19. Oleh Sebab, Kerana, Meskipun, dan Mahupun

Tanya : Saya ingin mengemukakan beberapa kemusykilan tentang penggunaan perkataan yang berikut:

i. Oleh sebab mereka datang lambat, mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan yang telah penuh sesak itu.

Adakah ayat ini salah? Bolehkah kerana digunakan untuk menggantikan sebab?

ii. Apakah perbezaan antara;
a. meskipun dan mahupun,
b. sebab dan kerana

iii. Apakah makna lingua franca dan daripada bahasa apakah kata ini berasal?

Jawab:
i. Ayat yang anda berikan itu betul. Kata kerana tidak boleh digunakan untuk menggantikan kata sebab, kerana kata oleh sebagai kata sendi untuk menunjukkan pelaku dalam ayat pasif, hanya boleh diikuti oleh kata nama. Kata kerana pula tergolong dalam kelas kata hubung, dan oleh sebab itu kata kerana tidak boleh digunakan selepas kata oleh. Walaupun begitu, dari segi makna, kata kerana sama maknanya dengan frasa oleh sebab, dan dalam penggunaannya, kata kerana boleh bertukar ganti dengan frasa oleh sebab seperti dalam contoh yang diberikan di bawah:

a. Mereka menjadi kaya kerana mereka rajin dan berusaha.
b. Mereka menjadi kaya oleh sebab mereka rajin dan berusaha.

ii. a. Kata meskipun tergolong dalam kelas kata hubung yang tugasnya menghubungkan dua klausa atau lebih, dan satu daripada klausa itu pula merupakan anak ayat kepada ayat induknya. Dalam hubungan ini, klausa yang satu itu tidak mengubah apa-apa yang dinyatakan dalam klausa yang yang satu lagi:

i. Dia tidak pernah menangis meskipun hatinya sedih.
ii. Meskipun hari baru pukul tujuh malam, dia sudah mengantuk benar.

Kata mahupun juga tergolong dalam kelas kata hubung, tetapi tugasnya adalah untuk menghubungkan dua kata, frasa atau klausa; dan kedua-dua unsur yang dihubungkan itu mempunyai taraf yang setara. Pada umumnya, kata hubung mahupun berpasangan dengan kata baik yang mendahuluinya, tetapi dipisahkan oleh kata, frasa, atau klausa yang dihubungkannya itu.

i. Baik Pak Ali mahupun isterinya tidak pernah merokok.
ii. Baik lelaki mahupun perempuan semua bekerja keras.
b. Perbezaan antara sebab dengan kerana telah pun dijelaskan dalam (i) di atas.

iii. Lingua franca ialah bahasa yang menjadi alat perhubungan masyarakat dan perdagangan bagi orang-orang yang bahasanya berlainan. Di Nusantara ini, bahasa Melayu masih digunakan sebagai lingua franca di kalangan masyarakatnya walaupun bahasa ibunda mereka mungkin bahasa Batak, bahasa Jawa, bahasa Cina, bahasa Tamil, dan sebagainya. Lingua franca berasal daripada bahasa Latin.

BACK

NEXT


| utama | perutusan siber | motto | visi dan misi | piagam pelanggan | sejarah dan perkembangan |
|
pengetua-pengetua | majlis tadbir | PIBG | maklumat tenaga akademik |
|
pusat sumber sekolah | | bimbingan dan kaunseling | panitia mata pelajaran |
|
pelajar cemerlang | sukan dan permainan |
|
kelab dan persatuan | unit-unit beruniform | oh bahasaku | koleksi soalan |

© SMKTM

apa sahaja pandangan, komen, kritikan dan sebagainya sila kemukakan kepada webmaster

Hosted by www.Geocities.ws

1