Esei
Namun
begitu apa yang diutarakan terlalu remeh temeh. Tidak adakah persoalan
baru yang lebih berfaedah diperkatakan, dibahas, dihujah dan diperoleh
pemikirannya. Kita merasakan betapa sempitnya ruang legar untuk sebuah
atau beberapa buah persoalan terkini menjadi bahan perdebatan.
Sepatutnya pada masa ini kita tidak lagi berbicara tentang penulis yang
hilang. Kita tidak juga harus bercakap mengenai royalti atau honororium.
Kita tidak lagi menghujahkan penulis-penulis yang kampungan yang tidak
mampu keluar daripada kepompong peribadi, menulis seadanya, tidak
menulis isu-isu yang besar, hal-hal yang global dan mencabar. Kita harus
berpandangan terbuka. Melihat isu daripada pintu yang luas bukan lewat
lubang dinding. Ertinya kita hanya mampu mengintai tetapi tidak
menyatakan berlakunya kepaduan pemikiran walaupun ia bermula daripada
sebuah cerpen yang remeh temeh atau bait-bait puisi yang langsung.
Bukan
bermaksud tidak menghargai pandangan orang lain tetapi menyatakan
sesuatu yang lumrah itu tidak akan membantu apa-apa pun. Memang ada juga
baiknya jika niat yang tersirat itu akan menambahbaik gerakan sastera
dan bahasa bangsa kita. Tetapi sekiranya hasrat yang sebenarnya hanyalah
sekadar memanaskan gelanggang lebih baik pengisiannya itu dipenuhi
dengan wacana yang lebih bermakna. Kita berikan ruangan untuk
membahaskan karya-karya sastera kita. Kita pelawa penulis yang berwibawa
ke dalam. Kita adakan perjumpaan untuk mengagih-agihkan tugasan. Kita
boleh lakukan dengan cara yang lebih berkesan dan terancang. Saya fikir
penulis memerlukan ruang yang lebih untuk menyalurkan bahasan pemikiran
mereka. Pihak media massa khususnya editor sastera di surat-surat khabar
harus komited dalam penyediaan ruangan ini. Bukan asal ada sahaja. Bukan
ala kadar saja. Peranan mereka amat besar. Tidak mengapa penulis tidak
diberikan apa-apa tetapi memadailah ruang yang tetap disediakan. Penulis
menyimpan mata pena mereka atau menutup suiz komputer mereka tetap
beralasan. Mereka hilang juga beralasan. Mereka timbul semula juga
beralasan. Sesiapapun tidak boleh melontarkan pertanyaan itu dan ini
kerana apapun punca graf sastera kita yang tidak menentu mempunyai
alasan yang tersendiri. Begitu juga dengan kedudukan penulis. Mungkin
kita tersilap meletakkan kedudukan seseorang tokoh itu di persada
sastera kita walaupun sebenarnya dia tidak memiliki sebarang bahan bercetak yang meyakinkan kita sendiri.
Perubahan
sikap tidak hanya ditekankan kepada sebelah pihak semata-mata. Selain
penulis kita juga mengharapkan perubahan yang sama di kalangan pengurus
sastera itu sendiri. Pengurus sastera wajar menjalinkan hubungan dua
hala dengan para penulis. Penulis juga diminta lebih proaktif dengan
tidak menyerahkan bulat-bulat harapan di bahu pengurus sastera terbabit.
Mereka juga harus memahami antara satu sama lain. Tetapi jika kita tidak
mahu bertolak ansur sudah tentulah kita tidak mampu membawa apa-apa
kepada tamadun fikrah kita sebagai saksi yang harus dipegang generasi
akan datang terhadap kebenaran citra masa lalu. Dalam pada itu kita
ingin menjadikan pertemuan-pertemuan fikrah di kalangan penulis
diwujudkan sebagai salah satu daripada gagasan perbincangan ini.
Tentulah juga gagasan ini memintal peranan dan tanggungjawab penulis,
persatuan penulis serta agensi-agensi yang mengurus sastera itu sendiri
agar saling menyatukan permasalahan, perdebatan, perhujahan dan
pandangan. Langkah ini pula mesti berterusan tanpa musim. Kita secara
terus menerus mengajak penulis menganjakkan paradigma fikrah mereka yang
seharusnya juga tanpa musim. Malah pada tahap yang paling penting mampu
mencapai falsafah sebenar kehadiran kita sebagai golongan pemikir di
tengah-tengah kemelut peradaban bangsa kita pada hari ini. Di
tengah-tengah kemelut pembinaan bangsa kita yang dikaburi tanda dan
nilai jatidiri yang masih goyah.
Muka
[ 1 | 2 ] Esei Lain
5