Sejauh ini, seramai 40 orang anak Darul Hanan berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di mana 11 daripadanya masih di bawah tanggungan Darul Hanan. Untuk meningkatkan tahap pencapaian cemerlang serta minat anak-anak terhadap pelajaran, mereka dijanjikan insentif sebagai perangsang kejayaan. Tujuannya ialah sebagai satu dorongan dan semangat kepada anak-anak untuk lebih berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran, dijadikan inspirasi kepada anak-anak lain untuk mengikuti jejak langkah mereka serta menjamin tahap pencapaian akademik anak-anak Darul Hanan setiap masa.
Anak-anak Darul Hanan turut digalakkan terlibat di dalam aktiviti-aktiviti sukan dan ko-kurikulum lain bagi mengisi masa lapang mereka. Mereka diberi kebebasan menjalankan aktiviti-aktiviti sama ada yang dianjurkan oleh pihak sekolah, Darul Hanan mahu pun NGO lain. Mereka mempunyai jadual harian masing-masing yang diselia oleh Pentadbir serta Petugas yang dilantik sepenuh masa. Mereka disediakan kelas tuisyen dan mempunyai jadual tetap untuk mengulangkaji pelajaran. Mereka juga terbabit dengan aktiviti riadah seperti berkayak, bersenam, bergotong-royong. Malah ada juga yang diberikan pendedahan dalam sukan pelayaran dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Malaysia.
Hasil daripada pengurusan yang cemerlang dan pentadbiran yang teratur, Darul Hanan pernah dianugerahkan 'Rumah Terbaik Keseluruhan Anak-anak Yatim Malaysia 2004' oleh Kelab Lion di Kuala Lumpur berdasarkan kepada keputusan peperiksaan UPSR, PMR & SPM tahun 2003 yang mempunyai bilangan 'A' yang banyak.Darul Hanan juga pernah dipilih sebagai tuan rumah untuk menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor Kali Ke-16 pada 2009 yang disertai 9 pertubuhan anak yatim di bawah Jawatankuasa Penyelaras Anak-anak Yatim Negeri Johor.
Pada masa yang sama juga pihak pengurusan telah mengamalkan jimat cermat di dalam perbelanjaan operasi Darul Hanan. Berkat penjimatan yang diambil, selepas 16 tahun beroperasi, pengurusan Darul Hanan berupaya membeli sebidang tanah seluas satu ekar di Pasir Gudang bagi tujuan pelaburan jangka panjang bagi menampung perbelanjaan operasi, ini memandangkan Darul Hanan beroperasi tanpa bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Darul Hanan diharapkan dapat memberi sinar kepada kehidupan insan yang kurang bernasib baik khasnya anak-anak yatim. Perkembangan pesat kawasan perindustrian Pasir Gudang daripada penduduk nelayan kepada kawasan industri, sudah tentunya memerlukan keseimbangan sosial yang mana mereka yang kurang bernasib baik juga perlu dibela bagi memenuhi keperluan sosial dan rohani.
Ia juga dibuat atas dasar menyumbang bakti kepada masyarakat di kawasan berhampiran, yang mana masih terdapat ramai anak-anak yatim dan miskin yang belum mendapat perhatian dan pembelaan serta atas kesedaran tiada siapa lagi akan membantu anak-anak ini melainkan masyarakat sekelilingnya.