SirahOnline

KDIM | BankSoalan 

- Kerasulan
  Berkaitan :
- Rasulullah Berkhalwat
  Lihat Juga :
- Wahyu Kedua

  

 

PERISTIWA DI GUA HIRA'

 

          Imam Bukhari telah meriwayatkan satu hadith dari Sayyidatina 'Aishah r.a tentang bagaimana peristiwa penurunan wahyu yang pertama :-

 

          Daripada 'Aisyah Ummil Mu'minin r.a dikhabarkan bahawa beliau telah berkata :

 

          "Permulaan wahyu yang dimulakan kepada Rasulullah SAW ialah mimpi yang baik lagi benar di dalam tidur, maka tiadalah Baginda bermimpi satu mimpi melainkan datanglah mimpi itu seperti cahaya subuh. Kemudian disukakan (dikemukakan) kepadanya untuk berkhalwat berasingan diri. Junjungan berkhalwat di Gua Hira' lalu bertahannuth (beribadat) di dalamnya, iaitu beribadat di dalam masa beberapa malam.

         

          Setelah itu Baginda kembali kepada ahlinya dan berbekalan untuk menyambung tahannuthnya, kemudian Junjungan kembali lagi kepada Khadijah dan berbekalan sama seumpama itu juga hingga datanglah kepadanya kebenaran. Sewaktu Baginda di dalam Gua Hira' maka datang kepadanya Malaikat, lalu ia berkata, "Iqra'!(Bacalah)." Berkata Junjungan, "Ma Ana biqari' (aku tidak pandai membaca)." Bercerita Junjungan :

 

         Kemudian Jibril mengambil (menarik) akan daku maka dipeluknya kuat-kuat hingga terasa kepadaku kesungguhannya kemudian dilepaskan aku, lalu ia berkata,"Iqra'!", maka berkata aku, "Ma Ana biqari'." Kemudian diambilnya aku lalu dipeluknya ketat-ketat kali yang kedua hinga terasa kepada aku kepayahan, kemuidan itu dilepaskan aku dan dia berkata, "Iqra'!", maka berkata aku, "Ma Ana biqari'." Setelah itu ia mengambil aku buat kali yang ketiganya lalu dipeluknya sungguh-sungguh hinga terasa aku eratnya kemudian dilepaskannya aku, maka ia berkata :

 

          "Bacalah dengan nama Tuhan engkau yang menjadikan, yang menjadikan manusia daripada darah, bacalah demi Tuhan engkau yang mulia."

(al-'Alaq : 1-3)

 

          Pulanglah Baginda dengan ayat-ayat itu dan hatinya gementar, lalu masuklah Baginda kepada Khadijah binti Khuwailid lalu berkata, "Selimutkanlah aku! Selimutkanlah aku!" Maka diselimutkan Baginda hingga hilang daripadanya rasa ketakutan kemudian berkata Baginda kepada Khadijah setelah menceritakan khabar itu, "Sesungguhnya aku takut (ke atas diriku)." Lalu Khadijah pun berkata kepada Baginda, "Tidak sekali! Demi Allah, tiada dihinakan engkau selamanya kerana engkau sebenarnya mempunyai rahim (kasih sayang), dan engkau memikul bebanan dan engkau berusaha terhadap orang yang tiada (orang susah) dan engkau menjamu tetamu dan engkau menolong atas menolak bala."

 

          Kemudian pergilah Khadijah bersama Baginda menemui Waraqah bin Naufal Ibnu Asab bin 'Abdul 'Uzza iaitu anak bapa saudara Khadijah. Waraqah itu adalah seorang yang beragama Nasrani pada dalam zaman jahiliyyah dan pandai menulis kitab 'Ibrani. Maka disalinnya kitab daripada kitab Injil itu dengan bahasa 'Ibrani apa yang dikehendaki Allah bahawa dia menulis dan adalah dia seorang yang telah berusia tua dan buta. Maka Khadijah pun berkata kepadanya, "Ya anak bapa saudara! Cuba dengarkan kepada anak saudara engkau ini." Kemudian bertanya kepada Baginda Waraqah, "Wahai anak saudaraku! Apakah dia yang engkau lihat itu?" 

 

          Lalu Rasulullah SAW menceritakan apa yang (dialami dan) dilihatnya. Setelah itu Waraqah pun berkata kepadanya, "Inilah Jibril yang pernah diturunkan Allah ke atas Nabi Musa. Sekiranya aku masih muda remaja dan aku masih pula hidup ketika dikeluarkan (diusir) engkau oleh kaum engkau..." Segera bertanya Rasulullah SAW, "Apakah mereka hendak mengeluarkan aku?" Jawabnya, "Ya! Kerana tidak pernah datang seorang pun yang membawa (risalah) seumpama yang engkau bawa itu melainkan ia akan dimusuhi dan sekiranya aku dapatilah hari engkau itu tentulah aku akan menolong engkau dengan pertolongan yang sungguh-sungguh." Kemudian tidak berapa lama sesudah itu Waraqah pun meninggal dunia dan wahyu pun berhentilah."

 

          Para ulama' telah berselisih pendapat tentang masa waktu dibekukan atau diberhentikan sementara waktu. Ada yang mengatakan tiga tahun, ada yang mengatakan kurang dari itu dan yang paling hampir sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi iaitu enam bulan. 2          

 

 

 
       
Copyright � 2003 SirahOnline.cjb.net. All rights reserved.
KDIM. BankSoalan. Feedback


Hosted by www.Geocities.ws

1