SirahOnline KDIM | BankSoalan 

- Kerasulan
  Berkaitan :
- Propaganda Quraisy
  Lihat Juga :
- Bertemu Abu Thalib
- Perlindungan Bani Hasyim

  

 

PERDEBATAN PARA PIMPINAN QURAISY DENGAN RASULULLAH SAW

 

          Ibnu Jasir meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas berkata : "Pernah pada suatu malam beberapa pemuka Quraisy seperti 'Utbah dan Syaibah bin Rabi'ah, Abu Sufyan bin Harb, seorang dari Bani 'Abdid Dar, Abul Buhtury bin Hisyam, Aswad bin 'Abdul Muthalib, Zam'ah bin Asmad, Walit bin Mughirah, Abu Jahal bin Hisyam, 'Abdullah bin Abu Umayyah bin Khalaf, 'Ash bin Wail, Nabih dan Munabbih bin Hajjaj, semuanya berkumpul di sekeliling Ka'bah. Kemudian mereka memanggil Rasulullah SAW supaya datang kepada mereka.

 

          Dengan segera Rasulullah SAW menemui mereka, kerana Baginda mengira kalau-kalau telah terbuka hati mereka. Baginda sangat sayang kepada mereka dan selalu berharap agar mereka mahu beriman. Setelah Baginda duduk di hadapan mereka, maka mereka berkata, "Hai Muhammad! Kami panggil kamu agar kamu mahu mendengarkan keluhan kami. Demi Allah, sebenarnya tak pernah tahu ada seorang 'Arab yang memasukkan suatu faham seperti yang kamu masukkan kepada kaummu. Kamu caci-maki moyang-moyang kami, kamu hinakan agama kami, kamu olok-olokkan Tuhan kami, dan kamu cerai-beraikan peraturan kami dan tidak ada sedikit pun dari kejahatan yang kamu tinggalkan. Jika memang dari apa yang kamu ajarkan itu kamu menginginkan kekayaan, maka kami bersedia mengumpulkan wang untukmu agar kamu termasuk orang yang terkaya di antara bangsa Quraisy. Jika kamu menginginkan suatu kedudukan, kami juga bersedia untuk memberi kedudukan kepadamu. Jika kamu ingin menjadi raja, kami bersedia untuk menjadikan kamu sebagai seorang raja. Namun jika kamu terkena gangguan jin, kami akan sediakan wang untuk mengubati penyakitmu sehingga kamu dapat berhenti dari apa yang kamu bawa sekarang ini."

 

          Kemudian Rasulullah SAW menjawab, "Sebenarnya aku ini tidak termasuk sedikit pun dari apa yang kamu katakan tadi. Aku membawa ajaran ini tidak mengharapkan sedikit pun dari harta kekayaanmu, kedudukan mahu pun ingin dijadikan raja. Tetapi Allah mengutusku kepadamu sekalian, aku diberikan kitab dan aku diperintahkan untuk membawa berita gembira dan peringatan. Semua perintah Allah telah ku sampaikan kepadamu. Jika kamu terima apa yang kuajarkan kepadamu maka kamu akan beruntung, di dunia mahu pun di akhirat, tetapi jika kamu enggan maka aku akan bersabar sampai Allah memberikan kepada kita keputusanNya."

 

          Kemudian jawab mereka selanjutnya, "Hai Muhammad! Jika kamu tidak mahu menerima apa yang kami tawarkan kepadamu tadi dan kamu juga tahu bahawa tidak ada orang yang lebih sempit negerinya, lebih melarat dan lebih sengsara dalam kehidupan melebihi kami. Kerana itu mohonkan kepada Tuhan yang mengutusmu untuk menghilangkan gunung-gunung yang menyempitkan ini dan meluaskan negeri kami dengan mengalirkan sungai-sungai seperti sungai-sungai yang ada di Syam dan 'Iraq. Dan mohonkan kepada Tuhanmu agar menghidupkan kembali moyang-moyang kami yang telah wafat termasuklah Qusay bin Kilab, kerana dia adalah seorang yang terpercaya. Dan kami akan menanyakan kepadanya apakah kamu ini benar atau kamu ini berdusta. Jika kamu melaksanakan permintaan kami dan mereka membenarkan kamu, maka kami akan percaya kepadamu dan kami akan percaya akan kedudukanmu di sisi Allah yang telah mengutusmu, seperti apa yang kamu katakan itu."

 

          Jawab Rasulullah SAW kepada mereka, "Bukan untuk itu aku diutus, tetapi aku datang untuk menyampaikan ajaran Allah dan aku telah sampaikan tugas itu kepada kamu. Jika kamu ikut perintah Allah itu maka kamu akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Namun jika kamu enggan, aku akan bersabar sehingga Allah menurunkan keputusanNya di antara kita."

 

          Selanjutnya mereka meneruskan tentangannya kepada Rasulullah SAW, "Jika kamu belum juga melaksanakan perintah kami tadi, mohonlah kepada Tuhanmu untuk mendatangkan seorang Malaikat yang akan membenarkan kamu di hadapan kami dan mohonlah kepada Tuhanmu untuk menjadikan untukmu kebun-kebun, gudang harta dan istana daripada emas atau perak dan segala macam keperluanmu sehingga kamu tidak lagi bersusah-payah dalam mencari nafkah di pasar seperti kami, sehingga kami tahu buktinya bahawa kamu mempunyai kedudukan di sisi Tuhanmu, jika benar-benar kamu ini termasuk orang yang diutus oleh Tuhan seperti apa yang kamu katakan."

 

          Omongan ini tetap dijawab oleh Rasulullah SAW, "Tidak untuk itu aku diutus, akan tetapi Allah mengutusku sebagai seorang yang memberikan berita gembira dan pemberi peringatan. Jika kamu mahu mengikuti apa yang aku ajarkan maka kamu akan beruntung di dunia dan di akhirat, namun jika kamu enggan, aku akan bersabar hingga Allah akan memberikan keputusanNya kepada kita."

 

          Kemudian mereka berkata selanjutnya, "Kami mohon kepadamu agar kamu menjatuhkan langit di atas kami, sebagaimana kamu katakan bahawa Tuhan akan berbuat bila Dia berkehendak, dan kami tidak akan percaya kepada kamu sehingga kamu melaksanakan permintaan kami."

 

          Jawab Rasulullah SAW, "Kelak Allah akan melaksanakan apa yang kamu minta itu."

 

          Ucapan Rasulullah SAW itu dijawab, "Hai Muhammad! Tidakkah Tuhanmu itu tahu bahawa kami sekarang sedang duduk bersama kamu untuk mempersoalkan persoalan yang kami ajukan kepada kamu dan Tuhan melaksanakan apa yang kami ajukan itu, atau memberitahu kepada kamu apa yang akan dilaksanakan olehNya, kalau kamu tidak melaksanakan apa yang kami minta itu, kami tidak akan percaya kepada kamu. Demikian pula kami juga mendengar bahawa kamu ini diajari oleh seorang dari Yamamah yang bernama "Rahman", demi Allah kami tidak akan mahu percaya dengan "Rahman". Hai Muhammad, demi Allah kami tidak akan membiarkan kamu dan segala macam apa yang kamu perbuat kepada kami sampai kami binasa atau kamu yang binasa."

 

          Di antara mereka ada yang berkata, "Sesungguhnya kami menyembah malaikat kerana mereka adalah puteri Allah."

 

          Sebahagian yang lain ada yang berkata, "Kami tidak akan percaya kepada kamu sebelum kamu mendatangkan Allah dan malaikatNya."

 

          Mendengar omongan ini semua, akhirnya Rasulullah SAW bangkit meninggalkan mereka dan mengikut di belakang Baginda ialah 'Abdullah bin Abi Umayyah sambil mengejek Baginda, "Hai Muhammad! Kaummu telah menawarkan kepadamu sesuatu, tapi tawaran mereka itu kamu tolak. Kemudian mereka meminta kepadamu suatu bukti untuk menunjukkan kedudukan kamu di sisi Allah namun kamu juga tidak dapat melaksanakannya. Akhirnya mereka minta kepadamu agar kamu mempercepatkan datangnya seksaan seperti yang kamu janjikan itu, hal ini pun kamu tidak dapat melaksanakannya. Berdasarkan itu semua maka ketahuilah bahawa aku tidak akan percaya kepadamu sampai kamu mendatangkan suatu tangga, kemudian kamu naik ke langit dan kamu datangkan sebuah lembaran kitab suci beserta empat orang malaikat yang menyaksikan akan kebenaran apa yang telah kamu katakan itu. Demi Allah walaupun kamu dapat melaksanakan hal itu semua, aku takkan mempercayaimu sedikit pun."

 

          Setelah mengejek sedemikian itu, kemudian 'Abdullah bin Abi Umayyah pergi dan Rasulullah SAW pun pulang dengan perasaan yang sedih sekali atas perlakuan kaumnya dan keengganan mereka untuk menerima ajakan Baginda itu. 3        

 

 

 
       
Copyright � 2003 SirahOnline.cjb.net. All rights reserved.
KDIM. BankSoalan. Feedback


Hosted by www.Geocities.ws

1