30. Antara Ahli dengan Anggota

Tanya : Saya ingin mengemukakan beberapa soalan tentang pembinaan ayat dalam bahasa Malaysia Baku. Sila perhatikan ayat-ayat ini.

a. Ali menyepak bola itu.
b. Ali menyepak akan bola itu.
c. Ahli-ahli persatuan itu sedang bermesyuarat di dalam dewan.
d. Anggota persatuan itu sedang bermesyuarat di dalam dewan.
e. Di dusun itu terdapat buah-buahan seperti durian, manggis, pisang, dan nenas.

Soalan saya adalah seperti yang berikut:

i. Dalam ayat (a) dan ayat (b), adakah kedua-duanya sama dari segi makna?
ii. Perlukah kata "akan" digunakan dalam ayat (b)?
iii. Saya berasa janggal tentang penggunaan kata "anggota" dalam ayat (d).

Berdasarkan penjelasan dalam sebuah buku panduan bahasa Malaysia baku, yang saya baca, kata "ahli" dalam ayat (c) membawa maksud pakar seperti ahli sains dan ahli matematik dan kata "anggota" pula bermaksud kaki tangan. Adakah keterangan yang diberikan dalam buku tersebut betul? Perlukah penggunaan kata "anggota" menggantikan kata "ahli" dalam ayat tersebut?

Tolong jelaskan semua pertanyaan yang saya kemukakan ini.

Jawab :
i.& ii. Dari segi makna, memang kedua-dua ayat itu sama. Tetapi dari segi "benar" atau "tidak benar", ayat yang pertama (a) itu yang benar, dan ayat (b), tidak benar. Kata kerja menyepak, sebagai kata kerja transitif, memerlukan objek; dan antara kata kerja transitif dengan objeknya itu tidak boleh disisipi apa-apa kata pun, dan oleh sebab itu kata akan tidak wajar dibiarkan menyisip antara kata menyepak dengan kata bola.

iii. Dalam penggunaan sehari-hari memang kita sering menggunakan kata ahli dan anggota dengan pengertian yang sama seperti dalam ungkapan ahli persatuan, anggota persatuan, ahli kabinet, anggota kabinet, dan sebagainya. Masalah yang timbul hanyalah apabila kita hendak menggunakan imbuhan pada kata-kata itu untuk maksud tertentu. Umpamanya, untuk membawa maksud "menjadi anggota" dalam sesuatu persatuan, apitan meng-...- I dan ke-...-an boleh diambuhkan pada kata anggota untuk menerbitkan kata menganggotai dan keanggotaan yang membawa maksud yang jelas iaitu menganggotai bermaksud menjadi "anggota", dan "keanggotaan" pula bererti "hal menjadi anggota" sesuatu persatuan dan sebagainya. Hal yang sama tidak dapat kita lakukan pada kata ahli. Apitan meng-...-i langsung tidak dapat diimbuhkan pada kata ahli, dan apitan ke-...-an pula, walaupun dapat diimbuhkan pada kata ahli untuk menerbitkan kata keahlian, kata keahlian itu pula akan membawa maksud yang taksa iaitu (a) kemahiran atau kepandaian dalam sesuatu bidang; dan (b) hal menjadi ahli atau anggota sesuatu persatuan dan sebagainya. Oleh sebab itu, buku tersebut cuma menyarankan penggunaan kata ahli dan anggota yang tepat agar tidak menimbulkan kekeliruan atau ketaksaan apabila diimbuhi dengan imbuhan tertentu.

BACK

NEXT


| utama | perutusan siber | motto | visi dan misi | piagam pelanggan | sejarah dan perkembangan |
|
pengetua-pengetua | majlis tadbir | PIBG | maklumat tenaga akademik |
|
pusat sumber sekolah | | bimbingan dan kaunseling | panitia mata pelajaran |
|
pelajar cemerlang | sukan dan permainan |
|
kelab dan persatuan | unit-unit beruniform | oh bahasaku | koleksi soalan |

© SMKTM

apa sahaja pandangan, komen, kritikan dan sebagainya sila kemukakan kepada webmaster

Hosted by www.Geocities.ws

1