11. Antara Tentang dengan Mengenai

Tanya : KAMUS Dewan pada halaman 537 menyenaraikan kata "tentang" sebagai salah satu kata yang seerti dengan kata "mengenai". Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:

1. Dalam buku kecil itu terdapat catatan-catatan penting mengenai beberapa perkara.

Tatabahasa Dewan Jilid 1 pula mengatakan bahawa kata "mengenai" tergolong dalam kelas kata kerja transitif dan penggunaannya yang betul adalah seperti yang berikut.

2. Tembakan Ali mengenai sasarannya.

Oleh sebab itu, kata "mengenai" atau bentuk "mengenai dengan" tidak boleh digunakan sebagai kata sendi untuk menggantikan kata sendi "tentang" dalam ayat. Penggunaannya yang betul dan yang salah seperti yang dicontohkan dalam buku tersebut ialah:

3. Mereka berbincang tentang masalah kemiskinan. (betul)

4. Mereka berbincang mengenai masalah kemiskinan. (salah).

5. Mereka berbincang mengenai dengan masalah kemiskinan. (salah)

Dua pendapat yang berbeza ini mengelirukan saya. Oleh itu, saya berharap agar puan dapat memberikan penjelasan.

 

Jawab : Dalam bahasa Melayu, terdapat beberapa patah kata yang kelasnya lebih daripada satu. Antaranya termasuklah kata-kata "menjelang", "mengenai", "melalui", dan "menerusi" yang dapat bertugas sebagai kata sendi walaupun kata-kata itu sebenarnya tergolong dalam kelas kata kerja transitif. Dengan penjelasan ini, maka ayat-ayat 1,2,3, dan 4 di atas adalah betul. Kedudukan kata "mengenai" dalam ayat-ayat 1 dan 4 adalah sebagai kata sendi manakala dalam ayat 2 adalah sebagai kata transitif.

Ayat 5 itu pula salah kerana, sebagai kata sendi, kata "mengenai" itu harus diikuti frasa nama "masalah kemiskinan" dan bukan frasa sendi "dengan masalah kemiskinan". Kata "mengenai" ialah kata sendi dan kata "dengan" pun kata sendi. Tentulah salah kata sendi diikuti kata sendi lagi.

 

BACK

NEXT


| utama | perutusan siber | motto | visi dan misi | piagam pelanggan | sejarah dan perkembangan |
|
pengetua-pengetua | majlis tadbir | PIBG | maklumat tenaga akademik |
|
pusat sumber sekolah | | bimbingan dan kaunseling | panitia mata pelajaran |
|
pelajar cemerlang | sukan dan permainan |
|
kelab dan persatuan | unit-unit beruniform | oh bahasaku | koleksi soalan |

© SMKTM

apa sahaja pandangan, komen, kritikan dan sebagainya sila kemukakan kepada webmaster

Hosted by www.Geocities.ws

1