PUJANGGA ONLINE .:J U R N A L J A L A N H I D U P .  

Mulai Jun 2002 


saya geng jurnal!

Capaian Alternatif

Jurnal PUJANGGA Online - Jalan Hidup tidak HANYA membicarakan jalan hidup AKU semata-mata! Tetapi jalan hidup yang dilalui bersama yang seringkali melingkari kehidupan setiap kita... Semoga aku, kau dan sesiapa jua bersedia untuk melalui jalan hidup itu...

 


.:: Arkib November 2002 ::.

Pedoman:

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang orang fasik membawa sesuatu berita kepada kamu, hendaklah kamu selidiki..." (Al-Hujurat: 6)

Terminal Pertama...


.:: Catatan moden dari zaman klasik ::.

Mempunyai catatan 3, 11, 12, 13, 14, 16, 19, 21, 22, 24, 26 dan 30 November 2002.

30 November 2002/ 25 Ramadhan 1423 | Sabtu | 3.12 am

Catatan Satu

Terima kasih kirim kad pada saya

Saya menerima beberapa keping kad ucapan hari raya. Salah satu di antaranya ialah kiriman daripada salah seorang jurnalis yang saya minati. Catatannya di dalam jurnal -=MoRe tHaN WoRdS=- pernah membuatkan saya hampir menitiskan air mata ketika membaca salah satu antara catatannya yang berjodol: ayah yang telah pergi (3 Februari 2001).

Saya sendiri tidak berapa ingat sejak bila saya meminati jurnalis ini. Catatannya kadang-kadang membuatkan saya tertawa sendiri. Ada kalanya saya kesedihan, menjadi pemikir seketika, terdiam dan paling banyak memberikan saya motivasi untuk menulis.

Mungkin saya kenal jurnalis ini sudah agak lewat iaitu setelah dia telah mengukir namanya di persada jurnal. Akan tetapi saya tidak merasa rugi kerana sempat juga membaca hampir keseluruhan isi jurnalnya yang diarkibkan. Terima kasih di atas peluang itu. Sejak itu saya mula kenal dan membaca pencatat di jurnal -=MoRe tHaN WoRdS=- tersebut.

Nak tahu siapa orangnya? Kenalilah sendiri. Tapi secara terbuka saya nyatakan dialah akak Aquil.

Kalau akak Aquil baca catatan ini, saya nak ucapkan terima kasih di atas kiriman kad ucapan Aidilfitri yang cute itu dan juga hadiah penanda buku yang ada tulis sebuah puisi persahabatan tersebut di mana di belakangnya tercatat URL -=MoRe tHaN WoRdS=- di http://aquil.cjb.net. 

Thanks untuk kad dan penanda buku itu sekali lagi akak. Selamat hari raya maaf zahir batin untuk semua geng jurnal, terutama yang membaca Jurnal Pujangga Online - JALAN HIDUP. Semoga kalian akan terus memberikan sokongan pada JALAN HIDUP.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf zahir dan batin dari saya... PUJANGGA.

Catatan Dua

Cari duit Raya

Seorang kawan memberi saya cadangan supaya saya mencari sumbangan dermasiswa melalui jurnal yang saya ada. Pada mulanya saya tidak berfikir bahawa cadangan itu ideal.

Tetapi akhir-akhir ini saya terfikir untuk mencuba. Manalah tahu kalau-kalau ada insan pemurah yang ingin beri saya sumbangan pengajian di luar negara (Mesir). Lagipun saya juga tidak mendapat mana-mana sumbangan dermasiswa setakat ini.

Keputusan yang saya ambil, saya nak iklankan atas dasar mencuba. Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki duit raya. Jadi dengan rasa rendah diri saya umumkan...

"Saya menerima sebarang bentuk sumbangan sama ada zakat, biasiswa, dermasiswa dan sedekah atau derma fi sabilillah yang boleh disalurkan kepada saya melalui akaun Al Wadiah di mana-mana cawangan (HSBC) Hong Kong Bank Bhd. atas nama: Ahmad Tarmizi Bin Ismail dan No. akaun (seperti tertera di atas kad) : 031 019797 011 No. Pasport: A 9844679 atau emel kepada saya." 

Saya tidak tahu adakah perbuatan saya ini salah atau tidak. Tetapi ikhlas saya katakan kalau ianya satu kesalahan saya minta maaf kepada semua pihak. Untuk hubungi saya sila emel kepada: [email protected]


Kata-kata Pujangga:"Kita patut berkorban supaya orang lain juga merasai kemanisan hidup."

Sila klik Respon/Komen

 

26 November 2002/ 21 Ramadhan 1423 | Selasa | 22.42 pm

Catatan Satu

Jadilah insan pemurah


Orang Arab mentasybihkan kalimah al-bahru yang bererti laut dengan maksud orang yang pemurah. Orang yang pemurah diumpamakan seperti laut yang luas dan tidak lokek. Kita sendiri tahu akan peranan laut di mana ia menjadi antara sumber rezeki yang penting bagi manusia. Manusia mengaut apa yang ada di dalam laut tanpa membayar apa-apa. Justeru laut diumpamakan dengan sifat pemurah. Manusia yang pemurah adalah umpama laut. Itulah di antara apa yang saya pelajari dalam ilmu bayan (subjek Balaghah) di bawah tajuk 'tasybih' (perumpamaan) yang menjadi silibus bagi fakulti saya.

Manusia seperti laut ini sebenarnya sukar untuk ditemui. Hari ini kita lihat berapa banyak orang kaya dan berapa banyak orang miskin. Antara orang kaya dan orang miskin nisbahlah golongan mana lebih majoriti? Tentu kalian bersetuju kalau saya katakan yang orang miskin dalam dunia hari ini lebih ramai berbanding orang kaya.

Meminjam tulisan encik Khairul di dalam catatan klasik untuk masa depan bertarikh 10 Oktober 2002: "kita ini hidup di dalam dunia yang huru-hara." Saya melihat kata-kata ini banyak betulnya. Apa tidaknya, betullah kita ini sememangnya hidup di dalam dunia yang huru-hara. Dunia yang kita hidup ini memang betul huru-hara.

Menurut encik Khairul dia mengambil kata-kata itu dari nasihat CEO tempat di mana dia pernah berkerja (saya sendiri tidak pasti sama ada encik Khairul masih berkerja di situ atau sudah dianugerah rezeki di tempat lain). CEO itu mentafsirkan bahawa dunia yang huru-hara itu kerana kita tidak punya struktur yang tetap. Setiap kali berlaku perubahan zaman dan setiap kali itulah berlaku perubahan pada struktur yang sedia ada. Kita percaya bahawa struktur yang kita ada hari ini sangat baik. Tetapi adakah orang yang hidup pasca zaman kita akan terus hidup dengan struktur itu. Paling kurang berlaku perubahan pada struktur itu dan ini adalah tanda bahawa struktur yang kita ada adalah bukan yang terbaik. Dan CEO encik Khairul menambah - hanya yang berjaya mentadbir huru-hara ini sahaja yang akan terus hidup.'

Persoalannya siapa sebenarnya yang boleh berjaya mentadbir huru-hara tersebut? 

Di dalam kerja membina sebuah bangunan, siapakah yang paling penting? Adakah orang yang paling penting itu adalah orang yang menjadi jurutera bangunan tersebut? Atau pelukis plan bangunan itu? Buruh yang membina? Tukang cat yang mencantikkan? Jurutera dalaman yang menghias? Penyambung wayar yang menghidupkan fungsi elektrik? Atau siapa?

Kalaulah penyambung elektrik berkata dia paling penting kerana tanpanya tentu bangunan itu tiada seri kilauan cahaya. Kalaulah juruttera dalaman yang berkata dia lebih penting kerana tanpanya tentu bangunan itu tidak cantik dihias. Tukang cat pun apa kurangnya akan mengaku lebih penting kerana tanpanya bangunan tidak akan berseri. Buruh juga mengatakan dia lebih penting kerana tanpa tenaganya tentu bangunan itu tidak mampu dihasilkan. Pelukis plan pula mengaku dia lebih penting kerana dia yang melukis plan bangunan. Tanpanya tiada bangunan yang akan terhasil. Jurutera pula berkata, tanpa kebijaksanaannya lukisan plan akan kekal sebagai lukisan untuk menunjukkan dia lebih penting. Manakala tuan punya bangunan pula berkata dia lebih penting kerana tanpa duitnya apa-apa bangunan pun tidak boleh dibina. 

Itu belum lagi melihat siapa yang berusaha menanam dan menebang balak untuk dijadikan kayu. Belum lagi melihat siapa yang mengusahakan batu-bata sebagai bahan binaan. Siapa yang mengusahakan kilang besi dan keluli. Siapa yang mengusahakan kilang simen dan konkrit. Siapa yang mengusahakan perusahaan cermin dan sebagainya. Ianya akan berlarutan.

Setiap orang melihat apa yang dilakukan olehnya lebih penting dari orang lain. Mengapa manusia sering beranggapan begitu? Paling tidak apa yang boleh kita konklusikan manusia punya sikap egois. Kerana sikap itulah dia tidak mahu dianggap tidak penting.

Saya sendiri hairan. Mengapa kita perlu bermegah dengan apa yang kita ada? Bayangkan kita sebenarnya meminjam dari generasi ke generasi. Kalaulah orang-orang dahulu tidak mahu berkongsi apa yang mereka temui dengan generasi lain, tentu sekarang kita masih hidup di gua-gua, pesisir pantai dan sungai, pinggir hutan dan paya atau atas pokok.

Kita beruntung. Mereka yang telah hidup di zaman lampau telah bersedia berkongsi apa yang mereka miliki, apa yang mereka temui dengan kita. Kalaulah orang yang mencipta mentol tidak mahu berkongsi mentolnya dengan generasi manusia kta mungkin sekarang hidup dalam kegelapan bila malam menjelma. Tapi itu sebenarnya tidak berlaku kerana mereka sanggup berkongsi dengan kita. Kalaulah teknologi penciptaan kapal terbang tidak dipindah dari generasi ke generasi mungkin kita hari ini tidak terbayang boleh menggunakan kemudahan itu.

Orang zaman lalu mencipta dan teknologi itu dimajukan dari generasi ke generasi sehingga sampai ke zaman kita. Kita akhirnya memajukan lagi untuk terus dipindahkan kepada generasi selepas kita. Mungkin ramai yang boleh berkata. Apalah sangat ciptaan orang zaman lalu! Memang benar kalau kita bandingkan ciptaan mereka dengan apa yang terhasil hari ini ciptaan mereka jauh tidak hebat dengan mekanisma yang kita miliki.

Seperti itulah perisian komputer zaman sekarang. Perisian itu jika dibandingkan dengan perisian zaman lalu mungkin kita akan lebih berbangga dengan apa yang kita ada. Tetapi apakah generasi yang hidup selepas kita masih akan kekal dengan apa yang menjadi kebanggaan kita itu? Mereka juga mungkin punyai sesuatu yang lebih maju dan canggih berbanding apa yang kita ada.

Pasca perang dunia kedua tamat, politik dunia terbahagi kepada dua blok yang menggergasikan kuasa terhadap pentadbiran dan politik dunia. Blok barat dengan ideologi liberalisme atau sekularisme yang dipelopori Amerika manakala timur yang dipelopori Rusia dengan Komunisme. Justeru dengan ideologi yang berbeza sistem ekonomi yang mereka guna juga berbeza. Amerika dengan keagungan kapitalisme manakala Rusia dengan sosialisme.

Syed Qutub pernah meramalkan bahawa ideologi komunisme tidak akan bertahan lama. Ini terbukti apabila sebelum pun menjelang alaf baru komunisme di beberapa negara kuatnya seperti Rusia, Jerman dan China telah pun tumbang. Paling nyata apabila kekalahan itu dibuktikan sendiri di dalam peperangan antara Rusia dengan Afghanistan (sebuah negara umat Islam yang bukan merupakan kuasa besar dunia). Komunis akhirnya berkubur. Jelasnya ideologi komunis tidak mampu bertahan untuk lebih dari satu abad.

Amerika Syarikat kini semakin runsing apabila sistem kapitalis yang mereka miliki sebenarnya sudah semakin tidak relevan. Diberitakan di Amerika Syarikat setiap hari rakyatnya memeluk Islam. Bahkan bukan hanya di Amerika malah di negara-negara barat dan eropah yang lain. Mereka bukan hanya beanggapan bahawa sistem yang mereka ada dan ideologi yang mereka anuti sudah tidak mampu menemukan mereka jawapan malah mereka juga turut beri'tikad bahawa Islam adalah penyelesaian yang terbaik.

Jangan terkejut kalau suatu hari nanti ada negara kafir yang akan melaksanakan sistem ekonomi Islam. Jangan terperanjat kalau suatu masa nanti masjid di negara-negara barat dan eropah lebih banyak berbanding gereja. Jangan terkeliru kalau suatu masa nanti kadar orang Islam di negara-negara barat akan lebih ramai berbanding orang Islam di timur. Ini kerana dunia yang kita hidup ini sebetulnya huru-hara. Hanya mereka yang berjaya menemui sistem yang betul sahaja boleh mengawal huru-hara itu.

Mengapa perlu merasa pelik kalau apa yang saya katakan kita semakin ketandusan orang yang pemurah. Kita semakin kekurangan orang yang boleh diumpamakan seperti laut itu. Kita semakin kehilangan mereka kerana kita hidup di dunia yang huru-hara. Selagi kita masih belum sedar yang kita sebenarnya telah dan sedang mendominasikan huru-hara itu, selagi itulah kita akan kekal hidup dalam huru-hara itu.

Siapa kita untuk menentukan manakah sistem dan struktur yang paling tepat untuk mengawal huru-hara itu? 

Manusialah yang mencipta huru-hara itu. Kalaulah tidak ditemui ideologi-ideologi bodoh yang menjadi ikutan manusia hari ini tentulah dunia yang kita hidup ini tidak terlalu huru-hara seperti hari ini. Justeru seperti kisah pembinaan bangunan juga, tiada siapa yang berhak untuk menentukan siapa yang lebih penting kerana yang paling penting ialah milik siapa semua itu. Seperti juga manusia. Kita ini milik siapa?

Kita ini hanya dihantar ke dunia ini. Kita seperti seorang pengembara yang berhenti rehat di terminal dunia ini. Kita ini milik pencipta kita. Justeru apa yang disajikan pencipta kitalah merupakan sistem dan struktur yang terbaik untuk kita.

Jadi, bila Allah selaku pencipta kita menetapkan kehidupan ini perlu didasari dengan Islam... maka Islamlah penyelesaian yang terbaik. Kita mahukan sistem ekonomi yang hebat, sistem itu dipekenalkan oleh Islam. Kita mahukan pengadilan dan penghukuman yang adil, pengadilan dan penghukuman itu dibawa oleh Islam. Kita mahukan sistem politik dan pentadbiran yang adil, tepat dan terbaik, sistem itu adalah juga dibawa oleh Islam. Pendek kata semuanya ada pada Islam.

Kalau hari ini kita hidup dalam dunia yang huru-hara, selagi kita tidak mahu berubah kepada Islam kita akan terus kekal dalam dunia huru-hara itu. Kita akan terus hidup dalam ketakutan. Orang kaya akan terus takut hartanya hilang, orang miskin akan terus kelaparan kerana orang kaya menjadi bakhil, yang lapar akan mencuri, perempuan akan terus takut maruahnya dicabul, lelaki bersalah atau tidak bersalah (terdakwa) akan terus takut dengan penghukuman yang tidak adil. Mengapa? Kerana kita memilih untuk hidup di dalam dunia yang sistemnya tidak betul.

Sebab itu di dalam Islam ada zakat, ada kharaj, ada dharaib, sedekah dan sebagainya. Ini untuk menyeimbangi di antara orang kaya dan orang miskin. Bahkah banyak lagi yang perlu dan sepatutnya dibicarakan.

Kita akan terus kehilangan orang pemurah. Orang kaya akan terus menjadi bakhil apabila mereka tidak mahu menunaikan kewajipan zakat dan bersedekah kepada orang miskin, orang miskin akan terus miskin. Sebaliknya kalau kita mendominasikan Islam, bukan hanya orang miskin akan terbela malah orang kaya juga tidak perlu untuk runsing dengan harta yang mereka miliki.

CEO encik Khairul beranggapan - hanya yang berjaya mentadbir huru-hara ini sahaja yang akan terus hidup - saya pula beranggapan kita tidak perlu lagi mentadbir huru-hara itu sebaliknya kita perlu menukar kepada sesuatu yang tidak huru-hara untuk bukan hanya terus hidup, tetapi terus mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Kalaulah kita tidak mahu terus hidup di dalam dunia yang huru-hara ini, sepatutnya kita telah bertindak kembali kepada Islam. Islam adalah segalanya.

Tamat. 

Sila klik Respon/Komen

 

24 November 2002/ 19 Ramadhan 1423 | Ahad | 20.46 pm

Catatan Satu

Saya tidak ingat bila kali pertama saya mendengar orang menyebut nama HAMKA. Tetapi apa yang saya tahu saya telah mendengar nama itu semenjak kacil lagi. Saya sendiri ketika itu tidak kenal dan tidak pernah ingin kenal siapa HAMKA. Mungkin kerana faktor usia saya yang masih kecil dan tidak terfikir untuk itu semua.

Sehingga saya menjejak kaki ke sekolah menengah, nama HAMKA kembali dibisikkan. Saya mula tertarik untuk kenal siapa insan itu. Malangnya saya sering terlupa untuk mencari bahan bacaan yang menceritakan tentang HAMKA sesekali menjengah perpustakaan sekolah. Peluang masuk ke perpustakaan sekolah lebih banyak saya isi dengan membaca buku-buku cerita alias novel remaja kerana usia remaja saya ketika itu lebih berahi pada novel-novel seumpama itu. Pun begitu pencarian saya untuk mengenal siapa HAMKA ketemu jua apabila saya diceritakan oleh seorang guru sejarah tentang siapa HAMKA.

Apa yang saya tahu waktu itu tentang HAMKA ialah dia seorang penulis terkenal juga cendiakawan Islam yang berasal dari Indonesia serta mengharum namanya bukan hanya di latar tanah tumpahnya bahkan ke serata ceruk nusantara malah dunia. Sekira-kira HAMKA ini orang hebat.

Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau HAMKA merupakan seorang ulamak berjiwa seni. Mengukir riwayat hidup atas nama perjuangan menyampaikan kefahaman Islam dalam pelbagai wacana. Melibatkan diri dalam dakwah dan penulisan setelah usai pengajian di Al-Azhar Mesir.

HAMKA anak seorang ulamak yang disegani. Oleh sebab itu dia dan keluarganya sering dihormati dan disegani oleh masyarakat setempat. Dalam hidupnya dia tidak betah dikeji, dihina, dicaci dan dihukum. Atas sebab itulah dia membesar sebagai seorang yang berakhlak mulia, sesuai dengan suasana kehidupannya yang diwarnai kemurnian.

Selain seorang ulamak terkenal yang pernah menulis pelbagai makalah dan kitab-kitab dia juga dikenali sebagai seorang karyawan yang pernah menulis beberapa buah novel. Di antara Novelnya yang masyhur ialah "Tenggelamnya Kapal Van Da Wick" dan banyak lagi.

Diberikan pengiktirafan sebagai Doktor Honoris Causa oleh pihak Jamiah Al-Azhar As-Syarif di atas kesungguhan beliau mengkaji dan menulis sebagai kelangsungan dakwah kepada masyarakat. Selain itu beliau juga dianugerahkan Dr oleh Malaysia. Jelasnya HAMKA seorang yang ulamak berjiwa seni.

Di akhir hayatnya beliau menghadapi penderitaan dikurung di dalam penjara kerana dituduh menjual negaranya kepada Malaysia. Saya sendiri tidak faham pertuduhan tersebut. HAMKA dikeji, dicaci, dihina dan diseksa sehingga beliau merasai saat itu kematian adalah ubat segala sengsara kerana tidak tahan dengan pelbagai seksaan yang diterimanya. Itulah fitrah pejuang. Sunnatullah bagi para pejuang akan merasai kesengsaraan yang pelbagai. Rasulullah saw sendiri pernah dilontarkan dengan batu-batu ketika berdakwah sehingga sirah menyatakan lontaran batu-batu itu telah melukakan dan mengalir darah di tubuh Rasulullah SAW.

Di dalam penjara HAMKA didatangi oleh syaitan yang cuba menghasutnya supaya beliau segera menamatkan hidupnya dengan membunuh diri. Mujurlah di dalam pertarungan itu HAMKA berjaya mempertahankan keimanannya dengan nusrah dari Ilahi. (Diceritakan sendiri di dalam kata-kata penghantar buku TASAUF MODEN).

Sewaktu terlantar di hospital beliau terkenangkan buku TASAUF MODEN yang ditulisnya. Buku itu amat masyhur sehingga dikatakan mampu memberikan ketenangan dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang membacanya. Lantas beliau meminta buku itu dan membacanya sehingga pernah ditegur oleh pelawat yang melawatnya di hospital yang merasa pelik seorang penulis (HAMKA) membaca buku tulisannya sendiri.

Di dalam monolog Pak HAMKA:"Akulah yang menulis buku TASAUF MODEN ini, orang lain mendapat ketenangan dan petunjuk dengannya. Mereka mati dan mereka menemui syurga. Tetapi aku? Sekiranya aku yang menulisnya tidak mendapat ketenangan dan petunjuk sebagaimana orang lain, aku mungkin akan mati dan dicampakkan ke dalam neraka. Sedangkan itulah yang paling aku takuti."

Masih banyak yang belum saya ketahui tentang HAMKA sebenarnya. Kalau HAMKA pun membaca karyanya sendiri. Pastinya saya dan kalian juga pernah berbuat begitu bukan? Tapi persoalannya apa yang orang lain dapat dari tulisan saya? dan apa yang orang lain dapat dari tulisan kalian?

*** Tarikh catatan di JALAN HIDUP adalah tarikh saya menulis bukan tarikh saya memasukkan catatan. 

Sila klik Respon/Komen

 

22 November 2002/ 17 Ramadhan 1423 | Jumaat | 1.55 am

Catatan Satu

Bila nama saya sudah disebut!

Beberapa waktu yang lalu seorang kawan bertemu saya. Di dalam perbualan dengannya dia sambil bergurau berkata nama saya disebut di dalam sebuah suara kampus (SK). Saya tanpa segan silu melanjutkan pertanyaan di dalam SK mana nama saya disebutkan dan siapa yang menyebutnya pula. Kawan saya tersenyum sambil berkata saya diperkatakan di dalam SUTRA (Suara Kampus Edisi Terengganu) oleh Nazmi Yaakob.

Siang tadi sewaktu hadir ke majlis Iftor Jamai'e sempena sambutan nuzul Al-Quran anjuran DPMT, saya nampak SUTRA ada dijual di Bait Izzah. Jadi saya membelinya. Selepas membayar LE 3.00 saya tercari-cari di ruangan mana Nazmi Yaakob menulis tentang saya. Akhirnya helaian demi helaian saya selak dan saya temui satu sudut Fokus SUTRA bertajuk: "Jalan Masih Panjang dan Berliku." oleh Nazmi Yaakob.

Sebagai seorang manusia biasa saya pastinya terasa senang diperkatakan sedemikian oleh seorang penilai yang menilai siapa saya. Dia - mungkin mengambil masa yang agak lama memerhatikan saya dan penulisan saya. Saya secara ikhlas tidak pernah terfikir penglibatan saya yang tidak terlalu serius dalam dunia penulisan membuka mata pihak lain - terutama Nazmi Yaakob (cerpenis dan penulis novel sulungnya Lambaian Huda). Ini kerana saya pernah menyimpan rasa tidak senang apabila Nazmi seolah tidak acuh kepada saya sewaktu saya menyatakan hasrat untuk menjadi seorang penulis sepertinya. Nazmi membiarkan saya tenggelam bersama impian saya yang baru bertunas itu sewaktu mula-mula tiba di Mesir dahulu. Saya masih ingat Nazmi!

Saya mula menilai siapa saya? Selain pernah menulis beberapa sajak sewaktu di sekolah menengah dahulu (tersiar di Minda Pelajar) dan sebuah cerpen bersiri berjudul (Seorang Ayah Sebuah Harapan) yang berjaya disudahkan dengan tiga episod termuat di dalam majalah sekolah, saya hanyalah antara ribuan malah jutaan mereka yang pernah merangkul A1 di dalam kertas bahasa Melayu SPM. Apalah yang hendak dibanggakan? Tetapi berbekalkan semangat selalu mendapat markah tinggi dalam karangan bahasa Melayu di dalam kelas dan dipuji guru BM, saya mula hendak terjun ke dunia penulisan kala sampai di Mesir dan Nazmi adalah orang yang saya harap boleh menjadi guru saya. 

Malangnya impian saya itu kabur. Apa yang Nazmi kata pada saya (mungkin bukan hanya kepada saya sahaja) supaya saya mula dahulu untuk menulis mengurangkan hasrat saya untuk menjadi muridnya. Saya sendiri tidak pasti apa yang Nazmi rasa ketika itu. Ini kerana saya sendiri belum kenal dan faham siapa Nazmi.

Tahun 2000 pertama kali di Mesir, saya menulis sebuah cerpen untuk mengisi Suara Kampus edisi gabungan antara Kelantan Perlis dan Muhafazah Syibin el-Kom (KLIS) berjudul ANA. Itupun kerana editornya yang minta dan dia kawan baik saya. Tema masih seputar ukhuwah dan cinta. Remeh bukan? Bila SK itu terbit, cerpen ANA saya baca berulang kali. Saya kesani cerpen itu terlalu lemah dari pelbagai aspek. Sama ada tema, plot, gaya, bahasa, latar dan sebagainya. Jadi azam saya untuk terus menulis kembali pudar. Saya menyedari saya tidak lagi punya kehebatan menulis sebagaimana saya selalu dapat markah tinggi di dalam karangan masa di sekolah dahulu. Semangat saya hilang, azam saya berkecai dan impian saya menjauh. Saya menjadi manusia pemerhati yang hanya membaca penulisan orang lain selama hampir satu tahun. Saya mengkritik penulisan orang lain sendiri kerana saya tidak punya apa-apa wasilah untuk melepaskan kritikan itu. Saya terus mengisi ruang sepi itu.

Tahun 2002, setepatnya Januari 2002 saya terjenguk ke laman www.melayu.com (MDC) di Pusat Karya ruangan cerpen. Membaca beberapa karya yang dihantar ke sana saya mula berminat untuk kembali ke dunia penulisan. Februari 2002 menyaksikan saya menyiapkan empat buah cerpen dan dihantar ke MDC dan tersiar. Cerpen pertama Februari itu: Lagenda Gadis Kedai Bunga (LGKB) dan kedua: Warkah Buat Puteriku (WBP). Selain dihantar ke MDC kedua-dua cerpen itu saya hantar ke penerbitan SK. LGKB saya hantar ke SK edisi Perak (ATOM) dan WBP saya hantar ke SK edisi Johor (SUKEJ). Malangnya tidak tersiar sehinggalah saya bertanyakan kepada editor kedua-dua SK tersebut.

Beberapa bulan selepas itu WBP tersiar di dalam Buletin Hari Keluarga BKPJM dan editornya meminta karya tambahan. Yang menariknya WBP adalah sebuah dari cerpen saya yang tersiar di akhbar tabloid negara Brunei Darus salam dengan saya sendiri tidak tahu siapa yang menghantarnya. Akan tetapi nama saya sebagai penulis masih terpamer. LGKB dan WBP adalah cerpen-cerpen yang diambil untuk beberapa web kenalan saya. 

Cerpen ketiga berjudul Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah (AMKMDKK) saya kira sebuah cerpen yang berunsur sejarah. Tema yang agak berat cuba saya persembahkan. Garapan saya itu barangkali tidak mantap. Saya sendiri tidak mampu mengukur sejauh mana kekuatan yang ada pada cerpen itu. AMKMDKK selain mengisi ruang cerpen di MDC turut saya hantar ke penerbitan SK edisi Kedah (SUKEK) dan tersiar. Malah seorang pengguna internet telah menyuntingnya dan menghantar ke laman mesra.net tanpa pengetahuan saya sehingga saya sendiri menerima emel yang diforwardkan kepada saya di mana isi emel itu adalah cerpen saya kononnya dipetik dari laman mesra.net. Setelah disemak rupanya cerpen itu telah dipamerkan di laman tersebut. 

Manakala cerpen keempat saya berjudul Dia Seorang Teman (Maafkan aku Aisyah). (DST) juga dihantar ke MDC dan Karangkraf.com. Melalui cerpen ini saya menerima puluhan emel yang pelbagai. Ada yang mengucap tahniah dan ada juga yang ingin belajar menulis cerpen daripada saya. Saya akhirnya membuat kesimpulan yang mereka hanyalah sekadar suka-suka. Saya tukar tajuk asalnya kepada Masihkah Ada Sinar. Cerpen ini saya tidak pernah hantar ke mana-mana SK. Belum pasti sama ada akan dihantar atau tidak.

Kesinambungan kepada cerpen DST atau MAS ialah sebuah cerpen yang saya tulis sambil lewa, dan hasilnya juga leweh. Asalnya berjudul Akhi oh Akhi! Mengambil sempena nama pena saya Akhi Masrawi. Kemudiannya saya ubah tajuknya menjadi Kerikil Cinta Humaira (KCH). Juga tidak pernah dihantar ke mana-mana SK.

Tahanan adalah merupakah karya saya pada Jun 2002, kira-kira ketika saya mula membina Jurnal Pujangga Online - JALAN HIDUP ini. Cerpen ini saya serah pada editor SUKEJ dan tersiar. Seperti kelaziman saya turut menghantarnya ke MDC. Tahanan menemukan tema yang agak universal. Meskipun latar dan plot yang digarap agak biasa, pada saya Tahanan sebuah cerpen yang menyenakkan otak saya juga untuk dihasilkan.

Dua buah cerpen terakhir sebelum saya menulis catatan ini ialah Hingga Titisan Terakhir (HTT) dan Di dalam Dewan Besar itu (DDDBI). HTT saya hantar ke SUKEJ atas permintaan dan DDDBI saya serahkan pada salah seorang tenaga editorial SK edisi Kelantan. Saya tidak pasti sama ada telah tersiar atau belum. Apa pun saya berharap hasil pena saya tidak dibakulsampahkan meskipun nilainya tidak sama seperti karya penulis lain.

Barangkali atas sebab Nazmi tidak acuh pada saya awalnyalah maka saya terpaksa belajar untuk merangkak, bertatih, berdiri, berjalan dan berlari sendiri. Saya berusaha sendiri. Tiada seminar atau bengkel Nazmi yang membuka peluang untuk saya hadiri, apa lagi seminar atau bengkel yang dianjurkan di tanahair.

Buku panduan menulis cerpen Dr othman Puteh itulah saya lumati berkali-kali sehingga saya cuba mengaplikasikan teknik-teknik bersifat teori itu di dalam penulisan saya. Saya tidak pasti sejauh mana saya telah berjaya atau saya semakin gagal?

Tetapi bila nama saya sudah disebut... apakah saya masih perlu berada di tahap lama? 

Apapun seperti kata Nazmi Yaakob di dalam SUTRA:

"Seorang lagi penulis yang tidak pernah terlibat dengan bengkel atau seminar saya - barangkali satu-satunya dari kaum Adam - ialah Tarmizi Ismaildari Tanta juga boleh diketengahkan apabila membacakan beberapa buah cerpen yang tersiar dalam laman www.melayu.com. Tarmizi memiliki daya imaginasi yang tinggi lewat karyanya merupakan kemestian yang wajar dimiliki penulis."


Dengan kata-kata Nazmi itu orang mungkin kenal pada Tarmizi Ismail tetapi orang mungkin tidak kenal siapa Akhi Masrawi (nama pena saya).

Betullah kata Nazmi, jalan masih panjang dan berliku. 

Sila klik Respon/Komen

 

21 November 2002/ 16 Ramadhan 1423 | Khamis | 20.44 pm

Catatan Satu

Berkomunikasi dengan berkesan!

Semalam saya dan kawan-kawan menghadiri iftor jamai'e. Tahu apa itu iftor jamai'e? kalimah atau perkataan dari bahasa Arab yang bermakna: berbuka puasa secara beramai-ramai.

Barangkali yang pernah belajar di sekolah agama alias sekolah arab tahu perkataan iftor jamai'e tersebut walaupun jarang menggunakannya. Kalimah itu popular di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir terutama di bulan Ramadhan seperti ini.

Namun begitu tidak semua menggunakan perkataan iftor jamai'e. Ini kerana ia menunjukkan makna berbuka secara jamaah. Biasanya kebanyakan hanya menggunakan iftor. Akan tetapi sekiranya ada majlis berbuka puasa yang dianjurkan persatuan atau individu-individu tertentu majlis itu dinamakan iftor jamai'e.

Perkataan seperti iftor hanya popular digunakan pada bulan Ramadhan. Sebagaimana perkataan ma`idah rahman (hidangan kenduri yang biasanya disediakan oleh masyarakat tempatan di bulan Ramadhan untuk majlis iftor (berbuka)). Pada bulan-bulan lain perkataan ma`idah rahman amat jarang digunakan.

Begitu juga perkataan yang akrab dengan pelajar di sini yang lain seperti perkataan aiwah, masyi, syukran, ala fikrah, Allah yukhallik, Allah yukrimak, izaiyak, amil eih dan sebagainya. Sebenarnya perkataan-perkataan yang saya sebutkan itu amatlah luas dan popular penggunaannya di dalam komunikasi harian di antara siswa Malaysia dengan masyarakat tempatan malah juga sesama kami.

Mungkin jika sudah pulang ke Malaysia nanti setelah tamat pengajian perkataan-perkataan itu sudah tidak tergunakan lagi. Pun begitu beberapa orang kawan saya (pelajar Mesir juga) yang pulang bercuti pada cuti semester lepas bercerita yang mereka masih terguna kalimah-kalimah arab yang telah terbiasa digunakan di sini di dalam pertuturan sesama mereka. 

Seorang kawan malah pernah terguna di dalam komunikasi bersama orang kampungnya. Bila ditanya dan dia menjawab dengan menggunakan uslub arab ammiah (pertuturan) Mesir. Melucukan bukan? Ini kerana orang yang tidak pernah hidup di Mesir dan tak menguasai bahasa ammiah tidak dapat memahami apa yang dipertuturkan.

Justeru bahasa adalah alat komunikasi yang perlu digunakan dengan berkesan. Sesuatu komunikasi selain melihat kepada aspek-aspek lain seperti gerak badan, tingkah laku, riak wajah, pandangan mata, kedudukan jarak, bahasa juga memainkan peranan yang amat penting. Mustahil seseorang manusia yang tidak pernah memahami bahasa lain mampu memahami kehendak komunikasi kecuali sedikit apabila digabungkan dengan aspek komunikasi yang lain seperti gerak isyarat, riak wajah dan alat bantu.

Saya bercakap di dalam bahasa Arab ammiah kepada seorang rakan yang tidak memahami bahasa tersebut dan dia membalas dengan menggunakan bahasa Rusia sedangkan saya tidak memahami bahasa itu pula, adakah saya mampu membina jalinan mandala komunikasi yang berkesan? Jawapannya tentulah tidak.

Dua tahun lepas saya pernah menghadiri satu program di mana di dalam program tersebut saya dibentangkan dengan satu kertas kerja yang bertajuk: "KOMUNIKASI BERKESAN PARA KEPIMPINAN." Melalui kertas kerja itu saya mendapat beberapa perkara yang sepatutnya merubah diri saya.

Kalau saya sebelum ini tidak pernah menitik beratkan aspek komunikasi ini sehingga saya tidak peka terhadap kaedah-kaedah yang sepatutnya berlainan apabila berkomunikasi supaya menjadi berkesan, saya sebenarnya memperlajari sedikit demi sedikit. Ini kerana setiap hari kita harus berkomunikasi dengan manusia yang lain. Dan peringkat-peringkat mereka berbeza. Sasaran komunikasi kita itu boleh jadi seorang yang lebih berumur dari kita, seorang yang lebih muda dari kita, sebaya, lebih berkedudukan, rendah kedudukan, setaraf, berilmu, jahil, berlainan jantina dan sebagainya. Ini semua harus dinilai sebelum melakukan sesuatu komunikasi yang berkesan. Justeru perhatikan!


Kaedah pertama:"Sahkan kewujudan seseorang." Berkomunikasi dengan cara memberikan perhatian kepada orang yang menjadi teman komunikasi kita. Antara perhatian yang paling bersar ialah memandang dan berhadapan dengannya apabila berkomunikasi. Seseorang manusia secara fitrahnya mahu dia tidak disisihkan oleh orang lain. Jadi sekiranya kita tidak acuh pada teman komunikasi mungkin akan menyebabkan dia beranggapan kita telah menyisihkan dia. Rasulullah sendiri diajar supaya tidak menyisihkan manusia di dalam penyampaian dakwahnya. Meskipun orang itu hanyalah seorang hamba berkulit hitam.

Kaedah kedua:"Menyebut untuk menyatakan penghargaan." Sekiranya ada orang yang menanam budi kepada kita, haruslah kita menyebut kebaikan dia kepada dirinya supaya dia merasa budinya atau usahanya dihargai. Ini penting bagi para kepimpinan. Pekerja bawahan akan merasa dihargai apabila kerjanya dipuji oleh ketuanya.

Kaedah ketiga:"Bahasa." Penggunaan bahasa yang bersesuaian adalah amat penting supaya sesuatu komunikasi itu dapat berlaku dengan berkesan. Adalah amat rugi apabila bahasa yang indah tidak digunakan di dalam komunikasi setiap hari. Seseorang yang sedang hangat bercinta sewaktu menulis surat cintanya berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga sanggup mengoyak surat yang tidak sesuai, mencari kalimah-kalimah yang paling terbaik, dan merujuk buku-buku dan kamus untuk memastikan suratnya menjadi wasilah komunikasinya yang paling berkesan. Mengapa kita tidak mengaplikasikan senario tersebut di dalam perhubungan harian kita? Adakah kerana kita malu dengan suasana? Yang pastinya jika kita terlalu egois untuk merendah diri, memuji orang lain sekali-sekala, menghormati, menunjuk sayang... kita sebenarnya memilih untuk tidak didekati oleh sesiapa pun!

Gunalah bahasa yang terbaik di dalam komunikasi. Seimbangkan di antara bahasa yang formal dan unformal. Melihat kepada situasi amat penting supaya mampu menilai siapa teman komunikasi kita. Apabila sudah mengenali mudahlah untuk menjalin komunikasi. 

Bagaimana bahasa yang digunakan untuk komunikasi dengan keluarga? dengan kawan-kawan? teman istimewa? ketua? perkerja bawahan? Tentunya perbezaan ini menjadikan kita menganalisa komunikasi yang pernah kita lakukan sebelum ini.

Kaedah keempat: "Meyakinkan orang lain terhadap diri kita." Untuk meyakinkan orang lain terhadap diri kita memerlukan teknik yang dipelbagaikan. Kaedah ini amat penting bagi seseorang kepimpinan. Pun begitu tidaklah bermakna sekiranya anda bukan seorang kepimpinan kaedah ini tidak penting. Untuk meyakinkan orang lain terhadap diri kita perlulah kita membentuk diri menjadi modus operandi alias suri tauladan sehingga orang mengkagumi dan yakin pada diri kita. Pembentukan akhlak, perangai dan sikap adalah amat penting. Seseorang yang berakhlak baik sebenarnya mempunyai peluang diyakini oleh orang lain.

Kaedah kelima: "Meluangkan masa untuk orang lain." Jangan menolak pelawaan orang lain meskipun dia hanyalah orang bawahan anda. Sekiranya dijemput menghadiri sesuatu majlis di dalam keadaan anda juga tiada kelapangan untuk menghadiri kerana diundang ke majlis lain yang lebih awal, jangan terus menolak. Terimalah dengan berkata: Saya akan berusaha untuk hadir. Atau meolak dengan meminta maaf dan menyatakan sebab adalah lebih baik dari terus membiarkan penjemput tertunggu-tunggu anda hadir. Sekiranya anda sudah berkeluarga, luangkanlah masa untuk aktiviti keluarga supaya anda mampu menjalin hubungan kasih dan sayang sesama ahli keluarga anda. Sekiranya ada seorang kawan anda yang memerlukan pertolongan anda luangkanlah masa untuk membantunya kerana ia akan menambahkan kepercayaan dan keakrabannya terhadap anda. Bayangkan jika anda menjauh dan menolak, apakah yang dia rasa saat itu? Selain kecewa dan marah! Apakah anda tidak merasa bersalah?

Kaedah keenam:"Menghargai orang lain." Banyak cara untuk menghargai orang lain. Di antaranya dengan memberikan hadiah hari lahir, memberikan kad ucapan, membalas pemberian, mengucapkan tahniah dan memuji kejayaan, belanja makan siang/malam, mengundang ke majlis yang anda anjurkan, menunaikan janji dan sebaginya. Dengan menghargai orang lain anda telah menanam kasih sayang dia terhadap anda. Kepercayaan dia terhadap anda terbina sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan memulakan majlis/mesyuarat tepat pada masa yang dijanjikan sebagai menghargai orang yang dapat awal bukan memberi peluang untuk orang datang lewat ditunggu sehingga majlis menghargai kedatangan mereka yang lewat itu.

Bagaimanapun apa yang saya tulis di sini bukanlah mencakupi keseluruhan teknik atau kaedah komunikasi yang saya percaya masih banyak. Sekiranya kita mampu membentuk 6 kaedah tersebut sekurang-kurangnya komunikasi kita akan lebih baik berbanding sekiranya mengabaikan.

Adakalanya kita tidak mampu menggunakan kesemua apa yang dimiliki untuk berkomunikasi akan tetapi walaupun kadangkala kita hanya menggunakan satu atau dua aspek sahaja seperti hanya mampu berkomunikasi secara bukan lisan atau penulisan semata-mata kita masih punya peluang untuk berkomunikasi secara berkesan. Bagaimana orang bisu boleh memahami di antara satu dengan lain? Bagaimana ibu menanamkan kasih sayang terhadap anaknya yang masih tidak boleh berkata-kata? Bagaimana seorang penjaga kucing mampu menjinakkan kucingnya? Semua ini adalah komunikasi yang kurang dari sudut penggunaan aspek tetapi masih boleh berkesan.

Selain bertutur, komunikasi juga boleh dilakukan dengan melihat kepada aspek lain seperti sentuhan (berjabat tangan), air muka, isyarat dan persekitaran. Dengan memerhatikan aspek-aspek lain seperti yang saya nyatakan itu anda juga mampu berkomunikasi dengan berkesan.

Untuk mewujudkan kasih sayang perlu banyak sentuhan. Berjabat tangan, memeluk, dan mencium akan mudah menimbulkan mesra. Tetapi perlulah digunakan di tempat yang sesuai. Seorang ibu lebih banyak membelai dan menyentuh anaknya menyebabkan jalinan kasih di antara si anak dan ibu lebih akrab berbanding anak dengan ayahnya, kecuali sekiranya si ibu tidak melakukan aspek sentuhan tersebut... jalinan kasih itu akan berpindah.

Orang bisu yang menggunakan bahasa isyarat dan riak wajah mampu menyelami maksud yang disampaikan meskipun komunikasi mereka kekurangan dari aspek pertuturan. Ini kerana mereka memberikan tumpuan pada gerak badan, kedudukan, riak wajah, mata, posisi tubuh, jarak dan sebaginya yang selalunya diabaikan oleh orang yang boleh bertutur. 

Justeru adalah amat berharga jika kita yang diberikan pancaindera yang cukup memanipulasikan anugerah Allah itu dengan sebaik-baiknya. Ucaplah syukur dan berdoalah kepada Tuhan kerana dengan mengucap syukur kita dan menggunakan anugerah di tempat yang baik kita akan mendapat kebaikan dan keberkatan di sisi Allah SWT.

Hari ini saya perlu hadir satu lagi majlis iftor jamai'e. Harapnya bila dengar iftor jamai'e pada lain kali kalian sudah tahu apa maksudnya!

Kata-kata Pujangga:" Pemimpin yang berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya."

Sila klik Respon/Komen

 

19 November 2002/ 14 Ramadhan 1423 | Selasa | 14.28 pm

Catatan Satu

REAKSI

Rencana: Sanggahan Terhadap Metod Sisters in Islam

Oleh: Akhi Masrawi

Jika Subki Latif yang terkenal dengan catatan Min Aina Ila Aina dalam Akhbar Harakah juga sebagai kolumnis laman web Harakahdaily.net malah penulis beberapa tabloid dan majalah tempatan pernah menyatakan pendiriannya bahawa status Sisters In Islam (SII), sebuah NGO di Malaysia sebagai kumpulan orang-orang mengaji tak berguru, saya lebih cenderung berkata status Sisters In Islam sebenarnya adalah sebagai kumpulan orang-orang tak mengaji tetapi berlagak menjadi guru.

Antara saya dan Subky Latif tentu jurang terlalu jauh membezakan. Subki seorang penulis terkenal, sebaliknya saya hanya siapa? Kalaupun saya 'berkokok' dengan lantang sekali berkata begitu terhadap status SII mereka mungkin tidak perlu langsung untuk ambil kesah atau merasa tergugat. Siapalah saya untuk melabelkan SII sebagai kumpulan orang-orang tak mengaji tetapi berlagak menjadi guru itu.

Namun saya tetap berpendirian sebegitu hatta sekarang. Ini jelas kerana SII lantang berbicara persoalan seputar agama Islam bagai seorang syeikh!

Tentu masih di ingatan, sewaktu negara digemparkan dengan isu Kerajaan Terengganu pimpinan Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang membentangkan enakmen undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisos) untuk dilaksanakan di negeri itu, SII turut mengambil bahagian memeriahkan suasana. Tetapi bukan untuk menyokong enakmen itu dilaksanakan, sebaliknya menimbulkan beberapa persoalan supaya enakmen itu berjaya digagalkan. Inilah peranan penting SII ketika itu.

Siapa sebenarnya SII untuk membincangkan isu enakmen undang-undang jenayah syariah itu? Adakah SII 'sukarela' politik parti tertentu untuk menentang pendirian kerajaan Terengganu dari gabungan Barisan Alternatif itu? Kalaulah Subki mentelaah SII sebagai kumpulan orang-orang mengaji tak berguru, tentu sahaja pembaca tulisan subki itu sudah mampu menangkap maksud yang dilontarkan Subki. Subki tidak akan berkata begitu jika SII tidak mencerminkan apa yang dikata Subki. Masakan pokok bergoyang andai angin tidak bertiup.

Selain sebagai sebuah NGO yang berlatarkan perjuangan mempertahankan hak-hak kewanitaan dalam masyarakat kononnya, SII juga merupakan badan yang sering membicarakan persoalan agama Islam secara bebas. Peranan ini samalah seperti beberapa pertubuhan yang lain yang sering membicarakan tentang persoalan seputar agama Islam.

Melihat kepada senario tanahair, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) merupakan badan NGO yang paling bertanggung jawab penuh menjelaskan letak duduk perkara sebenar berhubung Islam. Tetapi persoalannya mengapa SII harus menampilkan diri melebihi PUM sedangkan mereka sendiri tidak jelas apa itu Islam yang sebenar.

Persoalan siapa menaja SII bukanlah perkara yang perlu diperbincangkan. Ini kerana SII sendiri merupakan NGO yang licik bermain tari di pentas persada tanahair. Inilah yang merunsingkan ulamak-ulamak Islam di Malaysia. Misalnya dalam permasalahan Fiqh berhubung wanita, SII dengan rakus mempersoal itu dan ini. SII dengan berani mempertikai ijtihad ulamak-ulamak muktabar dalam era perkembangan Fiqh suatu masa dahulu. Apa gunanya perkembangan fiqh pada era tersebut jika SII yang hanya wujud pada abad ke 20 mempersoalkannya semula?

Sememangnya tidak dinafikan bahawa ijtihad dalam persoalan fiqh berlaku perselisihan. Tetapi perselisihan tersebut hanya berlaku dalam persoalan cabang dan yang terdedah kepada ijtihad kerana terdapat beberapa perselisihan dalil. Manakala dalam persoalan berkaitan kewajipan solat lima waktu, kewajipan puasa dan selainnya yang merangkumi persoalan ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, siasah dan sebagainya ijma' telah menjadikan dilalah dzanni ke martabat qati'e. Tindakan SII mempersoalkan keharusan poligami, relevankah iddah bagi isteri yang diceraikan atau fasakh, persoalan sekitar cerai, dan beberapa perkara lain berkaitan kekeluargaan Islam yang turut dipersoalkan menampakkan identiti SII yang seolah membuka pekung di dada sendiri.

Perlu diingatkan sesuatu peruntukan di dalam fiqh Islami adalah diistinbat (diambil) dari nas-nas yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Manakala peruntukan-peruntukan lain yang tiada nas adalah dzan yang lahir daripada ijtihad mengikut disiplin ilmu yang mapan. Di dalam mengeluarkan pandangan semua mujtahid mutlak seperti Imam 4 mazhab mempunyai kaedah usul fiqh yang tersendiri bagi menentukan sesuatu hukum fiqh. Berbanding pertubuhan Sisters in Islam, apakah kaedah yang mereka gunakan? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah kaedah akal dan dorongan nafsu semata-mata.

Berbalik kepada persoalan enakmen undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisos) yang dibentangkan, SII turut menyuarakan pandangannya. Di antara persoalan popular yang diketengahkan ialah masalah berkaitan dengan qazaf terhadap wanita mangsa rogol yang diperuntukkan dalam enakmen tersebut, apabila wanita itu tidak mampu mengemukakan saksi terhadap pendakwaannya. SII menyatakan bahawa peruntukan tersebut bersifat menzalimi kaum wanita sehinggakan mereka yang tidak mampu mengemukakan saksi tidak mampu menghadapkan pendakwaan dan kes itu berakhir begitu sahaja.

Bagi SII apalah sangat hudud dan qisos itu. Perlaksanaan hukuman melalui peruntukan enakmen tersebut dilihat kejam, diskriminasi, berlaku kecelaruan, pertindanan dan sebagainya. Bagi SII perlembagaan persekutuan telah pun memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan jenayah tersebut yang berada di bawah bidang kuasa persekutuan. Malah, rang enakmen cadangan tersebut mempunyai peruntukan-peruntukan penghukuman yang jauh melampaui batas kuasa yang telah ditetapkan bagi Kerajaan negeri serta akan mewujudkan peruntukan yang bertindan memandangkan beberapa kesalahan di bawah rang undang-undang ini telah pun termaktub di dalam undang-undang Persekutuan. Ini bermakna, bagi sesetengah kesalahan, akan wujudnya dua sistem perundangan yang bercanggah.

SII melihat undang-undang persekutuan sama sekali tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip perundangan Islam memandangkan undang-undang jenayah Islam memberikan ruang yang luas bagi pembentukkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan berbentuk ta'zir. Tetapi pada dasarnya SII langsung tidak memahami apakah kesalahan-kesalahan yang telah ditetapkan 'had' dalam Al-Quran adakah masih boleh dihitung sebagai kesalahan bercirikan ta'zir? Ta'zir hanya dikenakan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat nas 'had' yang tertentu. Ini bermakna bukan semua kesalahan boleh dikenakan ta'zir semata-mata.

SII kemudiannya merujuk kepada peruntukan perlembagaan Artikel 8(1) yang bermaksud setiap orang mempunyai hak yang sama disisi undang-undang. Sedangkan enakmen Jenayah Syariah itu memperuntukkan pilihan bagi orang bukan Islam untuk memilih samada mahu diadili melalui undang-undang itu tetapi tiada pilihan bagi Umat Islam. SII mendakwa ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan Artikel 8(1) tersebut. Justeru SII mempertahankan prinsip kesetaraan yang dianjurkan oleh perlembagaan persekutuan.

SII melihat Islam melalui sudut yang sangat sempit. Pandangannya hanya tertumpu pada prinsip kesamarataan yang dicanangkan, malah mereka hanya melihat kedudukan adil hanya apabila kesetaraan dilaksanakan. Dengan itu SII berpandangan pembentukan undang-undang setelah adanya peruntukan undang-undang persekutuan (Malaysia) adalah sesuatu yang tidak relevan sedangkan persoalan adakah perundangan sivil yang sedia ada menepati keadilan sebenar? SII bingung memutarkan idea akalnya.

Keadilan dalam Islam tidak dilihat apabila kesetaraan dikuatkuasa sedangkan kesetaraan itu tidak menepati tempat dan kesesuaiannya. Sebagai contoh mudah: seorang bapa yang adil terhadap dua anaknya di mana seorang anaknya adalah lelaki dan seorang lagi adalah perempuan perlu menyediakan keperluan anaknya bersesuaian dengan jantina anak-anaknya. Sekiranya untuk memperlihatkan prinsip kesetaraan yang dicanangkan SII adalah lebih baik si ayah membelikan pakaian yang sama sedangkan pakaian yang dibeli si bapa hanya boleh menutup aurat anak lelakinya, tidak aurat anak perempuannya. Ini kerana pakaian itu hanya sesuai bagi anak lelakinya. Adakah si bapa berlaku adil terhadap kedua-dua anaknya? Untuk memperlihatkan adil si bapa; dia mestilah membelikan pakaian yang sesuai kepada anak-anaknya yang berlainan jantina itu meskipun pakaian itu tidak sama jenis. Meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya barulah boleh dinilai sebagai adil. Bukan semata-mata kesetaraan.

Meskipun tidak boleh dinafikan terdapat kelemahan yang terdapat di dalam enakmen jenayah Syariah (Hudud dan Qisos) Terengganu tersebut, namun kelemahan tersebut adalah berpunca dari masalah teknikel dan boleh dikatakan itulahlah resam apabila sesuatu perkara baru diperingkat permulaan kebiasaannya terdapat kelemahan. Akan tetapi kelemahan tersebut bukanlah bermaksud untuk memperlihatkan ketidaktelusan perundangan Islam. Itulah kelemahan yang perlu diakui oleh manusia sebagai makhluk yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Akan tetapi tindakan SII menghentam dan menempelak Kerajaan Terengganu yang beria-ia hendak melaksanakan perundangan Islam itu adalah tindakan yang wajar disifatkan mempunyai niat jahat. Sekiranya SII sendiri mengakui bahawa perundangan Islam adalah perundangan yang terbaik mengapa dipersoalkan tentang kelebihan peruntukan perundangan persekutuan, Pertindanan kehakiman dan penghukuman, pelaksanaan penghukuman sivil memadai dan sebagainya.

Ini jelas menunjukkan SII bukan Cuma hendak mempersoalkan tentang enakmen jenayah syariah itu dari sudut ketidakadilan terhadap mangsa rogol, tetapi SII sendiri tidak mengiktiraf perundangan Islam. Dengan sebab itu SII berusaha mencari kesalahan atau kekurangan yang terdapat supaya boleh dikelirukan dan sekaligus akan menyebabkan masyarakat menolak perundangan Islam.

Samada SII memang begitu atau SII bermotif lain, saya sendiri tidak pasti. Akan tetapi jika dilihat SII dari sudut idealisme mereka lebih mirip kepada kelompok orentalis di mana orentalis mempergunakan nama Islam sebagai perjuangan mereka dan dalam masa yang sama merosakkan Islam itu sendiri. Samalah seperti apa yang SII lakukan hari ini, cuma kelompok orentalis mungkin lebih merbahaya daripada SII.

Barangkali SII dan UMNO tidak ada apa-apa hubungan. Tetapi prinsip dan metod mereka terhadap enakmen tersebut adalah mirip. SII seolah-olah mampu menjadi jurucakap kepada UMNO untuk mengelirukan masyarakat.

Justeru, senario enakmen tersebut bukan hanya berlegar di arena perbincangan Ilmiah, malah melibatkan pergelutan wahana politik. Hudud dan Qisos itu mirip kepada PAS. Dengan sebab itu UMNO menempelak pelaksanaan hudud tersebut bermotif politik untuk memancing undi dalam pilihan raya akan datang. Dato' Harun Taib, orang terpenting dalam penyediaan enakmen itu pernah berkata, "Kalau ia untuk memancing undi, UMNO boleh meluluskan hudud di negeri lain dan boleh meraih undi." Akan tetapi UMNO tidak melakukannya, malah tidak berhasrat untuk meluluskannya meskipun sudah lebih 40 tahun Barisan Nasional (UMNO) memerintah setelah Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957.

Oleh kerana hudud menjadi kontroversi, belum tentu pengundi yang dikelirukan itu boleh mengundi PAS. Tetapi kerajaan Terengganu bertegas walaupun ia terpaksa kalah.

Untuk mencapai keredaan Allah. Walau pun kerajaan PAS Terengganu terpaksa kalah di hadapan Allah, kami redha, kata Pemangku Presiden PAS itu.

Konklusinya, SII tidak layak bercakap persoalan Islam. Ia sudah dan sedang keliru serta bakal mengelirukan.

Tamat.

dihantar ke: SuaraAnum.com 

Sila klik Respon/Komen

16 November 2002/ 11 Ramadhan 1423 | Sabtu | 14.06 pm

Catatan Satu

Nostalgia di bulan Ramadhan (NDBR) 5

Memori di Sekolah Menengah 1

Kata orang zaman sekolah menengah atau zaman pelajar adalah merupakan zaman yang paling manis dan sangat seronok. Beberapa orang kawan saya pernah mengiyakan kenyataan ini. Mungkin ada yang berpendapat zaman belajar di peringkat univesiti lebih seronok berbanding zaman sekolah menengah. Apapun konklusinya zaman bergelar pelajar adalah zaman yang pernah mengukir bekas-bekas memori yang disimpan di dalam saku ingatan setiap yang pernah menjejak kaki dan melabuh punggung di bangku sekolah.

Saya tidak berapa ingat semua lipatan-lipatan memori itu. Zaman itu sudah berlalu. Zaman yang saya tempuhi sekarang jauh berbeza dengan zaman sekolah menengah itu. Saya sekarang berada di zaman pasca sekolah menengah, tetapi masih di dalam zaman perkuliahan sebagai seorang mahasiswa.

Bila teringatkan sekolah menengah ingatan saya berpinar-pinar. Kemudian pinar-pinar itu hilang begitu sahaja setelah beberapa kuntum senyuman terukir. Saya sendiri tidak arif bagaimana saya dihantar oleh ayah saya ke sekolah agama di mana semua pelajarnya terdiri dari kaum putera sahaja. Tiada puteri, tiada seri. Mungkin kerana saya sendiri yang menunjukkan minat dengan aliran agama sejak sekolah rendah lagi. 

Suatu hari bila saya pulang dari sekolah rendah memberitahu mak yang saya disuruh oleh cikgu untuk menjadi imam solat mak berkata: Saya memang ada bakat jadi imam. Saya masih ingat apa mak kata. Meskipun mak mungkin hanya bergurau dengan saya, tetapi kini saya dapat membaca kiasan kata-kata mak itu yang tersirat segunung harapan yang amat tinggi. Sebab itu agaknya kedua orang tua saya hantar saya ke sekolah aliran agama.

Impian mak supaya anak lelaki sulungnya menjadi contoh buat adik-adik yang lain tidak mungkin saya kesampingkan. Saya juga mendapat bakaran semangat daripada guru-guru sekolah rendah saya ketika itu supaya saya sambung ke sekolah menengah aliran agama. Sekolah pertama yang menjadi sasaran saya kerana ke'gah'an nya ialah Maktab Mahmud Alor Setar.

Bulan Ogos saya dah ayah hadiri jemputan temuduga. Masa itu peperiksaan UPSR pun masih belum dijalani. Dalam sesi temuduga yang saya ikuti itu dibahagikan kepada dua slot. Pertama menjawab soalan bertulis dan kedua menjawab soalan lisan. Di dalam katogeri soalan lisan saya disuruh membaca Al-Quran, menghafaz mana-mana juzuk dari surah lazim dan menjawab beberapa soalan. Saya begitu yakin dengan jawapan yang saya jawab kepada ustaz yang menemuduga saya itu. Keyakinan itu membuatkan saya dapat rasakan yang saya lulus dan akan diterima masuk ke Maktab Mahmud tersebut. 

Bila habis sesi temuduga ayah tanya saya boleh atau tidak. Saya tersenyum sambil mengangguk.

Selain Maktab Mahmud Jalan Pegawai Alor Setar, saya juga ada memohon untuk belajar di SMKAK, SMKA Arau. Kedua-dua sekolah tersebut menyediakan aliran agama yang dibiayai oleh kerajaan pusat secara terus, bukan seperti sekolah agama rakyat yang lain. Maktab Mahmud pula saya tidak tahu dibiayai oleh siapa?

Malangnya rezeki tidak menyebelahi saya untuk hasrat itu. SMKAK saya tiada peluang sebab pengambilan bersyarat mesti sekurang-kurang 3 A ke atas. UPSR saya cuma 2 A 2 B. Cikgu Nol (Guru Besar sekolah rendah saya waktu itu) mencadangkan saya memohon Sekolah Menengah Agama Arau (SMKAA) di Perlis. Ini kerana katanya 2 A sudah memenuhi syarat kelayakan memohon. Justeru saya membuat permohonan ke SMKA Arau. Permohonan itu saya buat selepas keputusan UPSR keluar.

Cikgu Nol yang banyak menolong. Anaknya Amirul Azli tidak pula digalakkan masuk sekolah agama. Saya sendiri tak faham. Amirul memilih untuk bersekolah sekolah menengah biasa. Sebaliknya saya yang digalakkan oleh Cikgu Nol untuk sambung di aliran agama. Sewaktu sekolah dah nak bercuti ayah datang jumpa Cikgu Nol sebab saya dapat tawaran untuk kelas khas di sekolah men TP. Jadi ayah dipanggil untuk berunding. 

Ayah memang pada mulanya gembira dengan tawaran yang saya dapat itu. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar dan tinggal di asrama percuma dan dapat biasiswa setiap bulan. Tetapi sewaktu berbicang dengan Cikgu Nol hari itu, Cikgu menyuarakan sebuah sekolah agama di Arau yang katanya lebih baik berbanding SMKAA. Saya sendiri tidak tahu sekolah itu sekolah apa pada mulanya. Cuma yang saya dapat gambarkan sekolah itu mestilah sekolah agama juga.

Cikgu beri kami borang permohonan. Selain saya seorang kawan saya turut membuat permohonan juga ke sekolah itu. Seperti kelaziman adanya temuduga, maka saya dan ayah bertolak pula ke Perlis untuk hadiri temuduga. Seperti kisah temuduga di Maktab Mahmud, saya lepasi temuduga dengan cemerlang. Saya masih ingat saya disoal oleh cikgu Syed Murtadza: antara soalannya yang masih saya ingat, "kalau diterima masuk ke sekolah ini kamu nak duduk di asrama atau tak?" Saya jawab. Saya nak. Dan itulah yang sebaiknya. 

Masa cuti lepas darjah 6 itu, kawan-kawan, saudara-mara, jiran-tetangga selalu bertanya saya nak sambung ke sekolah mana. Saya kata saya nak bersekolah di luar dari pulau. Saya nak tengok dunia luar. Masa itu saya belum tahu samada yang menjadi pilihan saya adakah Maktab Mahmud atau ALMAAD. Tetapi saya yakin saya akan dapat salah satu di antara kedua sekolah tersebut.

Bila cuti sudah semakin nak habis, kawan-kawan yang dulunya (masa di sekolah rendah menangis sedih-sedih sebab hari perpisahan) akan bertemu semula di sekolah menengah daerah. Mungkin kalau mereka terpisah pun hanya berpisah kelas sahaja. Tetapi saya? Saya akan berpisah dengan mereka. Sekolah daerah saya yang tawarkan kelas khas itu saya tolak secara baik selepas saya dapat dua surat. Surat pertama dari pentadbiran Maktab Mahmud dan surat kedua dari pentadbiran ALMAAD. 

Surat pertama menyatakan dukacita dan bla...bla..bla. Manakala surat kedua agak tebal berserta beberapa lampiran termasuk penyata yuran, kelengkapan wajib asrama, tawaran pengajian, dan beberapa pamplet lain. Saya gembira amat. Sekurang-kurangnya waktu itu kalau mereka tanya saya di mana saya akan sambung belajar saya dengan yakin akan menjawab di sekolah Yayasan Islam Perlis di Perlis. Tetapi melihat pada yuran yang agak mahal (sebab sekolah itu berada bukan di bawah pentadbiran kerajaan pusat) maka saya sendiri tak sampai hati untuk memaksa ayah supaya menghantar saya juga-juga.

Ayah berfikir agaknya. Meskipun untuk menyekolahkan saya di sekolah agama yang menjadi harapan mak ayah terpaksa membelanjakan banyak wang untuk itu, ayah tetap dengan pendiriannya untuk saya dihantar ke sana juga. Akhirnya terciptalah sejarah saya menjadi pelajar sekolah agama secara rasmi. :)

Sehingga kini saya masih berfikir dan terus bersyukur dengan segala percaturan dan ketentuan yang telah Allah takdirkan pada saya. Apa tidaknya? Saya berjaya menjejak kaki ke Mesir sekarang pun mungkin sebab takdir yang telah ditentukan suatu masa dulu ialah saya diterima belajar di ALMAAD kalau saya diterima atau memilih sekolah lain belum tentu saya sekarang akan berada di sini. Mungkin orang selalu berkata itu semua hanyalah kebetulan. Tetapi harus kita ingat! Prinsip kebetulan itu ialah apabila sesuatu perkara itu hanya terjadi sekali sekala sahaja. Itulah yang dinamakan kebetulan. Sebaliknya jika sesuatu perkara itu sebenarnya telah dirancang dengan teliti pastinya kejadiannya memerlukan kita selaku manusia sentiasa berfikir dengan mendalam.

Semasa saya lepas PMR, kami beberapa orang sahabat baik beriya-iya untuk menyambung tingkatan 4 di SMKA Kedah. Kononnya pada masa itu ada beberapa faktor yang mendorong. Antara yang masih saya ingat ialah kurang minat kami untuk terus belajar di ALMAAD disebabkan terikat dengan peraturan sekolah dan sebagainya. Itulah jiwa remaja, tidak mahu langsung terikat dengan peraturan; meskipun peraturan itu mengajar kita menjadi baik. Dan antara aspek lain termasuklah aspek pengurusan dan pentadbiran sekolah yang pada pemerhatian kami (warga sekolah) nampak kucar-kacir.

Dengan keputusan PMR 6A 2B 1C saya sebenarnya tidak berpeluang untuk terpilih ke mana-mana sekolah berasrama penuh yang lain. Antara sekolah yang menjadi impian saya ialah KISAS, SMKA Persekutuan Labu, SMKAK, dan beberapa lagi yang telah kabur di ingatan saya. Tapi kawan-kawan saya yang keputusan mereka lebih baik menganggap saya tidak layak ke KISAS. Pengambilan ke KISAS hanya untuk mereka yang dapat sekurang-kurangnya 7A 2B. Tetapi paling utama ialah yang dapat 9A dan 8A 1B.

Tetapi apapun halnya kami isi juga borang SBP yang diambil di Jabatan Pendidikan Negeri. Kalau dapat maka dapatlah. Kalau tidak dapat apa boleh buat.

Salah seorang kawan saya yang dapat 9A, Izzudin (sekarang belajar perubatan di UM rasanya) mendapat tawaran dari Sekolah Menengah Sains Pokok Sena. Dia minat aliran Sains tulen. Tetapi lain pula halnya dengan Anuar di mana dia lebih suka untuk kekal di ALMAAD di tingkatan 4. Naim, Pidi, Pakjo juga begitu. Mereka di antara yang keputusan terbaik. Azam ke Sekolah Teknik Arau sebab minat di bidang itu. Saya? Akhirnya saya kekal di situ juga bersama yang lain.

Siapa yang menyangka hasil kekal di situ keberkatanNya terlimpah. Di situlah kami melukis warna-warna kehidupan bersama-sama. Merutini kehidupan sebagai warga asrama selama hampir 7 tahun. Hidup sebagai pelajar sekolah putera yang berasrama penuh. Dikekang dengan kongkongan peraturan dan disiplin. Bangun awal, hadiri solat jemaah, ke kelas ulangkaji 2 kali sehari, untuk makan kena berbaris sebanyak 3 kali atau lebih setiap hari, mandi mengikut turutan, berbaris di perhimpunan sekolah setiap hari, dan banyak lagi rutin asrama yang biasanya dialami oleh mereka yang pernah bergelar hostel student. 

Sepanjang tujuh tahun itulah kami ketawa bersama, kami bergurau bersama, kami bergaduh dan kemudian berbaik semula, bersukan bersama, mandi-manda bersama, bergotong-royong bersihkan tandas dan kolah mandi di samping kawasan sekolah, didenda bersama, langgar peraturan bersama dan akhirnya majoriti kami menyambung pelajaran ke Mesir bersama-sama. Ribat kami utuh. Ukhuwah kami padu.

ALMAAD lah medan semua itu. ALMAAD lah tempat kami ditarbiyah sedemikian. Manis atau pahit itulah yang sama-sama kami lalui. Kalau diberikan satu sudut masa yang ada ingin rasanya untuk kami kembali bertemu dan bersua muka, bertanya khabar dan menguatkan semula ukhwah yang telah terjalin. Tetapi masa yang kami idamkan itu, Hanya Allah sahajalah yang tahu. Biarlah Dia jua yang menentukan. Kita? Hanyalah berdoa dan terus berdoa. 

Kata-kata Pujangga: "Kalau tidak kerana semalam kita telah berusaha, bersungguh, bersabar dan berdoa, belum tentu hari ini kita akan berada di sini." 

...bersambung...

Sila klik Respon/Komen

 

14 November 2002/ 9 Ramadhan 1423 | Khamis | 10.42 am

Catatan Satu

Dua buah cerpen baru dimasukkan di Jalan Hidup

Klik untuk Baca: Cerpen Hingga Titisan Terakhir | Cerpen Di Dalam Dewan Besar itu. Saya tulis kedua-dua buah cerpen itu September lepas. Cerpen Hingga Titisan Terakhir (HTT) saya hantar ke laman www.melayu.com di pusat karya ruangan cerpen dan ke Suara Kampus Edisi Johor. Manakala Cerpen Di Dalam Dewan Besar itu (DDDBI) saya turut hantar ke www.melayu.com dan ke Suara Kampus Edisi Kelantan.

Cerpen saya sebelum ini berjudul Tahanan telah tersiar di dalam Sukej (edisi Johor) tetapi saya tidak perasan samada terbitan Julai atau Ogos. Editor SK itu minta artikel atau karya lagi untuk dimuatkan, tetapi saya tidak sempat untuk menghasilkannya. 

Artikel bertajuk Era Ulamak dan Gagasan Negara Islam yang saya tulis sebelum ini saya hantar ke SK edisi Kelantan (SKEK) tetapi saya tidak pasti adakah artikel itu akan diterbitkan atau tidak memandangkan artikel itu membicarakan persoalan yang agak sensitif. Saya pun kadang-kadang terasa pelik, orang memandang kontroversi terhadap sesuatu perkara yang sebenarnya perkara itu benar dan tidak ada sebarang aib. Mengapa perlu dikesampingkan atau menghukum orang yang membicarakan perkara tersebut sebagai salah. Atau mudahnya sesuatu kebenaran mengapa perlu disorokkan?

Sememangnya saya akui dalam artikel Era Ulamak dan Gagasan Negara Islam itu saya mengutarakan sesuatu yang agak kurang menyenangkan pihak tertentu. Tetapi apa yang diutarakan itu sebenarnya untuk menyatakan mana kebenaran mana kesilapan. Sewajarnya kesilapan disedari dan dilakukan perubahan.

Minat saya untuk menghasilkan karya dan menulis artikel/rencana hilang akhir-akhir ini. Mungkin sebabkan idea yang sukar kunjung dan saya hendak tumpu pada pelajaran. Fasal ini saya akan menghadapi 6 kertas soalan. Peperiksaan dijangkakan pada 25 hb 12 nanti. Saya tidak punya banyak masa. Justeru kalau saya hendak berjaya, sepatutnya mulai semalam saya sudah bertanya pada diri saya adakah saya sudah bersedia? Tetapi mengapa soalan itu baru hari ini saya terfikir?

Catatan Dua

Ucapan Tahniah kepada pemenang-pemenang

Pemenang Award adalah seperti berikut;

Anugerah Khas Geng Jurnal: Sera
Best Weblog 2002: fajaronline
Best New Weblog 2002: Nureffa
Best Dakwah Weblog 2002: tOKSIK
Best Oversea Weblog 2002: Rafthah
Best Weblog Entry: Nureffa
Best Potluck Dish: Spyz & Shiela
3D Award 2002: Mie

*** dipetik daripada JURNAL FAJARONLINE

Saya tahu Geng Jurnal adakah ghatering 2002. Saya tahu ada acara yang dipertandingkan. Saya tahu bila menyertainya boleh menambah ceria. Saya tahu itu semua....Tahniah Sera, Fajar, Nureffa, tOKSIK, Rafthah, Spyz, Shiela dan Mie.

Justeru saya ucapkan tahniah kepada mereka (sahabat-sahabat) yang telah berjaya menerima anugerah masing-masing. Sememangnya kalian layak untuk anugerah-anugeran itu. Khas buat Fajar yang kini khabarnya sedang menulis KISAH KASIH (Sekudup Mawar Impian) yang sememangnya best. Happy go lucky... Kalian memang best!

Catatan Tiga

Nostalgia di bulan Ramadhan (NDBR) 4

Mercun oh Mercun!

Mak marah kami (adik-beradik) main mercun. Kata mak: mercun bahaya. Kalau meletup, boleh putus jari. Justeru kami tidak berani main mercun kerana ingatkan pesanan mak itu. Saya sering berfikir masa kecil-kecil dahulu... Kalaulah jari saya putus (kudung) saya akan menjadi cacat untuk seumur hidup. Oleh kerana saya tidak mahu jadi kudung saya tidak berani untuk main mercun.

Tetapi semua itu hanyalah menjadi ketakutan sementara. Apabila saya seriang melihat kawan-kawan saya bermain mercun tetapi jari-jari mereka tidak pula kudung atau terputus. Bagaimana mereka bermain mercun sedangkan jari mereka tidak terputus. Pandangan saya mula berubah: main mercun tidak memutuskan jari.

Walaupun mak tidak bagi kami adik-beradik bermain mercun, tetapi mak masih benarkan kalau kami hendak bermain bunga api. Mungkin sebab bunga api kurang merbahaya berbanding mercun. Bunga api tidak meletup, mercun meletup dan menakutkan. Justeru pada peringkat awal kami hanya bermain bunga api. Kalaupun teringin untuk melihat letupan mercun kami akan hanya melihat kawan-kawan kami bermain mercun. Dan mercun meletup... kebommm!

Untungnya kerana kami adik beradik diajar dan dididik supaya berpuasa semenjak sebelum sekolah lagi. Bila berumur 7 tahun dan masuk darjah satu, berpuasa menjadi kebiasaan bagi kami adik beradik. Saya sendiri belajar berpuasa semenjak berumur 6 tahun. Tetapi waktu itu berpuasa ibarat takut main mercun kerana akan putus jari samalah berpuasa kerana ayah membuat tawaran sesiapa berpuasa sahaja akan dibelikan baju raya. Untuk mendapatkan baju raya mestilah berpuasa. Kalau tidak berpuasa tidak dibelikan baju baru.

Berpuasa semasa usia kanak-kanak memang menyeronokkan. Kalau pandai berlakon terlalu letih kerana keluarga tidak terjaga sahur besar kemungkinan dapat berbuka pada waktu tengahari. Tetapi kalau bersahur pun sudah tetapi 'berlakon' letih juga mak dan ayah tidak hiraukan. Puasa curi-curi itu kami namakan puasa 'yak yup' bila lapar buka periuk. Tetapi amalan puasa semenjak kecil terbudaya dalam keluarga saya. Selain saya, adik-adik yang lain juga terdidik sedemikian. 

Apalah yang kami (ketika) itu paham tentang puasa? Selain dua perkara iaitu pertama tidak boleh makan dan kedua tidak boleh minum. Kerada kedua-dua perkara tersebut akan membatalkan puasa. Saya pernah tanya kalau terlupa: Mak kata kalau lupa tak apa, tapi tak boleh buat-buat lupa. Kalau makanan masih dalam mulut cepat-cepat luahkan dan berkumur. Kalau dah ditelan itu jadi rezeki. Kami hanya kenal puasa pada pengertian yang sempit sahaja.

Bila sudah belajar sampai ke sekolah agama semasa peringkat menengah barulah saya lebih faham yang sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu dipuasakan. Selain berpuasa dari lapar dan dahaga, kita juga kena berpuasa dari melakukan maksiat sebagai contoh melihat kepada perkara yang haram, bercakap tentang perkara yang ditegah dan mengumpat, berburuk sangka, mendengar perkara yang tidak baik dan sebagainya. Selain itu saya juga mula mengetahui banyak perkara sebenarnya yang boleh menyebabkan puasa terbatal di mana secara tidak sedar perkara tersebut pernah saya buat semasa saya berpuasa pada usia kecil-kecil dulu.

Tetapi usia itu apalah yang saya faham. Saya harap pada usia tersebut Allah mengampunkan saya. Atas sebab itu di dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman mafhumnya bahawa puasa adalah ibadat yang akan dinilai oleh Allah sendiri. Ini kerana dengan ibadat lain manusia boleh melihat dan menyaksikan ditunaikan. Tetapi puasa adalah perkara yang rahsia di antara hamba dengan penciptanya sahaja. Siapa yang akan tahu kalau seorang yang berpuasa meneguk air di tempat yang tidak diketahui orang? Siapa yang akan tahu kalau orang yang berpuasa makan di rumahnya bersendirian? melakukan maksiat yang boleh membatalkan puasa dan seumpamanya.

Melihat budak-budak Arab di Mesir yang asyik dengan 'sarukh' alias 'sawarikh' (mercun) mereka saya kembali terkenang zaman kanak-kanak yang dipenuhi nakal-nakal dahulu. Meskipun mak sudah melarang dari bermain mercun, tetapi apa yang dilarang kebiasaannya itulah yang paling kita suka buat. Jadi saya bermain juga mercun secara sembunyi-sembunyi dari pengetahuan mak. Bila mula mencucuh satu mercun dan meletup... kebommm! maka rasa kegembiraan menyelinap di sanubari jiwa kebudak-budakan tika itu.

Mercun yang saya beli itu, saya asing-asingkan. Yang untuk dimain siang dan untuk dicucuh pada sebelah malam. Kebiasaannya kalau mercun papan yang berwarna merah itu saya main pada sebelah siang dan mercun roket atau nama glamernya 'thunderclep' (maaf ejaan tidak pasti) dimainkan pada waktu malam selepas solat Tarawikh berjemaah di masjid. Mula-mula saya letakkan mercun itu ditempat yang startegik kemudian dengan menggunakan mancis atau kayu yang sudah bernyala saya mencucuh dan lari jauh dari mercun. Saya pun tidak tahu kenapa saya lari jauh. Adakah kerana saya takut meletup di tangan atau takut dengan bunyinya yang menggila. Kemudian bila dah agak pakar sikit membakar mercun saya tidak perlu untuk lari-lari lagi, saya suma pegang mercun, nyalakan mancis dan cucuh serta campakkan mercun itu jauh dari saya. Ada kalanya boleh bergurau dengan kawan-kawan dengan mencampakkan mercun itu pada arah mereka. Bila meletup dan ketakutan kami sama-sama ketawa.

Masa asyik dengan mercun-mercun itu larangan mak tentang bahaya bermain mercun mula terlupa. Rasa bersalah pun tidak pernah wujud waktu itu. Zaman kanak-kanak yang kita kenal cumalah keseronokan semata-mata. Tanpa perlu memikirkan tentang perkara yang lain. 

Bila dah mula bermain mulalah menjadi keseronokan. Untuk membeli mercun saya terpaksa mengumpul duit sendiri atau menyimpan duit sekolah yang diberikan ayah untuk tujuan 'murni' itu. Tetapi mungkin disebabkan harga mercun yang agak tidak murah saya kemudiannya menjadi tidak berminat sangat dengan mercun. Dan saya bersyukur mercun semakin kurang dan lenyap di pasaran setelah zaman itu berlalu.

Walaupun di Mesir tidak ada sesiapa yang melarang dari bermain mercun yang dijual di sini, tetapi minat dan keseronokan bermain itu tidak sama seperti pada zaman budak-budak dahulu. Biarlah budak-budak di Mesir terus bermain mercun dan sesekala menggemparkan saya dengan melontarkan mercun pada arah saya (bila meletup mereka ketawa ramai-ramai) dan saya hanya mampu bersabar kerana suatu zaman nanti mereka juga akan berubah. Bila mereka sudah mampu berfikir sebagaimana orang-orang dewasa berfikir mereka hanya akan meninggalkan kenangan lalu sebagai nastalgia yang sering mengintai ingatan. 

Jadi kalau mak sudah larang, main pula merugikan mengapa perlu main lagi? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Tetapi sejauhmana kita berfikir tentang perkara itu sewaktu kecil saya sendiri tidak mampu memberikan jawapan kerana itu hanyalah kenangan di zaman lalu. Dan kini saya telah meninggalkan zaman itu. Apakah ia akan berulang lagi?

...bersambung NDBR 5.... (Saya sudah menulis Nostalgia di Bulan Ramadhan sebanyak 5 siri setakat ini, tetapi saya masih berminat untuk menyambungnya lagi...)

 

Sila klik Respon/Komen

  

13 November 2002/ 8 Ramadhan 1423 | Rabu | 13.46 pm

Catatan Satu

Nostalgia di bulan Ramadhan 3

Sambutan Ramadhan di Mesir

Di Mesir makanan arab yang hanya ada di bulan Ramadhan bolehlah dianggap spesial bagi masyarakat tempatan. Saya masih ingat sewaktu detik-detik akhir saya di tanahair (1999) apabila kawan saya mengajak untuk makan malam di sebuah restoran yang menyediakan menu roti arab. Roti itu kami pesan bersama kuah sardin. Makan roti arab di restoran itu (Malaysia) tidak sama dengan makan roti arab di tanah arab (Mesir). 

Di Mesir roti dipelbagaikan dengan beberapa nama. Antaranya 'ish (sejenis roti yang diperbuat daripada gandum jenis murah) juga disebut khubz dalam bahasa arab fushah. Fino (roti panjang) dan sebagainya. Khubz atau 'ish ini amat terkenal dengan harganya yang murah dan menjadi makanan asasi kepada masyarakat arab Mesir. 

Untuk makan 'ish boleh dicicah dengan kuah kacang yang dipanggil ful atau berintikan sejenis masakan tempatan berbentuk 'cucur' yang disebut sebagai to'miah. Masa saya mula datang ke mesir dulu saya ingat to'miah itu adalah 'naget' kerana bentuknya hampir serupa bentuk 'naget' di KFC. Saya tertipu. 

To'miah diperbuat daripada adunan tepung, bahan-bahan yang tersendiri dan sebagainya yang saya sendiri tidak pasti. Bentuknya apabila digoreng seperti 'masalodeh' (sejenis makanan kaum India di Malaysia). 

Berlainan halnya dengan bulan Ramadhan di sini. Masyarakat arab lebih sukakan 'hagah' yang dianggap spesial tadi. Antaranya ialah qutaiyyaf (tepung yang dimasak di atas kuali tanpa minyak berbentuk bulat dengan rasa tawar tanpa gula), kunafah (sejenis makanan seperti bihun tetapi berasaskan tepung dengan rasa tawar). Yang mengeronokkan ialah kunafah diperbuat dengan menggunakan kuali khas berserta mesinnya yang tersendiri. Mesin itu bergerak membentuk bulatan dan cairan tepung dituangkan bersejat membentuk garis panjang yang membulat dan akhirnya membentuk kunafah yang seperti bihun itu. Tetapi kunafah bukan bihun yang boleh dimakan bersama sup atau digoreng... kunafah disesuaikan dengan cairan air gula, kismis dan kelapa parut di dalam loyang. Memakannya dengan memotong mengikut kesesuaian dan dijadikan 'halwa' (makanan manis) selepas iftar (berbuka).

Kedai-kedai yang menjual kedua-dua makanan tersebut pula mengunakan sistem timbang. Ini bermakna kita membeli dengan menyuruh si penjual menimbang banyak kadar yang dikehendaki. Tahun ini saya belum membeli kunafah mahupun qutaiyyaf. Tetapi harganya murah dan berpatutan. Meskipun banyak premis yang dibuka untuk menawarkan kedua-dua jenis makanan tradisi Mesir ini namun permintaan dari penduduk tempatan juga amat tinggi sehingga menyebabkan ada yang sanggup beratur untuk mendapatkan makanan tersebut.

Berlainan halnya dengan di Malaysia. Mungkin orang akan sanggup beratur untuk mendapatkan bubur lambuk di masjid-masjid yang menawarkannya. Sebagaimana bubur lambuk akrab dengan suasana puasa di tanahair begitulah juga qutaiyyaf dan kunafah akrab dengan suasana puasa di Mesir. Selain dua makanan tersebut yang menjadi tradisi istimewa di Mesir, rakyat Mesir juga apabila masuknya Ramadhan menyambutnya dengan pelbagai situasi. Anatara yang istimewa ialah: fanus (sejenih lampu yang dirumahkan dengan rumah yang pelbagai bentuk digantuang di antara bangunan dengan bangunan atau di balkoni rumah). Bentuknya ada mirip seperti 'tanglong' masyarakat Cina di tanahair. Akan tetapi fanus di Mesir telah diislamikkan dengan bentuk-bentuk masjid antaranya dan pelbagai bentuk lain. Diperbuat dengan pelbagai saiz dan rupa yang menarik.

Selain itu, ajwa' Ramadhan (merupakan kertas-kertas yang diukir dan digantung di antara gantungan fanus di bangunan-bangunan) memeriahkan lagi suasana Ramadhan di Mesir. Tetapi kertas-kertas itu setelah habisnya Ramadhan akan menjadi sampah pula bersepah di antara jalan dan bangunan.

Berbuka puasa di Mesir tidak merunsingkan. Ini kerana banyak masjid yang menawarkan 'maidah rahman' jamuan (iftar) berbuka puasa. Kebiasaan makanan yang disajikan ialah makanan tradisi masyarakat Arab. Saya pernah menghadiri majlis berbuka bersama orang-orang Arab di sini banyak kali. Anatar menu yang disajikan ialah firakh mashwi (ayam panggang) di makan dengan 'ish (roti), atau aruz (nasi) berserta salatoh, tohainah, turshi dan halawa (manisan) sebagai pencuci mulut. Selain itu ada juga yang menyediakan hawashi (roti berintikan daging kibash mirim murtabak di Malaysia), daging masak bersama kentang, dan beberapa menu lain lagi.

Sebelum saya terlupa, satu lagi tradisi masyarakat sini yang saya terkejut ialah tradisi kejut sahur. Ini dinamakan 'musahharati'. Biasanya musahharati akan bertugas mengejutkan sahur (memaksak sahur) dengan mengetuk-ngetuk kompang atau tin dengan ketukan yang boleh mengganggu tidur. Ketukan akan bermula sekitar jam 1.30-2.00 pagi kebiasaannya. Saya masih ingat bagaimana saya tertipu dengan kejutan musahharati itu dengan menyangka sudah lewat pada tahun 1 dahulu, rupa-rupanya malam masih terlalu awal.

Pelbagai peristiwa sebenarnya berlaku di Mesir sepanjang permukiman saya di sini. Bermula dengan tidak tahu apa-apa sehinggalah sekarang saya seperti sedih antai suasana yang pernah saya rasa di sini hanya akan menjadi nostalgia hidup saya suatu masa nanti.

Saya terkenangkan sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud: "Dua kegembiraan bagi orang yang perbuasa iaitu apabila sewaktu hendak berbuka dan kedua apabila bertemu dengan Allah SWT. 

Banyak lagi peristiwa yang sepatutnya saya tulis tentang Ramadhan di Mesir. Kalau di Mesir ada hagah helwa (benda istimewa) tentu di Malaysia juga begitu bukan? Lain tempat lain halnya. Jauh mengembara luas pandangan. Luas pandangan tambah pengalaman. Banyak pengalaman menambah kematangan. 

Semoga andai Ramadhan tahun depan saya masih boleh berada di Mesir saya mahu baca semula tulisan saya ini. Kalaupun sepuluh tahun akan datang tulisan ini masih kekal saya harap kenangan saya akan berulit semula dan nostalgia Ramadhan di Mesir bermain di ruang mata.

...bersambung...

Sila klik Respon/Komen

 

12 November 2002/ 7 Ramadhan 1423 | Selasa | 23.20 pm

Catatan Satu

Nostalgia di Bulan Ramadhan 2

Raya tahun itu (1998) kami makan satey. Pak su yang beri cadangan tersebut. Kami semua setuju dan satey menjadi juadah sekeluarga buat hari lebaran 1998 tersebut. Pak su Nizam jadi ketua projek satey itu. Kami semua ringan tulang menolong dia. Ayah pun turut bagi sumbangan. Ayah seronok agaknya melihat anak-anaknya seronok, dapat makan satey.

Mak mesti masih ingat kisah itu. Kisah itu akan jadi ingatan setiap kali raya aidilfitri datang menjengah. Betapa kami ketika itu hanya mengisi ruang waktu dengan kegembiraan. Rupanya Allah menguji ukhwah hambanya dengan memisahkan manusia. Benarlah, perpisahan menguji ketelusan perhubungan.

Malam tu kami bakar satey dan makan ramai-ramai. Saya sekeluarga bersama Pak su Nizam ada Pak Cik Hanif dan entah siapa-siapa lagi, saya pun sudah tidak berapa ingat. Kak Chaq kata: Bila saya sudah ke Mesir nanti tentu tak dapat makan satey macam malam itu. Saya jawab: Kawan saya kata di Mesir pun boleh makan satey. Tapi mesti tak sama macam malam itu kan? Adik saya pula mengusik: Kalau abang ngah tak ada tentu tak best.

Kalau adik-adik nak tahu, abang ngah di Mesir ni selalu terkenangkan adik-adik abang. Agaknya apalah yang adik-adik abang sedang buat? Bagaimana pelajaran adik-adik abang? Bagaimana perangai adik-adik abang? Nakal kah kalian semua? Tapi tentu adik-adik abang tak baca coretan abang di Jurnal Jalan Hidup ini. Tapi mungkin suatu hari nanti adik-adik abang terbaca coretan abang ngah ini. Dan pada masa tersebut janganlah terperanjat dan salahkan abang kerana tidak memberitahu yang abang menulis catatan ini. 

Abang selalu doakan adik-adik abang supaya berjaya. Teh khususnya, supaya boleh capai cita-cita nak jadi bisnessman. Kalau Teh nak jadi orang berniaga, berniagalah secara Islam. Itulah nasihat abang pada Teh. Alang pula nak ambil SPM. Agak-agaknya tentu Alang dah bersedia. Cabaran abang pada alang itu, tentu Alang masih ingat. Abang nak alang ikut jejak abang... dapat jejak kaki ke menara gading atau capai lebih baik daripada abang sendiri. Ingat Alang... keluarga kita miskin, Biarlah kita miskin... kalau dengan kemiskinan itu kita diredhai dan diberkati Allah. Tetapi janganlah kita miskin ilmu!

Bang Cik pula bagaimana dengan PMR? Abang harap keputusan cemerlang dianugerahkan buat Bang Cik. Abang mahu Bang Cik ikut jejak Alang, ikut jejak Teh, ikut jejak Abang ngah dan ikut jejak orang-orang yang telah berjaya. Bang Cik juga mampu berjaya. Lakukanlah yang terbaik.

Adik Naim... adik saya paling bongsu. Rindu saya pada dia. Saya harap adik saya yang bongsu ini akan jadi harapan saya supaya dia akan ikut jejak saya. Dia saya harap akan disekolahkan di sekolah agama seperti ayah menyekolahkan saya 1992 dulu. Ayah beri peluang anak-anak ayah yang lain dengan bidang yang mereka suka. Saya di bidang agama, Teh dengan bisness, Alang di bidang teknik, Bang Cik di sekolah menengah biasa dan biarlah adik Naim akan ikut jejak saya di bidang agama. Sekurang-kurangnya perisai keluarga yang terakhir itu membela ummah nanti.

Walau di bidang apa sekalipun... ayah harap anak-anaknya semua berjaya. Itu harapan ayah yang saya yakini. Sebab itu ayah tidak mahu anak-anaknya lalai. Sebab itu ayah tidak suka anak-anaknya main-main dalam belajar. Sebab ayah mahu nasib anak-anaknya terbela. Untuk bela nasib anak-anak, ayah memberikan kami peluang untuk terus belajar selagi termampu.

Saya tahu ayah penat berkerja. Saya tahu emak juga begitu. Tetapi saya tidak tahu besar mana pengorbanan mereka terhadap kami adik-beradik. Sehingga mungkin kami tidak mampu membalasnya. Bila ingatkan pengorbanan mereka tersemat azam di dada, saya perlu lakukan yang terbaik untuk tahun ini. Ini tahun akhir saya dalam pengajian B.A Syariah Islamiah. Bidang yang saya pilih. Bidang yang saya minat. Justeru saya perlu berjaya cemerlang. Sebab saya kena jadi contoh pada adik-adik saya. Sebab saya kena balas budi ayah dan emak saya.

Saya harap doa kalian yang membaca catatan saya ini. Doakan saya berjaya. Peperiksaan saya untuk fasal ini mungkin selepas raya nanti. Allah memakbulkan doa orang yang berdoa untuk orang Islam yang lain padahal orang itu tidak mengetahui. 

Saya harap, kalau saya selalu berdoa supaya orang lain berjaya... Ada orang lain yang turut berdoa supaya saya berjaya. Sekurang-kurangnya orang itu adalah ayah dan emak saya! 

...bersambung...

p/s: siapa yang baca Jalan Hidup yang tahu cara buat mee kuning dan mee teaw, bagi resepi dan cara buatnya atau sesiapa yang tahu cara nak buat adunan juadah berbuka yang best pun boleh email pada saya.

Kata-kata Pujangga:" Jangan impikan sesuatu tanpa berusaha mencapainya."

Sila klik Respon/Komen

 

11 November 2002/ 6 Ramadhan 1423 | Isnin | 8.20 am

Catatan Satu

Kemenangan Parti Islam di Turki: Senario Politik Turki Membuka Pandangan Dunia

Sewaktu Umat Islam di Mesir terutama pendokong Gerakan Ikhwan Muslimin meratap kesedihan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin (Sebuah gerakan Islam pertama ditubuhkan selepas sirnanya Daulah Islamiah - 1924) Syeikh Mustafa Masyhur yang sedang tenat, di Turki Allah memberikan kemenangan kepada Parti Islam lewat pilihanraya lalu. 

Syeikh Mustafa Masyhur yang merupakan Mursyidul Am gerakan Ikhwan dilaporkan sedang tenat radang otak dan sedang dalam unit rawatan rapi. Semoga urusan beliau dipermudahkan Allah dengan ketentuan yang dikehendakiNya.

Turki sebagaimana yang diketahui merupakan sebuah negara selepas bebas dari daulah Uthmaniah bertitlekan sekular sebagai agenda pemerintahan. Di Turki Islam lenyap sepertimana lenyapnya bahasa Arab di muka bumi itu. Untuk kembali kepada Islam, ramai yang tidak meramalkan bahaya Turki mempunyai potensi itu.

Negara Arab lain lebih berpotensi berbanding Turki. Siapa yang menduga? Allah mempunyai perancangan Nya yang tersendiri. Kita merancang, Allah juga merancang. Allah sebaik-baik perancang.

Kemengangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Turki lewat pilihanraya 3 November lalu jelas membuktikan manusia sedang kembali kepada Islam yang sebenar. Manusia mula mempercayai bahawa sistem sekular tidak mampu mentadbir dengan sempurna. Justeru Islamlah penyelesaian segalanya.

Kalaulah ditinjau kepada lembaran sejarah, Turki adalah sebuah negara Islam pertama yang tumpas kepada sistem sekular (satu sistem yang memisahkan di antara agama dan pentadbiran). Ini berpunca dengan perancangan zionis yang diwakili seorang bernama Mustafa Kamal Atartuk (manusia yang bertanggungjawab di atas kejatuhan khilafah Islamiah Turki Uthmaniah). Atartuk sekularis yang berjaya mensekularkan bumi Turki. Dengan menggunakan kepakaran 'tipu helah' Umat Islam di Turki ketika itu telah diperdaya. 

Namun, setelah berpuluh-puluh tahun menguasai bumi Turki akhirnya pilihanraya lalu, sekular telah ternafi sebagai pilihan Umat Turki. Ini terbukti apabila Parti AK memperolehi kemenangan 34.2 peratus dengan menguasai 363 daripada 550 kerusi parlimen sehingga membuktikan parti berteraskan Islam pimpinan Racep Tayyib Erdogan itu boleh diterima oleh Masyarakat Turki.

Dasar sekularisme di Turki dilindungi oleh Angkatan Tentera. Ini satu petanda buruk di mana mereka dengan mudah boleh menafikan kemenangan di dalam pilihanraya itu dengan menggunakan kaedah yang tidak demokrasi. Dunia Islam berharap agar perkara tersebut tidak berulang terhadap Parti AK setelah sebelum ini Parti pimpinan Necmetin Erbakan yang memenangi pilihanraya sebelum ini dinafikan kerana dianggap anti sekular.

Bagaimanapun pimpinan tertinggi Parti AK Racep Tayyib Erdogan tidak dapat menjadi Perdana Menteri kerana terpaksa menjalani hukuman penjara atas alasan membaca syair yang berbau anti sekular. Syair itu berbunyi: " masjid adalah khemah kami, menaranya adalah bayonet kami, kubahnya helmet kami dan orang beriman adalah tentera kami." Justeru Abdullah Gol adalah orang yang disebut-sebut sebagai pengganti Erdogan.

Walau bagaimanapun, sama-samalah kita selaku Umat Islam berdoa agar Parti AK di Turki mampu memerintah dengan adil dan membawa Islam sebagai wadah pemerintahan sebagaimana itulah teras yang mereka perjuangkan untuk memenangi pilihanraya lalu. Semoga kemenangan Islam di Turki itu sebagai petanda bahawa Islam akan kembali memerintah di segenap muka dunia.

Kalau dulu, Turki adalah negara Islam pertama menerima sekular, mungkin kini Turki juga negara sekular pertama yang kembali kepada Islam? Sama-samalah kita melihat dan menilai!

Catatan Dua

Nostalgia di bulan Ramadhan 1

Apalah agaknya yang sedang berlangsung di tanahair? Soalah yang sama saya khususkan di rumah saya. Ya... Apalah agaknya yang sedang berlangsung di rumah saya? Tahun ini genap tahun ke 4 saya menyambut Ramadhan di rantauan. 

Tahun pertama pada 1999 sewaktu awal tiba di Mesir sehinggalah kini 2002 waktu tidak terasa berlalu. Pejam celik, pejam celik sudah 4 kali saya menyambut Ramadhan bukan di tanahair sendiri. Mak selalu ingatkan anak-anaknya supaya sentiasa berniat puasa di malam hari sebelum kami adik-beradik tidur. Bila bangun untuk bersahur mak akan tanya balik, samada sudah berniat atau belum. Kalau belum selepas bersahur mak suruh semula. Mak memang titik berat soal niat puasa. Tapi di perantauan ini siapalah yang ingatkan saya?

Bila teringatkan mak, sekarang juga saya rasa nak balik ke tanahair. Sekarang juga saya nak peluk mak. Sekarang juga saya nak cium mak. Sekarang juga saya nak kucup tangan mak. Sekarang juga saya nak minta maaf banyak-banyak. Saya tak mahu saya berdosa dengan mak. Saya tak mahu mak terasa hati dengan saya. Saya tak mahu menjadi anak derhaka. Anak derhaka tidak bau syurga. Saya tahu mak rindukan saya. Saya juga rindukan mak.

Kak Chaq pernah kata, masa saya mula-mula meninggalkan Malaysia dulu (10 Oktober 1999) sekitar dua bulan mak asyik menagis bila terkenangkan saya. Kak Chaq kata: "Bila makan mak selalu teringat pada abang. Mak selalu tanya apalah agaknya yang abang makan di Mesir." Kalau mak masak makanan kesukaan saya, air mata mak mengalir. Mak nampak seolah-olah saya teringin sangat untuk menjamah makanan masakan mak, sebab itu mak sediakan. Tetapi apakan daya saya berada jauh daripada mak.

Saya sedar mak terlalu sukar untuk berpisah dengan saya. Saya sedar itu semua kerana mak dan saya terlalu akrab. Mungkin sebab mak senang dengan saya tidak seperti mak senang dengan anak-anak yang lain. Mungkin sebab sayang mak pada saya melebihi anak-anak yang lain. Mungkin sebab saya sering berjaya dan menjadi contoh pada adik-adik. Mungkin sebab saya seorang sahaja anak mak yang mengaji agama. Mungkin sebab sayalah harapan mak. Tapi saya sebenarnya tidak tahu apa sebab sebenarnya.

Sewaktu tawaran dari UIA sampai di rumah mak memang suka benar. Sekurang-kurangnya anaknya akan ke universiti. Tetapi saya menolak tawaran itu. Saya tidak mahu ke UIA, walaupun kawan-kawan saya menerima tawaran itu. Saya bagitahu mak saya nak ambil Sijil Tinggi Agama (STA) untuk ke Mesir. Saya meyakinkan mak, alang-alang saya sudah di bidang agama biarlah saya sambung pelajaran di Mesir. Saya nak sambung dalam bidang Syariah. Saya meyakinkan keluarga termasuk ayah.

Ayah saya tiada masalah, meskipun kami bukanlah keluarga berada. Untuk menyambung pelajaran di Mesir kosnya tinggi dan ayah tidak pernah menyuarakan yang dia tidak mampu. Ayah kata: Untuk pelajaran anak-anak ayah sanggup buat apa saja. Biarlah berhutang bergadai, asalkan anak-anak dapat belajar.

Saya tidak tahu bagaimana rezeki dilimpahkan Allah kepada keluarga saya? Saya massih di Al Azhar, adik lelaki saya seorang belajar di Institut Latihan Perindustrian untuk buat diploma, seorang di Sekolah Teknik Alor Setar ambil SPM, seorang di Sekolah Menengah Tunku Putra ambil PMR dan seorang lagi masih di sekolah rendah. Tanggungan ayah masih ramai. Sebab itu anak-anak ayah perlu banyak bersabar. Banyak berdoa dan banyak bertawakkal.

Keputusan akhir mendaftar ke UIA tamat antara Mei-Jun. Saya nekad dengan keputusan saya. Apapun terjadi saya nak ambil STA. Peperiksaannya pada bulan Julai. 

Akhirnya setelah natijah STA keluar, alhamdulillah saya mendapat pangkat jayyid (kepujian) dan saya layak menyambung pengajian di Mesir. Berita itu saya sampaikan pada keluarga. Sekali lagi mak bersedih.

Bila tiba di Mesir pada 99, tak lama kemudian Ramadhan datang menjengah. Nostalgia semasa di tanahair kembali bermain-main di ruang mata.

Saya masih ingat sewaktu kami di sekolah menengah dulu. Masa itu kamilah pelajar senior (form 6). Jadi warden memberikan kepercayaan kepada kami. Kami jadi tukang masak untuk moreh (makanan selepas taraweh) tajaan guru-guru. Betapa indahnya suasana dan ukhwah yang terbina waktu itu.

Saya masih ingat pada pasar Ramadhan di Malaysia. Saya membantu ayah berniaga sewaktu bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan rezeki buat golongan peniaga seperti kami. Enjin mesin tebu milik Tok Ayah seperti terngiang-ngiang di telinga. Orang ramai kunjung pergi ke gerai kami membeli juadah untuk berbuka puasa seolah bersawang di ingatan saya dan ia kekal hingga kini.

Ramadhan membuatkan saya senang teringatkan tanahair. Apalagi selepas Ramadhan ialah Syawal. Apalah nasib saya Syawal nanti. Doakan saya sihat!

... Bersambung...

Sila klik Respon/Komen

 

3 November 2002/ 28 Syaaban 1423 | Sabtu | 14.20 pm

Catatan Satu

Bagaimana menjadi seorang mahir?

Seorang kawan saya mendapat A1 dalam subjek matematik semasa SPM tahun 1998 sekurang-kurangnya boleh menjadi batu ukur topik yang hendak saya utarakan. Kawan saya itu bukanlah seorang yang bijak di dalam subjek tersebut pada asalnya. 

Semasa di tingkatan satu dan dua dia menjadi penyaing saya mendapat sekurang-kurangnya D atau C di dalam subjek tersebut. Mungkin disebabkan minat yang tidak seberapa terhadap subjek kira-kira itu, kami dan beberapa kawan lain lagi jauh ketinggalan.

Bila keputusan SPM kawan saya itu diterima daripada kerani sekolah kami dulu, yang paling penting bagi dia adalah keputusan di subjek matematik akan tercatat A1 sahaja. Subjek lain tidak penting untuk markah tersebut. Meskipun saya berpandangan Bahasa Melayu lebih penting berbanding matematik, kerana sekurang-kurangnya Bahasa Melayu adalah tiket untuk pangkat 1. Gagal Bahasa Melayu terlalu ngeri kerana akan memusnahkan impian mendapat pangkat 1. Justeru saya lebih cenderung untuk score dalam subjek Bahasa Melayu berbanding matematik.

Bagaimana kawan saya itu boleh menjadi seorang yang boleh dikatakan mahir dalam matematik kertas SPM pada waktu itu? Sedangkan dia asalnya tidak mahir sebagaimana saya!

Saya tidak bertanya dia soalan itu beberapa tahun lalu sewaktu bersama-sama mengharung badai pengajian di sekolah menengah. Dia memilih untuk ke menyambung pengajian ke UIA dan saya bersiap menghadapi STA untuk bertolak ke Mesir. 

Saya mula membuat analisis sendiri. Melihat kawan saya itu pada hari-hari yang dia lalui sebelum peperiksaan. Dalam khayalan itu saya temui jawapan. 

Sewaktu PMR kami adalah calon yang sama-sama gerun dengan matematik. Tetapi masa itu alhamdulillah ada seorang cikgu matematik yang telah berusaha mensifarkan kegerunan kami itu. Namanya cikgu Desa. Di bawah didikan cikgu Desa kami mula meminati subjek matematik. Dari jejak di tangga markah D atau C kami mula berjinak-jinak untuk mendapat B. Prestasi kami meningkat mendadak. Malah bukan saya dan kawan saya yang seorang itu sahaja, malah kawan-kawan yang lain juga.

Apa resepi Cikgu Desa; saya tidak pasti. Tetapi gaya cikgu Desa mengajar menarik minat kami untuk meminati matematik. Dan akhirnya semasa diumumkan keputusan PMR (Penilaian Menengah Rendah) saya dan kebanyakan kawan-kawan lain mendapat A. Apa rahsianya?

Kawan saya yang satu itu terus istiqamah. Dia tidak sia-siakan matematik sebagai subjek untuk menolong aggregatnya di dalam SPM. Sebaliknya saya cuma menjadikan matematik sebagai alternatif sampingan sahaja. Mungkin kerana ketika itu saya lebih meminati bahasa berbanding kira-kira.

Kata kebanyakan guru bahasa Melayu saya: Saya ada peluang cerah dalam bidang bahasa. Bahasa saya cantik dan ampuh. Bukan tujuan untuk saya berbangga diri, tetapi itulah hakikatnya. Manusia ada kelebihan tersendiri di samping kelebihan itu ada kelemahan. Justeru keputusan SPM saya untuk subjek matematik hanya setakat C3, meskipun cikgu matematik saya berpendapat saya boleh dapat lebih dari itu kalau saya lebihi usaha. Namun apalah boleh buat, itu semua telah berlalu.

Dari analisis hasil imaginasi yang saya hepotesiskan saya dapati, tidak dapat tidak untuk mahir dalam matematik perlu banyakkan latih tubi. Dengan perbanyakkan latihan tubi pelbagai permasalahan ditemui dan permasalahan matematik itu diselesaikan menggunakan kaedahnya yang tersendiri. Dengan menyelesaikan masalah yang banyak itu... menghampirkan diri menjadi seorang yang mahir dalam ilmu kira-kira itu. Itulah analisis saya. Justeru untuk mahir matematik perlu banyak latihan tubi. Lagi banyak masalah diselesaikan lagi banyak kemahiran diperolehi.

Analisis itu saya gabungkan dengan penulisan. Jadi untuk mahir dalam bidang penulisan perlu banyak menulis. Untuk mahir berpidato perlu banyak berucap. Untuk mahir menaip perlu selalu menaip. Untuk sihat tubuh badan perlu selalu bersenam.

Jadi saya mula berkira-kira, kalaulah saya tidak rajin menulis kemungkinan ketajaman pena saya akan lumpuh. Penulisan saya akan hilang nafasnya. Karya saya tiada serinya. Jadi saya kira (berkira lagi) saya perlu rajin dan selalu menulis. Apa pula pendapat kalian?

Catatan Dua

Selamat Datang Ramadhan

KHUTBAH NABI MENYAMBUT  RAMADHAN 

"Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu kefardhuan, dan qiyam (bangun malam) di malam harinya suatu tathawwu' (amalan sunat yang disukai)."

"Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan yang lain."

"Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan (syahrul muwasah) dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin di dalamnya."

"Barangsiapa memberikan makanan berbuka seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikitpun berkurang." Para sahabat berkata, "Ya Rasulullah, tidaklah semua kami memiliki makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa. Maka bersabdalah Rasulullah saw, "Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu."

"Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Barangsiapa meringankan beban dari budak sahaya (termasuk di sini para pembantu rumah) nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka."

"Oleh karena itu banyakkanlah yang empat perkara di bulan Ramadhan; dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu, dan dua perkara lagi kamu sangat menghajatinya." "Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan mohon ampun kepada-Nya . Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah mohon surga dan perlindungan dari neraka."

"Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Ku dengan suatu minumanyang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga." (HR. Ibnu Huzaimah).

 

Sila klik Respon/Komen

Asal

 

Terminal Terakhir...

© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA 1980-2002
Berminat untuk hubungi saya sila emel kepada: [email protected] atau tinggalkan pesanan.
~ untuk paparan 'cun' sila gunakan IE 800 x 600 & text size: medium ~


Hosted by www.Geocities.ws

1