Dari
konotasi perkataan/frasa 'underground' ini pasti terwujud pelbagai
imejan di dalam minda. Malah jika diterjemah secara terus, ia menghasilkan
maksud yang sangat mudah untuk difahami semua.. Secara tak langsung,
terma underground ini dihubungkan terus dengan muzik. 'Lifestyle'
anak muda yang punya jiwa protes terhadap arus konvensional muzik
semasa.. Dipercayai pergerakan underground ini mula bertapak di
Malaysia sekitar penghujung tahun 80'an. Selaras dengan perkembangan
sosio-budaya anak muda dunia ketika itu yang dahagakan kebebasan
dan tidak begitu menyukai ideologi golongan konservatif yang menghimpit.Muzik
bagai menjadi salah satu bentuk wadah ekspresi jiwa yang melegakan.
Jika disingkap kembali kepada senario hiburan tempatan pada waktu
itu adalah tersangat menyedihkan kerana penguasaan golongan karyawan
yang tidak punya sensiviti kepada progresi evolusi corak hidup alternatif,
golongan muda/remaja. Sebahagian besar karya muzik mainstream yang
diciptakan itu perlu berlandaskan kepada nilai komersil dan ini
begitu menyesakkan citarasa golongan muda yang ingin sekali mencari
kelainan. Sebut sahaja dari segi citarasa muzik, filem mahu pun
budaya hidup, jelas golongan anak muda moden mahukan sesuatu yang
mungkin tiada nilai komersil langsung tetapi kuat ciri estetikanya.
Bertitik tolak dari kemunduran dunia muzik tempatan, maka kelahiran
aliran corak hidup alternatif melalui dunia muzik dilihat sebagai
satu cetusan budaya pop yang menjana pengikutnya sendiri. Pada waktu
itu rasanya kemeriahan dan keakraban sesama pengikut 'undergrounders'
terasa utuh kerana bersemangat tinggi untuk mewujudkan dunia muzikal
mereka sendiri. Tiada sebarang sempadan yang menghalang mereka dari
menikmati alunan protes dan kekerasan dari pemuzik bermahzabkan
underground kerana ia turut terkandung bersama cetusan hati dan
jiwa pemberontakan remaja pada waktu itu. Turut sama lahir seiring
dengan cetusan ini adalah kepelbagaian corak genre muzik tempatan.
Daripada golongan pendengar muzik Melayu yang terkenal sinonim dengan
irama leleh maka pencetusan genre muzik dari aliran kumuh Rock n'
Roll seperti Heavy, Speed dan Death Metal bagaikan mantra anak muda.
Boleh dikatakan eksistensi gig-gig muzik underground muncul bagai
cendawan tumbuh selepas hujan . Walaupun dijalankan secara kecil-kecilan
di kelab malam atau pub-pub sekitar kota, namun kehadiran pengikutnya
makin bertambah dan secara tak langsung gerakan ini boleh dikatakan
mencapai status 'cult'. Kemasukan era 90'an, terasa benar-benar
memberi impak yang besar. Jelas dari perubahan arah muzikal ketika
itu turut sama mempengaruhi gaya hidup terkini dengan kelahiran
generation-x yang membuahkan genre muzikal seperti 'alternative',
'grunge', 'indie', 'brit pop', 'punk', 'skin', 'hardcore' dan pelbagai
lagi. Ia bagaikan virus yang pantas menular di kalangan remaja sekolah
untuk turut sama mengikuti trend muzikal terbaru hasil import dunia
hiburan antarabangsa. Kemeriahan begitu terasa, malah semakin banyak
pula band-band gagasan anak muda Malaysia yang hebat wujud pada
waktu itu seperti O.A.G, Spiral Kinetic Circus, Carburetor Dung,
Butterfingers, Namesis, The Pilgrims, A.C.A.B dan banyak lagi. Tidak
ketinggalan, pergerakan muzik underground Malaysia ini pernah mendapat
liputan yang khusus daripada majalah US berpengaruh seperti Rolling
Stone.
|