Jika
dilihat kepada perkembangan masyarakat masakini, bidang seni dan
rekreasi yang paling diminati dan berkembang di negara kita ialah
seni muzik. Seni muzik juga adalah merupakan salah satu cabang kebudayaan.
Muzik juga dapat meninggikan pemikiran sesuatu bangsa serta merubah
sikap hidup ke arah pencapaian peradaban yang bererti. Muzik bukan
sahaja alat penghibur tetapi juga sebagai pengantara pembelajaran
yang mempunyai kuasa yang tersendiri hingga boleh menukar emosi
manusia menjadi sedih, gembira, terharu dan sebagainya. Selain itu
seni muzik juga menyalurkan nilai dan berbagai mesej yang boleh
memberi kesan positif kepada pembangunan masyarakat.
Sejarah muzik di negara kita mempunyai
latarbelakang yang lama dan meluas. Lagu-lagu tradisi berbentuk
asli, dondang sayang, keroncong, zapin, inang dan seumpamanya
telah melalui evolusi dalam masyarakat melayu selama beratus-ratus
tahun. Proses evolusi muzik ini juga adalah sama dengan proses
evolusi kesusasteraan dan seni tari serta seni ukir. Ianya bergabung
dan selari bergerak dalam ruang lingkup perkembangan masyarakat
Melayu keseluruhannya. Di abad ini, khususnya selepas kemerdekaan
ianya bergabung menjadi perkembangan muzik masyarakat Malaysia.
Seni muzik adalah satu bidang kesenian
yang kreatif. Ianya mengandungi unsur-unsur nilai budaya, falsafah
dan daya pemikiran serta nilai semasa bangsa Malaysia. Tetapi
sejauh manakah seni muzik kita sekarang ini mencerminkan budaya
bangsa kita? Apakah yang dimaksudkan dengan "muzik
Malaysia" atau sudahkah wujud muzik
yang boleh kita anggap sebagai muzik Malaysia yang berupaya menanamkan
nilai-nilai murni yang kita harap-harapkan?
Kuasa muzik dan lagu sebenarnya adalah
amat kuat dan menyeluruh. Dari lagu kasih sayang boleh ditimbulkan
berbagai kesan seperti kasih sayang anak terhadap ibu dan bapa.
Kasih sayang ibu dan ayah terhadap anak, kasih sayang di antara
remaja, malah kasih dan rasa bangga terhadap bangsa dan negara.
Dengan gubahan yang menarik, senikata yang menusuk perasaan, lagu
dapat digerakkan dengan begitu kukuh. Sehingga setiap negara mempunyai
lagu kebangsaannya sendiri. Setiap generasi mempunyai corak lagu
dan iramanya sendiri seperti muzik dan lagu-lagu enam puluhan,
dan corak muzik serta lagu masa kini.