Panduan
Guru: 12 Pendekatan Memotivasikan Pelajar
by
Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad
1.
Penerangan Yang Jelas.
Kajian menunjukkan kebanyakan pelajar tidak cemerlang dalam kerja rumah
dan tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut mereka lakukan.
Guru sepatutnya memberikan sedikit masa untuk menjelaskan perkara berikut:
a. Kenapa tugasan yang diberikan itu penting? b. Apa kaitan sesuatu
subjek dengan kehidupan? c. Memastikan pengetahuan asas mereka mantap.
d. Beritahu bagaimana hasil kerja mereka akan dinilai.
2. Ganjaran.
Pelajar yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan
secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Lihat apa
kebaikan dan kelebihan pelajar dan suburkannya, mereka pasti mengulangi
kebaikan ini dilain masa. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti
hadiah, puji-pujian, pelepasan dari tugas harian, dan sebagainya. Ganjaran
bukan sahaja diberikan terhadap pencapaian yang diperolehi tetapi juga
terhadap usaha yang diberikan. Berikan insentif agar pelajar berusaha
untuk menguasai pengetahuan dan maklumat bukan sekadar bersaing antara
satu sama lain. Ganjaran luar yang berkesan ialah yang mampu menjana
motivasi dalaman pelajar.
3. Tetapkan Matlamat.
Setiap pelajar mestilah disuruh menetapkan matlamat untuk setiap mata
pelajaran yang diambil. Ikuti perkembangan pelajar dan pastikan setiap
pelajar mampu merealisasikan matlamat masing-masing.
4. Ambil Berat.
Pelajar
akan memberikan tindakbalas yang positif terhadap guru yang ambil berat
tentang diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik dari menghukum.
Ada ketikanya guru perlu bercerita kisah lampau, memberitahu kesilapan-kesilapan
yang pernah mereka lakukan, dan lain-lain sebagai suatu teladan untuk
pelajar. Dengan cara ini wujud kemesraan antara guru dan pelajar. Ini
penting untuk mewujudkan jambatan emosi, saling mempercayai dan saling
bertanggung jawab. Sekiranya mereka lakukan kesilapan, pastikan mereka
faham bahawa semua orang boleh lakukan kesilapan tetapi jelaskan kepada
pelajar iaitu manusia berjaya ialah mereka yang belajar dari kesilapan.
Sentiasa tanya apa matlamat mereka? Apa perancangan mereka? Sejauh mana
progres mereka? Apa minat mereka? Apa kerjaya pilihan mereka? Dan sebagainya.
“Pelajar tidak prihatin sejauh mana anda tahu sehinggalah mereka
tahu sejauh mana anda prihatin terhadap mereka”. Ada ketikanya
guru perlu bertemu pelajar secara personal untuk membuktikan yang mereka
benar-benar ambil berat tentang mereka. Malah usahakanlah untuk dari
semasa ke semasa mengatur sessi perbincangan personal ini dengan semua
pelajar.