Berkarya Ikut Keserasian

Raja Rajeswari tidak kekok berkarya dalam Bahasa Malaysia

Oleh: Al-Abror Mohd Yusuf

       

Sesungguhnya  memang banyak boleh  terhasil daripada kecintaan dan keindahan. Pada asasnya, jiwa seni Raja Rajeswari Seetha Raman akrab dengan sesuatu yang indah. Asalkan sesuatu  itu ada nilai estetikanya, kata beliau, akan adalah keserasian pada dirinya.

Itu pada peringkat awal. Ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM), dia mendapat  bimbingan secara langsung  daripada penulis tersohor Dharmawijaya. Pada masa yang sama Raja Rajeswari turut menyedari bahawa dalam sejarah kesusasteraan,  penulis kaum India turut memberi sumbangan dalam perkembangan seni dengan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai  medium perantaraan.

“Tiada salahnya bagi kaum India membabitkan diri dalam dunia kesusasteraan negara kerana dari segi sejarahnya, ia dimulakan lama  sebelum Malaysia merdeka seperti yang dibuktikan oleh karyawan yang berasal dari Parit Buntar, Perak bernama Nagalingam,” katanya.

Pada  waktu itu, Nagalingam menghasilkan cerpen berjudul “Cerita Orang Yang Tidak Menerima Syukur” yang dianggap membawa erti besar dalam perkembangan cerpen Bahasa Malaysia.  

KLIK di SINI untuk maklumat lanjut Sayembara Menulis Cerpen Kavyan-Ashwin Trading 2003

Menurut Raja Rajeswari, pembabitan Nagalingam memberi dorongan serta  menyediakan tapak kukuh bagi perkembangan seterusnya di kalangan penulis kaum India di negara ini.

[Baca lagi di sini]

Selepas negara mencapai kemerdekaan, muncul penulis kaum India yang lebih komited  dalam penulisan kreatif seperti Joseph Selvam, N.S Maniam, A.Nagappan, P. Palaniappan, Ignatius Dev serta G.Soosai.

Dengan hakikat itu, Raja Rajeswari menceburi pelbagai bidang penulisan, walaupun mengakui lebih senang menghasilkan puisi berbanding cerpen.

Alasannya, karya seumpama itu agak kurang menjerihkan serta mudah disampaikan kepada khalayak.

“Penulis kaum India juga banyak yang tertumpu kepada penulisan cerpen. Saya  cuba mengisi kekurangan itu dengan menghasilkan puisi serta mendeklamasikannya jika ada kesempatan,” katanya yang pertama kali muncul dalam Ratib Seribu Syair anjuran  Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) pada November 2001.

Melalui pengalaman dan minatnya yang mendalam terhadap ilmu, Raja Rajeswari juga mampu menguasai  Bahasa Perancis  sama ada untuk tujuan komunikasi  lisan atau bersurat.

Tidak cukup dengan pendidikan formal yang yang diikutinya di alam pembelajaran, Raja Rajeswari tidak kenal jemu menghadiri banyak program kesusasteraan seperti Bengkel Deklamasi Puisi Artistik anjuran Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka, wakil guru dari Selangor untuk program Perkampungan Penulis Muda Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2002, Seminar Antarabangsa Pantun  dan Festival Sastera  Perpaduan Malaysia sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan yang ke-45.  

Klik di SINI untuk maklumat lanjut Diskusi Karya

Lebih menarik, latar belakang dan pegangan Raja Rajeswari tidak menghalangnya menulis mengenai kehebatan Islam. Dengan penggunaan bahasa dan perlambangan yang tidak janggal, dia mampu membicarakan pelbagai aspek ketuhanan serta kejadian alam.

Satu daripada rencana yang  pernah ditulis dan disiarkan dalam majalah Islam, secara khusus membincangkan sumbangan penulis kaum India dalam penghasilan sajak bernada Islam.

[Baca rencana berkenaan di sini]

Baginya, hidup perlu diharungi “dengan keimanan, keyakinan, dengan semangat yang kental serta sentiasa bersyukur kepada Ilahi”.

Untuk meneruskan kesinambungan penghasilan karya di kalangan kaum India, Raja Rajeswari juga aktif berkongsi ilmu dengan masyarakat.

Selain aktif dalam Persatuan Penulis Kaum India Malaysia   (Kavyan), dia juga rajin memberi bimbingan untuk penulis muda seperti yang dilakukan dalam program Bengkel Karyawan Muda di Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya.

“Cabaran yang dihadapi ketika ini adalah untuk memantapkan lagi kualiti karya supaya tidak lagi dilabel sebagai  penulis kaum India atau penulis Bukan Melayu, sebaliknya diiktiraf sebagai penulis Malaysia,” katanya.

Metro Ahad, 9 Februari 2003

Kavya, Mac 2003

Send your FEEDBACK to Raja Rajeswari Seetha Raman

Hosted by www.Geocities.ws

1