Ceramah Penghayatan Sastera

Seramai 45 ahli Persatuan Bahasa Tamil, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong telah mengikuti Ceramah Penghayatan Sastera di sekolah berkenaan pada 26 April 2003. Ceramah disampaikan oleh Presiden Kavyan dan Sasterawan Bahasa Malaysia, Uthaya Sankar SB yang diundang khas oleh penganjur.

Acara bermula tepat pukul 8:30 pagi sebagaimana yang dijanjikan. Encik Anbarasu dalam ucapan alu-aluan beliau memuji minat yang ditunjukkan oleh para peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu dan Dua serta beberapa pelajar Tingkatan Empat dan Lima.

"Anda perlu ingat bahawa anda semua sangat beruntung berbanding rakan-rakan anda yang tidak menghadiri aktiviti ini," kata beliau. "Bukanlah mudah untuk mendapat peluang bertemu dan berkongsi pengetahuan dengan seorang sasterawan terkemuka."

"Kita perlu ingat bahawa Persatuan Bahasa Tamil tidak semestinya mengadakan aktiviti berkaitan Bahasa Tamil sahaja. Kita berbangga kerana berpeluang menjemput saudara Uthaya Sankar SB yang merupakan sasterawan yang disegani di negara kita," tambah Encik Anbarasu.

Beliau turut mengingatkan para peserta bahawa sumbangan penulis kaum India dalam sastera bahasa kebangsaan bukan sesuatu yang baru. Munsyi Abdullah yang dinobatkan sebagai Bapa Kesusasteraan sebenarnya pengarang kaum India. Sumbangan beliau memang tidak boleh dipertikaikan.

Encik Anbarasu turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa penulis kaum India yang aktif menulis karya bahasa kebangsaan pada tahun 1960-an dan 1970-an; khususnya selepas istilah "Bahasa Malaysia" diperkenalkan.

"Bagaimanapun," kata beliau, "kewujudan penulis kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia tidak terasa pada akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an. Hanya pada akhir 1980-an dan awal 1990-an muncul dua pengarang yang berjaya mengangkat martabat karya sastera Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India."

Ternyata Encik Anbarasu memiliki pengetahuan luas dan mendalam mengenai topik yang beliau berkatakan. Ucapan beliau juga mampu memberi motivasi kepada para peserta untuk turut terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia.

Seterusnya, Puan Raja Rajeswari Seetha Raman menceritakan serba-sedikit mengenai latar belakang penulisan Uthaya Sankar SB. Sebagai salah seorang rakan kepada sasterawan serta pengkaji karya-karya sasterawan berkenaan bagi tujuan tesis sarjana, Puan Rajes mampu memberi penjelasan yang amat mendalam.

"Uthaya Sankar SB tidak pernah mementingkan diri sendiri dalam bidang penulisan. Beliau sentiasa cuba membimbing bakat-bakat baru melalui pelbagai aktiviti Kavyan. Jadi, anda semua harus menggunakan sebaik-baiknya peluang ini untuk menimba ilmu daripada beliau," kata Puan Rajes yang juga merupakan guru Bahasa Malaysia di sekolah berkenaan.

"Sasterawan ini berjaya menggambarkan permasalahan hidup dan citra budaya kaum India dengan penuh jaya dalam karya sastera Bahasa Malaysia untuk tatapan umum. Malah setiap karya beliau saling berkaitan dan amat menarik untuk dikaji atau sekadar dibaca dengan penuh minat," beliau menyimpulkan.

Guru Penasihat, Puan Thava pula dalam ucapan ringkas beliau melahirkan rasa gembira dan terhutang budi atas kesudian Uthaya Sankar SB memenuhi undangan memberi ceramah.

"Mungkin satu cara untuk kita membalas budi beliau adalah dengan memberi tumpuan pada ceramah beliau serta cuba menulis karya bermutu," kata beliau kepada para peserta.

Uthaya Sankar SB memulakan ceramah pada pukul 9:00 pagi; sebagaimana dijadualkan. Beliau bercakap menggunakan Bahasa Tamil, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Beliau bermula dengan bertanyakan sama ada para peserta berminat membaca karya sastera dan/atau menulis karya sastera.

"Kalau anda tidak mahu menjadi penulis pun tidak mengapa," kata beliau kepada para peserta. "Asalkan selepas ceramah ini, anda berminat membaca karya sastera, itu sudah memadai. Tapi tentulah lebih baik jika muncul sekurang-kurangnya seorang penulis daripada kumpulan ini."

Topik yang diperkatakan adalah mengenai unsur-unsur sastera iaitu hiburan, emosi, imaginasi, didaktik, teknik dan intelek. Penceramah mengambil contoh daripada beberapa filem Tamil terbaru untuk memudahkan para peserta memahami dan menghayati makna setiap unsur yang diperkatakan.

"Saya harap penerangan mengenai unsur-unsur sastera ini akan membantu anda menghayati teks komponen sastera serta memudahkan anda menjawab soalan peperiksaan," Uthaya Sankar SB menyatakan.

Pada peringkat awal, para peserta kurang terlibat. Keadaan ini berlaku bukan kerana mereka tidak berminat. Sebaliknya adalah kerana masing-masing kagum dan hormat pada sasterawan yang hadir sebagai penceramah. Tambahan, beliau juga seorang pensyarah kolej swasta.

Bagaimanapun, keupayaan penceramah menyelitkan unsur hiburan membuatkan para peserta lebih yakin dan tidak teragak-agak untuk terlibat dalam sesi ceramah. Mereka mula terlibat secara aktif dengan sama ada bertanya soalan atau menjawab pertanyaan penceramah.

Waktu rehat dan minum pagi pada pukul 10:00 pagi. Ceramah disambung pada pukul 10:30 pagi. Para peserta pula telah meluangkan masa membaca bahan-bahan yang diedarkan lebih awal. Edaran termasuk maklumat ringkas sasterawan kaum India, cerpen "Kathakali", cerita bersiri "Perjuangan Berterusan", biodata Uthaya Sankar SB, sajak tiga bahasa karya Uthaya Sankar SB dan teks bertajuk "Saya Bukan Penulis Tamil".

Pada sesi kedua, penceramah mula menguji hasil ceramahnya sebelum ini. Ternyata para peserta berminat untuk turut menulis karya sastera (sajak dan cerpen). Secara spontan, Uthaya Sankar SB mencadangkan supaya Persatuan Bahasa Tamil menerbitkan surat berita.

Saranan itu mendapat sambutan daripada para peserta. Masing-masing bersedia menyumbangkan bahan bagi surat berita tersebut yang dijangka boleh siap menjelang bulan Ogos 2003.

Uthaya Sankar SB turut mengundang para peserta menyumbangkan bahan bagi surat berita Kavya dan majalah NILA. Malah, beliau juga sedia menjadi agen sastera untuk menyalurkan karya yang sesuia ke media cetak yang sesuai.

"Bagaimanapun, pastikan karya yang dikemukakan adalah asli tanpa ada sebarang unsur peniruan yang menjadikan karya itu tidak asli," beliau mengingatkan secara tegas.

Penceramah turut membicarakan mengenai kelebihan dan keistimewaan kelompok sasterawan kaum India. Turut dibincangkan tujuan seseorang ingin menjadi penulis. Uthaya Sankar SB juga memberikan alamat (link) beberapa laman web yang sangat berguna untuk rujukan para peserta.

Seterusnya para peserta diberi tugas berkumpulan. Setiap kumpulan diminta meneliti cerpen "Kathakali" atau cerita bersiri "Perjuangan Berterusan" dan mengemukakan komen berdasarkan perkara-perkara yang telah mereka pelajari dalam ceramah.

Rata-rata para peserta mempamerkan penghayatan yang membanggakan. Mereka mampu membicarakan teks kajian dengan cukup menarik. Jadi, tidak sia-sialah ceramah yang dianjurkan. Pelajar kaum India yang menyertai ceramah ini juga diyakini akan lebih meminati komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.

Encik Anbarasu dalam ucapan penutup mengulas bahawa sepanjang Uthaya Sankar SB mengendalikan ceramah - serta semasa perbualan di luar waktu ceramah - istilah yang digunakan apabila merujuk pada bahasa kebangsaan adalah "Bahasa Malaysia".

"Penelitian ini membuktikan bahawa beliau memang pencinta dan pejuang Bahasa Malaysia. Uthaya Sankar SB juga harus menjadi contoh kepada anda semua bahawa Bahasa Malaysia adalah milik semua rakyat di negara ini," ulas beliau.

Acara tamat pada pukul 12:30 tengah hari. Para peserta tidak melepaskan peluang mendapatkan autograf sasterawan. Mereka juga melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu seorang sasterawan yang terkenal dan disegani.

Turut diadakan sesi bergambar bersama guru-guru, penceramah dan para peserta ceramah. Beberapa peserta turut memberi hadiah kepada penceramah.

"Saya benar-benar terharu," kata Uthaya Sankar SB. "Para peserta ini tidak mengenali saya sebelum ini tetapi mereka membawa hadiah untuk saya. Saya benar-benar terharu."

Secara keseluruhan, ceramah yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Tamil, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong berjaya mencapai objektif. Para peserta berpeluang bertemu dan menimba ilmu daripada sasterawan. Mereka juga ternyata lebih berminat untuk membaca karya sastera Bahasa Malaysia. Mereka juga bersemangat untuk menghasilkan surat berita persatuan.

Tidak mustahil akan lahir penulis muda daripada kelompok ini dalam masa terdekat!

Kavya, Mei 2003

ArahKiri, 15 Mei 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1