13. Bentuk-Bentuk Kesalahan Bahasa

Tanya : Saya berharap agar puan dapat memberikan penjelasan tentang maksud "kesalahan menggunakan kata", "kesalahan menggunakan frasa", "kesalahan struktur". Bagi setiap kesalahan tersebut, sila berikan contohnya. Dalam pada itu, saya berharap juga agar tuan editor dapat menyatakan adakah jawapan untuk ayat-ayat contoh yang berikut ini betul? Sila nyatakan sebabnya juga.

1. Pengalaman manis itu kami tidak akan lupakan.
Jawapannya: Kesalahan menggunakan frasa.
Ayat yang betul: Pengalaman manis itu tidak akan kami lupakan.

2. Para penonton bertepok tangan apabila keputusan itu diumumkan.
Jawapannya: Kesalahan ejaan.
Ayat yang betul: Para penonton bertepuk tangan apabila keputusan itu diumumkan.

3. Kerana gigi saya sakit sehingga saya tidak dapat tidur.
Jawapannya: Kesalahan struktur.
Ayat betul: Gigi saya sakit sehingga saya tidak dapat tidur.

Di samping itu, saya ingin memperoleh penjelasan Puan juga tentang kelas kata "menyanyi"; sama ada kata kerja transitif atau kata kerja intransitif. Adakah penggunaannya seperti dalam ayat-ayat yang berikut ini betul?

4. Mereka sedang menyanyi lagu "Negaraku".

5. Mereka sedang menyanyi.

 

 

Jawab : Kesalahan menggunakan frasa berlaku apabila bentuk sesuatu frasa dalam sesuatu ayat itu menyalahi hukum-hukum tatabahasa. Contoh yang betul dan yang salah adalah seperti yang berikut:

1. "pisang goreng" bukan "goreng pisang"
2. "takut akan ajing" bukan"takut anjing"
3. "berjumpa dengan guru" bukan "berjumpa guru"
4. "mengetahui hal itu" bukan "mengetahui tentang hal itu"
5. "sehubungan dengan itu" bukan "sehubungan itu"
6. "selain itu" bukan "selain daripada itu"

Kesalahan menggunakan kata berlaku apabila sesuatu kata yang digunakan itu salah dieja, salah imbuhannya, dan salah penggunaannya dalam ayat.

Misalnya:

7.(a) Adik menggulung tikar. (betul)

(b) Adik menggolong tikar. (salah)

8.(a) Pertunjukan itu hebat sekali. (betul)

(b) Pertunjukkan itu hebat sekali. (salah)

9.(a) Datuk saya tinggal di daerah pedalaman. (salah)

(b) Datuk saya tinggal di daerah pendalaman. (betul)

10.(a) Pada waktu petang, kami bersukan. (betul)

(b) Di waktu petang, kami bersukan. (salah)

 

Kesalahan struktur pula berlaku apabila binaan sesuatu ayat itu menyalahi hukum tatabahasa, tidak mempunyai subjek atau predikat, dan apabila maksudnya tidak jelas. Misalnya:

 

11.(a) Namanya siapa? atau Siapakah namanya? (betul)

(b) Namanya siapakah? (salah)

12.(a) Saya mungkin ke Sabah atau ke Sarawak. (betul)

(b) Saya mungkin ke Sabah atau Sarawak. (salah)

13.(a) Seluruh tempat telah dinaiki air. (salah)

(b) Di seluruh tempat telah dinaiki air. (betul)

14.(a) Orang itu bukan abang saya. (betul)

(b) Itu orang bukan abang saya. (salah)

Jawapan untuk ayat-ayat (1), (2), dan (3) yang anda berikan di atas betul belaka.

Ayat (1) dikatakan mempunyai kesalahan menggunakan frasa kerana bentuk "kami tidak akan lupakan" bukanlah bentuk frasa kerja pasif diri pertama yang betul. Bentuk yang betul ialah "tidak akan kami lupakan". Hal ini demikian kerana frasa kerja pasif "kami lupakan" merupakan bentuk terikat yang tidak seharusnya dipisahkan dengan menyisipkan kata "akan" di antara kata "kami" dan "lupakan" itu.

Ayat (2) pula dikatakan mempunyai kesalahan menggunakan kata kerana kata "bertepuk" yang harus digunakan dalam ayat itu telah salah dieja menjadi "bertepok".Akhir sekali ayat (3) dikatakan mempunyai kesalahan struktur kerana ayat tersebut tidak mempunyai subjek. Kata hubung "kerana" harus ditiadakan supaya frasa "gigi saya" dapat bertugas sebagai subjek. Jika kata "kerana" hendak dipertahankan, maka kata "sehingga" hendaklah ditiadakan. Jadi bentuk ayat yang betul strukturnya ialah "Gigi saya sakit sehingga saya tidak dapat tidur", atau "Kerana gigi saya sakit, saya tidak dapat tidur."

Kata "bernyanyi" lebih tepat daripada kata "menyanyi". Dalam Kamus Pelajar terbitan DBP, yang ada ialah kata kerja intransitif "bernyanyi" dan kata kerja transitif "menyanyikan". Sehubungan dengan itu, ayat-ayat (4) dan (5) yang anda berikan itu salah belaka. Ayat-ayat yang betul untuk menggantikan ayat-ayat (4) dan (5) itu adalah seperti yang berikut:

a) Mereka sedang menyanyikan lagu "Negaraku".
b) Mereka sedang bernyanyi.

Untuk mengetahui betul atau tidaknya bentuk sesuatu kata itu, lihatlah kamus. Dengan berbuat demikian, anda tidak akan menghadapi kemusykilan seperti ini.

BACK

NEXT


| utama | perutusan siber | motto | visi dan misi | piagam pelanggan | sejarah dan perkembangan |
|
pengetua-pengetua | majlis tadbir | PIBG | maklumat tenaga akademik |
|
pusat sumber sekolah | | bimbingan dan kaunseling | panitia mata pelajaran |
|
pelajar cemerlang | sukan dan permainan |
|
kelab dan persatuan | unit-unit beruniform | oh bahasaku | koleksi soalan |

© SMKTM

apa sahaja pandangan, komen, kritikan dan sebagainya sila kemukakan kepada webmaster

Hosted by www.Geocities.ws

1