SAYYIDINA ABU BAKAR MEMELUK ISLAM
Diriwayatkan oleh al-Hafiz Abul Hassan Atrabulasi dari Sayyidatina 'Aishah
r.a, "Pernah pada satu hari Abu Bakar keluar dari rumahnya untuk bertemu
dengan Rasulullah SAW. Abu Bakar adalah salah seorang sahabat Baginda.
Setelah bertemu, Abu Bakar berkata, "Ya Abal Kasim! Aku tidak melihat
engkau dalam majlis kaummu dan mereka menuduhmu bahawa engkau telah
mengolok-olokkan ibu bapa mereka." Baginda berkata, "Sesungguhnya Allah
telah mengutusku dan aku ajak engkau untuk masuk ke dalam agama Allah".
Abu Bakar pun langsung masuk Islam. Baginda pergi meninggalkan Abu Bakar
dan kerana keberhasilan itu, tidak seorang pun yang di saat itu melebihi
kegembiraan Baginda. Abu Bakar pergi menemui 'Uthman bin Affan, Thalhah
bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam dan Sa'ad bin Abi Waqqas untuk mengajak
mereka masuk Islam. Akhirnya kesemua mereka itu masuk Islam. Keesokan harinya beliau
datang menemui 'Uthman bin Madh'un, Abu Ubaidah bin Jarrah, 'Abdurrahman
bin 'Auf, Abu Salamah bin Asad dan Arqam bin Abi al-Arqam untuk diajak
masuk Islam, sehingga semua mereka juga masuk Islam."
Dalam kisah yang sama,
Ibnu Ishaq juga ada meriwayatkan bahawa Abu Bakar as-Siddiq r.a bertemu
dengan Rasulullah SAW dan berkata, "Apakah benar, hai Muhammad, tuduhan
bangsa Quraisy bahawa engkau telah meninggalkan agama kami dan engkau
mengolok-olokkan pemimpin kami dan ayah kami?" Jawab Baginda, "Ya benar,
sesungguhnya Allah telah mengutusku untuk menjadi RasulNya dan NabiNya,
sebagai penyampai risalahNya, dan aku ajak engkau untuk mengikuti
kebenaran (Islam) kerana sesungguhnya agama Islam itu adalah benar. Aku
ajak engkau hai Abu Bakar untuk menyembah Allah yang Maha Esa yang tidak
ada sekutu bagiNya, dan jangan engkau sembah selainNya dan taatlah
kepada Allah". Kemudian Baginda membacakan sepotong dari ayat al-Qur'an,
sedang Abu Bakar tidak mengingkarinya dan tidak pula mengatakan setuju,
tetapi kemudian Abu Bakar pun masuk Islam dan menyatakan kafir terhadap
patung-patung dan meninggalkan penyembahannya. Setelah itu Abu Bakar
pulang, balik menemui Baginda sebagai seorang yang telah beriman dengan
penuh keyakinan.
Ibnu Ishaq juga
meriwayatkan dari Muhammad bin 'Abdurrahman bin Abdillah bin Hussein
at-Tamimy bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, "Tidak seorang pun yang
pernah aku ajak masuk Islam kecuali diikuti dengan perasaan ragu, enggan
dan berfikir terlebih dahulu selain Abu Bakar. Dia tidak ragu dan tidak
menolak sedikit pun ketika aku ajak masuk Islam." Inilah yang dijadikan
dalil bagi mengatakan apa yang pernah diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dalam
perkataannya, "sedang Abu Bakar tidak mengingkarinya dan tidak pula
mengatakan setuju" adalah tidak benar, kerana Abu Bakar itu sejak mudanya
adalah seorang sahabat Baginda yang paling rapat, sejak sebelum diutus
sudah mengenalnya dan memahami benar tentang budi pekerti Baginda,
kejujuran dan amanahnya, sejak mudanya Baginda tidak pernah berdusta
terhadap sesiapa pun, apalagi akan berdusta tentang Allah SWT. Kerana
itulah, begitu Abu Bakar mendengarkan apa yang dikatakan oleh Baginda,
beliau langsung percaya tanpa keraguan sedikit pun, tanpa perlu
mengambil masa untuk berfikir terlebih dahulu.
Dalam hal ini pernah Imam
Bukhari meriwayatkan dalam kitab Sahihnya dari Abi Darda r.a dalam hadis
yang menceritakan tentang kisah pertikaian antara Abu Bakar dan 'Umar
r.a. Maka ketika diadukan kepada Baginda, Baginda berkata, "Sesungguhnya
ketika Allah mengutusku kepadamu ('Umar) maka kamu berkata kepadaku, "Dusta
kamu (Muhammad)," tetapi ketika aku pergi kepada Abu Bakar maka katanya,
"Benar kamu (Muhammad)," dan dia telah menolongku dengan jiwa dan
hartanya, apakah kamu akan menyakiti sahabatku ini?" Sejak kejadian itu
Abu Bakar pun tidak pernah disakitinya lagi.
3
