  |
LATAR BELAKANG KUANTAN
Sejarah Pembukaan Kuantan
Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun
1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai
penempatan. Sistem berkerajaan tempatan mula dilaksanakan di Kuantan
pada 1 Ogos 1913 dengan penubuhan Kuantan Sanitary Board yang
bertanggungjawab terhadap kawalan kebersihan, kesihatan dan kawalan
pembangunan. Pada tahun 1937, Kuantan Sanitary Board telah digantikan
dengan Lembaga Bandaran Kuantan (Kuantan Town Board). Setelah hampir 16
tahun berada di bawah sistem ini, Lembaga Bandaran Kuantan telah
dinaiktaraf kepada Majlis Bandaran Kuantan (Kuantan Town Council)
dengan kawasan pentadbiran seluas 16 km persegi sahaja iaitu tertumpu
kepada Mukim Kuala Kuantan.
Pada 1 September 1979 sekali lagi, Majlis Bandaran Kuantan dinaiktaraf
kepada Majlis Perbandaran Kuantan (Kuantan Municipal Council)
berasaskan Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) yang kekal hingga ke hari
ini. Keluasan kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan telah
diperkembangkan kepada 324 km persegi yang meliputi empat mukim iaitu
Kuala Kuantan, Ulu Kuantan, Beserah dan Sungai Karang. Kawasan ini
merupakan 10% daripada keluasan keseluruhan bandar Kuantan. Daripada
keluasan tersebut, 20% merupakan kawasan bercukai yang diberikan
perkhidmatan perbandaran manakala bakinya merupakan kawasan pembangunan.
Lokasi
Kuantan terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia di antara garis
lintang 3° 49' 0" di utara dan garis bujur 102° 20' 0" di timur. Di
bahagian timur ialah Laut Cina Selatan dengan panjang kawasan pantai 56
km (35 batu). Di sebelah barat ialah Daerah Maran dan Jerantut, di
utara ialah Negeri Terengganu dan di selatan ialah Daerah Pekan. |
|
|