sudah diperkatakan sejak dahulu lagi.
Pelbagai usaha gerak gempur telah dilakukan untuk membanteras dan
menangani masalah kegiatan cetak rompak ini oleh pihak-pihak yang
terbabit dalam industri ini, iaitu golongan artis dan karyawan seni. Ini
termasuklah usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak Kerajaan.
Bagaimanapun, hingga kini, kegiatan cetak rompak masih belum dapat
diatasi sepenuhnya. Malah kalau dibandingkan dengan zaman dahulu, ekoran
daripada perkembangan dan penggunaan teknologi yang semakin canggih
dalam proses pengeluaran bahan-bahan cetak rompak ini, kegiatan cetak
rompak masa kini semakin berleluasa dan sukar dibendung.
Semakin ramai pihak pengusaha yang dikenali sebagai "lanun cetak rompak"
terlibat dalam kegiatan pengeluaran dan penjualan bahan-bahan cetak
rompak, seperti cakera padat (CD) album artis tempatan dan luar negeri,
cakera padat video (VCD) dan perisian-perisian program komputer. Kini
penjualan bahan-bahan cetak rompak ini boleh dilihat di mana-mana,
terutamanya di pasar-pasar malam dan di kaki-kaki lima kedai.
Aktiviti penjualan bahan cetak rompak ini merupakan suatu jenis
perniagaan yang sangat menguntungkan bagi peniaga-peniaganya. Ini
memandangkan permintaan daripada pengguna terhadap bahan cetak rompak
ini sangat menggalakkan.
Jadi persoalannya ialah, mengapa ramai pengguna yang membeli bahan-bahan
cetak rompak ini? Walaupun pengguna sedar bahawa kualiti bahan cetak
rompak adalah rendah dan perbuatan mereka itu telah menggalakkan lagi
kegiatan cetak rompak untuk semakin berleluasa. Perbuatan pengguna ini
juga telah menyebabkan pengusaha dan pengeluar bahan-bahan yang asli
mengalami kerugian dan kehilangan pendapatan disebabkan telah dicuri
oleh lanun-lanun cetak rompak ini.
Alasan utama yang pengguna berikan apabila persoalan ini diajukan kepada
mereka adalah disebabkan harga bahan cetak rompak ini lebih murah
daripada harga bahan-bahan yang asli atau tulen. Oleh itu ramai pengguna
yang terdorong untuk membeli CD dan VCD cetak rompak. Harga CD dan VCD
tulen sangat jauh bezanya dengan yang cetak rompak. CD album artis
tempatan dan luar negeri yang asli biasanya dijual pada harga RM39.90
hingga RM45.00 seunit, sedangkan CD cetak rompak dijual pada harga
RM5.00 sahaja. Sementara harga VCD tulen pula dijual pada harga RM19.90
seunit berbanding cetak rompak RM3.00 hingga RM5.00 seunit. Perbezaan
ketara ini menyebabkan orang ramai cenderung membeli yang cetak rompak.
Pengguna berpendapat adalah rugi untuk membelanjakan wang yang banyak
dengan membeli CD dan VCD tulen, sedangkan mereka dapat menikmati CD dan
VCD cetak rompak dengan jumlah wang yang sedikit. Pengguna memberi
alasan bahawa mereka dapat menjimatkan wang perbelanjaan mereka dan ini
memberi peluang kepada mereka untuk membelanjakan wang itu untuk
keperluan-keperluan yang lain.
Justeru itu, bagaimanakah caranya supaya kegiatan cetak rompak ini dapat
dibendung dan dibanteras bagi mengelakkan ianya daripada terus
berleluasa dan merugikan industri hiburan di negara ini.
Ramai pihak terutamanya pengguna menyarankan agar harga CD dan VCD tulen
diturunkan. Memandangkan perbezaan harga yang begitu ketara, maka
penurunan harga ini akan dapat menggalakkan pengguna membeli produk yang
tulen. Syarikat rakaman dan pengeluar disarankan supaya menjual CD dan
VCD tulen ini pada harga yang lebihi murah tetapi dengan jumlah yang
banyak agar mampu memperoleh keuntungan.
Penurunan harga ini dapat mendidik pengguna untuk
membeli CD dan VCD tulen, memandangkan harga memainkan peranan penting
bagi seorang pengguna apabila membuat pilihan. Apabila harga yang
ditawarkan mampu dibeli oleh pengguna, maka pengguna akan memilih untuk
membeli yang tulen, seterusnya ini akan menyebabkan permintaan terhadap
cetak rompak akan berkurang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak akan
mengenakan kawalan harga atau menetapkan harga CD dan VCD, walaupun ada
pihak yang menyarankan agar Kerajaan bertindak demikian bagi mengatasi
masalah cetak rompak ini. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata
sebaliknya syarikat rakakman harus menetapkan harga mengikut sentimen
pasaran, bukannya menggunakan alasan kos pengeluaran yang tinggi untuk
tidak menurunkan harga. Walaupun syarikat rakaman memberi alasan bahawa
mereka terpaksa menanggung kos promosi, pengiklanan, bayaran studio dan
royalti artis, namun mereka masih mampu membuat keuntungan apabila harga
diturunkan. Biar harga murah tetapi dijual dengan jumlah yang banyak.
Kementerian percaya dengan penurunan harga pada jurang yang tidak begitu
besar dengan cetak rompak, boleh mengubah aliran dan cita rasa pengguna
kepada produk tulen.
Barangan yang menawarkan harga yang mampu
ditanggungnya dan yang dapat memberi pulangan ke atas nilai wang yang
dibelanjakannya. Sikap berjimat cermat yang diamalkan oleh pengguna juga
mempengaruhi keputusannya untuk membeli barangan yang lebih murah. Oleh
itu, pengguna cenderung membeli barangan cetak rompak kerana harganya
yang lebih murah, bukannya menyokong kegiatan cetak rompak berkenaan.
Pengguna akan menyokong dan membeli barangan tulen sekiranya harganya
diturunkan dan dijual pada kadar kemampuan mereka. Justeru itu, salah
satu langkah bijak bagi mengatasi masalah cetak rompak adalah dengan
menurunkan harga produk tulen.