Template

© Hak Terpelihara Simpulan Bahasa.Com
kemaskini:

: Definisi :

Apabila diteliti benar-benar akan Bahasa Melayu, kelihatan terdapat pelbagai unsur keindahan. Salah satu aspek keindahan itu terbit daripada simpulan bahasa yang terdapat dengan banyaknya. Simpulan bahasa merupakan satu peninggalan nenek moyang kita. Ia merupakan ungkapan yang telah mantap dan mempunyai maksud yang khusus serta berbeza daripada makna harfiah kata-kata dalam ungkapan tersebut.

Kamus Dewan mendefinisikan simpulan bahasa sebagai "ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mengandungi makna yang berlainan daripada erti perkataan yang membentuknya."

Mengikut Za'ba, simpulan bahasa ialah "rangkaian perkataan yang telah tetap tersimpul atau terbeku dengan susunan yang khas dan dipakai dengan erti yang khas berlainan daripada asalnya."

: Konsep :

Simpulan bahasa dikategorikan sebagai salah satu sub-kumpulan peribahasa yang sangat menitikberatkan aspek kehalusan bahasa selain sub-kumpulan lain seperti perumpamaan, pepatah atau perbilangan dan bidalan; manakala kiasan dan metafora tidak termasuk dalam kategori ini. Pada umumnya, simpulan bahasa mengandungi falsafah hidup dan nilai moral yang tinggi. Oleh itu, ia dapat digunakan sebagai pedoman hidup dan sering digunakan sebagai teladan dan pengajaran untuk menghiasi karangan dan percakapan. Malahan setiap simpulan bahasa membayangkan hati naluri orang-orang Melayu yang penuh dengan budi pekerti dan juga ketatatertiban dalam kehidupan mereka.

: Asal - Usul :

Keinginan untuk mengajar dan menegur secara halus memang telah lama menjadi teras kehidupan orang-orang Melayu. Di samping itu keeratan masyarakat Melayu dengan alam semulajadi dan juga dengan setiap sesuatu objek di dalam dunia mereka tidak dapat dinafikan. Sebagai contoh ialah "khabar angin", "jinak-jinak merpati", dan "diam ubi".

Setiap simpulan bahasa mengambil unsur alam sekitar, yakni gejala yang wujud di sekeliling kehidupan manusia Melayu. Setiap simpulan bahasa juga memperlihatkan unsur ketajaman fikiran manusia Melayu, kerana di sebalik kata-kata yang diungkapkan itu lahir maknanya tersendiri, yang sangat tajam maksudnya dan indah pula bunyinya. Dunia Melayu yang menghasilkan simpulan bahasa ialah dunia Melayu di desa di kawasan yang unsur-unsur utamanya ialah binatang (ternakan dan liar) dan tumbuh-tumbuhan. Simpulan bahasa yang digubal memperlihatkan hakikat ini. Ciri-ciri unsur alam ini digunakan untuk menyampaikan maksud tertentu, yang sedia difahami oleh anggota masyarakat.

Sebagai contoh, daripada binatang-binatang ternakan lahir simpulan bahasa seperti "kaki ayam", "alim kucing", dan "jinak-jinak merpati". Daripada tumbuh-tumbuhan pula, terbit "durian runtuh", "tangkai jering," dan "bau bacang", dan unsur alam sekitar lain menghasilkan "juling air", "hati batu", "bodoh sepat", dan "bunting padi".

Selain itu, terdapat sekumpulan simpulan bahasa yang terbina dengan mengambil unsur-unsur umum yang lazimnya terdapat di persekitaran hidup sehari-hari. Antaranya "buku lima", "mandi peluh", "kutu embun", "Pak turut", "serkap jarang", "hitam manis", "bertikam lidah", "merah padam", "mengikut telunjuk", dan "kayu tiga". Kesemua ini menggambarkan sifat-sifat tertentu yang apabila disebut dengan senang difahami oleh pendengarnya.

Menurut Za'aba, terhasilnya simpulan bahasa adalah dengan berdasarkan empat perkara iaitu:

  1. Daripada perbandingan atau kiasan dengan cerita yang masyhur. Contoh: Abu Jahal, Mat Jenin, Lebai Malang dan sebagainya.
  2. Daripada benda atau kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Contoh: mandi kerbau, mata duitan, kutu embun dan sebagainya.
  3. Daripada kepercayaan orang ramai Contoh: harimau berantai, buruk siku, dimakan bulan dan sebagainya.
  4. Daripada kebiasaan atau resaman bahasa. Contoh: ada hati, gila bahasa, beri muka dan sebagainya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai format terkini kertas peperiksaan UPSR Bahasa Melayu. Masuk
Hosted by www.Geocities.ws

1