnya Shahnon Ahmad pada halaman 3, 201 dan 207. Nama A. Wahab Ali muncul
pada halaman 207 bersama Mohd Salleh Yaapar.
Ahmad Fadzil Yassin disebut antara lain pada halaman terakhir (223)
bersama nama Rahman Shaari. Nama Dharmawijaya, Hashim Awang dan Ayob Yamin pula
pada halaman 212 manakala Hamzah Hamdani pada halaman 211.
Mereka yang ditampilkan dalam Kalut
adalah diri mereka yang sebenar dalam alam realiti. Abdullah Hussain (turut
hadir pada halaman 183 novel Kalut)
sering menggunakan ‘teknik’ ini khususnya dalam kumpulan cerpen Kota
ke Kota.
Namun, sudah terbukti bahawa watak ‘Uthaya Sankar’ bukan gambaran
semula diri saya. Sebaliknya hanya persamaan pada nama. Itu sahaja.
Walau bagaimanapun, saya sekali lagi tersentak sewaktu menghadiri majlis
diskusi Kalut di Dewan Bahasa dan
Pustaka pada 30 Mei 1998. Panel yang memperkatakan novel tersebut terdiri
daripada saudara Azman Ismail dan Prof Madya Zainal Abidin Borhan. Kertas kerja
yang dibentangkan oleh saudara Azman Ismail disiarkan juga dalam Dewan
Sastera, Julai 1998, hlm 46-47.
Menurut Azman, “… beberapa nama seperti Uthaya Sankar, Abdullah
Hussain, Shahnon Ahmad, Rahman Shaari, Dharmawijaya, Ahmad Fadzil Yassin serta
lokasi-lokai tertentu adalah nama sebenar penulis dan sarjana sastera tanah air
yang dimanfaatkan untuk menguatkan realiti yang diketengahkan.”
Prof Madya Zainal pula dalam kertas kerjanya menulis begini: “Pengarang
sendiri turut terlibat, dengan mengemukakan pengalaman sendiri di perantauan
(Iowa?) di halaman 28; … Pengarang turut juga membawa nama real dari dunia
real ke dalam fiksyen seperti Abdullah Hussein, Profesor Datuk Shahnon Ahmad,
Azizi Abdullah, Anuar Asmadi, dan yang paling menarik menggunakan nama Uthaya
Sankar sebagai anak kepada Ario."
Ternyata kedua-dua panel sependapat dalam penggunaan nama watak-watak
sebenar (realiti) dalam novel Kalut
oleh Dr Othman Puteh. Memanglah watak Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad dan
sebagainya merupakan orang yang sama dalam realiti objektif dan juga realiti
teks. Tetapi tidak tepat apabila kenyataan yang sama dikemukakan berhubung watak
‘Uthaya Sankar’.
Kenyataan seumpama ini – apatah lagi daripada panel yang berwibawa –
mampu mengelirukan khalayak. Seorang hadirin pada majlis itu berbisik kepada
saya bahawa dia belum membaca Kalut
tetapi dia bertanya apakah benar saya anak angkat kepada Ario!
Beberapa orang lagi pembaca (peminat?) turut terkeliru. Mereka menganggap
pengarang hanya menukar sedikit maklumat diri saya – seperti bidang pengajian
– sebelum ditampilkan dalam novel berkenaan. Dan mereka bertambah yakin
selepas membaca tulisan Azman Ismail dalam Dewan Sastera, Julai 1998.
Bukanlah salah pengarang apabila menggunakan nama ‘Uthaya Sankar’
bagi salah satu watak dalam novel Kalut.
Bukan juga salah apabila watak ‘Uthaya Sankar’ dalam realiti teks tidak ada
apa-apa kaitan – kecuali persamaan nama – dengan watak ‘Uthaya Sankar
SB’ dalam realiti objektif. Malah saya merasakan semacam penghargaan apabila
Dr Othman Puteh terfikirkan nama saya semasa menulis novel Kalut di Iowa, Amerika Syarikat. Terima kasih daun keladi …
Walau bagaimanapun, agak mengecewakan apabila peneliti teks gagal
membezakan antara watak ‘Uthaya Sankar’ dalam teks dengan watak ‘Uthaya
Sankar SB’ dalam realiti sehingga mengandaikan kedua-duanya adalah sama.
Apatah lagi apabila perbezaan antara watak ‘Uthaya Sankar’ dan ‘Uthaya
Sankar SB’ adalah amat nyata. ‘Uthaya Sankar SB’ tidak hadir langsung
dalam novel Kalut. Yang hadir hanyalah
unsur ‘peminjaman nama’.
Penjelasan ini yang datangnya daripada ‘Uthaya Sankar SB’ sendiri diharap dapat mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan lebih lanjut di kalangan pembaca dan peneliti novel Kalut.