Sun Microsystems, Inc.
SirahOnline KDIM | BankSoalan 

- Sebelum Kenabian
  Berkaitan :
- Peristiwa di Gua Hira'
   
   

  

 

BERKHALWAT DI GUA HIRA'

 

        Rasulullah SAW adalah seorang yang dihormati dan dipercayai di kalangan penduduk Makkah. Baginda begitu terkenal dengan akhlaq yang mulia dan sentiasa menghubungkan silaturrahim. Sikap dan peribadi Baginda yang mulia ini adalah begitu berbeza sekali dengan kebanyakan penduduk Makkah pada ketika itu yang tenggelam dalam lautan jahiliyyah.

 

          Oleh kerana itu wajar sekali apabila Rasulullah SAW membiarkan dirinya berjalan sesuai dengan pembawaannya, iaitu pembawaan berfikir dan bermenung, dengan mendengarkan percakapan masyarakatnya tentang berhala-berhala, serta apa pula yang dikatakan orang-orang Nasrani dan Yahudi tentang diri mereka itu. Baginda berfikir dan merenungkan. Di kalangan masyarakatnya Bagindalah orang yang paling banyak berfikir dan merenung. Jiwa yang kuat dan berbakat ini - jiwa yang sudah mempunyai persiapan untuk kelak menyampaikan risalah Tuhan kepada umat manusia, serta membawa kepada kehidupan rohani yang hakiki - jiwa demikian tidak mungkin berdiam diri saja melihat manusia yang sudah hanyut ke dalam lembah kesesatan. Sudah seharusnya Baginda mencari petunjuk dalam alam semesta ini, sehingga Tuhan nanti menentukannya sebagai yang akan menerima risalahNya. Begitu besar dan kuatnya kecenderungan rohani yang ada padanya, Baginda tidak ingin menjadikan dirinya seperti dukun atau ingin menempatkan diri sebagai ahli fikir seperti dilakukan oleh Waraqa bin Naufal dan orang-orang sepertinya. Yang dicarinya hanyalah kebenaran semata-mata. Fikirannya penuh untuk itu, banyak sekali Baginda bermenung. Fikiran dan renungan yang berkecamuk dalam hatinya itu sedikit sekali dinyatakan kepada orang lain.

          Sudah menjadi kebiasaan orang-orang 'Arab pada masa itu di mana golongan berfikir mereka selama beberapa waktu pada setiap tahun menjauhkan diri dari keramaian orang, berkhalwat dan mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dengan bertapa dan berdoa, mengharapkan diberi rezeki dan pengetahuan. Pengasingan untuk beribadat seperti ini mereka namakan tahannuth.

          Di puncak Gunung Hira',sejauh dua farsakh ( bahasa Farsi, parsang, ukuran panjang dahulu kala, kira-kira 3.5 batu atau hampir 6 km ) sebelah utara Makkah, terletak sebuah gua yang baik sekali dijadikan tempat menyendiri dan tahannuth. Sepanjang bulan Ramadhan setiap tahun Baginda pergi ke sana dan berdiam di tempat itu, cukup hanya dengan sedikit bekalan yang dibawanya. Baginda tekun dalam renungan dan ibadat, jauh dari segala kesibukan hidup dan keributan manusia. Baginda mencari kebenaran, dan hanya kebenaran semata.

 

          Di tempat ini rupanya Rasulullah SAW mendapat tempat yang paling baik guna mendalami fikiran dan renungan yang berkecamuk dalam dirinya. Juga di tempat ini Baginda mendapatkan ketenangan dalam dirinya serta ubat penawar hasrat hati yang ingin menyendiri, ingin mencari jalan memenuhi kerinduannya yang selalu makin besar, ingin mencapai ma'rifat serta mengetahui rahsia alam semesta.

          Demikian kuatnya Baginda merenung mencari hakikat kebenaran itu, sehingga Baginda lupa akan dirinya, lupa makan, lupa segala yang ada dalam hidup ini. Sebab segala yang dilihatnya dalam kehidupan manusia sekitarnya, bukanlah suatu kebenaran. Di situ Baginda mengungkapkan dalam kesedaran batinnya segala yang disedarinya. Tambah tidak suka lagi Baginda akan segala prasangka yang pernah dikejar-kejar orang.

          Baginda tidak berharap kebenaran yang dicarinya itu akan terdapat dalam kisah-kisah lama atau dalam tulisan-tulisan para pendeta, melainkan dalam alam sekitarnya :dalam luasan langit dan bintang-bintang, dalam bulan dan matahari, dalam padang pasir di kala panas membakar di bawah sinar matahari yang berkilauan. Atau di kala langit yang jernih dan indah, bermandikan cahaya bulan dan bintang yang sedap dan lembut, atau dalam laut dan deburan ombak, dan dalam segala yang ada di sebalik itu, yang ada hubungannya dengan wujud ini, serta diliputi seluruh kesatuan wujud. Dalam alam itulah Baginda mencari haqiqat tertinggi. Dalam usaha mencapai itu, pada saat-saat Baginda menyendiri demikian jiwanya merasa bebas mencapai hubungan dengan alam semesta ini, menembusi tabir yang menyimpan semua rahsia. Baginda tidak memerlukan permenungan yang panjang untuk mengetahui bahawa apa yang dipraktikkan oleh masyarakatnya dalam soal-soal hidup dan apa yang disajikan sebagai korban-korban untuk tuhan-tuhan mereka itu, tidak membawa kebenaran sama sekali. Berhala-berhala yang tidak berguna, tidak menciptakan dan tidak pula mendatangkan rezeki, tidak dapat memberi perlindungan kepada sesiapapun yang ditimpa bahaya. Hubal, Lata dan 'Uzza, dan semua patung-patung dan berhala-berhala yang terpancang di dalam dan di sekitar Ka'bah, tidak pernah menciptakan, sekalipun seekor lalat, atau akan mendatangkan suatu kebaikan bagi Makkah.

          Tetapi! Ah, di manakah kebenaran itu! Di mana kebenaran dalam alam semesta yang luas ini, luas dengan buminya, dengan lapisan-lapisan langit dan bintang-bintangnya? Adakah barangkali dalam bintang yang berkelip-kelip, yang memancarkan cahaya dan kehangatan kepada manusia, dari sana pula hujan diturunkan, sehingga kerananya manusia dan semua makhluk yang ada di muka bumi ini hidup dari air, dari cahaya dan kehangatan udara? Tidak! Bintang-bintang itu tidak lain adalah benda-benda langit seperti bumi ini juga. Atau barangkali di sebalik benda-benda itu terdapat kuasa yang tidak terbatas, tidak berkesudahan?

          Tetapi apa kuasa itu? Apakah hidup yang kita alami sekarang dan esok akan berkesudahan? Apa asalnya dan apa sumbernya? Kebetulan sajakah bumi ini dijadikan dan dijadikan pula kita di dalamnya? Tetapi, baik bumi atau hidup ini sudah mempunyai ketentuan yang pasti yang tidak berubah-ubah, dan tidak mungkin dasarnya hanya kebetulan saja. Apakah yang dialami manusia, kebaikan atau keburukan, datang atas kehendak manusia sendiri, atau itu sudah ditentukan sehingga manusia tidak berkuasa memilih yang lain?

          Masalah-masalah kejiwaan dan kerohanian sebegitu, itu juga yang difikirkan Rasulullah SAW selama Baginda mengasingkan diri dan bertafakur dalam Gua Hira'. Baginda ingin melihat kebenaran itu dan melihat hidup itu seluruhnya. Pemikirannya itu memenuhi jiwanya, memenuhi jantungnya, peribadinya dan seluruh wujudnya. Siang dan malam hal ini menderanya terus menerus. Apabila bulan Ramadhan sudah berlalu dan Baginda kembali kepada Khadijah, pengaruh fikiran yang masih membekas padanya membuatkan Khadijah menanyakannya selalu, karena dia pun ingin lega hatinya apabila sudah diketahuinya Baginda dalam keadaan sihat dan afiat.

          Dalam melakukan ibadat selama dalam tahannuth itu, adakah Rasulullah SAW menganut sesuatu syari'at tertentu? Dalam hal ini ulama'-ulama' berlainan pendapat. Dalam Tarikhnya Ibnu Kathir menceritakan sedikit tentang pendapat-pendapat mereka mengenai syari'at yang digunakannya melakukan ibadat itu : Ada yang mengatakan menurut syari'at Nuh, ada yang mengatakan menurut Ibrahim, yang lain berkata menurut syari'at Musa, ada yang mengatakan menurut Isa dan ada pula yang mengatakan, yang lebih dapat dipastikan, bahawa Baginda menganut sesuatu syari'at dan diamalkannya. Barangkali pendapat yang terakhir ini lebih tepat daripada yang sebelumnya. Ini adalah sesuai dengan dasar renungan dan pemikiran yang menjadi kedambaan Baginda.

          Tahun telah berganti tahun dan kini telah tiba pula bulan Ramadan. Rasulullah SAW pergi ke Gua Hira', Baginda kembali bermenung, sedikit demi sedikit Baginda bertambah matang, jiwanya pun semakin penuh. Sesudah beberapa tahun, jiwa yang terbawa oleh kebenaran tertinggi itu dalam tidurnya bertemu dengan mimpi haqiqi yang memancarkan cahaya kebenaran yang selama ini dicarinya. Bersamaan dengan itu pula dilihatnya hidup yang sia-sia, hidup tipu daya dengan segala macam kemewahan yang tiada berguna.

          Ketika itulah Rasulullah SAW percaya bahawa masyarakatnya telah sesat daripada jalan yang benar, dan kehidupan kerohanian mereka telah rosak kerana tunduk kepada khayalan berhala-berhala serta kepercayaan-kepercayaan semacamnya yang tidak kurang pula sesatnya. Semua yang sudah pernah disebutkan oleh kaum Yahudi dan kaum Nasrani tidak dapat menolong mereka dari kesesatan itu. Apa yang disebutkan mereka itu masing-masing memang benar; tetapi masih mengandungi bermacam-macam tahyul dan pelbagai macam cara paganisma, yang tidak mungkin sejalan dengan kebenaran sejati, kebenaran mutlak yang sederhana, tidak mengenal segala macam spekulasi perdebatan kosong, yang menjadi pusat perhatian kedua-dua golongan Ahli Kitab itu. Dan kebenaran itu ialah Allah SWT, Khaliq seluruh alam, tidak ada Tuhan selain Dia. Kebenaran itu ialah Allah SWT Pemelihara semesta alam. Dialah Maha Rahman dan Maha Rahim. Kebenaran itu ialah bahawa manusia dinilai berdasarkan perbuatannya. "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat atom pun akan dilihatNya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat atom pun akan dilihatNya pula." (Qur'an, 99:7-8). Dan bahawa syurga itu benar adanya dan neraka pun benar adanya. Mereka yang menyembah tuhan selain Allah SWT mereka itulah yang akan menghuni neraka, tempat tinggal dan kediaman yang paling durjana.

          Kini Rasulullah SAW sudah menjelang usia empat puluh tahun. Baginda pergi ke Gua Hira' untuk melakukan tahannuth seperti selalunya. Jiwanya sudah penuh iman atas segala apa yang telah dilihatnya dalam mimpi haqiqi itu. Baginda telah membebaskan diri daripada segala kebatilan. Tuhan telah mendidiknya, dan didikannya baik sekali. Dengan sepenuh kalbu Baginda menghadapkan diri ke jalan yang lurus, kepada kebenaran yang abadi. Baginda telah menghadapkan diri kepada Allah SWT dengan seluruh jiwanya agar dapat memberikan hidayah dan bimbingan kepada masyarakatnya yang sedang hanyut dalam lembah kesesatan.

          Dalam hasratnya menghadapkan diri itu Rasulullah SAW bangun di tengah malam, kalbu dan kesedarannya dinyalakan. Lama sekali Baginda berpuasa, dengan begitu renungannya dihidupkan. Kemudian Baginda turun dari gua itu, melangkah ke jalan-jalan di sahara. Lalu Baginda kembali ke tempatnya berkhalwat, hendak menguji apa yang berkecamuk dalam perasaannya itu, apa yang terlihat dalam mimpi itu? Hal seperti itu berjalan selama enam bulan, sampaikan Baginda merasa khuatir akan membawa akibat lain terhadap dirinya. Oleh kerana itu Baginda menyatakan rasa kekhuatirannya itu kepada Khadijah dan menceritakan apa yang telah dilihatnya. Baginda khuatir kalau-kalau itu adalah gangguan jin.

          Tetapi isteri yang setia itu dapat menenteramkan hatinya. Dikatakannya bahawa Baginda adalah al-Amin, tidak mungkin jin akan mendekatinya, sekalipun memang tidak terlintas dalam fikiran isteri atau dalam fikiran suami itu, bahawa Allah SWT telah mempersiapkan pilihanNya itu dengan memberikan latihan rohani sedemikian rupa guna untuk menghadapi saat yang dahsyat, berita yang dahsyat, iaitu saat datangnya wahyu pertama. Dengan itu Baginda dipersiapkan untuk membawakan pesan dan risalah yang besar.
5

 

 

 
       
Copyright � 2003 SirahOnline.cjb.net. All rights reserved.
KDIM. BankSoalan. Feedback


Hosted by www.Geocities.ws

1