32. Yang Manakah Yang Betul

Tanya : SAYA akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini. Yang merunsingkan saya ialah penggunaan kata yang saya ikuti daripada majalah Pelita Bahasa dianggap salah oleh guru Bahasa Melayu saya. Oleh sebab itu, saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak puan mengenai beberapa kemusykilan:

1.Dia berasal dari/daripada keluarga miskin.
2.Banyak/ramai pelajar tidak hadir ke sekolah pada hari ini.
3.Dari/Daripada segi fizikal, Ali dianggap sihat
4.Kedua-dua/Kedua orang suami isteri itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.
5.Suratkhabar mendatangkan banyak faedah/banyak mendatangkan faedah
6.Dia membaca untuk mendalamkan/memperdalam pengetahuan.

Mungkinkah penggunaan kata baku yang dianggap salah oleh guru itu akan menjejaskan keputusan peperiksaan kami?

Jawab : Menurut hukum tatabahasa bahasa Melayu, sendi nama "dari" hanya digunakan untuk tempat dan masa. Untuk yang lain seperti punca bagi manusia atau benda, asal kejadian dan sumber, atau unsur perbandingan atau perbezaan, sendi nama yang harus digunakan ialah "daripada". Oleh hal yang demikian, ayat yang betul ialah:

1a. Dia berasal daripada keluarga miskin.

Tentang contoh ayat yang kedua pula, kedua-dua perkataan "banyak" dan "ramai" betul. Walau bagaimanapun, ayat tersebut salah kerana telah tertinggal perkataan "yang" sesudah pelajar. Ayat yang betul seharusnya berbunyi seperti yang berikut:

2a. Banyak/ramai pelajar yang tidak hadir di sekolah pada hari ini.

Perkataan "segi" dan "sudut" boleh merujuk kepada tempat sebenar atau kepada sesuatu yang abstrak seperti dalam ayat 3. Ada ahli bahasa yang berpendapat bahawa untuk memudahkan penggunaan bahasa, lebih baik digunakan sahaja "dari segi/sudut" untuk keadaan sebenar dan yang abstrak. Sebaliknya, ada pula ahli bahasa yang berpegang pada prinsip asal bahawa sendi nama "dari" hanya digunakan untuk tempat dan masa sahaja (seperti yang dijelaskan untuk ayat 1 di atas). Ternyata bahawa perbezaan pendapat ini berpunca daripada tafsiran yang berbeza. Walau bagaimanapun, Tatabahasa Dewan berpegang pada pandangan yang pertama dan menganggap "dari segi" yang betul.

Jika saudara merujuk kepada Kamus Pelajar, saudara akan mendapati bahawa perkataan "kedua" bermaksud bilangan, peringkat, dan lain-lain yang nombor dua. Misalnya:

Tempat yang kedua dimenangi oleh Jamaludin.

Sebaliknya "kedua-dua" membawa maksud dua kesemuanya ataupun dua-duanya. Memandangkan makna yang demikian itu, maka tentulah perkataan yang sesuai digunakan untuk ayat 4 ialah "kedua-dua".

4a. Kedua-dua orang (ataupun lebih baik lagi "pasangan") suami isteri itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Masalah bagi ayat 5 menyangkut soal kata kerja transitif. Seperti yang saudara maklum, kata kerja transitif harus diikuti terus oleh objek; tidak boleh ada apa-apa unsur lain di antara kata kerja transitif dengan objek. Cuba kita perhatikan ayat 5. Perkataan "mendatangkan" ialah kata kerja transitif dan objeknya ialah "faedah". Kerana adanya peraturan yang di atas maka "mendatangkan" harus diikuti terus oleh objeknya, iaitu "faedah".

Dengan demikian, ayat yang betul ialah:

5a. Surat khabar banyak mendatangkan faedah.

Tentang ayat 6 pula, baik "mendalamkan" mahupun "memperdalam" betul penggunaannya. Pemilihan antara dua kata tersebut bergantung pada maksud yang ingin disampaikan. Hal ini demikian kerana kedua-dua perkataan itu mempunyai maksud yang berlainan biarpun mempunyai kata dasar yang sama. Perkataan "mendalamkan" bermaksud menjadikan dalam. Dengan kata lain, pengetahuannya sebelum ini berada dalam keadaan cetek dan dia ingin mengatasinya dengan cara membaca. Sebaliknya, "memperdalam" bererti menjadikan lebih dalam. Dalam hal ini, pengetahuannya memang sudah sedia dalam, tetapi dia ingin menjadikannya lebih dalam lagi.

BACK

NEXT


| utama | perutusan siber | motto | visi dan misi | piagam pelanggan | sejarah dan perkembangan |
|
pengetua-pengetua | majlis tadbir | PIBG | maklumat tenaga akademik |
|
pusat sumber sekolah | | bimbingan dan kaunseling | panitia mata pelajaran |
|
pelajar cemerlang | sukan dan permainan |
|
kelab dan persatuan | unit-unit beruniform | oh bahasaku | koleksi soalan |

© SMKTM

apa sahaja pandangan, komen, kritikan dan sebagainya sila kemukakan kepada webmaster

Hosted by www.Geocities.ws

1