Maklumat & Syarat Penyertaan

          

Logo Kavyan

Logo Ashwin Trading

Penganjur

Kavyan

27 Jalan 25/82-B

Taman Sri Muda

40400 Shah Alam

www.kavyan.cjb.net

Penaja

Ashwin Trading

264A-266A Jalan Tun Sambanthan

Brickfields, 50470 Kuala Lumpur

Tel: 03-22737373 (Mr. Muthu, Mrs. Geetha)

E-mel: [email protected]

Objektif

Mencungkil bakat baru dalam penulisan cerpen Bahasa Malaysia

Memaparkan budaya kaum India dalam karya sastera Bahasa Malaysia

Hadiah

Pertama

Lima Ratus Ringgit (RM500.00)

Kedua

Tiga Ratus Ringgit (RM300.00)

Ketiga

Dua Ratus Ringgit (RM200.00)

Tarikh Tutup

31 Disember 2003

Ashwin Trading - 28 December 2002

Setiausaha Kavyan, S.G. Prabhawathy (dan Devishi Prabha Sankari) bergambar kenangan bersama-sama En. Muthu dan Pn. Geetha (Ashwin Trading) semasa salah satu sesi perbincangan mengenai Sayembara di pejabat Ashwin Trading, Brickfields

      

Makluman:

Anugerah Cerpen Dr Othman Puteh

WARGANEGARA Malaysia pelbagai kaum dijemput menyertai Anugerah Cerpen Dr Othman Puteh anjuran Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia (Kavyan) yang menawarkan hadiah pertama bernilai RM500, kedua (RM 300) dan ketiga (RM 200).

Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, Anugerah Cerpen Dr Othman Puteh menggantikan Sayembara Menulis Cerpen Kavyan-Ashwin Trading 2003 yang diubah namanya bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Dr Othman Puteh (5.1.1944 - 19.10.2003) terhadap perkembangan cerpen Bahasa Malaysia.

“Allahyarham sepatutnya menjadi ketua hakim bagi sayembara berkenaan dan sebagai mengenang jasa beliau, Kavyan memutuskan untuk menamakannya Anugerah Cerpen Dr Othman Puteh,” katanya.

Uthaya berkata, Kavyan merasa pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar kerana Allahyarham baru dilantik sebagai Penasihat Kehormat Kavyan pada Mesyuarat Jawatankuasa 27 September 2003.

"Allahyarham banyak memberi motivasi dan menggalakkan kemunculan penulis baru di kalangan kaum India termasuk saya, Saroja Theavy Balakrishnan, M. Mahendran, SG Prabhawathy dan Nyanaambigai,” katanya.

Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan hampir semua penulis kaum India yang berkarya dalam Bahasa Malaysia menerima bimbingan daripada Allahyarham yang disifatkan sebagai pembimbing, guru, pakar motivasi, penasihat dan bapa penyayang kepada ahli Kavyan.

Allahyarham juga sudah menyatakan persetujuannya untuk menjadi panel pada Diskusi Karya Sasterawan Kaum India yang dijadualkan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 2003.

Uthaya berkata, cerpen untuk Anugerah Cerpen Dr Othman Puteh mestilah ditulis dalam Bahasa Malaysia dan mempunyai hubung kait dengan kaum India di Malaysia tetapi tidak boleh melanggar perlembagaan negara.

"Cerpen yang dikirim mestilah belum pernah menang sebarang hadiah dalam sebarang peraduan menulis cerpen Bahasa Malaysia peringkat nasional dan tidak pernah tersiar sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web www.othmanputeh.cjb.net,” katanya.

Berita Minggu, 26 Oktober 2003

[Baca lagi laporan akhbar di sini]

     

Syarat Anugerah:

Penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia. Tiada had umur, kaum dan agama.

Penulis yang mengirim naskhah cerpen bagi Anugerah mestilah belum pernah menang sebarang hadiah (termasuk hadiah penghargaan) dalam sebarang peraduan menulis cerpen Bahasa Malaysia peringkat nasional pada/sebelum tarikh tutup penyertaan.

Jawatankuasa Kavyan tidak layak menyertai Anugerah.

Cerpen yang dikirim mestilah karya asli tanpa ada sebarang unsur peniruan yang menjadikan karya berkenaan tidak asli.

Cerpen yang dikirim mestilah belum pernah tersiar di mana-mana sama ada secara elektronik atau bercetak. Cerpen berkenaan juga tidak boleh disiarkan di mana-mana sehingga keputusan Anugerah diumum.

Cerpen mestilah ditulis menggunakan Bahasa Malaysia dengan turut memberi perhatian terhadap penggunaan tanda baca dan ejaan yang betul.

Tema cerpen adalah bebas tetapi tidak boleh melanggar Perlembagaan Malaysia.

Cerpen perlu ada hubung kait dengan kaum India di Malaysia.

Panjang cerpen haruslah antara 1000 hingga 2000 patah perkataan sahaja dan ditaip langkau dua (double spacing) pada sebelah muka kertas putih saiz A4 menggunakan fon Times New Roman saiz 12. Naskhah cerpen bertulis tangan tidak akan dinilai.

Setiap penulis dibenarkan mengirim maksimum tiga cerpen untuk Anugerah. Bagaimanapun, setiap penulis hanya layak menang satu hadiah.

Setiap cerpen perlu dikirim dalam tiga salinan fotokopi yang terang, jelas dan mudah dibaca. Sila staple setiap salinan cerpen secara berasingan.

Nyatakan judul cerpen pada halaman pertama naskhah cerpen.

Nama dan apa-apa maklumat diri penulis tidak boleh dinyatakan pada naskhah cerpen.

Nama (seperti yang perlu ditulis pada cek jika menang hadiah), nama pena (jika ada), judul cerpen, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat rumah serta alamat e-mel perlu diisi pada borang penyertaan. [Lihat Borang]

Setiap penulis juga perlu mengirim biodata bersama borang penyertaan. [Lihat Contoh]

Naskhah cerpen perlu dikirim melalui pos menggunakan sampul surat bersaiz minimum 32 sm x 22 sm. Jangan lipat naskhah cerpen. Kiriman cerpen melalui e-mel dianggap tidak sah. Bukti pengiriman bukan bukti penerimaan.

Semua naskhah cerpen yang dikirim mesti sampai kepada penganjur pada atau sebelum 31 Disember 2003. Penyertaan lewat tidak akan dipertimbangkan.

Pengesahan penerimaan naskhah cerpen akan dilakukan oleh penganjur bagi penulis yang menyertakan alamat e-mel bersama naskhah cerpen yang dikirim. Sebagai alternatif, penulis boleh menghubungi penganjur melalui nombor telefon 013-3913278 untuk mendapatkan pengesahan penerimaan.

Naskhah cerpen yang dikirim tidak akan dikembalikan. Penulis dinasihatkan supaya menyimpan salinan asal naskhah cerpen.

Ahli Kavyan dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM1.00 bagi setiap cerpen yang dikirim. Penulis berkenaan mestilah telah menjadi ahli berdaftar Kavyan sebelum 30 Jun 2003 dan telah membayar yuran tahunan serta kekal sebagai ahli berdaftar Kavyan sekurang-kurangnya sehingga keputusan Anugerah diumum.

Ahli e-Kavyan yang bukan ahli Kavyan dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM5.00 bagi setiap cerpen yang dikirim. Penulis berkenaan mestilah telah menjadi ahli e-Kavyan sebelum 30 Jun 2003 serta kekal sebagai ahli e-Kavyan sekurang-kurangnya sehingga keputusan Anugerah diumum.

Penulis yang bukan ahli Kavyan dan/atau e-Kavyan pada/sebelum 30 Jun 2003 dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM10.00 bagi setiap cerpen yang dikirim.

Bayaran penyertaan perlulah dilakukan dalam bentuk cek/wang pos atas nama Uthaya Sankar SB (sila pastikan ejaan yang betul) dan dikirim bersama borang penyertaan dan naskhah cerpen. Bayaran penyertaan ini tidak boleh dikembalikan.  

       

[PROMOSI] [KLIK]

       

Penganjur akan melantik panel hakim yang bebas dan berwibawa untuk menilai setiap cerpen yang memenuhi syarat Anugerah. Tiga cerpen terbaik akan dipilih untuk menerima hadiah. Keputusan panel hakim adalah muktamad.

Cerpen yang terpilih akan menerima Hadiah Pertama bernilai RM500.00, Hadiah Kedua bernilai RM300.00 dan Hadiah Ketiga bernilai RM200.00 tajaan Ashwin Trading, Brickfields, Kuala Lumpur.

Keputusan Anugerah akan diumum dalam surat berita Kavya keluaran 1 April 2004. Para pemenang juga akan dimaklumkan melalui e-mel atau surat. Sebagai alternatif, penulis boleh menghubungi penganjur melalui e-mel [email protected] atau nombor telefon 013-3913278 mulai 15 April 2004 untuk mengetahui keputusan Anugerah.

Para pemenang akan menerima hadiah dalam bentuk cek selewat-lewatnya pada 30 Jun 2004.

Setiap penulis yang cerpennya memenuhi syarat dan layak dinilai dalam Anugerah akan menerima sijil penyertaan. Sijil ini akan dikirim melalui pos selewat-lewatnya pada 30 Jun 2004.

Kavyan berhak menyiarkan petikan cerpen yang memenangi Hadiah Pertama, Kedua dan Ketiga dalam surat berita Kavya.

Sekiranya penulis terbabit ingin menyiarkan cerpen yang menang Hadiah Pertama, Kedua dan Ketiga di mana-mana media, kredit perlu diberi kepada penganjur dengan mencatatkan “Anugerah Cerpen Dr Othman Puteh 2003” pada hujung cerpen berkenaan.

Bagi cerpen-cerpen yang tidak menang hadiah tetapi didapati bermutu, Kavyan akan bertindak sebagai “agen sastera” dan berusaha menyalurkan cerpen-cerpen berkenaan kepada editor akhbar/majalah untuk tujuan penyiaran. Bagaimanapun, Kavyan tidak bertanggungjawab sekiranya cerpen berkenaan tidak disiarkan oleh akhbar/majalah terbabit.

Mana-mana naskhah cerpen yang tidak mematuhi mana-mana syarat penyertaan Anugerah akan digugurkan daripada senarai cerpen yang layak dinilai.

Sekiranya selepas keputusan Anugerah diumum, didapati cerpen yang menang melanggar syarat penyertaan, maka kemenangan itu akan ditarik balik dan penulis berkenaan perlu memulangkan hadiah dan sijil yang diberikan.

Untuk keterangan lanjut, atau jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Uthaya Sankar SB melalui e-mel [email protected] atau nombor telefon 013-3913278.

24 Oktober 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1