Biodata Hasyuda Abadi
Anak
kelahiran Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah ini merupakan anak sulung
daripada enam beradik. Dilahirkan pada 9 Rabiulawal 1380H bersamaan
dengan 1 September 1960M. Hasyuda Abadi nama pena kepada Sukor bin Usin,
amat meminati penulisan kreatif genre puisi di samping menulis cerpen,
drama dan esei sastera. Mula menulis pada 1979. Hasyuda pernah menerima
Hadiah Sastera Malaysia dalam genre puisi pada 1985 dan Hadiah Sastera
Sabah 1990 (Sajak dan Cerpen), 1992 (Sajak), 1998 (Sajak), 2000 (Sajak
dan Cerpen) dan 2002 (Sajak). Merupakan Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah pada 1987.
Pada 1995 skrip drama pentas Hasyuda berjudul ‘Takungan Bayu’
telah mendapat tempat kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas
anjuran DBP Cawangan Sabah. Hasyuda pernah menyertai Program Penulisan
Mastera (Majlis Sastera Asia Tenggara) dalam genre puisi di Jakarta pada
1997. Pada tahun yang sama Hasyuda diberi anugerah sebagai Penyajak
Terbaik Berita Sabah. Seterusnya, pada tahun 1999, Hasyuda menerima
Hadiah Tinta Sastera daripada Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS)
Karya-karya
Hasyuda banyak dimuatkan dalam kumpulan-kumpulan sajak bersama,
antaranya Sematan (GPPS,
1984), Perubahan (DBP, 1988), Siapakah
Antara Kita (DBP, 1988), Ujana
Laut Ujana Hati (DBP Sabah/MUIS, 1989), Mengenang-Mu
(DBP, 1989), Nyanyi Dari Desa
(BAHASA/ANAK SENI, 1990), Perkasihan
Musim (DBP Sarawak, 1992), Luka
Bosnia (BAHASA, 1992), Nafas
Utara Borneo (DBP Brunei, 1994), Qiam
(DBP Sabah/MUIS, 1995), Tasbih
Rindu (DBP Sabah/MUIS, 1998) dan Jauh
yang Erat (MBSS, 2000). Hasyuda juga telah merakamkan karya-karya
dalam 5 buah antologi persendirian iaitu Balada
Paduka Mat Salleh (DBP,1989), Akar
Cahaya (IPS, 1997), Datang
Kembali (IPS, 1997), Mengarca
Rahsia (IPS,2000) dan Nyanyi Asmara Angin (IPS,2001).
Pada
masa ini Hasyuda memimpin Ikatan
Penulis Sabah (IPS) sebagai Ketua Satu sejak 1998, menjadi ahli
Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS), ahli Lembaga Pengarah dan
Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES). Selain itu Hasyuda
merupakan moderator Kelab Maya Sastera Sabah (Kemsas) dan Laman Web IPS
yang dibinanya.
Maklumat lengkap mengenai Hasyuda boleh didapati melalui Laman Web
Rasminya - http://webhasyuda.tripod.com.
Hasyuda
berkahwin dengan Yau Tham Ying @ Yazidah Abdullah pada tahun 1987 dan
dianugerahi dua orang cahayamata iaitu Syahzierah dan Syahfierah.
Seorang lagi insan penting yang hidup dalam peribadi Hasyuda ialah
anak saudaranya - Muhammad Yazin.