Cerita Bersiri - Bahagian Satu

Perjuangan Berterusan

Wartawan: Gayathry

Sasterawan: Uthaya Sankar SB

         

Suara tangisan anak-anak membuatkan hati Chellam sayu. Dia tahu bahawa mereka menangis kerana lapar. Tapi apa yang boleh dia buat? Mana ada duit untuk membeli beras dan barang makanan.

Sambil ditemani suara tangisan anak-anak, Chellam terkenangkan masa silam. Dia lahir dan membesar di estet. Keluarganya susah. Kedua-dua ibu bapa bekerja di estet. Chellam juga terpaksa bekerja keras untuk keluarga.

Namun, di hati siapa tidak ada cinta? Chellam mula bercinta dengan seorang pemuda yang tinggal di estet yang sama. Waktu bercinta sungguh indah. Chellam dan Selvam lupa tentang segala masalah hidup. Mereka mahu hidup bahagia.

Akhirnya ibu bapa Chellam dapat tahu mengenai percintaannya. Mereka langsung tidak setuju Chellam bercinta dengan Selvam.

“Jangan malukan nama keluarga. Awak sudah pandai bercinta, ya? Berani awak rosakkan nama keluarga!” tengking bapanya. “Awak jangan lupa bahawa kita miskin. Jangan terikut-ikut dengan apa yang awak tengok dalam filem.”

“Kalau terjadi apa-apa yang tak baik, siapa akan malu?” tanya emak pula.

Ibu bapa Chellam tidak membenarkan dia bertemu Selvam. Mereka tidak suka Chellam berkahwin dengan Selvam. Akhirnya, mereka berdua mengambil keputusan kahwin lari.

Chellam termenung memikirkan pengalaman itu. Semua itu berlaku lama dulu. Dia terikut-ikut perasaan cinta dan lari dari rumah. Tetapi apa gunanya menyesal sekarang?

“Mak, saya sangat lapar,” kata anak sulungnya, Kavita.

Chellam terharu. Dia boleh menahan lapar tapi macam mana anak-anak kecil itu boleh tahan lapar? Tapi apa yang boleh dia beri untuk mereka makan?

Suaminya, Selvam, memang tidak boleh diharap. Dia memang tidak bertanggungjawab. Dia tidak kisah anak-anak makan atau tidak.

Apabila memikirkan hal itu, Chellam mula menangis. Dia terkenangkan semula kisah lama. Kisah selepas dia berkahwin dengan Selvam.

Hanya selepas berkahwin, barulah Chellam tahu perangai sebenar Selvam. Rupa-rupanya dia penagih dadah. Dia juga kaki botol. Selvam selalu menghabiskan duit membeli dadah dan arak.

“Sejak bila attan ada tabiat buruk ini?” tanya Chellam dengan sangat hairan dan terkejut.

“Saya memang sudah lama ada tabiat ini. Tapi apa awak kisah? Awak masih cintakan saya, bukan? Kita sudah pun kahwin. Sekarang awak isteri saya. Awak jangan pandai tanya soalan pada saya. Saya adalah suami awak!” Selvam memberi amaran.

Chellam hanya dapat menyesal memikirkan apa yang berlaku. Dia tidak pernah menyangka suaminya seorang penagih dadah dan kaki botol. Nampaknya cinta adalah buta. Chellam dilamun cinta dan dia tidak sedar tabiat buruk Selvam.

“Benar kata suami saya. Saya adalah isterinya. Saya mesti berusaha menukar perangai buruk itu,” kata Chellam dalam diri. Dia mahu berusaha memulihkan suaminya. Dia mahu Selvam menjadi seorang manusia yang berguna.

Chellam ketawa memikirkan semua kisah silam yang berlaku lama dulu. Anak-anaknya masih menangis kelaparan dan dia pula ketawa. Dia mengetawakan diri sendiri. Dia mengenangkan kebodohannya di masa lalu. Dia telah bertekad mahu mengubah sikap suaminya tetapi tidak berjaya. Dia gagal.

Hari berganti hari dan tahun berganti tahun. Selvam dan Chellam sudah ada dua anak perempuan. Tapi sikap Selvam masih tidak berubah. Malah, Selvam tidak bekerja. Dia terlalu asyik menghisap dadah dan minum arak.

Chellam pula terpaksa bekerja keras untuk mencari wang. Dia perlukan wang untuk membeli susu tepung. Walaupun dia mengandung, dia masih perlu kerja keras. Dia memang penat dan sakit tetapi apa boleh buat?

Pada masa itu, Chellam dan Selvam tinggal di rumah emak Selvam. Emak Selvam memang tidak sukakan Chellam. Jadi, dia selalu memaki Chellam. Apa sahaja yang dia buat, mesti salah.

Chellam juga dipukul dan dimarahi oleh emak mentua. Dia sangat sedih. Tetapi dia tidak boleh mengadu kepada sesiapa. Chellam telah lari dari rumah dan berkahwin dengan Selvam. Jadi, dia tidak ada sesiapa untuk mengadu.

Suaminya pula seorang yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak kisah tentang isteri dan anak-anak. Apa yang penting bagi Selvam adalah dadah dan arak. Dia juga mahu Chellam melayaninya dengan mesra pada setiap malam.

“Mengapa nasibku begini malang? Apakah dosaku? Adakah ini balasan kerana aku lari dari rumah? Kenapa cinta kelihatan indah tetapi sebenarnya membawa penderitaan?” Demikian Chellam selalu bertanya pada diri sambil menangis.

Penderaan oleh emak mentua menjadi lebih teruk semasa Chellam mengandung anak keempat.

“Tak guna! Tahu lahirkan anak saja. Semuanya anak perempuan pulak. Memang anak perempuan tak guna,” wanita tua itu memarahi Chellam. “Awak semua membazir wang saya saja. Kalau awak semua terus tinggal di rumah ini, saya akan menjadi miskin. Saya terpaksa meminta sedekah di jalan raya.”

Oleh kerana tidak tahan dengan makian dan penderaan emak mentua, Chellam menasihatkan Selvam supaya mereka keluar dari rumah itu. Tetapi sebelum mereka sempat mencari rumah baru, emak Selvam menghalau mereka keluar.

Tangisan anak-anak mengejutkan Chellam daripada lamunan. Dia mengesat pipi yang basah. Dia tahu bahawa anak-anaknya lapar. Dia tidak boleh membiarkan mereka terus menangis.

Chellam keluar dari rumah. Dia pergi ke longkang yang kotor di tepi rumah. Ada kangkung liar di sana. Chellam memetik kangkung itu. Dia membersihkan sayur itu dan memasaknya.

Hanya kangkung itulah yang menjadi makanan mereka anak-beranak pada hari itu. Tapi untuk berapa hari lagi anak-anaknya boleh makan kangkung sahaja?

Kisah perjuangan Chellam dan anak-anaknya belum berakhir. Adakah perderitaan mereka akan berterusan?

... bersambung dalam keluaran akan datang

         

Bahagian Pertama Cerita Bersiri Perjuangan Berterusan disiarkan dalam majalah NILA keluaran 15 April 2003 dan Kavya keluaran Mei 2003. Bahagian kedua boleh dibaca dalam NILA keluaran 1 Mei 2003. Majalah NILA terbit pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan. Harga: RM1.50. Hubungi [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai majalah NILA atau layari laman web www.neela.cjb.net

 

Hosted by www.Geocities.ws

1