Darul Hanan ialah sebuah badan kebajikan yang cukup unik. Penubuhan Persatuan ini pada tahun 1992 adalah berdasarkan kepada rasa tanggungjawab YBhg Puan Sri Datin Noorzilah, selaku pengasas dan Pengerusi, Darul Hanan serta Ahli Jawatankuasa beliau untuk merapatkan kasih sayang sesama mereka yang kurang bernasib baik serta membela nasib anak-anak yang kehilangan ibubapa.
Hasil daripada usaha para keahlian, persatuan berjaya mendirikan rumah anak yatim dan miskin yang dikenali sebagai Darul Hanan di atas sebidang tanah seluas 4 ekar berhampiran Masjid Jamek Pasir Gudang yang telah diwakaf. Bangunan pertama Darul Hanan mula dibina pada 1992 dan menerima kemasukan kumpulan pertama seramai 31 orang anak perempuan pada 10 Januari 1993.
Harapannya adalah untuk menjadikan Darul Hanan sebagai tempat berteduh yang memberi sinar kepada anak-anak yang memerlukannya dan memastikan mereka dapat memperolehi kehidupan yang lebih sempurna untuk masa depan serta menerapkan nilai-nilai kekeluargaan yang positif sesama mereka. Kemudian, pada 21 November 1995, Darul Hanan mula menerima kemasukan kumpulan anak lelaki seramai 31 orang. Sehingga 2010, Darul Hanan telah memberi manfaat kepada hampir 353 orang anak yang terdiri daripada 203 perempuan dan 154 lelaki. Pada 2010, jumlah anak yatim dan miskin yang mendiami Darul Hanan adalah seramai 64 orang (26 orang lelaki dan 38 orang perempuan).
Di antara objektif penubuhan Darul Hanan adalah untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat khususnya anak-anak yatim dan miskin yang belum mendapat perhatian dan perlindungan, memberi penekanan ke atas pembelajaran mereka bagi mencapai taraf kehidupan yang lebih baik serta menerapkan nilai-nilai kekeluargaan yang positif bagi membendung masalah sosial. Dalam hal ini, Darul Hanan turut bekerjasama dengan persatuan, pertubuhan dan badan-badan lain yang mempunyai tujuan yang sama.
Darul Hanan memberi penekanan ke arah ilmu pengetahuan dan mementingkan sahsiah diri anak-anak untuk memastikan bahawa anak-anak yang dijaga mencapai taraf pelajaran dan sahsiah diri yang tinggi agar dapat membawa mereka ke arah kehidupan yang lebih sempurna di masa hadapan. Ini dapat digambarkan melalui kaedah pemilihan mereka yang layak ditempatkan di Darul Hanan. Selain daripada kelayakan dari segi pendapatan dan latarbelakang keluarga, mereka juga turut dinilai dari segi pencapaian akademik.