JAMINAN PERLINDUNGAN KE ATAS RASULULLAH SAW OLEH BANI HASYIM DAN BANI 'ABDUL MUTHALIB
Sikap dan kata-kata tegas anak saudaranya itu disampaikan oleh Abu Thalib kepada Bani Hasyim dan Bani 'Abdul Muthalib. Dimintanya supaya Rasulullah SAW dilindungi daripada sebarang tindakan Quraisy. Mereka semua menerima usul ini, kecuali Abu Lahab. Terang-terangan dia menyatakan permusuhannya. Dia menggabungkan diri dengan pihak lawan mereka. Permintaan mereka supaya Baginda dilindungi itu sudah tentu kerana terpengaruh oleh fanatisma golongan dan permusuhan lama antara Bani Hasyim dengan Bani Umayyah.
Tetapi bukan fanatisma itu sahaja yang mendorong Quraisy bersikap
demikian. Ajarannya itu sungguh berbahaya bagi kepercayaan yang biasa
dilakukan oleh leluhur mereka. Kedudukan Rasulullah SAW di tengah-tengah
mereka, pendiriannya yang teguh serta ajarannya pada kebaikan supaya
orang hanya menyembah Zat Yang Tunggal, yang pada waktu itu memang sudah
meluas juga di kalangan kabilah-kabilah Arab, bahawa agama Allah
itu bukanlah seperti yang ada pada mereka sekarang, membuat mereka dapat
membenarkan juga sikap anak saudara mereka itu dalam menyatakan
pendiriannya, seperti yang pernah dilakukan oleh Umayyah b. Abi ash-Shalt
dan Waraqah bin Naufal dan yang lain. Kalau Baginda memang benar - dan
ini yang tidak dapat mereka pastikan - maka kebenaran itu akan tampak
juga dan mereka pun akan merasakan pula kemegahannya. Sebaliknya, kalau
tidak atas dasar kebenaran, maka orang pun akan meninggalkannya seperti
yang sudah terjadi sebelum itu. Akhirnya ajaran demikian ini tidak akan
meninggalkan bekas dalam mengeluarkan mereka dari tradisi yang ada dan
Baginda sendiri pun akan diserahkan kepada musuh supaya dibunuh.
Terhadap
gangguan-gangguan Quraisy, Rasulullah SAW dapat berlindung kepada
golongannya, seperti kepada Sayyidatina Khadijah bila Baginda mengalami
kesedihan. Bagi Khadijah, dengan imannya yang sungguh-sungguh dan
cinta kasihnya yang besar, Khadijah adalah lambang kejujuran yang dapat
menghilangkan segala kesedihan hati Baginda, yang dapat menguatkan
kembali setiap ciri kelemahan yang mungkin timbul kerana siksaan
musuh-musuhnya yang begitu keras menentangnya serta melakukan penyiksaan
terus-menerus terhadap pengikut-pengikutnya. 5