Festival Sastera Perpaduan Malaysia 2003

     

FSPM 2003 berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 22-25 Ogos 2003 sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan. 

[Baca laporan FSPM 2002 di Perlis di sini]

Bagi FSPM 2003, Kavyan telah diberi kepercayaan oleh Gapena untuk mencalonkan empat peserta kaum India. Daripada 15 nama yang dicalonkan, penganjur menilai dan memilih enam peserta. Ini merupakan kejayaan dan penghormatan besar; pucuk diundang ulam mendatang!

Festival ini mengandungi beberapa komponen: Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan, Simposium Penulis Pelbagai Kaum V, Wacana Pemikiran Patriotisme, Persembahan Genre Sastera Kebangsaan Pelbagai Kaum, dan Bicara Komsas.

Wakil Kavyan ke FSPM terdiri daripada (urutan abjad) Raja Rajeswari Seetha Raman, Saroja Theavy Balakrishnan, S. G. Prabhawathy, Srivali,  Uthaya Sankar SB dan V. Vijayaletchumy. (Nota: Srivali  menarik diri atas alasan peribadi; manakala Raja Rajeswari pula membayangkan bahawa beliau tidak pergi atas tiket Kavyan.) Dan tentu sekali FSPM tidak lengkap tanpa Prof Madya Dr Krishanan Maniam yang juga merupakan Penasihat Kavyan.

Peserta dari Semenanjung Malaysia berlepas ke Kota Kinabalu menaiki penerbangan AirAsia pada awal pagi 22 Ogos 2003. Memandangkan peserta tiba lebih awal daripada yang dijangkakan, maka para peserta diberi peluang (?) bersiar-siar di sekitar Hotel Promenade yang menjadi tempat penginapan peserta.

Wakil Kavyan berpeluang berkenalan dengan Siddharthan Palanyandi dari Universiti Malaysia. Siddharthan cepat mesra dan dalam masa yang singkat menjadi seperti sebahagian daripada wakil Kavyan.

Saroja Theavy Balakrishnan, S.G. Prabhawathy, Uthaya Sankar SB, Tan Sri Ismail Hussein, V. Vijayaletchumy, Dr. Krishanan Maniam, Siddharthan

Pada sebelah petang, berlangsung Majlis Sambutan Peserta FSPM kelolaan MBSS dan BAHASA di Rafflesia Ballroom, Hotel Promenade.

Sesudah itu, bas bertolak ke Dewan Sa'adah, Wisma MUIS di mana berlangsung Majlis Pelancaran FSPM 2003 oleh Datuk Haji Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah. Seterusnya, Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan 2003, Peringkat Kebangsaan di mana 18 peserta mengambil bahagian.

Pada pagi 23 Ogos 2003, diadakan Majlis Perasmian Simposium Penulis Pelbagai Kaum V. Dr Haji Othman Puteh selaku Pengerusi Simposium menyampaikan ucapan aluan; diikuti ucapan sambutan Tan Sri Prof Emeritus Dato' Dr Ismail Hussein selaku Ketua Satu Gapena, merangkap Pengerusi Jawatankuasa FSPM; dan seterusnya ucapan perasmian oleh Senator Datuk Zainuddin Maidin, Timbalan Menteri Penerangan.

Antara wakil Kavyan

Selepas itu, Haji Hamzah Hamdani, Pengarah DBP Cawangan Sarawak menyampaikan Ucap Utama* bertajuk "Keranamu Malaysia: Sastera Dalam Era ICT".

Bicara Karya Pelbagai Kaum* pula dimulakan dengan kertas kerja "Karya dan Pengarang: Jong Chian Lai Dari Perspektif Pembinaan Kesusasteraan Nasional" oleh Awang Azman Awang Pawi (Fakulti Sains Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak), "Awangku Merali: Mengembalikan Timur Kepada Timur" oleh Mohamad Saleeh Rahamad (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya) dan "Pemikiran dan Pencapaian Daniel Jebon Janaun Dalam Karya Kreatif" oleh Asmiaty Amat (Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah).

Sesi selepas makan tengah hari pula menyaksikan pembentangan kertas kerja "Novel Hijrah dan Suid: Mendekati Masyarakat Sabah Melalui Novel Sitti Rahmah G. Haji Ibrahim" oleh Zairul Anuar Md Dawan (Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah), "Jejak-jejak S.M. Zakir: Mencari Kebenaran Sejagat" oleh Hashim Ismail (Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya) dan "Menelusuri Jalur Kepengarangan Uthaya Sankar SB" oleh Dr Haji Othman Puteh (Gapena).

Pada sebelah malam pula berlangsung Acara Baca Puisi di Anjung Senja yang terletak di tepi pantai di hadapan Hotel Promenade. Tetamu kehormat pada acara ini ialah Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.

Pada acara ini, dua peserta kaum India yang dipilih membaca sajak ialah Prof Madya Dr Krishanan Maniam (sajak karya sendiri) dan Uthaya Sankar SB (sajak "Negeri Ini, Anak" karya Marsli N.O).

Semasa acara ini berlangsung, berlaku insiden yang tidak diingini iaitu kamera milik Uthaya Sankar SB "hilang". Pengumuman dibuat untuk cuba mengesannya semula kalau-kalau ada sesiapa yang terambil kamera berkenaan. Namun, hingga akhir, kamera berkenaan tidak ditemui semula. 

"Apa yang cukup menyedihkan, sudah lebih 30 foto saya rakam sejak di KLIA. Semuanya sia-sia," kata Uthaya Sankar SB.

"Saya tumpang sedih," kata salah seorang peserta tuan rumah, Kathirina Tati. "Sungguh sedih kerana ini kali pertama Uthaya dan Prabha datang ke Sabah, dan berlaku peristiwa hitam begini."

Namun, mujurlah V. Vijayaletchumy membawa kamera. Maka, foto yang dirakam oleh beliau masih boleh digunakan.

Selepas acara baca puisi, kesemua enam peserta kaum India (Dr Krishanan Maniam, Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, S.G. Prabhawathy, V. Vijayaletchumy dan Siddharthan) berkumpul untuk berbual-bual dan membincangkan beberapa perkara berkaitan Kavyan dan penulis kaum India.

Uthaya Sankar SB menceritakan mengenai Baca Cerpen Kavyan serta khabar angin mengenai konspirasi untuk menggagalkannya. Uthaya turut menunjukkan salinan asal (dan asli) sejumlah e-mel antara dua individu yang terbukti bekerjasama dalam usaha menggagalkan Baca Cerpen Kavyan, menjatuhkan Uthaya Sankar SB serta memusnahkan Kavyan. Segala salinan e-mel dan kandungan SMS berkenaan diteliti oleh mereka berenam.

Apa yang menyedihkan, salah seorang daripada dua individu yang saling berbalas e-mel itu memang dikenali oleh para ahli Kavyan. Walaupun Dr Krishanan Maniam, Saroja Theavy Balakrishanan dan Uthaya Sankar SB telah cuba mendapatkan penjelasan daripada orang berkenaan, dia tidak memberi kerjasama. Malah, tidak diketahui identiti sebenar seorang lagi individu yang merupakan "kawan"nya yang berjanji untuk mengangkat individu berkenaan sebagai "Penulis Bukan Melayu Terbaik Sastera Bahasa Melayu" selepas mereka berjaya dalam konspirasi.

Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa Dr Haji Othman Puteh juga prihatin terhadap masalah yang cuba ditimbulkan oleh individu berkenaan. Beliau telah berjanji akan cuba bercakap dengan individu berkenaan untuk cuba mencungkil apa sebenarnya masalah peribadi yang dihadapi oleh individu itu.

(Dr Othman juga menyatakan minat untuk membaca mana-mana tesis serta kajian ilmiah yang dibuat terhadap karya-karya Uthaya Sankar SB; khususnya setelah seorang individu mengirim SMS kepada Uthaya dan menyatakan bahawa dia mahu menggunakan peluang menulis tesis sarjana untuk memburuk-burukkan nama serta menjatuhkan imej Uthaya. Dr Othman memberi jaminan bahawa mana-mana universiti pasti tidak akan membenarkan tesis demikian. Namun, beliau turut berjanji akan cuba bercakap dengan individu berkenaan untuk cuba mencungkil apa sebenarnya masalah peribadi yang dihadapi oleh individu terbabit.)

Akhirnya , atas nasihat Dr Krishanan Maniam (dan Dr Othman Puteh), para wakil Kavyan memutuskan supaya tidak gentar menghadapi cabaran dan rintangan. Sebaliknya, perbincangan diadakan sehingga awal pagi untuk menyusun langkah dan cara-cara menangani masalah (jika ada) yang bakal diwujudkan oleh konspirator berbabit.

Pada pagi 24 Ogos 2003, berlangsung sesi Bersama Editor Media Massa. panel terdiri daripada Luqman Hakim Quek Abdullah (Utusan Malaysia), William Chan (Utusan Sarawak), Abd Naddin Haji Shaiddin (Utusan Borneo), Rusdi Awang (Wadah; Jendela Sabah) dan Rosninah Abdul Azib (Dewan Sastera).

Forum "Keranamu Malaysia: Kepengarangan Penulis Muda dan ICT" pula menampilkan Mohamad Daud Mohamad (DBP), Sukor Husin @ Hasyuda Abadi (IPS), Poul Nanggang (Ketua Dua PUTERA) dan Faisal Tehrani (pengarang).

Pada waktu tengah hari, para peserta menaiki bas untuk lawatan dan makan tengah hari di Papar.

Majlis Jamuan Kerajaan Negeri Sabah bersama Yang diPertua Negeri Sabah berlangsung pada sebelah malam. Turut berlangsung Majlis Penutupan FSPM dan Penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi PuisiBulan Kemerdekaan 2003. 

Selepas pulang ke hotel, para penulis kaum India berkumpul di Anjung Senja untuk minum dan berbual-bual sebagai sebuah keluarga.

Pada 25 Ogos 2003, Dr Krishanan Maniam, Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, S.G. Prabhawathy dan V. Vijayaletchumy mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Wakil Kavyan terharu dengan kesediaan pihak DBP Cawangan Sabah menyediakan kenderaan khusus untuk mereka.

Sasterawan Kaum India Malaysia melawat DBP Cawangan Sabah di Kota Kinabalu

Mardiana Hj Mohd Ibno dan Melan Bujang telah membawa kelima-lima penulis kaum India melawat DBP Cawangan Sabah. Kavyan juga menggunakan kesempatan menyumbangkan buku-buku Panchayat, Vanakam dan Sasterawan Pulau Cinta ke Pusat Dokumentasi DBP Cawangan Sabah.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, kelompok penulis kaum India singgah di Bazar Filipina untuk membeli cenderamata untuk dibawa pulang ke Semenanjung Malaysia. Kain dan mutiara menjadi pilihan.

Pada sebelah petang, para peserta FSPM 2003 menuju ke lapangan terbang untuk terbang pulang. ... Sehingga berjumpa lagi dalam FSPM 2004; dengan izin Tuhan.

Kavya, Oktober 2003

* Kertas-kertas kerja Bicara Karya Pelbagai Kaum dan Ucap Utama boleh dibaca di Pejabat Kavyan

Hosted by www.Geocities.ws

1