PUJANGGA ONLINE .:J U R N A L J A L A N H I D U P:.  

Mulai Jun 2002 


adakah aku geng jurnal?

Geng Jurnal:

Link:

Capai-capai:

Jurnal PUJANGGA Online - Jalan Hidup tidak HANYA membicarakan jalan hidup AKU semata-mata! Tetapi jalan hidup yang dilalui bersama yang seringkali melingkari kehidupan setiap kita... Semoga aku, kau dan sesiapa jua bersedia untuk melalui jalan hidup itu...

 


.:: Arkib September 2002 ::.

Pedoman:

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang orang fasik membawa sesuatu berita kepada kamu, hendaklah kamu selidiki..." (Al-Hujurat: 6)

Terminal Pertama...


.:: Catatan moden dari zaman klasik ::.

Mempunyai catatan 2, 3, 4, 6, 7, 8, 11, 13, 15, 17, 20, 23, 27 dan 30 September 2002.

30 September 2002/ 23 Rejab 1423 | Ahad | 13.03 pm

Catatan Satu

Apa yang dah berubah?

Dunia berubah setiap hari. Sesiapa yang terlambat akan tertinggal gerabak. Kata orang "sekali air bah, sekali pantai berubah." Kalaulah pantai pun boleh berubah kerana air bah, tentu sahaja manusia juga lebih boleh berubah. Tetapi manusia bukan berubah kerana air bah. Manusia berubah kerana benyak sebab.

Setiap hari TV menayangkan pelbagai berita. Berita hari ini pula akan basi untuk esok hari. Tetapi akan kekal menjadi sejarah. Kalaulah orang yang mengkaji sejarah tidak menghiraukan apa-apa yang berlaku di sekitarnya, pasti dia akan menulis sejarah yang tersasar atau tidak tepat kerana terpaksa menjadikan orang lain sebagai rujukan. Sejarah yang tertulis di dalam teks sejarah yang diajarkan sebagai silibus di sekolah adakah menepati dengan asalnya?

Tidak semua laporan sejarah tepat. Tetapi walaupun tidak tepat  ia kekal sebagai sejarah jua. 

Dalam masyarakat Melayu, sumber yang tidak dapat ditentukan kesahihan akan disebut sebagai lagenda. Sesuatu lagenda ia mirip sejarah, tetapi bukan sejarah kerana terdapat unsur yang diada-adakan. Sebagai contoh Lagenda Hang Tuah, Lagenda Mahsuri di Langkawi dan beberapa lagenda lain. Mengapakan lagenda- lagenda ini tidak dijadikan silibus dalam pengajian sejarah? Mungkin sebab ada banyak sejarah lain yang lebih tepat dan penting. Justeru lagenda hang Tuah dan Mahsuri hanya kekal sebagai lagenda dalam komoniti masyarakat Melayu di Malaysia.

Antara keistimewaan lain ialah Bangsa melayu juga ada dongeng dan mitos. Unsur dongeng dan mitos ini akrab dengan karya/prosa melayu klasik. Bercakap pasal dongeng pula ianya akrab dengan sesuatu yang tidak pasti kesahihan. Berbanding dengan lagenda dongeng dan mitos lebih tidak mampu untuk dipercayai. Unsur ini menerjah masuk di dalam kisah-kisah haiwan, kisah kayangan dan dewa-dewa, kisah seribu satu malam dan sebagainya. Namun tidak dinafikan meskipun penceritaannya terdapat dongeng dan mitos tetapi masih mampu memberikan hikmah dan pengajaran kepada pembaca.

Dalam dunia realiti, sejarah yang dilukis di atas lembaran sejarah akan kekal sebagai sejarah. Bukti dan kesahihannya dikaji sebelum sesuatu sejarah diperuntukkan dan diakui. Walaupun begitu setelah dikaji masih terdapat lompang dan kekeliruan yang terdapat dalam laporan sejarah. Sebagai contoh sejarah tentang kejahatan Kamal Atartuk; dinukil dengan mengagongkan beliau dengan mengiktiraf anugerah barat kepadanya sebagai Bapa Kemodenan Turki.

Asalnya Kamal Atartuk adalah penjenayah yang telah meruntuhkan khilafah Islam Turki Uthmaniah. Kemudia antara siri kejahatan yang dilakukan Kamal ialah: memusnahkan kepentingan institusi masjid apabila menukar masjid kepada muzium, dan merobohkannya. Kamal juga berideologi kemodenan harus meninggalkan ajaran agama Islam apabila wanita digesa tidak menitup aurat, arak dijadikan minuman majlis keramaian dan sebagainya. Mengapa sejarah kejahatan Kamal ini tidak ternukil pada catatan sejarah yang menjadi silibus di sekolah?

Kamal Atartuk itu akhirnya mati dalam keadaan yang paling menakutkan apabila dia terpaksa menderita sebelum ajalnya. 'Bangkainya' tidak diterima bumi. Kisah ini pernah saya catatkan di dalam sebuah karya: cerpen berjudul TAHANAN.

Itulah yang berlaku di dalam dunia realiti, tetapi sejarahnya tidak tercatat sebegitu. "seseorang yang dianggap lagenda, mungkin sejarah hidupnya tidak tepat dicatat."

Setahun lalu pada 11 September Bangunan WTC dan Pentagon diserang dan akibatnya berlakulah perubahan drastik kepada dunia. Barat melancarkan serangan balas dengan menuduh serangan ke atas Amerika itu didalangi oleh Umat Islam dan Osama Bin Laden menjadi 'The Super Wanted' kepada Amerika. Akibatnya Amerika melancarkan serangan kepada Afghanistan sebuah negara yang mempunyai sumber Gas asli antara termaksima di dunia.

Dulu, ketika Amerika menyerang Iraq sekitar 1991-1995 (perang Teluk) Amerika memberi alasan kerana Iraq menawan Kuwait. Justeru Amerika muncul sebagai 'hero' untuk membebaskan cengkaman Iraq terhadap Kuwait. Tetapi adakah dunia tahu Amerika sememangnya mempunyai krisis dengan Iraq sebelum tragedi keusnahan Iraq tersebut? Iraq yang menyekat penjualan minyak ke Amerika pernah menggugat kestabilan penawaran minyak di Amerika. Rakyat Amerika pernah berdemonstrasi kerana minyak yang tidak mampu disediakan dan harga yang terlalu tinggi. Kalau Iraq pernah menggugat Amerika kerana Iraq pada 1990-an dulu kerana minyak, tidak mustahil Amerika juga akan menyerang Iraq kerana penyekatan minyak kepada Amerika. Bagi Iraq penyekatan penjualan minyak ke Amerika sebagai sebahagian jihad mereka. Mereka telah lama menderita... dan penderitaan itu Amerikalah yang bertanggung jawab.

11 September lalu telah merubah suasana dunia. Amerika menyerang Iraq kerana minyak, samalah Amerika menyerang Afghanistan kerana untuk menguasai gas asli dan menubuhkan pengkalan. Untuk terus berkuasa Amerika perlukan sumber minyak (petroleum) dan gas asli. Justeru untuk menguasai sumber- sumber itu Amerika perlu menguasai negara terbabit. Osama bin Laden bukanlah apa-apa. Nyawanya tidaklah sepenting mana!

Dalam tempoh setahun itulah umat Islam serata dunia menjadi mangsa. Di Palestin umat Islam terus dibunuh dengan kejam oleh Yahudi. Di Kashmir Hindu terus melampau. Di Timur Timor Kristian diakui menguasai wilayah itu setelah membantai umat Islam. Umat Islam minoriti di Jerman dan Amerika terus diburu. Kehidupan mereka tidak tenteram. Walaupun mereka minoriti dalam negara barat itu, sepatutnya ketenteraman tidak digugat. Dilaporkan sepanjang tempoh setahun itu lebih dari 50 buah pusat ibadat umat Islam di Amerika diserang. 

Namun adakah seua itu akan ditulis dalam laporan sejarah untuk menjadi sejarah suatu masa nanti? Kalaulah peristiwa 11 September itupun yang masih tidak menemui siapa yang bertanggung jawab, Barat menuding jari ke arah Umat Islam... tidak mustahil sejarah akan terus khilaf. Sejarah akan ditulis bahawa Umat Islam adalah pengganas!

Dari sejarah kita belajar untuk membina tamadun yang lebih baik. Dengan mengambil pengajaran daripada sejarah, manusia akan terus mengembangkan peradaban. Kalaulah sejarah nanti yang akan tercatat dan dipelajari oleh manusia tentang keganasan yang kononnya dilakukan Umat Islam, tidak mustahil barat akan terus memerangi Umat Islam dan anak cucu kita yang mempelajari sejarah itu akan turut membenci agama mereka sendiri. Tetapi kalaulah ada generasi kita yang menyampaikan sejarah yang betul, bahawa keganasan adalah sebenarnya dicetuskan oleh barat, zionis yahudi, hindu, kristian dan kuffar bukannya Islam, pastinya Umat Islam masa depan kenal perjuangan kita sekarang.

Ingatlah bahawa Yahudi dan Nasrani (Kristian) tidak akan sesekali meredhai Umat Islam selagimana tidak mengikuti telunjuk mereka. Janganlah sejarah 11 September hanya akan menjadi lagenda, mitos atau dongeng kepada bangsa Melayu!

***Hari ini aku menulis catatan dengan menggunakan JASA yang dibeli pada 28 September 2002 dan diselamatkan dari serangan virus pada 29 September. JASA akan terus berjasa.

Sila klik Respon/Komen

 

27 September 2002/ 20 Rejab 1423 | Jumaat | 7.03 am

Catatan Satu

sambungan rencana (Era Ulamak dan Gagasana Negara Islam)

Gagasan Negara Islam

Perjuangan PAS ditegaskan dalam era kepimpinan ulamak untuk menubuhkan negara Islam Malaysia. Sebenarnya inilah agenda utama yang telah dicetuskan semenjak penubuhan parti itu lagi pada 1951. Meskipun agenda ini seperti tidak jelas sebelum era ulamak, namun agenda ini tetap tidak disenangi oleh parti lawan termasuk UMNO dan DAP yang mempunyai dasar perjuangan yang berbeza dengan PAS. UMNO dengan perjuangan nasionalis mereka manakala DAP dengan dasar sekular; sedangkan PAS dengan dasar Islam. Justeru BN alias UMNO dan DAP menggesa PAS mengisytiharkan negara Islam yang hendak dilaksanakan. 

PAS yang sudah masak dengan agenda muslihat politik UMNO itu sebaliknya Presiden PAS mencabar PM mengisytihar Malaysia sebagai sebuah negara Islam di Parlimen. PM tidak mengisytiharkannya di Parlimen tetapi hanya mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sewaktu ucapan perasmian mesyuarat Agung Parti Gerakan. Kesan daripada itu UMNO melariskan isu tersebut melalui cengkamannya terhadap media massa cetak dan elektronik untuk memburukkan imej PAS. Selain itu DAP mengumumkan keluar dari Barisan Alternatif (BA), atas alasan tidak bersetuju dengan hasrat PAS mahu menegakkan Negara Islam melalui BA. 

Bagi mengukuhkan pengisytiharan PM bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam seluruh jentera kerajaan telah digunakan. Ini termasuklah menggunakan mimbar khutbah jumaat, media massa, seminar, forum, debat olok-olok, kertas kerja, buku yang menjelaskan konsep negara Islam dan sebagainya. Ini kerana UMNO tidak mahu orang Islam (penyokongnya) beralih sokongan terhadap PAS. PM terlalu bimbang jika isu besar ini tidak dapat dikuasai oleh UMNO. Ini kerana gelombang kefahaman rakyat terutama umat Islam terhadap kewajipan mewujudkan negara Islam semakin jelas. 

Nyatanya PM (UMNO) kembali menggunakan barisan ulamak mereka supaya mencari hujah-hujah supaya membolehkan Malaysia diakui sebagai negara Islam. Muncullah beberapa teori-teori ilmiah ala-UMNO tersebar luas. Antara teori-teori yang dikemukakan oleh UMNO sebagai pendakwaan Malaysia sudah negara Islam ialah: teori negara Islam menurut tafsiran dan pandangan Abu Hanifah dan beberapa fuqaha lain yang, menggunakan perbandingan negara Islam Madinah dan negara Islam pada zaman muta'akhir, teori tawsif, metod perlembagaan negara, menggunakan hujah akal dan menggunakan penolakan terhadap pandangan lawan.


Negara Islam: Metod UMNO

Menurut pandangan Imam Abu Hanifah: "Jika keamanan bagi orang Islam secara mutlak dan ketakutan bagi orang kafir secara mutlak, maka ia adalah negara Islam. Jika keamanan di dalamnya bagi orang kafir secara mutlak dan ketakutan bagi orang Islam secara mutlak, maka ia adalah negara kufur."

Teori tersebut menyatakan adanya ciri keamanan berpihak kepada orang Islam maka negara tersebut berstatus sebagai negara Islam. Ciri-ciri lain yang dikemukakan oleh UMNO adalah bertujuan menumpukan seluruh perbincangan kepada satu matlamat iaitu membuktikan bahawa wujudnya ciri-ciri negara Islam di Malaysia, kerana dengan adanya beberapa ciri tersebut sudah menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Contohnya:

a. Islam sebagai agama rasmi negara.
b. Wujudnya kepimpinan orang-orang Melayu yang beragama Islam untuk menerajui kerajaan.
c. Kedaulatan orang Islam kerana memegang jentera kerajaan, keselamatan dan keamanan (polis/tentera)
d. Perlaksanaan projek-projek pembangunan bercirikan Islam seperti penubuhan Bank Islam.
e. Memberikan hak dan keamanan kepada orang bukan Islam menetap di Malaysia.

Selain dari itu, UMNO turut mengemukakan teori sesebuah kerajaan Islam tidak semestinya menepati ciri-ciri negara Islam Madinah sebagaimana yang dicetuskan oleh Baginda Rasulullah saw. Ini kerana meskipun Negara Islam Madinah merupakan model yang terbaik namun, negara-negara selepasnya ketika zaman khilafah yang lain seperti khilafah Umaiyyah, Abbasiah dan Uthmaniah terdapat ciri-ciri Negara Islam Madinah yang tidak diamalkan tetapi masih diiktiraf sebagai negara Islam. Ini juga menunjukkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara Islam. Ini ditegaskan oleh Nakhaie Ahmad di dalam satu forum di Universiti Malaya, bahawa sekiranya ulamak-ulamak silam masih ada mereka juga akan mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam, sebagaimana mereka mengiktiraf negara-negara Umaiyyah dan Abbasiah sebagai negara Islam.

Pendakwaan Wan Zahidi Wan Teh, Pegawai Unit Penerangan Khas Kementerian Penerangan Malaysia bahawa parlimen merupakan ciri-ciri syura di dalam sesebuah negara Islam. Justeru perlaksanaan parlimen menepati ciri-ciri negara Islam. Selain itu perlaksanaan pilihanraya juga menepati kaedah yang diperuntukkan oleh Islam. walaupun hudud (hukuman syariah) tidak dilaksanakan ianya tidak menjejaskan status sesebuah negara Islam. Inilah antara metod tawsif (mengesahkan ciri-ciri) yang digunakan. Terdapat beberapa metod lain yang turut digunakan seperti pendakwaan Islam sebagai peruntukan di dalam perlembagaan negara tidak akan diperuntukkan untuk negara bukan Islam, Menyangkal ketidak wujudan negara Islam menggunakan akal dan hujah dangkal, menolak pendakwaan lawan dan sebagainya.

Negara Islam Gagasan PAS

Negara Islam yang dimaksudkan PAS adalah negara Islam yang syumul dan menepati ciri-ciri Negara Islam Madinah pada zaman Rasulullah saw dan khulafa' ar-Rasyidin. Dengan merujuk kepada kesyumulan yang ada pada negara Islam zaman tersebut PAS turut mendakwa bahawa sesebuah negara tidak diistilahkan sebagai sebuah negara Islam sekiranya masih tidak melaksanakan perundangan yang berpandukan ajaran Islam. Ini sudah tentu melalui ketetapan terhadap perlembagaan sesebuah negara. Sekiranya Malaysia masih mengekalkan perlembagaan yang tidak mencerminkan perlembagaan Islam maka Malaysia tidak boleh diakui sebagai sebuah negara Islam.

Peruntukan Islam sebagai agama rasmi negara bukanlah menjelaskan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Ini kerana pentafsiran terhadap peruntukan itu hanya berkaitan urusan ibadat tanpa merangkumi aspek yang menyeluruh. Selagi tiada perlaksanaan perundangan Islam dan aspek-aspek lain secara lengkap maka PAS tetap tidak mengiktiraf Malaysia sudah menjadi negara Islam sebagaimana dakwaan UMNO.

PAS juga menegaskan bahawa negara Islam mestilah negara yang mendaulatkan syariat Allah swt, dan tidak boleh memisahkan diantara politik dan agama. Pemisahan di antara politik dan agama adalah ideologi yang bertunjangkan sekularisme. Ideologi ini pernah menyaksikan tumbangnya khilafah Islamiah Turki Uthmaniah. Adakah ideologi yang sama boleh digunakan untuk membentuk negara Islam? Apapun itulah yang sedang dilakukan oleh UMNO!

Selain dari teori-teori yang dikemukakan PAS turut melakukan penjelasan terhadap teori negara Islam melalui pelbagai cara. Antaranya ialah melalui penghasilan buku bertajuk: Konsep Negara Islam dan Matlamatnya oleh Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Pemangku Presiden PAS dan buku Model kerajaan Islam oleh YB Haji Haron Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Selain itu penghasilan kertas-kertas kerja serta seminar berkaitan penjelasan negara Islam turut giat diadakan. Melalui ceramah, kuliah, dan pelbagai wasilah digunakan oleh PAS demi memastikan kefahaman masyarakat terhadap gagasan negara Islam yang sebenar. 

Konklusi:

Usaha-usaha untuk mewujudkan negara Islam itu tidak pernah berhenti, walaupun terlalu sukar gagasan tersebut akan terlaksana. Hari ini mungkin hanya baru Kelantan dan Terengganu yang dianugerahkan kepimpinan penuh PAS (BA), mana tahu suatu hari nanti seluruh muka bumi Malaysia akan dianugerahkan Allah sebagai kejayaan kepada usaha tersebut. Tuntasnya, gagasan negara Islam bertitik tolak dari era kebangkitan dan kepimpinan ulamak.

UMNO tentunya akan terus berusaha keras bagi menghalang usaha murni PAS itu. Mereka mungkin akan menggunakan pelbagai kelebihan yang dimiliki termasuk berusaha mencari calon-calon ulamak atau ulamak-ulamak muda supaya mendokong UMNO suatu hari nanti. Atau paling tidak pun menjadi 'keldai-keldai' suruhan mereka supaya berusaha keras memenangkan mereka.

Tidak hairanlah jika ulamak-ulamak hari ini ada yang dilabelkan ulamak su' (jahat), kerana jika diteliti dari lipatan sejarah terdahulu telah ramai dari golongan tersebut yang telah diperdayakan. Apa yang penting janganlah sesekali bercita-cita untuk menuju ke arah tersebut.

Samada gagasan negara Islam akan kekal bersama era kepimpinan ulamak atau sebaliknya sama-samalah kita tunggu dan lihat. Tetapi yang pastinya jika era ulamak berakhir, gagasan negara Islam tidak sekali-kali akan berakhir. Ia akan terus mara seiring dengan perubahan zaman dan suasana. Takbir!


Oleh,

Syamsul Bukhari, Fakulti Syariah, Al Azhar.

Sila klik Respon/Komen

 

23 September 2002/ 16 Rejab 1423 | Isnin | 9.06 am

Rencana: Pandangan Siasah

Oleh: Syamsul Bukhari

Era Ulamak dan Gagasan Negara Islam

TIDAK dinafikan signifikasi yang diterjemahkan dalam perjuangan sesebuah harakah islamiah - tanpa merujuk kepada mana-mana pertubuhan - adalah sama iaitu mengembalikan tertegaknya negara Islam atau khilafah Islamiah, tetapi mungkin wasilah dan pendekatan yang diambil berbeza-beza mengikut kesesuaian masa dan suasana. Ini disebabkan berlakunya perselisihan ijtihad terhadap perkara-perkara cabang yang tidaklah menjejaskan perkara usul. Justeru di antara pendekatan yang diambil adalah melalui wadah perjuangan demokrasi berpaksikan kaedah pilihanraya.

Dalam senario politik tanahair pun tidak terkecuali. Perjuangan melalui demokrasi dan pilihanraya telah lama diamalkan. Semenjak sebelum kemerdekaan tanahair sehingga kini, wadah ini tidak dianggap tidak sesuai dengan angin politik Malaysia kecuali mereka yang berideologi demokrasi bukanlah cara yang terbaik akan menolak konsep pilihanraya tersebut. Setakat ini melalui pilihanraya ada perkembangan yang baik telah berlaku. Selain memantapkan percaturan politik Malaysia, bahang kebangkitan ulamak dan penyertaan mereka ke arena politik semakin dirasai.

Era Ulamak PAS

Era ulamak atau lebih tepat disebut era kepimpinan ulamak di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), telah bermula semenjak zaman Allahyarham Datuk Asri Muda ketika mana golongan pemuda menyuarakan idea tersebut di dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas sekaligus mencabar kepimpinan Asri yang ketika itu dianggap nasionalis berhaluan kiri.

Kesan daripada cetusan Pemuda tersebut, Asri meletak jawatan sebagai Presiden PAS dua hari sejurus usai muktamar PAS 1983 itu. Asri tidak berdiam diri. Perjuangan beliau diteruskan dengan menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM) tetapi kemudiannya bergabung dengan UMNO melalui BN.

Tuan Guru Hj Yusuf Rawa meneruskan perjuangan PAS melalui era kepimpinan ulamak. Meskipun Asri keluar dari PAS ianya tidak menjejaskan PAS kerana agenda kepimpinan ulamak yang diteruskan diterima baik oleh ahli-ahli PAS kecuali segelintir penyokong Asri. Namun tidak memberikan kesan yang teruk terhadap PAS.

Era ini selain menampakkan gabungan ulamak yang sedia ada di dalam PAS seperti Hj Yusuf Rawa dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut meriah dengan penyertaan ulamak-ulamak muda yang berhijrah dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke dalam PAS. Tokoh-tokoh tersebut seperti Almarhum Datuk Fadzil Nor, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa nama lain. Sebaliknya beberapa tokoh agama lain dalam ABIM beralih kepada UMNO. Inilah cabaran pertama PAS mendepani golongan ulamak berjiwa UMNO.

Peralihan ABIM kepada UMNO

Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan tonggak utama ABIM menyertai UMNO sehingga memperlihatkan peralihan sokongan ABIM kepada UMNO yang sebelum itu bersifat kontra. Penyertaan Anwar Ibrahim yang berfikrah Islam itu ke dalam UMNO bertujuan mengislah UMNO, sebaliknya ditugaskan untuk berhadapan dengan pengaruh kebangkitan Islam melalui era kepimpinan ulamak dalam bi'ah politik PAS. Kesan daripada itu Anwar menentang PAS dan ABIM berjuang seiring dengan UMNO dan bertungkus lumus untuk memenangkan UMNO di dalam pilihanraya semenjak penglibatan Anwar sehingga pilihanraya 1995. Namun setelah Anwar ditendang dari UMNO melalui kospirasi politik yang memalukan pada September 1998, senario perjuangan ABIM mula kucar-kacir.

Kerajaan BN ketika itu telah mencanangkan proses-proses islamisasi melaui UMNO, selain projek-projek pembangunan yang rata-rata dikagumi rakyat. Dasar ini selain diperkenalkan oleh ulamak-ulamak UMNO juga merupakan gagasan aspirasi Anwar semenjak keterlibatan beliau di dalam arus politik UMNO. Penubuhan beberapa institusi berteraskan Islam adalah beberapa contoh yang telah diperkenalkan. Wujudnya bank Islam, Universiti Islam, Pusat Islam dan sebagainya. Inilah sumbangan besar ABIM mewarnai politik UMNO sekitar 1982-1998. Mungkin tidak keterlaluan jika diistilahkan kefahaman ABIM terhadap politik dan gagasan negara Islam hanyalah seputar proses Islamisasi. Tetapi wajar kita berterima kasih kerana sedikit sebanyak melalui perlaksanaan projek tersebut telah membuka pandangan masyarakat terhadap perkembangan Islam.

Tetapi, apakah melalui perlaksanaan dasar islamisasi tersebut sudah tertegaknya negara Islam? 

Penyertaan Ulamak Dalam Politik UMNO

UMNO turut merasai akan era kebangkitan ulamak di dalam siasah PAS. UMNO mula meniru rentak gaya politik yang dimulakan PAS dengan meng-import tenaga-tenaga agama berfikrah establishment ke dalam ruang politik yang dimiliki. Penglibatan tokoh-tokoh agama seperti Wan Mokhtar, Yusuf Nor, Hamid Othman, Nakhaie Ahmad, Dasuki Ahmad, Zainal Abidin Abdul Kadir dan beberapa nama terkemudian memperlihatkan adanya sokongan ulamak terhadap kerajaan BN alias UMNO. Penglibatan ulamak-ulamak UMNO ini asalnya bertindak sebagai penasihat kepada arus politik UMNO, tetapi sebaliknya yang berlaku. Mereka pula akhirnya yang mesti mengikut telunjuk politik UMNO yang kotor itu.

Mungkin ada di kalangan ahli-ahli UMNO yang merasa lega apabila penglibatan ulamak-ulamak dalam arena politik UMNO, sedangkan kelegaan itu hanya kerana mereka tidak tahu ulamak-ulamak yang menyertai UMNO umpama orang suruhan dan mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin UMNO semata-mata. Jadi, bolehlah dikatakan pertembungan PAS dan UMNO juga adalah pertembungan era kepemimpinan ulamak PAS dengan golongan ulamak UMNO selain daripada petembungan antara akidah Islamiah dengan ideologi sekular. 

Pertembungan ini bukan sahaja dari segi fikrah dan pandangan tetapi UMNO turut menurunkan ulamak- ulamaknya untuk bertanding menentang PAS di dalam gelanggang pilihanraya. Ini kerana pengaruh golongan ulamak atau agama di kawasan majoriti Melayu boleh disifatkan sama kuat sama tanding - apabila pengundi adalah bukan dari kalangan penyokong tetap sesuatu parti. Misalnya antara tokoh ulamak UMNO yang diturunkan untuk menentang PAS ialah Fadzil Hanafi, Zainal Abidin Abdul Kadir, Hamid Othman dan beberapa nama lain lagi.

bersambung... [datang lagi, artikel bersambung bila diupdate nanti]

Sila klik Respon/Komen

 

20 September 2002/ 13 Rejab 1423 | Jumaat | 18.18 pm

Duit: melupakan kita!

Apa yang diperlukan untuk membuat keputusan? Tentu boleh disenaraikan. Tetapi untuk melaksanakan teori-teori itu kadangkala tidak tercapaikan oleh si pembuat teori itu sendiri.

Saya memilih beberapa teori untuk menyelasaikan masalah. Masalah pertama: masalah duit. Saya mengemukakan teori sendiri, apabila saya tidak ada duit saya perlu memintanya daripada orang yang boleh memberi say duit. Jika di zaman persekolahan saya dulu, duit adalah benda yang paling susah saya nak minta dari ayah. Ini mungkin sebab saya menyedari ayah bukan orang kaya. Jadi kehidupan saya dipengaruhi oleh keadaan ayah yang sedemikian. Jika saya perlu menggunakan juga duit itu, saya akan meminjam dari kawan-kawan saya. Meminjam atau berhutang adalah perkara yang saya tidak suka meskipun saya terpaksa melakukannya dalam waktu-waktu tertentu. Ini mungkin kerana apabila meminjam, saya juga perlu bersedia untuk membayarnya semula. Jadi proses yang diperlukan untuk membayar semula ialah memikirkan bagaimana untuk mendapatkan duit lagi. Sebab itu dari kecil saya selalu 'segan' untuk meminjam duit.

Semasa tinggal di asrama ayah biasanya membekalkan saya Rm 100 hampir setiap bulan. Jumlah itu tidak tetap. Kadang-kadang kurang dan adakalanya melebihi dari jumlah asal. Duit itu saya gunakan untuk membayar yuran asrama yang ketika itu bernilai Rm 60 sebulan. Jadi dari baki membayar yuran asrama itulah saya gunakan sebagai saraan hidup sepanjang sebulan. Dalam sebulan saya yang belajar di sekolah berasrama penuh dibenarkan pulang bercuti dua kali sebulan. Peluang bercuti kadangkala merunsingkan saya. Saya akan pulang ke rumah emak saudara saya di Jitra, sementara sekolah saya di Arau. Duit untuk tambang juga perlu difikirkan. Untuk pulang atau tidak pulang? Biasanya saya memilih untuk pulang.

Saya merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada mereka yang pernah menghulurkan saya duit. Terima kasih. Ini kerana dengan huluran mereka itu saya mampu memiliki beberapa perkara yang tidak mungkin saya miliki jika saya tidak dihulurkan duit-duit tambahan tersebut. Menerima duit seperti menerima hadiah pada saya. Kalau ditolak mungkin pemberi akan berkecil hati, justeru menerima adalah sikap menghargai pemberian. Untuk lebih menghargai saya gunakan untuk sesuatu yang penting.

Itulah hari-hari lalu saya!

Hari-hari hidup sebagai orang saraan. suatu hari nanti saya pula yang akan menjadi penyara. Justeru saya perlu bersedia menjadi pengurus duit yang cekap. Ini kerana dengan kecekapan akan menyelamatkan banyak perkara. Teori-teori yang lain akan terus tercipta untuk menyelesaikan pelbagai masalah tersebut..

Tetapi selalunya kita mudah lupa. Betullah kata Dr M: Melayu mudah lupa [Tetapi-Melayu-bukan-pelupa]. Ini kerana orang yang mudah lupa selalunya dikaitkan dengan perkara lain. Perkara yang saya maksudkan itu banyak satu darinya adalah duit. Bila Melayu disogokkan dengan duit, Melayu mudah lupa. Bila ada duit ramai yang lupa untuk bersyukur pada Tuhan. Bila ada duit ramai yang sangka duit itu hasil usahanya semata-mata... sedangkan duit itu adalah rezeki. Dan rezeki datangnya dari Allah. Masa saya tidak ada duit, saya meminjam dari kawan-kawan. Budi mereka saya hargai. Tetapi bila saya ada duit mereka pula tiada bolehkah saya jadi seperti mereka? Kadang-kadang saya lupa saya pernah ditolong orang. Saya lupa untuk menolong orang lain pula. Tetapi saya bukan pelupa.

Beberapa hari lepas pinjaman saya diluluskan. Alhamdulillah. Saya bercadang untuk tidak dihebohkan tentang itu. Ini bertujuan kerana saya mahu menunaikan satu impian saya iaitu untuk memilik 'JASA'. Untuk memiliki Jasa saya perlu menggunakan wang pinjaman itu. Sekiranya dihebohkan mungkin ada ramai dari kalangan kawan-kawan saya yang nak meminjam wang dari saya. Saya kadang-kadang berasa sedih, kerana waktu saya 'sengkek' tak ada yang mahu menghulurkan bantuan kepada saya. Tetapi bila mereka tahu saya ada 'lebih' berebut minta saya belanja, minta saya kasi pinjamlah, minta saya tolong beli itu dan ini dan sebagainya. Saya sedar saya tak patut lupa, mereka tak beri saya pinjam ketika saya 'kering' tetapi saya lagi tidak wajar kalau membalas sebegitu. Ini kerana saya memang kena lupa apa yang mereka buat dekat saya!

Tapi, walau bagaimana pun impian saya untuk memiliki Jasa akan saya dahului. Saya mencipta teori lagi. Biarlah apa yang mereka nak kata. Mereka sendiri tahu saya amat memerlukan Jasa. Saya dah maklumkan pada ibu dan ayah saya yang saya mahu memiliki Jasa melalui emel. Lebihan dari duit yang akan digunakan untuk memiliki Jasa akan saya gunakan untuk sara hidup. Saya harap sebelum duit Jasa habis untuk tujuan lain, baik saya simpan awal-awal. Sebab saya takut kalau-kalau saya akan terlupa yang duit itu untuk memiliki Jasa.

Saya bersyukur pada Allah dengan rezeki yang saya terima. Jalan Hidup, sekarang aku bahagia. Walaupun bahagia itu tidak selalu. Saya sudah berbincang dan ambil pandangan beberapa kawan tentang impian saya itu. Oktober nanti Jasa akan menjadi teman saya. Dan paling tidak Jasa adalah hadiah hari lahir saya (16 Oktober).

Sila klik Respon/Komen

 

17 September 2002/ 10 Rejab 1423 | Selasa | 10.15 am

Catatan Satu

.:Catatan moden dari zaman klasik:.

Kalaulah encik khairul baca!

Tentu di kalangan pemilik dan pembaca jurnal pernah membaca jurnal encik khairul ada di sini. Kalau belum pernah membaca cuba-cubalah ke sana. Ini bukan promosi jurnal encik khairul, tetapi ini hanya sekadar ulasan aku terhadap jurnal encik khairul. 

encik khairul menulis tetang catatan kerjanya. Secara majoriti isi jurnalnya ditumpahkan melalui catatan yang sarat dengan idea dan pemikiran. Beliau adalah antara salah seorang jurnalis yang menulis dengan menggunakan bahasa yang cantik. Jurnal beliau tentang catatan kerja itu dinamakan catatan klasik untuk masa depan. 

Catatan saya pada 15 September 2002 yang lalu, sengaja saya namakan sebagai catatan moden yang dipesan dari zaman klasik. Kalau encik khairul telah lama menulis dengan wacana 'catatan klasik untuk masa depan' saya pula baru menulis 'catatan moden yang dipesan dari zaman klasik.' Saya tidak bertujuan untuk meniru encik khairul. Pada saya jurnal Pujangga Online - Jalan Hidup kekal bertemakan catatan- catatan berkisar Jalan Hidup saya alias catatan-catatan yang akrab dengan tema yang saya ingini.

Tetapi persoalannya mengapa saya beralih untuk juga mencatatkan 'catatan moden yang dipesan dari zaman klasik?' Itu persoalannya. Baik untuk menemukan jawapan terhadap persoalan itu saya ingin mengajak anda berfikir sejenak.

Pertama kita lihat maksud dari 'catatan klasik untuk masa depan' milik encik khairul. Secara zahir makna catatan klasik untuk masa depan ialah: catatan itu ditulis dan apabila dibaca pada masa depan ia menjadi catatan klasik. Ini kerana catatan itu ditulis oleh penulis klasik. Malah catatan itu adalah mungkin berbentuk pesanan dari zaman klasik apabila ia dibaca oleh generasi masa depan pesanan itu datangnya dari zaman klasik.

Ini berbeza dengan catatan saya di Jurnal Jalan Hidup. Catatan saya ialah 'catatan moden yang dipesan dari zaman klasik.' Maksud catatan saya pula ialah: Catatan itu adalah catatan moden. Segala idea dan pandangan yang dilemparkan adalah menjelaskan zaman moden, tetapi ianya dipesan pada zaman klasik. Zaman klasik pada saya ialah zaman yang telah saya lalui dan zaman yang sedang saya tempuhi. Itulah zaman klasik saya. Pada zaman itu alias zaman klasik saya itu, saya adalah pemesan kepada catatan moden itu. Kenapa dinamakan catatan moden? Pertama: tidak meniru catatan klasik encik khairul. Kedua: sebab catatan itu berupa idea, pandangan, impian, harapan perjuangan dan kehidupan saya untuk zaman moden. 

Saya secara ikhlas mengkagumi catatan-catatan encik khairul. Banyak catatannya berupa idea dan pemikiran (pada pandangan saya). Dan saya rasa encik khairul ada hujah tersendiri mengapa catatan-catatan itu dinamakan catatan klasik untuk masa depan. Mungkin saya cuma meneka untuk masa depan encik khairul catatan-catatan yang ditulisnya hari ini dan masa lalu sudah boleh dianggap catatan klasik. Berlainan pula halnya dengan saya.

Saya ada idea, saya ada pandangan, cetusan pemikiran, apa yang saya pelajari, impian saya, harapan, perjuangan dan kehidupan saya pada zaman moden atau masa depan. Tetapi idea, pandangan, pemikiran. impian dan harapan kehidupan saya itu hanya boleh dilakarkan di sini sebagai catatan moden yang saya pesan untuk masa depan saya, tetapi ianya ditulis pada zaman klasik lagi. Zaman klasik pada saya pula ialah zaman sekarang dan telah lalu. Bermakna pesanan itu datangnya dari zaman saya sekarang. Zaman mahasiswa yang disarati idea, pemikiran, pandangan dan impian serta harapan. 

Saya impikan satu masa nanti akan jadi begini dan begitu... dan saya tulis awal-awal lagi di zaman klasik saya. Untung-untung bila saya sudah berada di zaman moden atau masa depan saya nanti saya boleh membaca balik apa yang saya impikan pada masa tersebut padahal saya telah mencatatnya di zaman klasik lagi.

Saya tidak tahu suatu hari (zaman moden saya) nanti saya akan jadi apa? Pensyarah, guru, ahli perniagaan, kaunselor, pilot atau apa-apa jua. Tetapi impian itu telah ada sekarang. Padahal saya hanya akan dapat bila saya sudah berada di zaman moden nanti. Justeru impian saya untuk menjadi tenaga pendidik untuk zaman moden saya adalah catatan untuk saya kejar bermula dari zaman klasik saya. "suatu masa nanti saya adalah salah seorang tenaga pendidik." Untuk tujuan itu saya perlu berusaha dari sekarang untuk memungkinkan impian dari catatan moden saya yang telah dipesan di zaman klasik tidak saya abaikan.

Catatan moden yang dipesan dari zaman klasik saya ringkaskan menjadi catatan moden dari zaman klasik. Seperti apa yang pernah ditulis encik khairul, hidup ini tidak sama seperti apa yang berlaku di dalam filem atau apa yang kita tonton di panggung wayang. Dalam filem apa yang sukar berlaku di dunia realiti pun boleh terjadi. Kerana itu ia dinamakan lakonan. Dalam dunia realiti kita mungkin seperti pelakon-pelakon itu, tetapi kesudahan lakonan kita itu tidak kita ketahui. adakah kita memegang watak baik? atau watak antoganis? Tetapi yang pastinya, apa yang paling kita nak, itulah yang paling susah kita nak dapat. Jadi perlulah kita berusaha untuk menjayakan impian kita itu.

Bayangkan kalau Allah beri umur saya panjang, saya mungkin akan membaca semula catatan yang saya namakan catatan moden ini, pada masa depan tersebut. Mungkin masa depan itu adalah antara 2010,2020,2030,2040 dll. Dan impian saya yang ingin saya catatkan pada zaman moden saya untuk menjadi salah seorang tenaga pendidik telah saya pesan dari zaman klasik.

Catatan Dua

Teori andaian kehidupan

Hidup ini; tidak setepat teori

Hidup ini kata orang ibarat roda-roda kehidupan. Roda itu berputar-putar. Kadang-kadang roda itu akan berputar ke atas dan kadang-kadang pula berada di bawah. Bayangkan roda yang berputar itu ditandakan pada satu bahagian, pastinya tanda itu tidak berada pada satu tempat; ia berubah-ubah.

Tetapi saya tidak melihat kehidupan ini pentakrifannya hanya seperti roda semata-mata. Kadang-kadang perlu ditasybihkan dengan perkara lain. Barangkali kita boleh mentasybihkan kehidupan dengan perkara lain yang lebih membuka minda. Cubalah pula bayangkan kehidupan ini seperti memanjat tangga, mengejar bayang-bayang, mendaki gunung atau sebagainya.

Andaian pertama: Kalaulah hidup ini umpama seperti memanjat tangga. Tangga itu pula tingginya entah setinggi mana. Kita tidak tahu di mana penghujungnya. Oleh sebab itu seribu kemungkinan berlaku sepanjang tangga itu dipanjat. Memanjat tangga perlukan ketelitian, keprihatinan, kecekalan dan macam-macam. Memanjat semakin tinggi semakin gayat. Ini dirasai oleh kebanyakan orang. Bagaimana kalau kehidupan pula? Perlukan untuk merasai kegayatan itu? Tanyalah diri sendiri kalau nak andaikan hidup ini seperti memanjat tangga.

Andaian kedua: Kalaulah pula hidup ini diandaikan seperti mengejar bayang-bayang maka perjuangannya di waktu siang dan bercahaya tidak pernah berakhir. Tiap kali bayang-bayang muncul, mengejarnya tidak pernah dapat. Bayang-bayang adalah apa yang mengikut diri bila ditemani cahaya. Bayang-bayang akan hilang bila manusia berada di dalam kepekatan kegelapan. Di dalam kegelapan bayang-bayang menyusup ke dalamnya. Pada masa itu bayang-bayang tidak kelihatan lagi. Ke mana perginya bayang-bayang itu? Kenapa ianya tidak bersama kita semasa kegelapan? Kenapa dia tak nak bersama menemani? Kenapa bayang-bayang itu perlu lari?

Andaian ketiga: Baiklah, andaikan pula jika kehidupan ini ibarat mendaki gunung pula. Di dalam pendakian gunung pelbagai kelengkapan dan persedian sebelum pendakian perlu disiapkan. Antaranya kelengkapan seperti tali, pisau, pakaian dan kasut yang bersesuaian yang berkaitan pendakian. Selain itu perlu juga pendaki tersebut memiliki ketahanan, tenaga yang mencukupi dan keberanian untuk menempuh pelbagai rintangan untuk pendakian tersebut. Adakah akrab diibaratkan kehidupan ini seperti mendaki. Mendaki bukanlah sesuatu aktiviti yang senang. Mendaki akrab dengan kesusahan. Hatta kalaupun pendakian itu dibuat dengan menggunakan bantuan kenderaan sekalipun masih terdapat kesusahan. Itulah resam pendakian. Kehidupan bagaimana? Adakah seperti pendakian yang sering diselubungi kesusahan dan keperitan untuk menuju ke kemuncak.

Apapun teorinya (yang saya kemukakan cuma tiga) kehidupan adalah sebuah perjuangan. Dan perjuangan itu hanya akan berakhir bila sudah tiba di terminal terakhir. Sementara menanti isyarat ketibaan di terminat terakhir kita maih sempat untuk menyediakan bekalan secukupnya atau selebihnya.

"Nikmat itu kadang-kadang tidak disedari, hanya apabila ia telah hilang barulah manusia benar-benar terasa." kata-kata pujangga~

Sila klik Respon/Komen

 

15 September 2002/ 8 Rejab 1423 | Ahad | 7.45 am

Catatan Satu

~Catatan Moden yang dipesan dari zaman klasik~ 

Antara saya dan aku?

Kalaulah saya timbulkan satu persoalan. Apa beza antara saya dan aku? Aku menjawab:Aku dan saya tidak ada beza. Saya berkata: Saya dan aku ada beza. Aku menafikan. Kata aku sambil ketawa: Beza antara aku dan saya ialah pada ejaan. Aku terdiri dari abjad A.K.U sedangkan saya terdiri dari empat abjad iaitu S.A.Y.A. Jelas aku.

Saya berkata: Bukan. Aku terkedu mendengar jawapan saya. Habis? Kata aku. Saya mencari ide. Kemudian saya berkata: Saya...cerdik. Soal aku pula: Aku? Saya menjawab: ...bodoh! Giliran Saya pula ketawa dapat mengenakan aku. Saya cerdik aku bodoh! Ulang aku... sambil memaksudkan dirinya saya bukan aku.

Tetapi antara saya dan aku yang mana paling sesuai digunakan dalam pertuturan? Soal saya. Itu persoalan yang hendak saya utarakan pada aku di sini. Pada saya berkata dengan ganti diri aku, lebih kasar berbanding saya. Antara hujah saya. Saya tidak gemar bergantikan diri dengan menggunakan aku terhadap orang yang lebih tua dari saya. Saya akan menggunakan saya. Bukan itu sahaja saya tidak juga menggunakan aku jika bertutur dengan orang yang belum atau baru dikenali. Tetapi saya juga menggunakan ganti diri aku. Bila? Dengan orang yang rapat dengan saya. Contoh? Kawan-kawan saya. Saya lebih suka menggunakan ganti diri aku. Begitu juga bila mereka bertutur dengan saya, mereka juga menggunakan aku sebagai ganti diri mereka.

Aku rasa aku lebih mudah untuk menunjukkan mesra. Aku berhujah. Saya diam mendengar. Kalau dengan orang yang belum atau baru kenalpun aku gunakan aku juga? Soal saya kepada aku. Aku gunakan saya. Jawab aku mendatar. Kenapa? Aku rasa saya bila aku gunakan untuk orang yang belum dikenali atau baru dikenali lebih sesuai sebagai tanda hormat. Mereka tidak boleh kata aku sombong bila aku gunakan ganti diri saya. Jelas aku. Saya tersenyum.

Dengan ibu kau? Tanya saya. Aku menjawab: Aku bahasakan nama aku sahaja. Kenapa tak bahasakan saya sahaja? Soal saya. Aku lebih suka membahasakan nama dari menggunakan saya. Jelas aku. Kau pula? Soal aku pada saya. Saya tetap bahasakan saya. Sebab ibu saya orang yang saya hormati dan dia lebih tua dari saya.

Saya dan aku terdiam seketika. Saya mencari ide untuk menyoal aku lagi. 

Kau menulis jurnal online kan? Soal saya pada aku. Aku mengiyakan. Apa yang dibahasakan saya atau aku? Aku menjawab sepontan: Tentulah aku. Kenapa tak guna saya saja? Saya rasa saya lebih mesra untuk berkomunikasi dengan pembaca-pembaca jurnal. Mereka akan rasa lebih mesra membaca tulisan yang membahasakan diri sebagai saya. Aku berfikir. Betul juga kata saya.

Tetapi sepanjang menulis dengan membahasakan aku, tidak pula aku tersa janggal. Sememangnya aku berkomunikasi dengan pembaca dan jurnalis yang lain menggunakan ganti diri aku. Jelas aku. Tiada kesan negatif selama berjurnal. Aku membaca catatan jurnalis lain. Mereka juga membahasakan aku, seperti juga aku.

Ada tak jurnalis yang gunakan ganti diri saya? Soal saya. Ada. Jawab aku. Tetapi rasanya tidak ramai. Ramai yang gemar guna aku. Antara yang aku ingat guna ganti diri saya seperti encik khairul, Tok Rimau dan mungkin ada beberapa jurnalis lain yang aku tak ingat. Jelas aku. Kenapa lebih ramai yang suka guna aku? Soal saya. Mungkin dunia jurnal begitu. Jelas aku sambil tersenyum.

Panjang perbincangan antara saya dan aku. Cuma sedikit sedutan dimasukkan di dalam catatan ini. Akhir perbincangan aku berkata pada saya.

Aku nak cuba guna ganti diri saya pula. Tapi aku belum pasti sejauh mana aku akan berjaya. Cubalah. Dorong saya. Aku tersenyum dan kami berpisah.

Catatan Dua

Itu bukan bidang aku!

Ada orang bertanya anda persoalan yang bukan bidang anda. Sebagai contoh anda mahasiswa yang baru menanmatkan pengajian dalam bidang undang-undang (tidak merujuk kepada mana-mana individu) ditanya persoalan berkaitan teknologi maklumat atau berkaitan komputer. Anda sendiri tidak tahu jawapan untuk persoalan itu kerana mungkin anda tidak pernah belajar perkara tersebut. Maklumat anda terhad. Anda menghadiri kuliah dan mengikuti pengajian yang telah disukat dengan sukatan pelajaran tertentu. Anda mungkin boleh menjawab aku tidak tahu, dan orang itu berlalu bersama persoalannya yang akan semakin membuntu itu.

Salahkah anda kerana tidak mampu menjawab. Bagi sesetengah masyarakat: mereka yang bergelar mahasiswa perlu tahu semua perkara. Ini kerana mahasiswa adalah orang terpelajar. Orang yang mampu menjejak kaki ke universiti bukan dari kelompok yang tidak bijak. Justeru tahu semua hal adalah tanggapan orang terhadap golongan siswa, sedangkan itu jarang terjadi bagi diri siswa berkenaan.

Saya memilih untuk meneruskan pengajian di Fakulti syariah dan Undang-undang, Jabatan Syariah Islamiah. Di dalam jurusan saya, saya mempelajari apa yang menjadi sukatan fakulti. Antara subjek yang perlu saya pelajari sepanjang tempoh pengajian 8 semester atau 4 tahun itu ialah: Tarikh tasyrie', Ulum Hadis, Fekah Mazhab Syafie, Fekah perbandingan mazhab, Tafsir ayat hukum, Hadis hukum, Bahasa Arab (Nahu/sorof/adab/balaghah), Bahasa Inggeris, Tauhid, Bahas (Tesis), Al-quran (8 juz untuk 4 tahun), Usul Fekah, Undang-undang kekeluargaan Islam, Perbincangan Fiqh kontemporari, Manhaj Dakwah, Undang-undang perwarisan dan Kaedah Fiqh. Itulah semua sukatan yang akan saya tempuhi dan pelajari sepanjang 4 tahun pengajian. Ini bermakna saya akan keluar sebagai graduan dalam bidang syariah islamiah yang tidak cukup semua ilmu. Begitulah juga dengan fakulti-fakulti yang lain. Untuk cukup semua ilmu perlu usaha sendiri. Usaha untuk belajar di luar kuliah.

Ini kerana Islam bukan hanya syariat. Memahami Fiqh tidak bermakna memahami Islam. Justeru Islam diutuskan bukan hanya syariat, malah akidah dan akhlak. Dengan hanya mempelajari fiqh mungkin akan mahir dalam bidang syariat tetapi dungu dalam masalah berkaitan perkara lain.

Mendalami sesuatu bidang ilmu adalah fardhu kifayah. Bermaksud di dalam sekelompok masyarakat sekiranya ada orang yang mendalami ilmu-ilmu fardhu kifayah tersebut maka baki yang lain terlepas dari berdosa. Ini kerana fardhu kifayah adalah kefardhuan yang bukan ditentukan atas setiap individu seperti fardhu ain. Meskipun begitu tidak terlepas dosa sekiranya kefardhuan itu tidak terlunas dengan adanya orang dari kelompok masyarakat itu yang melakukannya.

Menuntut ilmu keduniaan seperti ilmu sains, ilmu kedoktoran, kejuruteraan, ilmu ketenteraan, ilmu pertanian, ilmu perindustrian, ilmu pengurusan dan ilmu-ilmu yang menjuruskan untuk memahami Islam secara lebih seperti ilmu tafsir, fekah, tajwid, Ulum hadis dan sebagainya adalah fardhu kifayah yang tidak boleh diabaikan supaya kemaslahatan umat Islam terpelihara. Justeru tidaklah menjadi sesuatu yang memalukan sekiranya saya tidak mampu menguasai semua ilmu-ilmu itu. 

Tetapi apakah yang perlu saya jawab kalau-kalau saya nanti di tanyakan itu dan ini tentang perkara yang tidak saya pelajari? Adakah perlu saya jawab itu bukan bidang aku!

Justeru saya menaruh impian yang tinggi agar sekurang-kurangnya kalaupun saya tidak mampu menguasai keilmuan dalam pelbagai bidang, saya ada sediit sebanyak pengetahuan di dalam bidang tersebut. Justeru kalaulah tidak boleh tahu semua perkara, tahu banyak perkara adalah lebih baik dari tidak suka mengambil tahu walaupun cuma satu perkara yang lain dari bidang anda!

"Hari ini bila ia datang, jangan biarkan ia berlalu pergi. Esok kalau ia masih bertandang, jangan harap ia akan datang kembali." Kata-kata pujangga~

Sila klik Respon/Komen

 

13 September 2002/ 6 Rejab 1423 | Jumaat | 17.45 pm

Catatan Satu

Hang Tuah sebuah lagenda?

Seorang kawan bawa vcd filem P. Ramli kisah 'Hang Tuah'. Pernah tengok cerita Hang Tuah? Kisah hang tuah dikatakan adaptasi dari lagenda Melayu. Mengapa ianya tidak dinamakan adaptasi dari sejarah Melayu? Persoalan yang memerlukan pendapat dari kalian!

Hang Tuah membunuh Jebat? Kalau melihat vcd filem tersebut sedikit terkilan kerana ada beberapa babak di dalam filem tersebut yang telah dipotong. Babak-babak tersebut bukanlah babak-babak lucah seperti kebanyakan yang diharamkan finas. Tetapi itu versi yang ada warna. Cerita P Ramli adalah filem hitam putih tetapi keistimewaan filem Hang Tuah ianya diwarnakan.

Khalayak penonton pasti akan membuat kesimpulan yang bermacam-macam selepas menonton filem itu. Tetapi kebanyakan yang menonton bersama aku menyimpulkan pemusatan kesilapan terletak pada Hang Tuah. Konklusi yang boleh dibuat setelah Hang Tuah (P. Ramlie) bertanya di akhir filem siapakah yang benar?

Lagenda akhirnya kekal lagenda. Jebat menderhaka kerana bela Tuah. Tuah sanggup bunuh Jebat kerana ketaatan pada sultan. Lupakah Tuah? Melur kekasihnya yang datang dari gunung Ledang terperangkap di istana? Tuah terpaksa bermuslihat untuk mendapatkan Tun Teja yang ayu itu untuk diserahkan ke tangan sultan? Lupakah Tuah sultan menghukumnya bunuh tanpa usul periksa kerana mendapati dia bertemu dengan Melur di istana atas perancangan Patih Karma wijaya? Lupakah Tuah pada persaudaraannya dengan Jebat. 

Ya... memang Tuah lupa. Memang Tuah tidak betah ingat itu semua. Yang ada pada Tuah hanya ketaat setiaannya pada sultan. Itupun sultan tidak sedar, apa yang Tuah lakukan untuknya...

Akhirnya Taming sari yang Tuah gunakan untuk mendapatkan pangkat di istana itulah yang digunakan untuk membunuh Jebat. 

Kata mereka: "Jebat derhaka patut terima padah. 

Kata Mak Tuah: "Jangan Jebat, Tuah sudah tiada, Jangan pula kau mengikut jejaknya."  

Kata Jebat: "Kematian Hang Tuah mesti kami tuntut bela Mak Long." dan "Sebenarnya Hang Tuah tidak mati, dia tidak boleh mati, dia hidup dalam tiap jiwa tiap-tiap orang." dan "Jebat Tak kan mati, hanya Tuah sahaja yang boleh membunuh Jebat." dan "Tuah akan ku bela Jebat akan bermaharajalela." dan "Suatu masa nanti kalau sesiapa bertanya kenapa Jebat menderhaka tentu orang akan menjawab kerana rajanya yang tidak adil." dan "Kerana kaulah aku berbuat ini semua Tuah." "Kalaulah aku tahu kau masih hidup Demi Allah dan Rasul tidaklah aku berbuat demikian Tuah!" 

Kata sultan Melaka:"Kalau Hang Tuah ada, dialah yang dapat menghapuskan malu." 

Kata orang-orang Melaka: Hidup Hang Tuah, Hidup Laksamana. 

Tetapi apa pula kata Hang Tuah?

Kata Hang Tuah:"Di dalam tubuh saya hanya mengalir satu perasaan saja iaitu taat setia pada raja saya." dan "Saya akan menanggung kesal seumur hidup" dan terakhir: "Saya tidak menangis dan saya tak mau menangis. Jika saya mengeluarkan semua air mata saya pun tak kan dapat membasuh lumuran darah pada tubuh si Melur dan Jebat. Mereka telah mengorbankan nyawa mereka kerana kematian saya padahal saya masih hidup! Siapakah yang benar? Jebatkah benar? atau Akukah benar?"

TAMAT

Sila klik Respon/Komen

 

11 September 2002/ 4 Rejab 1423 | Rabu | 16.50 pm

WTC: Ulang tahun pertama serangan ke atasnya!

Ucapan ulang tahun dari Jurnal Jalan Hidup

Setahun lepas pada tarikh yang sama WTC bangunan kebanggaan tamadun Amerika musnah. Kejadian itu mendapat ulasan dan pandangan yang berbagai-bagai oleh mulut-mulut yang berlainan.

Ada yang menyifatkan ianya sebagai satu kejadian yang wajar. Tidak kurang juga yang menegaskan bahawa itu adalah satu kejadian yang tragis dan tidak wajar. Apapun ulasannya kenyataan bahawa sistem keselamatan Amerika yang angkuh itu telah berjaya ditembusi dan serangan itu tidak penting berpunca daripada siapa. Ini kerana Amerika melalui kenyataan George W Bush presidennya terus mengeluarkan kenyataan bahawa kejadian itu didalangi oleh orang Islam berbangsa Arab dan menuduh Osama Bin Laden sebagai dalang yang bertanggung jawab. Persoalannya adakah benar Osama bertanggung jawab? Sedangkan Osama dalam masa yang sama menafikan keterlibatan beliau dalam kejadian itu. Adakah ini satu konspirasi?

Apapun kejadian itu menyedarkan Amerika bahawa sebagai kuasa besar ia tidaklah terkuat dan terhebat. Islam dituduh dan dianggap menganjurkan keganasan. Buktinya selepas itu jutaan Umat Islam yang berada di negara-negara barat tersepit dan hidup di dalam ketakutan. Mereka terpaksa berlindung dan mengurangkan aktiviti luar untuk mengelakkan daripada serangan atau amukan golongan yang diracuni bahawa setiap umat Islam adalah ganas dan kejam. Lihatlah dengan hanya satu kejadian yang tidak dapat dibuktikan dianjurkan oleh Islam, Islam menjadi mangsa. Golongan minoriti yang menetap di Amerika dikecam. Kebabasan untuk hidup sebagaimana sebelumnya tidak lagi diperolehi.

Lihatlah!

Apabila berlaku keganasan Islam dituding bersalah. Tetapi krisis yang didalangi Amerika dan barat yang berlaku di dunia Islam tidak pula dianggap keganasan. Ini adalah sesuatu yang benar-benar tidak adil. Umat Islam di Palestin setiap hari dibunuh, wanita-wanita mereka dirogol, anak-anak dan orang tua yang tidak berdaya ditembak dengan kejap, pejuang-pejuang mereka disembelih setiap hari oleh bangsa Yahudi dan zionis tidak pula dianggap keganasana, sebaliknya apa yang dianggap? Ariel Sharon dianugerah sebagai pemimpin yang adil dan memperjuangkan keamanan sejagat. Gila!.

Bayangkan andai umat Islam bersatu dan berpadu di bawah satu kesatuan.

Kesatuan akan membina kekuatan. Malah akan mengembalikan kegemilangan Umat Islam. Tamadun Islam pasca kejatuhan khilafah akan kembali. Umat Islam akan hidup dalam suasana aman tanpa penindasan dari golongan kafir. Namun apakah impian ini akan terlaksana? sedangkan Yahudi dan Kristian setiap hari memikirkan bagaimana untuk melenyapkan umat Islam dari atas muka bumi ini. Mereka tidak mahu Islam terus ada. Sebab itu Etnik di Albania diburu habis-habisan. Sehingga tamadun Islam yang terbina di Bosnia dimusnahkan habis-habisan. Al-Quds tidak betah untuk dilihat wujud. Umat Islam perlu pertahankan Al-Quds, kerana itu kiblat pertama kita!

Pedas bicara aku ini... menuntut pelbagai, walau hanya memilik kocek yang kecil, dan tiada apa-apa kuasa politik untuk memungkinkan semua ini. Itu cuma helah dan alasan semata-mata. Bukankah kita masih boleh terus berusaha? Tanyalah diri sendiri. Justeru... ayuh kita mulakan dengan doa dan solat hajat. Kita lakukan dengan ikhlas. Semoga Allah akan anugerahkan kegemilangan Islam semula kepada generasi kita. Ingat bumi ini kita pinjam daripada generasi akan datang, mereka yang telah pergi hanya mewakilkan kepada kita untuk memulangkan semula kepada generasi akan datang iaitu generasi anak cucu kita. Andai Umat Islam juga terjebak kebejatan sosial yang dianjurkan kafir, apalah yang akan diberikan kepada generasi akan datang. Bayangkan kalau setiap hari ada sahaja penzinaan berlaku yang akhirnya menyebabkan kelahiran anak luar nikah. Apalah nasib anak itu apabila membesar tidak berbapa. Ini adalah sesuatu yang biasa di barat tetapi jangan jadikan biasa di negara umat ISlam.

Di mana permulaannya? jawapan yang biasa dilontarkan ialah pergaulan bebas. Pergaulan bebas adalah punca perzinaan dan jenayah-jenayah lain.

Bagaimana mengubatinya? Satu persoalan yang perlukan tindakan bukan sekadar jawapan semata-mata. Banyak perkara yang perlu diislah di dalam dunia Islam.

Dalam keadaan umat Islam lemah itu, ia terus menjadi sasaran barat dan provokasi media massa yang tidak bertanggung jawab memburukkan imej Islam seburuk-buruknya.

Justeru marilah kembali kepada Islam yang hakiki.

Sila klik Respon/Komen

 

8 September 2002/ 1 Rejab 1423 | Ahad | 18.45 pm

Cerpen: Hingga Titisan Terakhir (Balada seorang satria)

Sebuah Karya Nukilan Akhi Masrawi

Ianya sesuatu yang menyakitkan. Benar. Aku pernah merasainya suatu masa lalu. Dan perasaan itu menghantuk tirai rasa hingga saat ini. Bermula kala kita dipisahkan oleh sebuah ketentuan. Meski ia tidak betah untuk berulang kembali, namun ingatan itu terpaksa kusematkan di saku ingatan.

Bisikan temanku di pagi hari sebelum dia gugur syahid masih tergiang-ngiang. Katanya: " Hari ini aku bakal menemui sesuatu yang telah lama aku idamkan." Aku hanya faham maksudnya, setelah dia benar-benar gugur.

Aku tidak pasti apa yang kau rasai saat itu. Melihat manik-manik jernih mengalir dari tubir matamu, jiwaku dihantuk lara. Memori lalu tersingkap satu demi satu. Kala kita melepaskan ikatan yang telah sama-sama kita simpulkan itu kerana aku mesti meneruskan langkah ke medan jihad. Jika kau juga menangggung derita seperti apa yang aku alami; pastinya mimpi kita berulit pada satu titik kisah yang sama. Sehinggalah tika warkah ini kutitipkan benih-benih cinta yang pernah tersemai di hati ini belum mati meski ia tidak pernah sesubur dulu setelah kita berjauhan.

Sayang,

Izinkan aku memanggilmu sebegitu. Rahsia untuk mewujudkan mesra. Ujar temanku yang sudah beristeri. Katanya: "Aku tinggalkan isteriku kerana cintaku kepada syahid melebihi sayangku pada manusia." Aku dihantuk kelelahan kerana tidak sehebat dia. Aku tidak pernah memanggilmu sayang bukan? Maafkan aku. Aku telah cuba dahulu, namun aku buntu. Pendirianku tidak mahu mengajar seorang tunang sepertimu menjadi manja sehingga tidak mampu melepaskan aku ke medan juang sewaktu negara amat memerlukan prajurit demi mempertahankan watan. Ya... negara memerlukan pejuang. Kini, meski aku seorang prajurit yang sering ganas dan keras di medan juang; usah kau lupa aku jua punya secebis perasaan halus untuk saling kasih-mengasihi, sayang-menyayangi malah cinta-mencintai.

Kau tentu lebih ingat daripada aku tentang bagaimana kita menjalin cinta itu sehingga ia sukar dipisahkan. Aku yang kala itu bengap persoalan kasih sayang tergagau mencari cahaya dari lilin cinta yang kau nyalakan. Aku tidak pernah menjalin hubungan kawan dengan perempuan. Pendidikan memisahkan aku. Arwah ibu mahukan aku mengikut jejak para ilmuwan Islam. Aku dihantar ke sekolah aliran agama. Aku dididik dalam biah tanpa percampuran dengan perempuan. Sekolah putera mengajar untuk menjadi lelaki sebenar. Kesannya aku tidak kenal apa itu percintaan sehingga keluarga mengikat kita dengan ikatan pertunangan. Kau mula mengajarku erti kasih, sayang, cinta dan rindu yang tidak pernah mengusik jiwa remajaku sebelumnya.

Sayangku,

Kala aku melakarkan marsum ini mentari terik di luar khemah. Panasnya membahang membakar epidermis kulit yang terdedah pada panahan mentari. Butir-butir pasir bagai menyala-nyala menjadi bara dipanah pancaran cahaya panas. Tekak sering dililit rasa dahaga. Kami sedang beristirehat selepas menunaikan solat khauf. Berkhemah di sebuah kawasan oasis padang pasir di sebuah gurun jauh dari permukiman kedamaian. Tengahari tadi segerombolan tentera musuh pantas kami kalahkan. Kesemuanya jatuh tersembam menyembah bumi. Hanyir darah mereka di pedangku masih bersisa. Barangkali esok-esok pedang ini akan meragut nyawa-nyawa manusia lagi. Tentu kau tahu... tugas prajurit. Kami perlu sentiasa sering berjaga-jaga. Musuh berada di mana-mana.

Pedangku memang tidak mengenal nama-nama mangsa. Tanpa menghitung tua, atau muda dari kalangan lelaki durjana tentera musuh pasti akan aku penggal setiap yang mampir ke arahku. Atau aku yang mara ke arah mereka melancar serangan. Akhirnya episod hayat musuh disudahi kepala mereka tergolek-golek jatuh ke bumi. Nyawa mereka berakhir dan aku terus mara. Tentunya isteri-isteri, anak-anak, ibu-ibu, bapa-bapa mahupun tunang-tunang mereka yang kubunuh sedang menanti penuh harapan kepulangan mereka, seperti kau menanti kepulangan perwiramu ini.

Loya tekakmu kukira tika membaca catatan ini. Aku umpama seorang algojo yang gilakan darah dan batang leher manusia. Tetapi itulah kekuatan yang perlu dimiliki sewaktu pertempuran. Nyawa musuh tertulis di kilauan mata pedangku. Tiada polis yang akan menangkap kerana membunuh sebanyak mana pun. Tiada mahkamah yang bisa mendakwa. Tiada undang-undang yang boleh menyekat. Kami terpaksa bermimpi untuk terus hidup dan menang. Justeru untuk tujuan itu, kami perlu terus membunuh dan membunuh.  

Mengimpikan untuk menjadi seorang pembunuh sekali-kali tidak pernah terlintas sewaktu usia kecilku. Kau sendiri kenal siapa aku. Ibuku pernah berpesan: "Abadikan jasadmu dalam lingkaran budi, kelak namamu dikenang orang." Tetapi waktu itu aku tidak tega menterjemah kalimah-kalimah ibu. Aku hanya menjadi pendengar setia pesan ibu sehingga aku kian mengerti. Aku kira jika ibu masih ada dia juga akan redha anaknya memenggal kepala musuh. Atau mungkin membunuh juga adalah dikira budi bila mangsanya adalah musuh kita.

Oasis ini semakin kering semenjak malam semalam kami rakus menghirup airnya walaupun setelah dicatu dan disita. Jika ia kering kami perlu berpindah lagi. Mencari punca air. Persis puak-puak nomad yang sering berpindah-randah. Bekalan air di gurun ini terlalu mencengkam. Oasis kebanyakannya sudah kontang. Datarnya sudah merekah. Inilah ujian berjuang di padang pasir. Punca air merupakan sesuatu yang paling penting untuk terus menyabung nyawa meneruskan perjuangan. Perjuangan untuk terus hidup dan menyimpan selirat tenaga untuk menentang musuh.

Lebih sepurnama aku dan pasukan tempurku mengisi lembah padang pasir ini. Esok perjalanan bakal diteruskan lagi. Menghitung kemaraan sehingga mendengar laungan kemenangan dan arahan untuk berundur pulang. Sekali-kali menyerah untuk kalah tidak pernah tersemat di ingatan sebagai agenda. Watan perlu terus dipertahankan. Kemakmuran perlu terus dikekalkan. Biarlah kami yang menjadi ganti untuk kalian mencicip manis kehidupan.

Sesekali aku terkenang pada ketenangan desa. Pada unggas yang berkicau melagukan kedamaian. Namun apalah itu semua bila berada di sini.

Suasana peperangan tidak mengizinkan aku untuk terkenangkankan pada perkara-perkara lain termasuk dirimu. Aku terpaksa melupakanmu seketika. sesuatu yang berat kulakukan sedetik pada hayat lalu. Namun nyatanya bila tiba ruang lapang ingatanku kembali segar kepada desa, ayah, arwah bonda, keluarga dan jua dirimu, tunangku. Justeru kelapangan hari ini mengheret aku untuk mengungguli kenangan-kenangan lalu. Lantas kuintai peluang untuk kulakarkan secebis warkah buatmu tunangku.

Teringatkan kata-katamu: "Abang, saya nantikan kepulangan abang untuk cinta kita ditautkan pada ikatan yang sah. Berjuanglah wahai mujahidku, usah dihiraukan pada tuntutan perasaan andai sudah tertulis jodoh kita, pasti akan bertaut jua. Atau kita bertemu di syurga sana..."

Betapa tabahnya kau melafazkan kalimah-kalimah itu. Aku terpana. Meskipun kau tidak mendapat ajaran agama sepenuhnya, kau mampu setabah itu melepaskan kepergian seorang mujahid sepertiku.

Srikandiku,

Peperangan belum tamat dan penghujung nyawaku belum pasti di mana. Andai tersurat namaku di pedang musuh; di situlah akhirnya kemenanganku sebagai syuhada'. Atau aku kembali dari rantau jihad ini membawa kemenangan bersama pejuang-pejuang lain. Aku mungkin akan dianugerahkan tokoh itu dan ini. Kemudian namaku harum menabur budi. Namun itu hanya angan-angan. Musuh masih menggila.

Seperempat purnama lalu misi kami tergendala. 12 orang tentera dari pasukanku ditawan musuh. Rupanya dalam keghairahan kami memenggal kepala musuh, musuh masih sempat melarikan 12 orang seldaduku. Aku risau metah kalau-kalau tawanan itu bakal membocorkan rahsia ketenteraan. Aku mengatur misi meninjau. Mengintai ke kem musuh dari jarak berjaga-jaga, semua rakan seperjuangan yang menjadi tawanan sudah dipenggal dan dipanggang. Musuh bersuka ria melahap daging rakan seperjuangan. Tekak kami meloya. Kami meninggalkan kem musuh kembali ke kem kami dan kemudian melancarkan serangan nekad. Dalam keadaan musuh yang leka melahap batang tubuh manusia panggang kami menyerang bertubi-tubi. Akhirnya kami menang.

Betapa pentingnya kerahsiaan dijaga. Andai berlaku kebocoran rahsia pastinya kami akan menempuh parah yang getir. Lihat saja bagaimana Rasulullah SAW cukup menitik beratkan aspek kerahsiaan ini semasa peristiwa Fathu Makkah yang tersemat di lembaran sirah untuk memungkinkan kemenangan berpihak kepada Islam dan Makkah ditawan dalam keadaan aman tanpa peperangan. Ini berpunca apabila seorang sahabat Baginda bernama Hatib bin Abi Balta'ah yang risaukan keselamatan kaum keluarganya yang berada di Makkah lantas mengirimkan utusan kepada seorang temannya membongkar rahsia bahawa Rasulullah dan umat Islam akan menyerang Makkah. Namun akhirnya perbuatan cela Hatib itu tersingkap ke pengetahuan Rasulullah SAW seraya Baginda menggesa beberapa orang sahabat untuk menyekat utusan Hatib itu sebelum tiba berita itu ke tangan musyrikin Makkah.

Saidina Umar Al-Khattab ra amat marah akan kelakuan Hatib lantas mencabut pedangnya untuk memenggal kepala Hatib. Namun Rasulullah SAW melarang kerana Hatib adalah ahli Badar. Andaikan jika utusan Hatib itu sampai ke pengetahuan musuh, tentunya musyrikin Makkah akan lebih bersedia menghadapi umat Islam dalam peristiwa Fathu Makkah itu. Tentunya ramai yang akan terkorban. Pertumpahan darah akan lebih teruk.

Sayangku,

Kami hanya sebuah pasukan kecil dari pasukan-pasukan lain yang berkawal di padang pasir ini. Dengan berjumlah 100 orang prajurit awalnya kini hanya berbaki 70 orang termasuk aku. Selebihnya telah menemui 'kemenangan'. Jasad mereka yang syahid kami tanamkan dalam sebuah liang besar secara jamaah. Manakala bangkai-bangkai musuh bergelimpangan kami biarkan mereput di daerah pertempuran dibakar terik mentari dan menjadi habuan makanan binatang-binatang. Rupanya bau mayat musuh dari kalangan kafir terlalu tengit. Setiap kali usai menanam teman-teman yang syahid di medan tempur, kami terpaksa menapak jauh mara ke hadapan. Ini untuk mengelakkan dari terpaksa menghidu bau busuk bangkai manusia kalangan musuh yang bergelimpangan. Kalaulah bangkai-bangkai itu tidak mereput dan membusuk pastinya berguna untuk dijadikan tembok yang besar.

Di medan peperangan kepatuhan kepada arahan ketua amat muhim. Kau tentu masih ingat kisah peperangan di Medan Uhud yang pernah kucerikatan. Betapa intisari sirah itu mengimbau hazar yang jitu serta kepatuhan yang ampuh. Harta bukanlah matlamat perjuangan, meski ramai yang menginginkannya. Tentera mana yang tidak terliur pada ghanimah? Kerana menginginkan hartalah perwira-perwira di Medan Uhud tersungkur syahid menyembah bumi. Aku harap tragedi itu tidak berulang kepada barisan tentera yang aku pimpin ini.

Setakat ini arahanku selaku panglima yang memimpin pasukan ini masih didengari dan dipatuhi. Bukan senang untuk menjadi seorang panglima. Bermula sebagai seladadu biasa sehinggalah memanjat pangkat demi pangkat. Akhirnya aku ternobat sebagai panglima. Tetapi pangkat bukanlah segalanya. Aku risau juga kalau-kalau ada di kalangan orang bawahanku yang bakal belot. Jelasnya musuh bukan hanya di kalangan orang kafir. Musuh juga kadang kala berselimut di kalangan kawan, umpama gunting dalam lipatan.   

Paling penting untuk menang adalah kesatuan. Kesatuan akan memutik kekuatan. Kekuatan itu akan melahirkan semangat juang. Semangat itu akan memunculkan keberanian. Tanpa keberanian dan ketaqwaan jihad bukanlah apa-apa. Ironisnya kekuatan terbina dari kesatuan. Jika bekal ini tersemat di minda para pejuang-pejuangku pastinya walau bertembung dengan pasukan musuh yang ramai bilangannya kami tidak tersepit dengan kekuatan mereka kerana kekuatan kami terbina dari kesatuan dan ketaqwaan. Tetapi andai tidak tersemat, gugurlah kami.

Semalam kawanku yang sanggup meninggalkan isterinya demi cinta syahid telah gugur mendapat impiannya itu. Rupanya karamah pejuang yang ikhlas mencari syahid tersingkap sudah. Manyatnya berbau harum semerbak kasturi. Dia kukira mendapat syahid sebenar kerana nekad dalam selirat keikhlasan berjuang mempertahankan kalimatullah. Aku juga ingin menjadi sepertinya.

Mentari semakin melabuhkan tirai siang. Episod malam akan bertukar ganti. Kami akan bertemankan kegelapan dan kesejukan. Panas yang tadinya membakar epidermis kulit mula bersembunyi kemudian menghantar bayu yang bakal menggigitnya pula bersama kesejukan menggila. Beginilah resam siri-siri perjuangan di padang pasir ini.

Kau tentu akan mengharapkan peperangan ini akan segera berakhir dan kita akan cepat bersatu. Aku juga berharap begitu. Tetapi semenjak menghidu bau harum yang menusuk deria hidung semalam dari jasad teman seperjuanganku yang gugur syahid, aku seolah dihambat keresahan. Keresahan untuk mengikut jejaknya.

Selama ini aku yakin pada diri sendiri. Aku tak mungkin gugur tumpas di pedang musuh kerana ketangkasanku memenggal kepala mereka lebih pantas berbanding tindakan mereka. Itulah kelebihan yang aku miliki. Sehingga tenteraku menggelarkan aku 'Khalid Al-Walid'. Aku suka dan kagum dengan gelaran itu. Ia satu anugerah dan kelebihan yang aku ada. Tetapi jangan terlupa kadang-kadang kelebihan yang kita miliki adalah kekurangan pada penilaian orang lain. Tentu kau tahu di mana medan syahid Khalid Al-Walid itu!

Bisikan temanku di pagi hari sebelum dia gugur syahid itu masih tergiang-ngiang. Katanya: " Hari ini aku bakal menemui sesuatu yang telah lama aku idamkan." Aku hanya faham maksudnya, setelah dia benar-benar gugur.

Janganlah kau menangis sekiranya nanti mendengar khabar buruk dari medan perjuangan ini. Anggaplah ia sebuah berita paling menggembirakan. Aku sudahi marsum ini dengan mengirimkan salam rindu buatmu, tunangku.

Aku akan meneruskan perjuangan di sini hingga titisan terakhir; samada titisan itu adalah keringat atau darah yang mewangi semerbak kasturi.

Nukilan,

Akhi Masrawi
3 September 2002
Tanta, Egypt

Sila klik Respon/Komen

 

7 September 2002/ 29 Jamadil Akhir 1423 | Sabtu | 18.45 pm

Catatan Satu

Impian sebagai penulis prolifik

Jangan tertawa dahulu membaca topik ini. Tunggu!

Pernah mendengar nama-nama seperti SN Shahnon Ahmad? A. Samad Said, A. Samad Ismail, Azizi Hj Abdullah? Allahyarham Usman Awang? Zaharah Nawawi? Subki Latif? Fudzail? Uthaya Sankar SB? Ann Wan Seng? Faisal Tehrani? Mawar Shafie? Ahmad Lutfi Othman? Tarmizi Mohd Jam? Suria Janib? dan ramai lagi tidak aku sebutkan. Mungkin anda pernah membaca tilisan-tulisan mereka yang mengisi penerbitan tanahair.

Perbezaan genre? Benar! ada dari kalangan nama-nama yang aku sebutkan itu menulis dalam bidang kreatif alias sastera seperti novel, cerpen, puisi dan sebagainya. Ada pula yang menulis sebagai kolumnis- kolumnis tabloid tempatan dan memusatkan penglibatan dalam genre artikel. Apapun, mereka aku senaraikan sebagai penulis prolifik.

Adakah mereka lahir dan terus menjadi terkenal? Aku rasa setiap orang mempunyai satu jawapan yang sama. Tidak kiralah dimana anda bermula, yang penting di mana anda berakhir. :)

Apa bezanya mereka dengan penulis-penulis jurnal? Mereka menulis untuk media bercetak tetapi jurnalis menulis untuk jurnal online sendiri. Mereka mengetuk keybord komputer seperti kita mengetuknya. Tetapi ketukan mereka diprint dan dicetak, kita??? disawangkan dalam jurnal sendiri.

Kalaulah aku utarakan kepada penulis-penulis jurnal online satu persoalan:" adakah anda menaruh harapan ingin menjadi penulis prolifik seperti nama-nama yang aku sebutkan itu?" Jawaplah dengan penuh jatidiri. Tapi, bukan senang!

Justeru adakah dengan aktif menulis di jurnal online boleh juga dinilai sebagai penulis prolifik? Satu lagi persoalan. Kalaulah dengan menulis di jurnal online boleh dinilai sedemikian... orang pertama yang aku ingin nobatkan sebagai penulis prolifik ialah orang yang menulis setiap hari di jurnalnya. Ada penulis jurnal seperti itu? Mungkin sukar bukan. Tidak semua jurnalis mampu menulis setiap hari. Kalau pun mampu menulis setiap hari tidak ramai yang mampu online untuk memasukkan entry tersebut setiap hari.

Banyak perkara yang dinilai terhadap sesuatu penulisan. Bermula dari aspek genre penulisan sehinggalah aspek penggunaan bahasa. Di dalam dunia jurnal boleh dikatakan aspek penggunaan bahasa adalah sesuatu yang anjal. Tidak tetap. Tidak semua penulis (jurnalis) menggunakan bahasa Malaysia yang diiktiraf sebagai bahasa persuratan. Ada yang lebih mesra menggunakan bahasa slanga, bahasa daerah, bahasa chat dan seumpamanya. Apapun itu hak masing-masing sebagai jurnalis.

Sepanjang menyelongkar jurnal-jurnal online milik jurnalis yang lain; penilaian aku hanya beberapa jurnal sahaja boleh dinilai sebagai menepati dari aspek bahasa tersebut. Kebanyakan yang lain lebih mesra menumpukan gaya bebas. Namun tidak dinafikan walaupun menggunakan gaya bebas yang tidak membosankan, pembaca jurnal jenis tersebut juga lebih terbuka kepada apa-apa jua aspek perbincangan. Malah penulis pula bebas memperkatakan tentang apa juga hal.

Mungkin nama-nama seperti Encik Khairul (yang menulis tentang catatan dunia kerjaya), Mat Jan (dengan kehidupan sebagai YB di IPTnya dengan gaya komedi), Fajar (tentang puitisnya romantika kehidupan), Sera dan Rudy Bluehikari (gaya yang menyentuh perasaan dan melankolik), Jigo (dengan penterjemahan apa yang dibaca dan difikirkan), Raymizie (catatan perjalanan), Enmiya (menterjemah impian dan karyanya untuk bergelar sasterawan), Tok Rimau dengan (komentar sosial dan keluarga), Pujangga dengan gaya (...?...) dan ramai lagi... dengan gaya yang tersendiri.

Tidak mustahil weblog atau online jurnal mampu menyaingi media tradisional sebagai alternatif dunia penyiaran. Dan hambatan itu kini makin hampir apabila semakin ramai yang membuka mata terhadap dunia ini. Bukan sahaja mereka yang mempunyai 'kepakaran' dalam bidang IT mampu membina weblog @ jurnal tetapi bagi yang tiada kepakaran juga. Namun apa yang hendak dipersoalkan di sini... Adakah penulis-penulis online jurnal boleh dinobatkan sebagai penulis-penulis prolifik yang setaraf dengan penulis-penulis prolifik di media bercetak? Fikir-fikirkanlah...

"Sekali anda terjatuh, jangan jatuh untuk berkali-kali" ~kata-kata Pujangga~

Sila klik Respon/Komen

      

6 September 2002/ 28 Jamadil Akhir 1423 | Jumaat | 17.35 pm

Catatan Satu

Dia menulis kejayaannya di atas kertas kecil!

Semasa aku di sekolah menengah dahulu ada satu program motivasi dilaksanakan oleh pihak sekolah. Di dalam seminar motivasi tersebut kami dihidangkan dengan pelbagai program pengisian seperti ceramah dan modul. Ini bertujuan untuk memotivasi para pelajar sekolah berasrama penuh seperti para pelajar sekolah aku untuk lebih mempunyai daya kemajuan.

Selepas motivasi kebiasaannya ramai yang akan berusaha untuk membuat apa-apa yang disarankan oleh penceramah sewaktu seminar. Antara perkara yang disuruh yang aku masih ingat ialah:

a. Yakin pada diri sendiri
b. Tanamkan semangat 'kalau orang lain boleh, mengapa aku tidak?'
c. Buat jadual belajar yang sistematik
d. Memberikan tumpuan yang baik sewaktu kelas
e. Mengadakan perbincangan berkumpulan "study group"
f. Membaca pada waktu malam, latih tubi pada waktu siang (elak mengantuk)
g. Menulis target dan sering memerhatikannya supaya sentiasa tekun dalam berusaha.

dan banyak lagi... 

Istimewanya setiap tips kejayaan tersebut sentiasa menjadi sebutan selepas seminar kecuali satu tips... iaitu tips g. Menulis target dan seriang memerhatikannya supaya sentiasa tekun dalam berusaha.  Pada pelajar apalah sangat kaedah menulis target kejayaan tersebut, jika hendak dibandingkan dengan tips-tips yang lain seperti buat study group, jadual, tumpuan pada kelas dan sebagainya.

Aku menyedari ada beberapa orang kawan yang mencuba tips (g) yang terakhir itu. Sebagai contoh untuk menghadapi peperiksaan SPM kami calon, akan menghadapi 10 papper. Ini bermakna 10 A1 adalah target yang paling maksima. Atau sekurang-kurangnya berjaya mendapat 6A1 memadai untuk mendapat agregat 6 dalam pangkat 1. Sekarang sistem SPM terbuka tidak lagi melihat kepada pangkat. 

Dalam pangkat satu bermula aggregat 1-24. Jadi untuk menjadi calon 6 agregat tidaklah sukar. Dengan menjadikan 6 mata pelajaran sebagi target A1 termasuk Bahasa Melayu sebagai teras. Bolehlah tercalon sebagai best student.

Kawan aku yang seorang ni menulis tergetnya. Dia hanya menulis '6 aggregat dalam SPM' di atas kertas putih kecil. Kertas itu kemudiannya dilekatkan di dalam almari, di katil, di meja kelas dan beberapa tempat yang menjadi tempat peribadinya untuk sering melihat. Ada beberapa kawan lain yang meniru, tidak kurang juga yang mengejek yang tips itu tidak relevan mana. Tetapi apa yang terjadi?

Sewaktu keputusan SPM keluar dia benar-benar dapat 6 aggregat. Aku cuma mampu untuk 8 aggregat selepas berjaya meragut 5A1 dan selebihnya C3, C4 dan C5. Itulah kisah seorang kawanku... Dia menulis kejayaannya di kertas kecil dan dia memperolehinya!

Aku mungkin kena meniru gaya ini untuk sesi depan selaku pelajar tahun akhir. Mesti dapat yang terbaik untuk BA sebagai batu loncatan pengajian Master nanti.

Sila klik Respon/Komen

  

4 September 2002/ 26 Jamadil Akhir 1423 | Rabu | 17.43 pm

Catatan Satu

Sesuatu yang anda tahu, boleh jadi tidak betul!

Hanya ada dua jawapan dalam sesuatu persoalan. Pertama apabila saya tahu dan saya menjelaskan apa yang saya tahu itu ditambah dengan keyakinan bahawa apa yang saya tahu itu benar. Jawapan saya adalah benar dan betul. Kedua apabila saya tidak tahu dan saya menjawab dalam keadaan saya tidak tahu atau buat-buat tahu (orang Kelate panggil 'Bijak') dan saya tidak berkeyakinan apakah jawapan yang saya berikan itu benar. Jawapan saya belum tentu benar & betul.

Pernahkah anda berkeadaan sebegini? Amat merbahaya seseorang yang mereka jawapan. Tetapi di dalam suasana peperiksaan itulah langkah terakhir untuk tidak menghantar kertas jawapan kosong tanpa jawapan. Kalaulah soalan yang diberikan itu berbentuk objektif pilihan mungkin hanya A-B-C-D-E (taraf kebiasaan), anda tentu boleh 'menembak' mana-mana huruf yang difikirkan itulah jawapannya. Tetapi kebarangkalian untuk betul adalah tipis. Bagaimana pula situasinya bila menghadapi soalan subjektif? Tersenyum!

Dalam musim syita' (sejuk) aku mengambil 8 papper peperiksaan tahun 3 dan ditambah 6 papper untuk fasal musim soifi. Sebenarnya aku perlu ambil 12 papper sahaja untuk setiap tahun 1,2 dan 3 Kuliah Syariah Islamiah. Tetapi disebabkan aku terpaksa mengulangi dua papper tahun 2 maka papper tersebut terpaksa aku ambil semasa di tahun 3. Meskipun tekanan dan cabaran musim sejuk yang menggelisahkan namun aku sekadar mampu berusaha juga menjawab papper-papper tersebut. Antara yakin yang terpaksa dibuat-buat. Lumrah mahasiswa memang begitu... terpaksa yakin yang dibuat-buat untuk menghilangkan kerisauan untuk tidak lulus.

Dari 14 papper yang aku ambil 12 darinya lulus. Ini bermakna aku kena mengulangi lagi dua papper  untuk tahun depan. Pertama Tafsir ayat-ayat hukum pada musim syita' dan Lughah Arabiah (Balaghah dan adab Nusus) pada fasal soifi (musim panas). Maka tahun depan aku kena bersedia menghadapi 13 papper. Tahun 4 di kuliah syariah islamiah hanya 11 madah.

Ini semua berlaku kerana saya menjawab apa yang saya tidak pasti adakah apa yang saya tahu itu adalah jawapan yang benar dan betul seperti kehendak persoalan pada kedua-dua papper yang terpaksa saya ulangi itu. Apa yang saya tahu, belum tentu betul!

"Manusia tak akan tahu semua perkara, justeru tahu banyak perkara lebih baik dari tidak suka mengambil tahu walaupun satu perkara." ~pujangga~

Sila klik Respon/Komen

 

3 September 2002/ 25 Jamadil Akhir 1423 | Selasa | 22.03 pm

Catatan Satu

Statistik sebelum update Versi september 2002

Aku sempat mengambil statistik untuk Jalan Hidup sebelum update. Antara isi statistik Jalan Hidup adalah seperti berikut:

Total page views to date 139 (Layout baru dimasukkan pada 17 ogos - 2 september)
Highest monthly page views 97 in August 2002 
Most popular browser visitors use 86.16% use MSIE 5.0 
Most common screen resolution visitors have 96.45% have 800x600 
Top search engine used to access this page 100.00% use www.google.com 
Top search word used to find this page 31.24% typed "agama di bazar politik" 
This page is linked to most often from this URL 19.34% of visitors link from 

Operating Systems used by your visitors (in %)* 

Windows 98 69.74% 
Windows NT 5.0 20.44% 
Windows 95 6.16% 
Windows NT 5.1 3.66% 


Top web addresses viewed before coming to your page 


Unknown 19.34% 
http://google.yahoo.com/bin/query 17.40% 
http://web.canggih.net/topsites/list.php 12.86% 
http://www.google.com/search 9.65% 
http://fajaronline.tripod.com/link.htm 7.97% 
http://two.guestbook.de/gb.cgi 7.73% 
http://htmlgear.lycos.com/guest/control.guest 7.21% 
http://syafizan.signmyguestbook.com/ 6.46% 
http://suziemclean.signmyguestbook.com/ 6.28% 
http://www.danchan.com/weblog/syati 5.09% 

Berdasarkan statistik itu aku bisa ketawa beberapa ketika, kemudian diam beberapa detik, dan berimaginasi beberapa lama. Cuma tidak menangis walau seketika.

Catatan Dua

Novel Weil China

Novel Weil China karya Emine Senlikoglu, seorang penulis Turki telah diterjemahkan ke bahasa Malaysia. Penterjemah novel tersebut adalah penterjemah novel Maria iaitu Sdr Mohd Rofizi Dollah. Sewaktu pulang ke Kaherah beberapa hari lalu aku sengaja tidak membeli novel tersebut. Rahsianya aku telah membaca novel itu sebelum dihantar ke percetakan lagi. Justeru aku antara insan yang mengedit karya berkenaan.

Amanah mengedit karya tersebut aku lakukan dalam tempoh tidak lama. Tetapa membaca pruf dari skrin monitor PC memeritkan mata dan melelahkan badan. Aku mengalami sakit-sakit bahu dan pinggang sewaktu projek berkenaan. Bayangkan Novel yang berjumlah 41 606 patah perkataan itu terpaksa aku edit dengan menatap skrin PC. 

Tetapi boleh dikatakan aku tidak mengubah banyak kesalahan kerana tugasku cuma untuk menyemak susunan ayat dan pemilihan ayat yang bersesuai dengan uslub tatabahasa bahasa Malaysia. Kisah yang tersisip dalam novel itu aku kira antara kisah yang sangat menarik. Penulis mengimbau sebuah kisah benar dipaparkan kepada khalayak pembaca dengan menjadikan datar Negara Turkiministan dan tahun-tahun dominasi komunis menjajah Rusia dan China sebagai mandala penceritaan. Kisah itu sangat sedih untuk diungkapkan.

Aku sendiri tanpa sedari, ada manik jernih yang mengalir dari kolam mata. Sungguh! Kalau nak tahu bacalah novel tersebut. Sayangnya novel itu diterbitkan di Mesir oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan untuk edaran Mesir.   

Selain Weil China Sdr Mohd Rofizi Dollah pernah menterjemah novel Berjudul Maria juga karya penulis dari Turki itu. Ceritanya tentang perjuangan akidah dan mencari hidayah. Kisah itu juga memukau pembaca... kerana terpaksa diulang cetak di atas permintaan yang di luar jangkauan. Penterjemah merupakan mahasiswa peringkat Sarjana (MA) di dalam fakulti Bahasa Arab Jabatan Balaghah dan Kritikan di Universiti al-Azhar kini sedang menyiapkan tesisnya. Doakan semoga pengajiannya mendapat kemudahan.

Apapun kawanku hanya tersenyum bila melihat nama editor yang tercatat dalam Weil China tiada namaku. Aku dengan nada bersahaja menjawab:" Apa boleh buat." Harapnya aku ikhlas. Tapi kalau dapat hadiah weil China tu kan best??? sebab aku tengah kering duit nak beli ni!

Catatan Tiga

Cerpen: Hingga Titisan Terakhir siap

Cerpen yang aku mula menulisnya seawal Ogos lalu hanya siap beberapa jam  sebelum 3 September berlalu. Mulanya aku hendak letakkan judul cerpen itu (Kau Di Hatiku). Kemudian muncul satu idea baru untuk letak tajuk 'Titis terakhir marhaen' kemudian muncul pula Hingga titisan terakhir.

Aku pilih yang terakhir. Kenapa agaknya. Kalau diikutkan ketiga-tiga judul itu ada potensi dan kekuatan tersendiri.

Pertama: Jika aku beri cerpen itu tajuk Kau di hatiku ia jelas mengisahkan hayat kerinduan seorang protagonis yang terganggu ingatannya kepada tunangnya. Protagonis itu di medan peperangan. Ingatannya kepada tunangnya itu menyenak otak.

Kedua: Kalaulah aku letak tajuk 'Titis terakhir marhaen' aku kena ending kisah tersebut dengan mematikan protagonis dengan memenangkan antoganis. Justeru ia sebuah kesudahan yang menyedihkan. Mesej nanti tidak sampai pula.

Ketiga: Tajuk hingga titisan terakhir. Inilah tajuk yang aku pilih. Mengapa dan kenapa??? Tunggulah beberapa hari lagi sehingga aku selitkan di jurnal ini, kau akan boleh membacanya.

Apapun aku nak hantar kepada mana-mana SK, kalau-kalau boleh disiarkan. Selepas Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah, Tahanan dan warkah Buat Puteriku... mungkin Hingga Titisan Terakhir adalah cerpen yang bukan terakhir.

"Kalaulah anda tidak mampu untuk menggembirakan orang lain, janganlah pula anda menambah dukanya." ~pujangga~

Sila klik Respon/Komen

 

2 September 2002/ 24 Jamadil Akhir 1423 | Isnin | 15.03 pm

Catatan Satu

Info dari Jalan Hidup

Pernah mendengar nama Taslima Nasren? Belum? sedikit info yang boleh dikongsi... Taslima Nasren adalah seorang penulis Bangladesh. Berasal dari keluarga pertengahan dan pernah menuntut di fakulti kedoktoran dan kemudian bertugas di sebuah hospital kerajaan. Dipecat kerana pergi ke India dengan memalsukan jawatan dalam passport perjalanannya sebagai wartawan. Berkahwin sebanyak 3 kali dan bercerai dan akhirnya memilih cara hidup barat 'live together' yang mengamal seks bebas. Turut mengumumkan dirinya athies (tiada pegangan agama) di dalam kenyataan sebuah majalah Jerman 'Dar Asvaesal' pada 13 Jun 1994 malah anti perkahwinan dan menganggapnya sebagai rantai bagi wanita.

Menyuarakan pemikiran dan kepercayaan yang menyeleweng. Anti agama dan bertindak melagakan penganut Islam dan Hindu. Tidak mempercayai hari pembalasan. Selalu mempersendakan para nabi dan rasul malah menyifatkan semua kitab dari langit sebagai ciptaan manusia. Lebih teruk lagi bila menyatakan bahawa Al-Quran adalah ciptaan lelaki yang memburu wanita untuk tunduk menurut kemahuan mereka serta tidak memberikan hak kepada wanita. Sangat biadab apabila berlagak mengisap rokok sewaktu diwawancara sambil menunjukkan kesalahan-kesalahan Al-quran yang diciptanya sendiri.

Merupakan seorang penulis  surat asmara (kolumnis akhbar filem) dan novel-novel lucah. Pernah terlibat sebagai kolumnis beberapa akhbar dan majalah yang sering menulis tentang agama, sejarah dan kebebasan wanita. Penulisan beliau sangat menyeleweng dari ajaran sebenar. Bahkan di dalam bukunya beliau menulis bahawabukanlah menjadi kesalahan apabila seorang wanita serumah dengan lelaki tanpa kahwin.

Menentang sepenuhnya syariat Islam, nilai akidah dan ajaran Islam. Menyifatkan Islam menghalang kebebasan wanita dan sebagainya. Mengutuk pengasingan pemerintahan India dan Bangladesh yang dicetuskan sewaktu pemerintahan Inggeris dan mengatakan Al-Quran mempunyai banyak kesalahan yang perlu dipinda.

Kelantangannya menghujum Islam dipertahankan oleh kuasa belakang. antaranya akhbar Times di India, akhbar Millat, akhbar rasmi Bangla dan turut serta akhbar The eag di australia, BBC serta berpuluh pertubuhan di barat. Lantaran itu beliau tidak gentar memperjuangkan kebobrokannya itu.

Namun Islam tidak membiarkannya. semua umat Islam di Bangladesh menuntut kerajaan menangkap dan Taslima Nasren dan dihadapkan ke mahkamah serta dijatuhklan hukuman kerana telah menghina Islam. Ulamak Bangladesh pula mengumumkan hadiah kepada sesiapa yang berjaya membunuh Taslima. Membunuhnya seperti membunuh Salmah Rushdie.

Catatan Dua

Ralat terjemahan

Aku menerima emel dari seorang pembaca Jurnal Jalan Hidup. Keprihatinannya tentang penulisan aku, aku dahulukan dengan ucapan terima kasih. Mungkin tidak ramai yang membaca keseluruhan catatan di Jalan Hidup! 

Menulis satu aktiviti yang baik tetapi merbahaya. Apa yang ditulis kadang-kadang memberikan kesan positif kepada khalayak yang menjadi pembaca. Namun kadang-kadang memberikan kesan negatif pula. Tidak semua penulis menulis berdasarkan disiplin yang betul. SN Shahnon Ahmad pernah mengatakan " Seorang penulis perlu menulis sebagai dirinya sendiri." Maksudnya penulisan yang dihasilkan mencerminkan watak penulis itu sendiri. Jika dia gemar menulis kebenaran jelasnya dia sering benar dalam tutur katanya. Dia tidak betah mencari sesuatu yang menyanggah kebenaran untuk ditulis. Berbeza dengan penulis yang gemarkan pembohongan. Mereka sering pula menulis tentang berita-berita palsu yang akhirnya memusnahkan kefahaman khalayak pembaca. 

Justeru menulis dengan mendahulukan akal dari rujukan adalah sangat mendukacitakan. Ianya bertentangan dengan disiplin penulisan itu sendiri. Kecuali jika penulisan itu adalah tergolong dalam ruang santai sebagai bacaan ringan yang tidak menerima konsep keilmuan; mungkin penterjemahan hanya diinterpretasikan melalui lintasan akal dan pandangan penulis itu sendiri.

Antara aktiviti penulisan termasuklan penterjemahan. Kebiasaannya aktiviti menterjemah lahir apabila kekurangan/ ketiadaan bahan di dalam bahasa bangsa itu. Sebagai contoh Al-quran diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia kerana asal Al-Quran adalah di dalam bahasa Arab. Untuk menterjemahkan bahasa arab itu kepada bahasa Malaysia memerlukan kepada penguasaan si penterjemah di dalam kedua-dua bahasa tersebut. Sekiranya penterjemah tidak mahir di dalam bahasa Arab sudah tentu penterjemahannya nanti akan menyeleweng. Begitu juga halnya jika si penterjemah tidak mampu menguasai bahasa Malaysia dengan baik, dia akan sukar untuk memilih ayat terjemahan yang sesuai agar isi terjemahannya akan mampu difahami oleh khalayak pembaca tanpa mengubah asal terjemahannya. Begitu juga aspek penguasaan nahu dan sorof/ tatabahasa serta aspek-aspek lain yang sangat penting bagi aktiviti penterjemahan tersebut.

Selain itu aktiviti penulisan berkait rapat degan agenda menyampaikan bentuk penulisan itu sebagai bahan bacaan umum. Justeru apa yang dimaksudkan sebagai hasil penulisan mestilah mengikut disiplin ilmu dan penulisan itu sendiri.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman takutlah kepada Allah dan bertuturlah dengan ungkapan yang jitu, nescaya Allah meluruskan amalan kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu . Barangsiapa yang mematuhi Allah dan Rasulnya maka sesungguhnya ia telah berjaya besar." (Surah al Ahzab :70-71)

Islam menganjurkan supaya sesuatu penulisan itu dihasilkan dengan mengambil kira nilai-nilai Islam. Antaranya penulisan memerlukan kepada kefahaman Islam. Mungkin ada penulis yang berkata: "saya tidak menulis tentang keislaman, justeru saya tidak perlukan kepada disiplin." Ini adalah satu kenyataan yang amat merbahaya. Apa tidaknya... penulisannya nanti akan memberikan kesan. Jika kesan itu positif, tidaklah mengapa. Tetapi jika kesan itu negatif, bagaimana?

Kebenaran fakta menjadi simpulan awal agenda penulisan. Jangan menulis sesuatu yang tidak jelas kebenarannya. Buat rujukan dan kaji terlebih dahulu kesahehan fakta tersebut. Barulah mata pena ditarikan. Penulisan juga sering dikaitkan dengan pengaruh luar terhadap hasil penulisan itu. Contoh yang paling dekat ialah bagaimana seorang penyair mampu menulis tentang kesedihan jika dirinya tidak dipengaruhi aspek kesedihan atau melihat kesedihan itu pada diri orang lain? Bagaimana pula seorang cerpenis mampu menterjemahkan pelbagai kisah kebejatan sosial yang berlaku andai pengaruh gejala sosial itu tidak dihidu olehnya. Malah seorang pendakwah juga dipengaruhi dengan pelbagai pengaruh penulisan. Samada pengaruh itu berpunca dari dalam diri atau pengaruh luaran... kesannya tetap wujud. 

Bolehkah seorang yang tidak mendalami ajaran Islam menulis tentang islam? Terutama dari aspek persoalan akidah, hukum-hakam dan berkaitan siasah syar'iyah? Tentunya tidak. Tetapi ada penulis yang terlalu berani (tidak ada asas kefahaman Islam) menulis dan membicarakan dengan lantang tentang Islam. Akhirnya penulisannya dihidu terdapat kesilapan dan kesalahan. Amat menyedihkan. Justeru seseorang yang tidak memahami tentang Islam; jangan menulis tentang Islam. Banyak aspek lain yang boleh ditulis. Kalau mahu menulis juga tentang Islam, pelajarilah terlebih dahulu.

Berbalik kepada apa yang ditemui oleh seorang pembaca Jurnal Jalan Hidup di dalam catatan 23 Ogos yang berbunyi:

... Rasulullah SAW melihat Jibril menangis dan beliau turut menangis sambil berkata ; "Mengapa engkau menangis, sedangkan kedudukan engkau begitu rupa di sisi Allah SWT"

Jawab Jibril : "Bagaimana aku tidak menangis, malah akulah yang lebih berhak untuk menangis, kerana siapa yang tahu tentang keadaanku dalam ilmu Allah tidak seperti yang aku ketahui. Saya tidak tahu adakah saya akan mengalami cubaan seperti iblis, sedangkan iblis itu adalah golongan Malaikat. Dan aku tidak tahu apakah aku akan mengalami apa yang dialami oleh Malaikat Harut dan Marut"... (petikan dari catatan 23 Ogos 2002)

Di dalam catatan tersebut aku telah sedikit tersasar dari disiplin ilmu dan penulisan. Aku sepatutnya menyemak dan merujuk terlebih dahulu. Aku hanya menyisipkan kisah perbualan di antara Rasulullah SAW dan Malaikat Jibril as. Kenyataan yang dinukilkan berwarna merah "sedangkan iblis itu adalah golongan Malaikat" berdasarkan kepada terjemahan lughawi semata-mata. Sebenarnya apa yang ingin dimaksudkan ialah kedudukan iblis itu sebenarnya adalah sama darjatnya dengan malaikat. Iblis bukan daripada golongan malaikat. Ini berhujahkan kepada beberapa hujah. Pertama ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa manusia (Adam as) dijadikan dari tanah dan iblis dijadikan dari api. Lantas iblis tidak mahu sujud kepada Adam as sewaktu Allah mengarahkan demikian kerana iblis menyangka dia lebih mulia berbanding adam. Dikuatkan lagi dengan keterangan bahawa malaikat diciptakan dari nur (cahaya). Justeru iblis bukan dari golongan malaikat.

Kepada pembaca harap maklum dengan penjelasan ini. Maaf kerana aku cuma copy dan paste sahaja terjemahan artikel itu tanpa menyemaknya terlebih dahulu. Terima kasih kepada pembaca yang prihatin itu. syukran jazilan...

Tuntasnya disiplin ilmu dan penulisan amat penting. Menulis akan mencerminkan diri sendiri. Ingat! Menulis ada misi dan visi. Menulis memerlukan metod yang jelas. Jangan abaikan matlamat penulisan. Justeru jadilah penulis yang menulis di atas kebenaran. Berusahalah untuk menulis dengan lebih baik. Pesanku buatmu... Pujangga!   


Sila klik Respon/Komen

Asal

Terminal Terakhir...

Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]
© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
~ untuk paparan 'cun' sila gunakan IE 800 x 600 & text size: medium ~

Hosted by www.Geocities.ws