Esei
Pasang surut kreativiti penyair
SEBAGAIMANA halnya dengan kegiatan
hidup manusia yang lain, kegiatan penulisan kreatif juga mengalami
pasang surut. Ada saatnya seorang penyair sangat produktif, ada pula
saatnya tidak menghasilkan apa-apa. Setelah menciptakan sejumlah karya,
ramai penyair menjadi jenuh. Dalam keadaan jenuh demikian, mereka
berhenti mencipta. Sama ada kerana desakan masa yang semakin rigid untuk
berkarya mahupun atas alasan ‘tidak ada apa-apa’ mahu ditulis.
Mungkin juga ada rangsangan-rangsangan yang masuk disimpan di benak,
tidak diwujudkan dalam bentuk karya seni. Atas alasan ini sang penyair
merasa berada di persimpangan jalan, dan sedang merencana jalan mana
yang akan dipilih.
Suatu tantangan yang tak habis-habisnya dihadapi oleh seorang
penyair ialah tantangan untuk mencipta, kerana hanya dengan mencipta
itulah dia mempertahankan keberadaannya sebagai penyair. Mencipta, bagi
penyair ialah menghasilkan sesuatu yang baru, menghasilkan sesuatu yang
belum dilakukan oleh sesiapa. Dalam setiap ciptaan itu pula unsur
kebaruan, kekhasan dan ketulenan harus ada. Dengan tidak adanya
unsur-unsur ini akan mengurangi nilai ciptaan itu dan boleh menyebabkan
penyair itu sendiri tidak puas.
Mencipta
karya sastera, berbeza dengan aktiviti sebuah industri pembuatan yang
menghasilkan barangan dari bahan mentah. Ia juga berbeza dengan kegiatan
para pereka kraftangan. Barangkali barang-barang yang dihasilkan oleh
kilang atau barang-barang kraftangan itu lebih berguna, lebih berharga,
dan lebih memenuhi keperluan daripada karya-karya yang dihasilkan oleh
penyair; namun sebagai karya seni, karya penyair itu lebih bernilai dari
barang-barang yang dihasilkan. Dalam setiap ciptaan karya sastera,
penyair dengan segala daya upayanya mengekspresikan dirinya. Tidak ada
karya seni lain yang sama dengan karya itu kerana setiap ciptaan itu
bersifat khas.
Mengingat tantangan yang dihadapi, sesungguhnya menjadi penyair
yang kreatif itu memang tidak mudah. Tidak menghairankan apabila ramai
penyair yang berhenti di tengah jalan. Ada penyair setelah menulis
beberapa buah puisi tidak pernah lagi muncul. Di suatu masa,
keupayaannya memang menyerlah. Kemudian kekosongan ini diisi pula oleh
para penyair baru yang belum tahu keberadaan mereka sampai bila.
H.B.Jasin, tokoh sasterawan terkenal pernah menyebut “penyair
yang bernafas pendek.”. Teeuw pula, ketika membicarakan penyair Sanusi
Pane mengatakan bahawa seni itu sebenarnya panjang walaupun hidup itu
pendek. Bagi penyair yang bernafas pendek hidup ini bukannya terlalu
singkat untuk melakukan kegiatan kesenian, melainkan terlalu panjang
kerana kegiatan seninya terlalu singkat.
Negeri Sabah punya ramai penyair yang baik yang memiliki
buku-buku puisi persendiriannya walaupun tidak serancak penyair-penyair
di Semenanjung. Namun demikian, fenonema pasang surut yang melanda
kehidupan telah menghalang usaha mengangkat puisi dan penyairnya sekali
gus sebagai aktivis yang gigih, juga berperanan dalam banyak hal. Ramai
penyair sudah tutup buku. Simpan mesin taip. Dan melupakan dunia sastera.
Ada yang merajuk dan mengatakan: selamat tinggal sastera, dan segala
macam walaupun ada kalanya ini hanya gimik bagi orang-orang politik
untuk menagih perhatian.
Memang wajar dipertanyakan seberapa jauhkah kesetiaan penyair
yang dimaksudkan terhadap puisi. Benarkan secara jujur mereka itu
menceburkan dirinya dalam dunia kepenyairan? Apakah mereka itu penyair
mapan atau hanya amatiran semata, hingga akhir hayat kreatifnya?
Ramai bijak pandai telah menyatakan betapa pentingnya puisi. Ada
yang menyatakan bahawa penyair adalah seorang pemikir. Dia bukan hanya
mempunyai sepasang mata yang terang dan tajam dengan otaknya yang
berfikiran tinggi, juga mempunyai pendirian dan pandangan dunia yang
tepat. Sedangkan puisi itu sendiri memberi penjelasan tentang diri
seseorang, penyair misalnya, kerana bahasa puisi berhubung erat dengan
gaya penyair, pembentukan gaya adalah berhubung dengan jumlah pengalaman
kehidupan, pemupukan kesenian, perasaan dan fikiran serta tabiat
perseorangan.
Muka
[ 1 | 2 | 3 ]
5