SirahOnline KDIM | BankSoalan 

- Kerasulan
  Berkaitan :
- Perlindungan Bani Hasyim
  Lihat Juga :
- Propaganda Quraisy
- Perdebatan

  

 

PERTEMUAN PARA PEMIMPIN QURAISY DENGAN ABU THALIB

 

          Abu Thalib, bapa saudara Rasulullah SAW belum lagi menganut Islam. Tetapi beliau tetap sebagai pelindung dan penjaga anak saudaranya itu. Beliau sudah menyatakan kesediaan untuk membela Baginda. Atas dasar itu pemuka-pemuka bangsawan Quraisy, dengan diketuai oleh Abu Sufyan bin Harb, pergi menemui Abu Thalib.

          "Abu Talib," kata mereka, "anak saudaramu itu sudah memaki berhala-berhala kita, mencela agama kita, tidak menghargai harapan-harapan kita dan menganggap nenek-moyang kita sesat. Soalnya sekarang, harus engkau hentikan dia, kalau tidak biarlah kami sendiri yang akan menghadapinya. Oleh kerana engkau juga seperti kami tidak sejalan (dengan ajaran Baginda), maka cukuplah engkau dari pihak kami menghadapi dia."
 
          Akan tetapi Abu Thalib menjawab mereka dengan baik sekali. Sementara itu Rasulullah SAW tetap juga gigih menjalankan tugas dakwahnya dan semakin lama pengikut Baginda bertambah banyak.
 
          Quraisy segera berkomplot untuk menghadapi Rasulullah SAW. Sekali lagi mereka pergi menemui Abu Thalib. Kali ini mereka disertai oleh 'Umara bin al-Walid bin al-Mughira, seorang pemuda yang montok dan rupawan, yang akan diberikan kepadanya sebagai anak angkat, dan sebagai gantinya supaya Baginda diserahkan kepada mereka. Tetapi ini pun ditolak. Baginda terus juga berda'wah, dan Quraisy pun terus juga berkomplot.

          Selepas itu, untuk ketiga kalinya mereka mendatangi lagi Abu Thalib. "Abu Thalib," kata mereka, "Engkau sebagai orang yang terhormat, terpandang di kalangan kami. Kami telah minta supaya menghentikan anak saudaramu itu, tapi tidak juga kau lakukan. Kami tidak akan tinggal diam terhadap orang yang memaki nenek-moyang kita, tidak menghargai harapan-harapan kita dan mencela berhala-berhala kita, sebelum kau suruh dia diam atau sama-sama kita lawan dia hingga salah satu pihak nanti binasa."

          Berat sekali bagi Abu Thalib akan berpisah atau bermusuhan dengan masyarakatnya. Juga tidak sampai hati dia untuk menyerahkan atau membuat anak saudaranya itu kecewa. Gerangan apa yang harus dilakukannya?

          Dimintanya Rasulullah SAW datang dan diceritakannya maksud seruan Quraisy. Lalu katanya, "Jagalah aku, begitu juga dirimu. Jangan aku dibebani hal-hal yang tak dapat kupikul."

          Rasulullah SAW merenung sejenak, merenung berhadapan dengan sebuah sejarah alam wujud ini, sejarah yang sedang tertegun tidak tahu hendak ke mana tujuannya. Dalam kata-kata yang kemudian menguntai dari bibir laki-laki itu adalah suatu keputusan bagi dunia, adakah dunia ini akan sentiasa dalam kesesatan dan terus dijerumuskan, lalu datang Majusi menekan Kristian yang sudah gagal dan kacau, dan dengan demikian ajaran sesat dengan kebatilannya itu akan mengangkat kepala yang sudah lapuk dan busuk? Atau Baginda harus memancarkan terus sinar kebenaran itu, meninggikan kalimah Tauhid, membebaskan fikiran manusia dari belenggu perhambaan, membebaskannya dari rantai ilusi dan mengangkatnya ke martabat yang lebih tinggi, sehingga jiwa manusia itu dapat mencapai hubungan dengan Zat Maha Tinggi?

          Bapa saudaranya ini seolah-olah sudah tidak berdaya lagi membela dan memeliharanya. Dia sudah mahu meninggalkan dan melepaskannya. Sedang kaum Muslimin masih lemah, mereka tidak berdaya untuk berperang, tidak dapat mereka melawan Quraisy yang mempunyai kekuasaan, harta, persiapan dan tenaga manusia. Sebaliknya Baginda tidak mempunyai apa-apa selain kebenaran. Dan atas nama kebenaran sebagai pembelanya Baginda mengajak orang. Baginda tidak mempunyai apa-apa selain imannya kepada kebenaran itu sebagai perlengkapan. Terserahlah apa jadinya! Hari kemudian itu baginya lebih baik daripada yang sekarang. Baginda akan meneruskan misinya, akan mengajak orang seperti yang diperintahkan Tuhan kepadanya. Lebih baik mati membawa iman kepada kebenaran yang telah diwahyukan kepadanya daripada menyerah atau ragu-ragu.

          Kerana itu, dengan jiwa yang penuh kekuatan dan kemahuan, Rasulullah SAW menoleh kepada bapa saudaranya itu sambil berkata, "Wahai bapa saudaraku, demi Allah, kalau pun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan meletakkan bulan di tangan kiriku, dengan maksud supaya aku meninggalkan tugas ini, sungguh tidak akan kutinggalkan, biar nanti Allah yang akan membuktikan kemenangan itu ditanganku, atau aku binasa kerananya."

          Ya, demikian besarnya kebenaran itu, demikian dahsyatnya iman itu! Gementar orang tua ini mendengar jawapan Rasulullah SAW, lalu tertegun dia. Ternyata dia berdiri di hadapan tenaga kudus dan kemahuan yang begitu tinggi, di atas segala kemampuan tenaga hidup yang ada.

          Rasulullah SAW berdiri. Airmatanya terasa menyumbat kerana sikap bapa saudaranya yang tiba-tiba itu, sekali pun tidak terlintas kesangsian dalam hatinya sedikit pun akan jalan yang ditempuhnya itu.

          Seketika lamanya Abu Thalib masih dalam keadaan terpesona. Dia masih dalam kebingungan antara tekanan masyarakatnya dengan sikap anak saudaranya itu. Tetapi kemudian dimintanya Rasulullah SAW datang lagi, yang lalu katanya, "Anakku, katakanlah sekehendakmu. Aku tidak akan menyerahkan engkau bagaimanapun juga!" 
5          

 

 

 
       
Copyright � 2003 SirahOnline.cjb.net. All rights reserved.
KDIM. BankSoalan. Feedback


Hosted by www.Geocities.ws

1