Inilah kampung tempat tumpah darahku. Bukannya ada apa sangat di sini tetapi ia menjadi tempat tinggal aku sekeluarga sekarang. Walaupun namanya "Singkir" ramai pula yang ingin "memajukannya." Beberapa tahun dahulu seorang Menteri Besar mahu menjadikan tempat ini sebagai kawasan pelancongan tercanggih di Utara dengan hotel lima bintang di atas bukit dan kemudahan pelayaran kelas satu di persisiran pantai. Kami membantah dan berdoa; akhirnya rancangan itu diketepikan, alhamdulillah.
Sekarang ada pula orang yang ingin membawa "pembangunan" ke kampung ini dengan membina sebuah kuari batu di atas bukit. Kerja-kerja meratakan bukit itu telah menyebabkan banjir lumpur baru-baru ini hingga kampung yang tersingkir ini masuk TV dan akhbar. Walaupun, Menteri Besar sekarang telah mengarahkan semua kerja-kerja dihentikan sehingga siasatan selesai, tiada siapa yang tahu berapa lama ia akan dihentikan.
Aku ingin menceritakan sedikit sebanyak tentang kampung ini, mana tahu ia mungkin tidak wujud lagi selepas ini. Singkir sebenarnya adalah sebuah mukim yang terdiri dari beberapa buah kampung iaitu, mengikut abjad:
Kampung yang di timur sekali dan bersempadan dengan daerah Kuala Muda. Dinamakan sempena "badong" iaitu perhiasan dari emas atau perak berbentuk daun yang digunakan sebagai penutup kemaluan kanak-kanak di zaman dahulu. Betapa makmurnya orang dahulu kala sampaikan di situ pun dihiasi emas dan perak! Itu baru kanak-kanak, yang dewasa pakai apa agaknya. Sekarang mana ada lagi amalan itu semua; anak-anak kampung pun pakai lampin pakai-buang macam anak orang bandar juga. Itu yang mencemar alam semula jadi di kampung, bersepah merata dibuangnya.
Kampung ini terletak di kaki banjaran bukit bukau yang selari dengan Gunung Jerai, puncak tertinggi di negeri Kedah. Jika mengikut ketinggiannya dari paras laut, ia tidak layak dipanggil gunung; tetapi orang dulu-dulu mana ada ukuran piawai untuk mengkelaskan yang mana gunung dan yang mana bukit. Oleh kerana lokasi kampung ini, ia (dan sebahagian besar Singkir seluruhnya) terlindung dari pancaran isyarat komunikasi dari stesen pemancar di Gunung Jerai. Kalau anda memandu di kawasan ini dan tiba-tiba radio anda senyap, itu bermakna anda sedang melalui kampung Singkir Badong.
Di sini terdapat sebuah sekolah menengah yang di bina di atas bukit, sebuah kem latihan dan sebuah klinik ibu mengandung. Pemandangan sawah yang indah boleh dilihat dari kawasan Sekolah Menengah Seri Badong ini.
Di banjaran ini jugalah terletaknya Bukit Singkir yang terlibat dalam kontroversi baru-baru ini apabila kerja-kerja membina kuari dikatakan menjadi penyebab banjir lumpur yang tidak pernah berlaku di sini sebelum ini. Penduduk yang prihatin membantah penerokaan yang akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar di sini kerana sudah terdapat kerosakan kepada kebun, punca air, sungai dan sebagainya. Mereka yang naif melihat peluang-peluang pekerjaan yang akan ditawarkan kepada para penduduk kampung dan dikaburi dengan janji-janji pembangunan yang akan melanda kampung ini.
Inilah pusat segala aktiviti di kampung ini kerana ia terletak di tengah-tengah semua kampung-kampung di mukim ini. Di sinilah tempat lahir, tempat membesar dan tempat tinggal aku sekarang. Di sinilah juga terdapat sekolah rendah, masjid utama, balai raya dan kedai-kedai sebelum kemudahan-kemudahan moden yang lain dibina. Terdapat tiga baris rumah kedai di pekan ini dengan baris tengah membelakangi satu-satunya jalan raya yang ada.
Ini adalah kerana jalan tersebut dibina semula di sebelah pekan Singkir yang asal; baris kedai yang ketiga dibina kemudiannya. Setiap baris hanya ada sebuah dua kedai yang aktif menjalankan perniagaan. Kami mempunyai dua buah kedai runcit, tiga kedai kopi, sebuah woksyop motosikal, sebuah kedai pemborong getah merangkap peraih petai dan buah-buah kayu dan sebuah kedai gunting rambut. Kedai-kedai yang lainnya dijadikan tempat kediaman sahaja dan seluruh pekan ini didiami oleh 10 keluarga Melayu dan 13 keluarga Cina, termasuk pemilik kedai kopi yang beristerikan seorang perempuan India. Dia adalah satu-satunya penduduk keturunan India di sini dan mereka adalah salah satunya dari dua pasangan campur (sepasang lagi tinggal di Singkir Laut) di seluruh Singkir!
Antara tempat yang bernilai nostalgia bagiku ialah sekolah rendah di mana aku mendapat pendidikan awal yang sekarang dinamakan Sekolah Kebangsaan Singkir. Datuk aku, Ahmad Ali, adalah antara perintis tenaga pengajar di sekolah yang ketika itu berdinding kayu dan beratap nipah. Kebanyakan warga tua kampung ini adalah bekas muridnya. Mereka gemar bercerita kepada aku bagaimana mereka menyembunyikan rokok di belakang mereka apabila datuk aku yang mereka panggil Tokngah Mat lalu di hadapan mereka. Ada yang mematikan puntung rokok di tapak tangan jika dia datang untuk bertanya khabar. Mereka melakukannya kerana terlalu menghormatinya sebagai guru -- bukan ketika mereka menjadi murid sekolah itu tetapi ketika mereka telah pun dewasa dan mempunyai anak yang bersekolah.
Datuk aku mempunyai cara menghukum murid-murid yang malas dan nakal iaitu dengan menahan mereka daripada balik ke rumah dan menyuruh mereka bercucuk tanam di belakang sekolah. Apabila sayur yang ditanam telah besar, ia dijual dipasar dan kutipannya dibahagikan di antara murid-murid tersebut. Aku kira dia adalah seorang ahli akademik sejati kerana dia membenarkan komuniti Cina di sini membina sebuah sekolah di atas tanah miliknya. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Poay Chai itu masih wujud di belakang pekan Singkir hingga sekarang.
Aku masih ingat bagaimana kami (aku dan seorang lagi sepupu aku duduk di rumahnya) sentiasa mendapat ikan terbaik terutamanya sembilang bertelur kesukaannya yang dihantar ke rumah oleh penjual ikan di pasar dan bekalan kueh kapit, kueh bakul dan limau yang berterusan ketika Tahun Baru Cina.
Untuk mengelak dari dirompak di Tanjung Jaga, ramai penduduk menggunakan sebuah genting di tempat ini untuk menyeberang ke sebalik bukit. Sebab itu namanya terlekat sampai sekarang. Kawasan ini berbukit bukau dan merupakan sebahagian dari banjaran yang selari dengan banjaran Gunung Jerai. Anda boleh mendaki hingga ke puncak Gunung Jerai jika anda berani menanggung risikonya. Aku pernah mencuba untuk ke sebelah bukit dengan menggunakan motosikal lasak seorang diri tetapi berpatah balik separuh jalan kerana ia terlalu sunyi dan aku mula memikirkan tentang binatang-binatang buas yang mungkin aku temui. Penakut!
Komuniti bukit di sini unik kerana rumah-rumah kediamannya di bina di lereng bukit yang diratakan dan berada di celah rimbunan pokok-pokok kayu. Di sini terdapat banyak dusun buah-buahan dan anak sungai yang jernih dan sejuk airnya. Ada beberapa bahagian sungai yang telah ditandop (dikepung dengan batu) untuk menahan air supaya ia menjadi dalam dan dijadikan tempat mandi dan berenang. Kepungan yang sama juga digunakan di bahagian atas untuk membekal air bersih melalui paip PVC kepada penduduk di sini. Acara makan nasi bukit adalah sesuatu yang sangat disukai oleh saudara mara dari bandar.
Dari namanya, awak mungkin bertanya adakah kasino di sini. Dengar-dengarnya ada, tetapi aku tahulah di mana.Suatu ketika dulu memang ada sebuah kedai Mamak di sini. Sekarang mana dia pergi, tiada siapa yang tahu. Mungkin dah balik negeri. Mungkin dia pergi Penang buka Nasi Kandar Kayu atau Barkath Store. Kami di sini, terutamanya orang tua-tua, memanggil orang India Muslim sebagai Keling sejak dulu kala lagi. Sedikit keanehan bahasa tempatan: Keling di sini hanya merujuk kepada India Muslim walaupun ia merujuk kepada semua orang keturunan India di negeri-negeri lain di negara ini.
Kalau dia bukan Muslim, kami panggil Hindu. Kalau dia Kristian, kami panggil Hindu Kristian dan dia bersembahyang di gereja Hindu sementara saudara-maranya yang lain bersembahyang di kuil Hindu! Pelik sungguh tetapi ia tidak lagi politically correct untuk menggunakannya begitu. Berbalik kepada kampung ini: ia sebuah kampung kecil yang terpisah dari Singkir Darat oleh sebuah tali air yang merintangi dari Sungai Singkir hingga ke jalan raya. Aku duduk di sini semasa aku masih kecil kerana ibubapa aku dan datuk sebelah ayahku mempunyai rumah di sini. Surau yang diasaskan oleh datuk aku ini masih terdiri megah hingga sekarang.
Kampung ini ialah yang paling hampir ke laut. Ia menghadap ke Selat Melaka di sebelah barat. Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai nelayan tetapi pekerjaan penduduk setempat sekarang ini sudah tidak lagi ditentukan oleh lokasi tempat tinggal mereka. Lagi pun, keadaan geografi Singkir membolehkan seseorang penduduk yang rajin untuk melakukan beberapa kerja -- sebagai nelayan di laut, petani di sawah dan di ladang. Jika kamu ada bot, kamu boleh belayar ke Langkawi, Penang atau ke Indonesia. Bahkan, kalau nak keliling dunia pun boleh.
Ada lagi pantai berpasir di sini untuk kamu berkelah atau bercanda, banyak yang telah terhakis dan lautnya berlumpur ketika surut. Oleh sebab keadaan yang demikian, aktiviti riadah seperti berenang atau meluncur tidak dapat dilakukan walaupun waterski mungkin boleh dilakukan ketika air pasang. Kadang-kadang boleh dilihat pencari kerang meredah lumpur sedalam pinggang. Di sebelah petang pula, ramai kanak-kanak yang bermain di tepi pantai berdekatan muara Sungai Singkir sambil mengumpul siput Retak Seribu yang lazat dibuat sup atau digoreng.
Bertentangan dengan Kedai Keling ialah Singkir Paya. Tak payah cerita, memang kampung ini berpaya dan di sinilah terdapat kebanyakan sawah bendang kami seluas mata memandang. Pada zaman dulu, budak-budak sekolah menjunjung buku dan kasut mereka di atas kepala sehingga sampai ke jalan besar. Masa itu kalau tak buat kerja rumah, alasan buku basah atau hanyut masih boleh diterima cikgu. Sekarang sudah dibina tali air yang menyalurkan lebihan air ke laut, maka masalah kampung terendam di dalam air sudah tidak timbul lagi. Di penghujung sawah di kawasan ini terdapat sebuah kedai kampung yang menjual bihun sup yang masyhur hingga ke Pulau Pinang. Aku kurang berminat dengan bihu sup jadi aku tak dapat menceritakan jika ia benar-benar sedap atau tidak. Tempatnya dipanggil Sungai Derhaka.
Ia bukanlah sebuah kampung sebenarnya, walaupun ada juga orang duduk di sini. Ia adalah sebahagian dari kaki Bukit Singkir yang menjulur ke laut dari Badong dan Genting. Ia memisahkan dari segi geografi mukim Singkir dari mukim-mukim lain di daerah Yan. Mengikut ceritanya, pada zaman dahulu ramai lanun, perompak dan berbagai kategori penjenayah yang suka lepak dan berehat di sini, jadi sesiapa yang lalu di sini diingatkan supaya berjaga-jaga.
Jalanraya yang naik turun merentasinya kini telah diperbesarkan dan lebih selamat untuk memotong kenderaan berat dan lambat. Sebelum jalan ini diperbaiki, kerap juga kenderaan berat terhenti ketika mendaki lereng yang tercuram di sini. dalam satu kejadian, sebuah lori membawa ikan baja terhenti dan mengundur kembali ke dalam gaung. Mereka dapat menarik kembali kepala dan casis lori tersebut tetapi selainnya terpaksa ditinggalkan di situ yang menyebabkan bau dari ikan busuk itu berlegar selama beberapa minggu.
Di kaki bukit di bawah jalanraya ini anda akan dapat melihat rumah milik seorang Inggeris bernama Daud dan isterinya yang berbangsa Melayu. Rumah itu dibina oleh Daud sendiri dengan bantuan beberapa buruh upahan tempatan dan ia mempunyai laman dan taman yang dirancang dengan baik sekali.
Kehidupan di kaki sebuah gunung mungkin menarik dan romantik bunyinya. Memang ia begitu dan penduduk di sini mempunyai berbagai sumber pendapatan, tetapi kadang-kadang kami rasa biar bukitnya tiada di situ. Gunung Jerai mempunyai sebuah stesyen pemancar di puncaknya yang memancarkan siaran TV dan isyarat komunikasi kepada penduduk di kawasan utara. Oleh kerana terdapat banjaran Bukit Singkir yang selari dengan bajaran Gunung Jerai, kami di Singkir dan beberapa kampung lain di kawasan ini terlindung dari pancarannya.
Ini menyebabkan ada rancangan TV yang kami tidak dapat. Di rumah aku contohnya: TV2 dapat dilihat dengan jelas tetapi TV1 agak kabur siarannya dan jika aku talakan supaya TV1 menjadi jelas aku akan kehilangan TV2. Begitu juga halnya antara TV3 dan NTV7. Agak lucu melihat bagaimana penduduk di sini menjadi kreatif untuk mendapatkan siaran TV yang jelas; ada yang memacak antena mereka jauh di tengah sawah dan ada juga yang memasang tudung periuk atau dulang lusuh di antena mereka. Ada penduduk di sini yang antenanya terjatuh ke atas ampaian kain dan dia mendapati yang siaran TVnya lebih jelas; maka di situlah tempatnya hingga sekarang.
Ramai yang menukar kepada jenis antena yang boleh dipusing-pusing melalui alat kawalan jauh. Ia lebih mudah kerana ada rangkaian yang lebih jelas bila ditala ke arah Pulau Pinang atau Langkawi. Mereka yang lebih berada melanggan kepada Astro, malangnya siaran di rumah jiran-jiran berdekatan terjejas mungkin kerana isyarat yang sedia lemah itu ditarik oleh piring antena mereka.
Keadaan terlindung ini juga menjejaskan penerimaan telefon bimbit.
Jika anda melawat saudara-mara atau sahabat-handai di Singkir pada musim buah, adalah tidak sah kalau anda tidak "makan nasi bukit." Ia adalah cara kami meraikan tetamu dengan membawa mereka berkelah di dusun. Kalau setakat makan-makan buah, di pasar malam pun banyak.
Sebelum datang, elok diberitahu lebih awal sehari dua untuk memberi masa tuan rumah mengumpulkan buah-buah yang terbaik yang selalunya dijual kepada peraih. Di pagi hari berkenaan, orang perempuan akan sibuk menyediakan makanan untuk dibawa ke dusun. Hanya nasi dan gulai cempedak muda dimasak di dusun -- sambal belacan dan lauk goreng semuanya dibuat di rumah supaya tidak perlu membawa lesung batu dan sebagainya.
Apabila tetamu tiba, semua persediaan itu dibawa naik ke dusun. Kalau dahulu, kita mungkin terpaksa berjalan kaki memanjat bukit separuh jalan untuk pergi ke dusun tetapi sekarang boleh dikatakan semua dusun memepunyai jalan tanah yang baik untuk dilalui oleh kereta. Sampai sahaja di dusun, mereka akan mula memasak nasi dan kari cempedak muda menggunakan dapur kayu. Sementara menunggu nasi dan gulai masak, ada yang pergi mencari ulam-ulaman dari hutan seperti pucuk tepus dan sebagainya. Orang lelaki pula pergi memanjat pokok manggis dan langsat.
Kanak-kanak paling suka berkelah di bukit seperti ini kerana mereka boleh mandi dan berenang sepuas hati di anak sungai yang sejuk sampai biru bibir-bibir mereka. Orang dewasa pula kerjanya makan durian, cempedak, manggis dan langsat selagi muat perut masing-masing, meninggalkan ruang sedikit untuk nasi dan gulai cempedak nanti.
Apabila nasi dan gulai masak, semua orang berkumpul di atas tikar, pondok dan sebagainya untuk menikmati makan tengahari yang istimewa. Sambal belacan cili api selalunya disediakan melebihi tahap selamat dan perlu dipicit isi manggis atau durian ke dalamnya. Menu yang ringkas itu menjadi seperti makanan istana di atas bukit yang nyaman dan menghijau.
Lepas makan, terjun semula ke sungai, makan buah-buahan lagi sampailah ke petang. Semua durian terpilih, langsat, dokong dan manggis diikat dan dimasukkan ke kereta untuk di bawa pulang ke bandar.
Jika dilihat pada beberapa gambar di laman ini, ia kelihatan seperti banjir kecil yang biasa. Memang benar kawasan ini sekali sekala mengalami banjir ketika musim hujan. Selalunya orang kampung pasrah kerana mereka faham sawah bendang memerlukan air untuk menanam padi.
Tetapi banjir kali ini berbeza kerana bukan air dan sampah sarap sahaja yang melimpah dari tebing sungai. Banjir besar kali ini membawa bersamanya tanah dan batu dari tapak kuari di atas bukit masuk ke ruang tamu penduduk. Setelah ia surut ia meninggalkan kerak lumpur setebal dua inci di dalam rumah mereka yang dimasukki air. Dan mereka terpaksa mengambil masa berhari-hari untuk membersihkannya.
Bahkan sebelum berlakunya banjir besar itu, Sungai Singkir yang dulunya sungai jenih berpasir sudah menjadi tidak sesuai untuk mandi-manda dan membasuh pakaian. Anak-anak kecil tidak lagi dapat bermain di sungai kerana dasarnya berlumpur. Ikan-ikan kecil di anak-anak sungai di bukit sudah jarang kelihatan.
Penduduk yang terbabit bukan membantah pembangunan jika ia memberikan manfaat kepada semua. Tetapi pembinaan kuari batu adalah sebuah usaha komersial yang akan menguntungkan segelintir mereka yang berkepentingan sahaja dan akibat buruk dari usaha itu ditanggung oleh alam sekitar, penduduk dan generasi akan datang.
Persoalannya sekarang bagaimana sebuah syarikat persendirian mendapat kebenaran merobohkan bukit yang telah diwartakan sebagai satu warisan negeri...