SirahOnline KARAMAH | BankSoalan 

- Da'wah Secara Rahsia
  Berkaitan :
- Da'wah Rahsia
  Lihat Juga :
- Wahyu Kedua

  

 

SAYYIDINA 'ALI MEMELUK ISLAM

 

          Selain puteri-puteri Rasulullah SAW, tinggal bersama keluarga Baginda ialah 'Ali bin Abi Thalib, seorang anak muda yang belum baligh. Pada waktu itu, suku Quraisy sedang mengalami suatu krisis ekonomi yang luar biasa. Abu Thalib adalah keluarga yang banyak anaknya. Baginda mengesyorkan kepada Abbas, bapa saudaranya - yang pada masa itu adalah yang paling mampu di antara keluarga Bani Hasyim : "Wahai Abbas, Abu Thalib saudaramu itu anaknya banyak. Seperti yang kau lihat, ramai orang yang mengalami krisis. Adalah baik kita ringankan dia dari anak-anaknya itu. Aku akan mengambilnya seorang, begitu juga kau pun ambil seorang untuk kita asuh."
 
          Kerana itu Abbas lalu mengasuh Ja'far dan Rasulullah SAW mengasuh 'Ali, yang tetap tinggal bersama keluarga Baginda sampai pada masa kerasulannya.
5
 
          Pada satu hari tatkala Rasulullah SAW dan Khadijah sedang sembahyang, tiba-tiba 'Ali masuk. Dilihatnya kedua-dua suami isteri itu sedang ruku' dan sujud serta membaca beberapa ayat al-Qur'an yang sampai pada waktu itu sudah diwahyukan kepada Baginda. Anak itu tertegun berdiri, lalu bertanya, "Kepada siapa kalian sujud?" setelah sembahyang mereka selesai.
 
          "Kami sujud kepada Allah," jawab Rasulullah SAW, "Yang mengutusku menjadi nabi dan memerintahkan aku mengajak manusia menyembah Allah".
 
          Lalu Rasulullah SAW pun mengajak sepupunya itu beribadat kepada Allah SWT semata, tiada bersekutu serta menerima agama yang dibawa oleh rasulNya dengan meninggalkan berhala-berhala seperti Lata dan 'Uzza. Kata Baginda, "Inilah agama Allah yang dipilih untukNya dan untuk itu Dia mengutus utusan-utusanNya. Maka aku ajak kamu untuk masuk ke jalan Allah Yang Maha Esa yang tidak ada sekutu bagiNya, dan hendaklah kamu kafir terhadap patung Lata dan 'Uzza." Baginda lalu membacakan beberapa ayat al-Qur'an. 'Ali sangat terpesona kerana ayat-ayat itu luar biasa indahnya.
 

          Berkata 'Ali, "Sesungguhnya ajakan ini belum pernah sama sekali aku dengar sebelum hari ini, tapi untuk itu aku perlu berunding dulu dengan ayahku Abi Thalib kerana aku tidak dapat memutuskan sesuatu tanpa dia." Baginda enggan kerana takut perkara ini akan tersebar sebelum ada perintah untuk menyebarkannya. Maka kata Baginda, "Hai 'Ali, jika kamu belum mahu masuk Islam, maka simpankanlah khabar ini."

 

          Semalaman itu dia merasa gelisah. Baru saja dia terbangun pagi harinya, langsung beliau menemui Rasulullah SAW dan berkata, "Bagaimanakah ajakan yang engkau maksudkan itu, ya Muhammad?" Jawab Baginda, "Hendaklah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan tidak ada sekutu bagiNya dan hendaklah kamu kafir pada patung Lata dan 'Uzza, dan kamu tinggalkan agama berhala". Ajakan itu dituruti oleh 'Ali dan dia masuk Islam, namun dia tetap dalam ketakutan dari ayahnya Abi Thalib, sehingga dia tetap merahsiakannya dari ayahnya tentang keislamannya itu. Dengan ini 'Ali merupakan anak pertama yang menerima Islam. 3          

 

 

 
       
Copyright � 2003 SirahOnline.cjb.net. All rights reserved.
KARAMAH. BankSoalan. Feedback


Hosted by www.Geocities.ws

1