Majlis Perasmian Hari OKU Peringkat Kebangsaan Ke7, Tahun 2000
Di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur
Pada 24 Februari 2001 Jam 9.00 Pagi.

 

YB Dato' Dr Hajah Siti Zaharah bt. Hj. Sulaiman

Menteri Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat


Bismillahirrahmanirrahim.
Saudara Pengacara Majlis.

Y.B. Dr. Tiki Anak Lafe,
Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Y.B. Dato’ S. Veerasingam,
Setiausaha Parlimen, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Y. Bhg. Dr. P. Manogran,
Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Y. Bhg. Dato’ Sayed A. Rahman bin Sayed Mohd.,
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia

Selaku Pengerusi, Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan Ke-7 Tahun 2000

Dato’-Dato’, Datin-Datin
Tetamu-tetamu khas yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya
Seterusnya para hadirin tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati dan dikasihi sekelian.

Assalamuailaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Perpaduan.

Syukur Alhamdullilah dan segala puji bagi Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua maka kita dapat bersama-sama dalam suatu majlis yang besar ertinya bagi golongan orang kurang upaya sempena Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Yang Ke-7 Tahun 2000 pada pagi yang mulia ini.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terimakasih kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan Ke-7 Tahun 2000 kerana menjemput saya hadir ke Majlis ini untuk memberi sepatah dua kata dan seterusnya untuk merasmikan sambutan hari ini.

Sesungguhnya, saya amat berbesar hati kerana berpeluang berada bersama lebih daripada 1,000 orang golongan yang istimewa untuk merayakan Sambutan Hari Orang Kurang Upaya bagi kali ketujuh hari ini. Saya juga mengucapkan terimakasih kepada semua pihak yang sama-sama terlibat dalam memberikan kerjasama dan mengambil bahagian untuk menjayakannya. Sambutan yang diadakan jelas menunjukkan keprihatinan masyarakat negara ini terhadap orang kurang upaya yang kaya dengan semangat harmoni, integrasi dan peryertaan penuh
.

Sambutan ini juga amat bersesuaian dengan hasrat kita untuk melahirkan masyarakat penyayang seperti yang disarankan oleh Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Semoga segala usaha dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan sekelian akan sentiasa diberkati oleh Allah S.W.T.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Semenjak Malaysia menyertai negara-negara anggota ESCAP (The Economic and Social Commission for Asia and Pacific) dalam menandatangani Proklamasi Penyertaan Penuh Dan Penyamaan Peluang Orang Kurang Upaya di Kawasan Asia Pasifik (Proclamation On The Full Participation And Equality Of People With Disabilities In The Asia Pacific Region) pada 16 Mei 1994, negara kita secara tidak langsung sedar akan hak orang kurang upaya antaranya:


- Hak sebagai warga negara;
- penyediaan yang sama rata bagi memperbbaiki keadaan hidup orang kurang upaya seiring dengan pertumbuhan sosial dan ekonomi negara dan
- langkah-langkah yang berkesan perlu diiambil dari segi pencegahan berlakunya kecacatan dan pemulihan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati dan dikasihi sekelian,
Kerajaan sememangnya amat memahami segala harapan golongan orang kurang upaya di negara kita yang ingin memperbaiki kualiti hidup mereka secara keseluruhan termasuk mendapat pendidikan, latihan dan peluang pekerjaan.

Sehubungan dengan itu, pada 25 Februari 1998 Jemaah Menteri telah bersetuju dengan kertas cadangan dari Kementerian Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat untuk menubuhkan Majlis Penasihat Dan Perundingan Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya yang mana ia merupakan satu komitmen kerajaan yang akan memberi kesan yang lebih positif dalam usaha-usaha untuk memperjuangkan nasib dan kesejahteraan hidup golongan orang kurang upaya di negara ini supaya mereka dapat mengecap nikmat pembangunan negara. Majlis ini juga adalah satu badan induk yang akan menyelaras semua program dan aktiviti di dalam memberikan perkhidmatan kepada golongan berkenaan kearah menggubal satu struktur khas serta melaksanakan pelan tindakan bagi orang kurang upaya.

Majlis ini juga bertindak sebagai penasihat dan perunding atau National Focal Point bagi hal-hal yang berkaitan dengan kesejahteraan orang kurang upaya, khususnya dalam perlaksanaan Agenda Tindakan Dekad bagi menentukan program dan aktiviti berjalan dengan sempurna di samping itu, memupuk semangat Multisectoral Collaborative Action antara pihak-pihak yang berkaitan seperti Kementerian, Jabatan dan NGO.

Ia juga berfungsi untuk mewujudkan National Data Base berkaitan isu-isu orang kurang upaya dan menentukan bidang-bidang penyelidikan dan kajian berkaitan orang kurang upaya dan seterusnya membuat syor-syor berhubung dengan undang-undang, dasar, program dan lain-lain yang berkaitan orang kurang upaya.


Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati dan dikasihi sekelian,
Salah satu cabaran Wawasan 2020 yang digariskan oleh Kerajaan pada tahun 1990 adalah untuk melahirkan sebuah Masyarakat Penyayang yang Berbudaya Ikram. Ini selaras dengan hasrat Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mahu budaya penyayang ini diterapkan dan menjadi amalan dikalangan masyarakat di negara ini.

Saya percaya hasrat ini akan menjadi kenyataan jika semua pihak terutama pemimpin-pemimpin dapat memainkan peranan untuk menerapkan nilai-nilai penyayang ini dikalangan semua lapisan masyarakat. Budaya penyayang ini akan terus dapat dilaksanakan jika golongan atasan bertaraf pemimpin dan tokoh, samada di sektor kerajaan atau swasta agar dapat dicontohi oleh masyarakat lain supaya proses penerapan nilai itu dapat disegerakan.


Kerajaan sedar bahawa dalam mempertingkatkan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara, kualiti hidup golongan kurang bernasib baik tidak diabaikan. Bagi membela kebajikan golongan orang kurang upaya, warga tua, anak-anak yatim dan fakir miskin, Kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM 185 juta di bawah Belanjawan Tahun 2001. Disamping itu juga, beberapa insentif juga turut dilaksanakan bagi golongan ini antaranya pengecualian sepenuhnya ke atas kesemua bayaran rawatan perubatan di hospital Kerajaan, dokumen perjalanan, duti eksais 50 peratus ke atas kereta dan motosikal nasional bagi orang cacat anggota, dan pengecualian duti impot dan cukai jualan ke atas semua peralatan direka khas untuk kegunaan orang kurang upaya.

Tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin yang dihormati dan dikasihi sekelian,
Sejak akhir-akhir ini, masyarakat dunia atau "Global Community" sedang berjuang untuk mewujudkan "Masyarakat Untuk Semua" (Society for All) yang berteraskan atau selari dengan hak asasi manusia, khususnya bagi golongan orang kurang upaya, yang menekankan betapa pentingnya penyertaan dan pembabitan mereka dalam semua aspek kehidupan.


Sebagai contoh, salah satu isu yang perlu diberi perhatian serius ialah pendedahan orang kurang kurang upaya kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selaras dengan Era Teknologi Maklumat (IT). Dalam hal ini, saya ingin menyeru golongan orang kurang upaya supaya melengkapkan diri dengan kemahiran komputer bagi membolehkan mereka bersaing dan menceburi segala bidang IT seperti "tele-marketing", E-Dagang dan sebagainya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,
Saya ingin mengambil peluang di sini untuk memaklumkan bahawa saya telah menerima berita baik dari FESPIC Federation bahawa Malaysia telah berjaya terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi Far East and South Pacific Games for the Disabled (FESPIC) pada tahun 2006, iaitu suatu kejohanan sukan yang kedua terbesar bagi orang kurang upaya. Ini merupakan suatu penghargaan FESPIC Federation kepada negara kita, yang tentunya memberi perhatian kepada golongan orang kurang upaya. Saya percaya Pasukan Penilai FESPIC (Evaluation Task Force) yang mengunjungi negara ini tahun lalu tentunya telah berpuashati dengan kemudahan akses yang terdapat di 17 premis atau "venues" yang telah dikenalpasti untuk dijadikan gelanggang kejohanan itu di samping
memberikan "recommendations" yang terbaik kepada urusetia FESPIC di Jepun.

Satu lagi perkembangan yang amat membanggakan kita ialah pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi International Paralympic Committee (IPC) – Strategic and Planning Congress yang menyaksikan pemimpin-pemimpin pertubuhan sukan bagi orang kurang upaya dari 160 buah negara bersidang di Kuala Lumpur pada 24 hingga 29 April 2001 bagi membincangkan perancangan dan pembangunan sukan bagi orang kurang upaya.

Selain itu, negara kita juga akan menjadi tuan rumah bagi Festival Kesenian Antarabangsa Bagi Orang Kurang Upaya pada bulan Oktober nanti yang mana dijangka 30 buah negara akan menyertainya. Dianggarkan seramai 300 orang penggiat budaya di kalangan orang kurang upaya akan menunjukkan bakat mereka dalam beberapa kategori persembahan iaitu satu lagi pentas bagi negara kita memainkan peranan di peringkat antarabangsa.


Dalam pada itu, Kementerian saya juga sedang dalam proses untuk mengkaji kemungkinan menggubal suatu undang-undang yang khusus bagi melindungi hak dan kepentingan golongan orang kurang upaya sebagai salah satu usaha Kerajaan mewujudkan Akta Orang Kurang Upaya. Dengan adanya suatu akta yang khusus saya percaya hak dan kepentingan golongan orang kurang upaya akan dilindungi, bagi membanteras segala bentuk diskriminasi atau melindungi mereka dari apa bentuk penderaan dan pengabaian. Kita sedar bahawa pada masa ini telah wujud pelbagai dasar dan program yang khusus untuk golongan orang kurang upaya, tetapi malangnya kita masih mendengar rungutan bahawa mereka masih tidak berpeluang untuk mengecapi segala peluang dan hak yang sepatutnya mereka kecapi. Dengan itu, adalah difikirkan bahawa sudah sampai masanya kita mempunyai suatu undang-undang yang bertujuan mempertahankan hak-hak mereka. Sehubungan ini, sebuah Jawatankuasa Kerja Teknikal Perundangan telah dibentuk di bawah Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya dan dipertanggungjawabkan untuk mengkaji undang-undang sedia ada dan, jika perlu, menggubal undang-undang yang khusus bagi maksud ini.

Di sini juga saya ingin menyarankan supaya Kementerian Penerangan dan stesyen televisyen swasta lain dapat menerbitkan satu program khusus bagi Orang Kurang Upaya untuk menunjukkan bakat mereka dalam bidang-bidang tertentu sebagai tanda penghormatan terhadap golongan ini dalam usaha kita meletakkan mereka setanding dalam arus perdana masyarakat lain.

Begitu juga dengan media cetak atau akhbar-akhbar harian agar dapat menyediakan satu ruangan khas bagi Orang Kurang Upaya sepertimana mereka menyediakan ruangan sukan, hal-ehwal wanita, ekonomi dan sebagainya bagi membolehkan golongan ini mendapat perhatian oleh mayarakat lain.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Jawatankuasa Induk Hari Orang Kurang Upaya dan berbanyak terimakasih kepada semua pihak di atas kejayaan menganjurkan majlis hari ini dan berdoa semoga kita sentiasa diberkati dan mendapat perlindungan Allah S.W.T. di atas usaha-usaha yang dijalankan.


Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim .............. saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan Ke: 7 Tahun 2000.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wasallam Mualaikum W.B.T. Terima kasih

 

 

 

Home | About this website | List of Directory | DownSyndromeMalaysia | What's New | Personal Homepage | Do You Know | The Author | Mailing List | Reading Room | Contact Us

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1