BAB 1             PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

 

PENGENALAN

 

Dalam menempuh kehidupan seharian, kita seringkali berhadapan dengan apa yang dikatakan sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam semua keadaan  yang memerlukan kita membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan. Guru perlu membuat pertimbangan atau keputusan berhubung dengan pelajar dalam bilik darjah kendaliannya tentang pengajaran dan pembelajaran  yang berlangsung. Apakah telah mencapai objektif yang telah ditetapkan atau memerlukan tindakan pengulangan semula dan sebagainya.

 

Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting dalam dunia pendidikan. Sering kali istilah ini bertukar ganti digunakan. Misalnya, sesetengah guru  apabila mengedarkan kertas ujian, mereka mungkin mengatakan  mereka mengukur  prestasi pelajar atau menilai prestasi pelajar dalam sesebuah bilik darjah tanpa mengambil hirau maksud sebenar atau maksud khusus yang mendukung istilah berkenaan. Secara khususnya, ketiga-tiga istilah berkenaan mempunyai  makna yang lebih spesifik dan ketiga-tiganya mempunyai perbezaan.

 

Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik, dengan mengambil kira semua faktor yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang diperolehi akan membantu guru dalam membuat sebarang keputusan yang tepat.

  

OBJEKTIF

 

Pada akhir bab ini, anda seharusnya dapat:

  1. menjelaskan maksud pengujian, pengukuran dan penilaian;
  2. membezakan konsep pengujian, pengukuran dan penilaian; dan
  3. menjelaskan tujuan penilaian dijalankan.

1.1    KONSEP PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN  PENILAIAN

 

Sebagai insan yang hidup di muka bumi ini, kita tidak lari dalam membuat keputusan. Dalam membuat sebarang keputusan tersebut sama ada mudah atau sukar, penilaian  wajar dilakukan terlebih dahulu. Dalam konteks ini penilaian yang dijalankan melibatkan penentuan objektif, mendapat maklumat, memproses maklumat dan membuat kesimpulan serta keputusan. Apabila proses yang dijalankan itu dijalankan secara sistematik  dan saintifik, maka keputusan yang diperolehi lebih tepat dan seterusnya tindakan yang diambil benar-benar bersesuaian.

 

Sebenarnya aktiviti penilaian dalam bidang sain perlakuan, sains kemasyarakatan bermula dengan percubaan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet dengan mengukur kebolehan individu. Bermula dengan kajian tersebut,  konsep penilaian  telah berkembang sehingga muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti  pengukuran (measurement), penilaian (evaluation) dan  pentaksiran (assessment). Dalam pengukuran, individu didedahkan  kepada pemboleh ubah yang sama dalam keadaan terkawal. Sebagai contoh pengukuran yang dijalankan bagi menguji kecerdasan kanak-kanak melalui ujian oleh Stanford-Binet, Raven-Matrices, Weschler dan A.C.E.R.

 

Apabila sesuatu penilaian ingin dijalankan, sekurang-kurangnya dua keputusan  yang utama  perlu diambil. Pertama, berkaitan dengan sebab ataupun tujuan penilaian dijalankan. Misalnya ingin  taraf bacaan  murid di sekolah rendah dengan berpendapat  taraf bacaan  itu sudah tidak memuaskan  dan satu tindakan yang baru perlu diambil. Kedua, berkait dengan pemilihan model, alat-alat prosedur menjalankan dan cara penganalisisan. Seseorang penilai akan memilih  model yang dirasai dapat memberikan maklumat yang lengkap kepadanya.

 

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian akan membolehkan  anggaran dapat dibuat  sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti  yang tepat tentang sesuatu. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Misalnya  dalam pendidikan,  masalah yang dapat diselesaikan ialah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti  menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) kepada murid sekolah rendah.

 

Dalam membuat penilaian  anda mungkin  sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian anda  akan dapat merancang  langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

 

 Text Box: Apakah maksud pengujian?
 

 

 

 

 

Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian  selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus. Pengujian  dapat dianggar   sebagai proses penyerahan set soalan yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur  yang sistematik  bagi mengukur sampel  tingkah laku  atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

 

Menurut  Cronbach (1970), ujian  ialah satu prosedur yang sistematik  untuk memerhati  perlakuan atau tingkah laku seseorang individu  dan menghuraikan  dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk  ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test)  dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula seperti ‘ekstrovert’ atau ‘introvert’ bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan.

 

Kepentingan  pengujian  bagi mengukur perubahan tingkah laku  pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji Sabran (1991)  yang menegaskan bahawa:

 

Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan  yang diperlihatkan oleh murid  di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya  akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)

 

Hasil daripada  jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran  yang disebut sebagai  markat akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.

 

Proses  pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti  pelaksanaan  (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan  pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses pengujian inilah seseorang guru dapat  mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya  telah menguasai sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari.

 

Text Box: Apakah yang dimaksudkan pengukuran?

 

 

 

 Pengukuran  membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan pengujian. Pengukuran membawa definisi sebagai suatu proses mendapatkan  penjelasan secara numerik atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan instrumen. Atau dalam erti kata lain langkah menentukan  tahap sejauh mana seseorang individu  memiliki sifat-sifat tertentu.

 

Biasanya kita mewakilkan  sesuatu indeks  berbentuk angka  kepada prestasi seseorang individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mewakili  sifat tertentu. Misalnya, Ramli mendapat markah 60 peratus  dalam ujian Matematik. Kita tidak menyatakan prestasi Ramli berkenaan sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita hanya mengukur tanpa menentukan nilai. Justeru, pengukuran adalah hanya penentuan status atau tahap.

 

Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian. Sebagai contoh, proses mendapatkan maklumat berbentuk kuantitatif  menggunakan proses pencerapan atau penggunaan skala pemeringkatan. Berbeza dengan pengujian yang ingin mendapatkan maklumat sebanyak mana prestasi yang diperolehi, pengukuran pula menjurus kepada banyak mana skor  atau markat yang diperolehi  dengan menggunakan proses tertentu.

 

Seperti pengujian, pengukuran juga tidak bersifat mutlak. Pengukuran ketinggian mental seseorang individu sudah tentu lebih sukar dan tidak dapat dilakukan dengan tepat berbanding pengukuran ketinggian fizikal seseorang  individu menggunakan  alat ukur yang tepat  seperti penggunaan pembaris. Misalnya, seseorang murid yang  mendapat skor 90 tidak boleh dianggap  mengetahui dua kali ganda murid yang mendapat skor 45 walaupun skor 90 itu  dua kali angka 45. Manakala  seseorang yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh dianggap sebagai  tidak mempelajari sebarang  perkara atau tidak memahami sebarang perkara tentang sesuatu pelajaran yang dilalui. Ini jelas menunjukkan pengukuran aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana mengukur ketinggian  murid menggunakan kayu ukur atau pembaris.

 

Dengan itu, seseorang guru harus menggunakan instrumen yang tepat bagi menghasilkan keputusan yang tepat. Jika instrumen yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah hasil yang diperolehi daripada ukuran yang dijalankan itu juga tidak tepat.

 

Text Box: Apakah yang dimaksudkan penilaian?

 

 

 

 

 

 Penilaian  ada suatu istilah yang boleh didefinisikan  dengan banyak cara. Menilai boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara.  Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai  the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives”. Definisi ini  menjangkau melepasi daripada maksud pengujian dan pengukuran.

 

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data  bagi menentukan  sama ada  sesuatu objektif  yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Ini berbeza dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor (numeric) tertentu yang lebih bersifat kuantitatif.

 

Terdahulu daripada itu, Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik  mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal  tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah  usaha pengajaran itu ditentukan. Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau guru menilai  pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa  guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui  ujian yang dijalankan. Tindakan susulan yang dilakukan guru dengan menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang berkaitan untuk menilai  prestasi murid berkenaan. Dalam sesetengah keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.

 

Dengan itu menunjukkan bahawa penilaian boleh dijalankan  dengan menggunakan maklumat atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan kedua-duanya sekali. Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui penilaian dinyatakan  dalam bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan serta diringkaskan  dalam kaedah  yang lebih mudah difahami. Manakala secara kualitatif pula, maklumat yang dapat dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor. Misalnya Ali menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih.

 

Secara ringkasnya, prosedur penilaian penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti  dalam rajah di bawah:

 


Dalam konteks sekarang istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat penilaian. Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan silih berganti dan dianggap sebagai sinonim.  Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan  maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

 

Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen pengujian  dan penilaian amat penting  malah sama pentingnya  dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

 

 

 Text Box: Latihan 1.1:
Jelaskan perbezaan antara pengujian, pengukuran dan penilaian.
 

 

 

 

 

 

 Text Box: Nyatakan perbezaan keempat-empat skala pengukuran.
 

 

 

 

 

1.2    ARAS UKURAN

 

Secara umumnya, terdapat  pelbagai bentuk  system pengukuran yang berbeza. Misalnya, pengukuran yang digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza dengan pengukuran yang digunakan untuk mengetahui tahap apresiasi agama pelajar. Begitu juga  membuat pengelasan darjah motivasi  sebagai bermotivasi tinggi, sederhana atau rendah tidaklah setepat  dengan pengukuran yang menggunakan skor  sebenar motivasi pelajar. Penyataan dan pengkelasan  kuantitatif  pemboleh ubah ini  melibatkan system dan proses pengukuran yang menggunakan skala tertentu.  Pada umumnya terdapat dua jenis pemboleh ubah asas dalam pengukuran iaitu: (i) Jenis kuantitatif dan (ii) Jenis kategori. Kedua-dua  jenis tersebut  boleh diukur dengan menggunakan  empat jenis skala  yang biasa digunakan, iaitu skala nominal, ordinal, sela dan nisbah.

  

1.2.1 Skala Nominal

  

Skala nominal  ialah skala yang dianggap paling mudah  dan mempunyai ketepatan yang paling rendah  sebagai bentuk pengukuran. Skala ini mengkategorikan  pemboleh ubah berdasarkan  persamaan  dan seterusnya memberikan  nama kepada  pemboleh ubah berkenaan. Misalnya, guru ingin mengelaskan kategori murid-murid mengikut kumpulan etnik atau mengelompokkan murid mengikut kumpulan jantina. Guru berkenaan perlu  meletakkan nilai tertentu kepada setiap pemboleh ubah tersebut sebagai mewakili  kumpulan berkenaan. Misalnya, etnik Melayu diwakili nombor 1, Cina diwakili nombor 2, India nombor 3 dan nombor 4 bagi  etnik yang lain. Nombor  I dalam sistem ini tidaklah menunjukkan bilangan yang kecil jika dibandingkan dengan nombor 2,3 dan 4. kita boleh menukargantikan nombor berkenaan kepada kategori yang lain. Misalnya, 4 untuk Melayu, 3 untuk Cina, 2 untuk India dan 1 untuk lain-lain etnik.

 

Nombor yang diberikan itu hanyalah mewakili atau melambangkan  sesuatu pemboleh ubah yang dinyatakan. Apabila nombor yang digunakan untuk melambangkan orang atau objek dan nombor ini sebenarnya tidak  mempunyai  sebarang hubungan dalaman antara satu sama lain dari segi nilai. Ini disebut sebagai skala nominal.

 

Tiga ciri utama skala nominal, iaitu:

 

i.                     setiap data hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja. Individu yang berada dalam kelompok Melayu tidak boleh menjadi individu dalam kelompok betnik yang lain.

ii.                   Kategori atau nombor yang mewakili setiap data tidak mempunyai susunan pemeringkatan data tetapi dianggap sebagai setara.

iii.                  Perubahan data asal kepada data nominal atau kategori bersifat satu sama satu.

  

1.2.2 Skala Ordinal

  

Pengukuran bersifat ordinal pula ialah data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Data disusun sama ada daripada  yang rendah kepada  yang tinggi atau daripada  yang lemah kepada yang  cemerlang. Nombor atau kategori yang digunakan menggambarkan maklumat asal pemboleh ubah yang menunjukkan susunan daripada kecil kepada yang besar atau daripada kategori yang baik kepada  kategori yang lebih baik. Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4 yang menunjukkan pangkatan atau kedudukan pelajar dalam bilik darjah adalah contoh skala ordinal. Pelajar yang mendapat markat keseluruhan yang tinggi diberikan  nombor 1, diikuti norbor 2, 3, 4 dan seterusnya. Ini menunjukkan nombor 1 adalah lebih baik daripada nombor 2, 3 4 dan berikutnya. Pada umumnya skala ordinal hanya  mampu  membezakan kategori dan nilai susunan secara pemeringkatan. Contoh lain skala ordinal seperti skala Likert.

  

Ciri-ciri utama skala ordinal seperti berikut:

 

i.                     kategori yang digunakan bagi mengelaskan data bersifat saling eksklusif.

ii.                   Data yang digunakan menunjukkan pemeringkatan secara logik.

iii.                  Data mempunyai pemberat. Setiap kategori  mempunyai pemberatan yang lebih berbanding kategori yang lain.

 

1.2.3 Skala Sela

 

skala ketiga ialah skala jenis sela. Data jenis ini mempunyai urutan atau pangkat serta anggapan bahawa perbezaan antara sela wujud. Setiap skala berkenaan mempunyai jarak yang sama. Skala ini berupaya  menunjukkan perbezaan  antara beberapa kategori dan ia boleh menunjukkan  kesamaan dalam unit pengukuran  yang digunakan. Contoh pengukuran skala sela ialah pengukuran suhu. Misalnya perbezaan darjah suhu antara 25˚C  dengan 35˚C  adalah sama dengan perbezaan darjah suhu antara  15˚C hingga 25˚C. Kedua-dua perbezaan berkenaan menunjukkan  perbezaan 10˚.

 

Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin yang sewenang-wenangnya. Ini bermaksud  skala sela mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek pangkatan. Jarak numerik yang sama di atas skala sela menggambarkan jarak yang sama pada ciri-ciri yang diukur.

 

Contoh lain, andai kata  terdapat enam orang pelajar yang diukur pencapaiannya pada skala sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar  A dengan C adalah sama dengan  F dan  D. walau bagaimanapun kita tidak boleh menyatakan pencapaian F dua kali lebih baik daripada D. hal ini disebabkan bukan kuantiti yang ditambah atau ditolak, tetapi  perkiraan adalah berdasarkan selak atau jarak tersebut.

 

Dalam skala sela, nilai kosong (O) atau sifar adalah merupakan suatu nilai. Nilai O adalah suatu yang arbitrari dan  tidak menggambarkan  bahawa ciri kuantiti sebagai kosong  atau tidak ada nilai secara mutlak. Misalnya, suhu O˚C mempunyai nilai permulaan sistem pengukuran suhu. Suhu O˚ C  di sini masih membawa makna suhu masih boleh turun di bawah takat tersebut dan bukan  bermakna tidak ada darjah kepanasan.

 

Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut:

 

i.                     kategori yang digunakan bagi mengelaskan data sela bersifat  saling eksklusif.

ii.                   Data yang digunakan menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.

iii.                  Nilai atau skor yang digunakan mempunyai pemberat. Satu nilai dikatakan lebih besar atau lebih kecil daripada lainnya.

iv.                 Nilai dalam skala sela adalah arbitrari. Nilai O adalah satu bentuk nilai dalam skala jenis ini.

v.                Persamaan perbezaan digambarkan dalam nilai nombor yang digunakan bagi menggambarkan perbezaan.

 

 1.2.4 Skala Nisbah

 

Skala  keempat ialah skala nisbah. Skala ini mempunyai semua sifat jenis sela dan mempunyai mutlak nilai kosong. Dalam skala nisbah nilai kosong  tidak bersifat arbitrari. Misalnya perbezaan antara  30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90. malah kita boleh mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45 (2 X 45 = 90). Nombor dalam skala nisbah ini menunjukkan jumlah atau ciri sebenar yang diukur. Contoh skala nisbah seperti umur, ketinggian dan jarak.

 

Jadual di bawah menunjukkan sifat keempat-empat skala pengukuran  berkenaan.

 

 

 

Pengukuran tingkah laku dalam bidang psikologi kadang kala agak sukar  dibuat garisan antara  data jenis  ordinal dan sela. Misalnya dalam ukuran data yang menggunakan skala Likert, anggapan yang keterlaluan ialah data ini tergolong dalam data jenis ordinal. Apabila hanya menganggap skala ini terhad kepada  berbentuk ordinal akan menyebabkan pengehadan kepada analisis data yang dapat dibuat. Analisis data begini tidak dapat menggunakan analisis varians bagi membandingkan nilai min kumpulan.

 

Kesimpulannya, setiap jenis skala mempunyai maklumat yang berbeza. Skala nisbah memberikan  sejumlah maklumat yang lebih banyak daripada skala sela. Skala sela pula dapat memberikan maklumat yang lebih daripada skala ordinal. Begitu juga dengan skala ordinal lebih memberikan maklumat daripada skala nominal. Penyusunan data akan mempengaruhi  jenis analisis statistik yang bakal dijalankan. Perhubungan atau hierarki keempat-empat skala ukuran  dapat ditunjukkan dalam  rajah di bawah.

 

  

Text Box: Latihan 1.2:
Nyatakan jenis ukuran untuk data-data berikut:
i)                    Pengetua, Penolong Kanan, Guru Kanan, Guru.
ii)                   Gred pencapaian pelajar dalam peperiksaan seperti gred A, B, C, D dan Gagal.
iii)                 Skor dalam satu ujian Sejarah 45, 50, 60,  75, 87.
iv)                 Respon terhadap soal selidik yang mempunyai tiga skala “Ya”, “Tidak” dan “Tidak Pasti”.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Text Box: Mengapakah aktiviti pengujian dan penilaian penting kepada guru dalam bilik darjah
 

 

 

 

 

 1.3    TUJUAN PENILAIAN DI BILIK DARJAH

  

Penilaian dan pengujian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya  dengan proses pengajaran. Matlamat utama penilaian dijalankan ialah untuk meningkatkan atau memperbaiki  pembelajaran. Sekiranya ditinjau dari aspek yang lebih luas, penilaian yang dijalankan memberi manfaat besar  kepada guru pelajar serta ibu bapa  malah  kepada pihak sekolah serta kementerian sendiri apabila memberikan maklumat yang tepat dan berkesan.

 

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat dijadikan asa kepada guru untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti  pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau akan menggunakan maklumat yang diperolehi bagi membuat keputusan yang perlu bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

 

Bagi memudahkan pemahaman anda, tujuan atau kepentingan penilaian dalam pendidikan khususnya dalam bilik darjah ini dijelaskan kepada beberapa tujuan seperti untuk tujuan diagnosis, melihat pencapaian, membuat pemilihan, menempatkan serta memberikan bimbingan kaunseling kepada pelajar.

 

 1.3.1        Diagnosis

  

Pengujian dan penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat  memberikan maklum balas  kepada guru berhubung  tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu kemahiran yang telah disentuh dalam bilik darjah serta meninjau masalah yang timbul dalam sesi pengajaran pembelajaran yang berlangsung. Dengan itu guru dapat mengenal pasti tahap kemajuan seseorang murid dalam bilik darjah tersebut sama ada  pada tahap yang sangat memuaskan, sederhana, lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung.  Daripada penilaian yang dijalankan juga guru dapat mengenal pasti  murid yang cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan murid yang lemah yang memerlukan aktiviti pengayaan. Guru juga akan membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran agar lebih bersesuaian dengan keperluan murid atau mengulang menggunakan strategi sama dan sebagainya.

 

Penilaian dan pengujian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung akan memperlihatkan  kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan tahap kemajuan yang berterusan ini akan memungkinkan guru mengetahui masalah  yang dihadapi oleh pelajar. Adakah murid mempunyai masalah dalam mempelajari dan menguasai sesuatu kemahiran yang telah diajar dalam bilik darjah? Sekiranya  menghadapi masalah, guru akan menyelidiki aspek atau kemahiran  yang menimbulkan masalah kepada murid-murid dan mengenal pasti punca masalah tersebut berlaku. Maklumat berkenaan amat perlu kepada guru  bagi menyediakan latihan yang khusus atau pemerhatian yang lebih kepada murid-murid berkenaan supaya  kelemahan atau masalah yang dihadapi dapat diatasi. Tanpa penilaian dan pengujian yang dijalankan,  murid-murid yang menghadapi masalah sukar dibantu dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dari arus perdana persekolahan.

  

1.3.2        Pencapaian

  

Proses penilaian dan pengujian yang dijalankan  pada peringkat akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang setakat mana penguasaan murid-murid tentang sesuatu kemahiran yang telah diajar. Selain penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, proses penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu tempoh pengajian yang ditetapkan, misalnya  pada akhir tahun sesi persekolahan atau kepada pelajar Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM) adalah bertujuan untuk  menentukan gred yang memperlihatkan tahap pencapaian secara keseluruhan  yang telah murid-murid atau pelajar-pelajar  kuasai. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan memfokuskan kepada pemberian sijil atau anugerah atau pengiktirafan kepada pelajar hasil daripada pencapaian yang ditunjukkan oleh mereka dalam peperiksaan.

 

Hasil penilaian yang dijalankan akan memperlihatkan pencapaian pelajar mengikut gred yang telah ditetapkan sama ada cemerlang, sederhana atau gagal.  Guru akan dapat membezakan murid-murid yang  cemerlang, sederhana dan lemah berdasarkan keseluruhan prestasi pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki.

  

1.3.3        Pemilihan dan Penempatan

  

Penilaian dan pengujian penting bermula sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran. Sebelum guru memulakan  pengajarannya dalam bilik darjah, perlu baginya  mengadakan penilaian  dan menguji murid-muridnya bagi meninjau sejauh manakah  murid-muridnya telah menguasai  sesuatu kemahiran atau ingin mendapatkan aspek-aspek yang akan dipelajari. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu  yang akan mengajar  kepada penutur bukan asli bahasa Melayu, guru perlu  mengetahui aspek kemahiran manakah yang telah dikuasai oleh pelajar dari aspek tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting bagi guru  membuat keputusan dalam menentukan  peringkat yang bersesuaian  untuk memulakan pengajaran.

 

Di samping itu,  guru juga dapat  menentukan adakah semua murid  dapat dipilih serta dikelompokkan  dalam satu kumpulan yang besar berasaskan tahap penguasaan yang berbeza atau di kelompokan dalam kumpulan yang sama. Dalam suasana penguasaan yang berbeza, wajar bagi guru  menempatkan murid mengikut  tahap penguasaan masing-masing dan menumpukan pengajaran mengikut keperluan murid yang berbeza-beza. Keadaan ini menunjukkan tujuan penilaian dan pengujian yang dijalankan adalah  untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut tahap penguasaan sesuatu kemahiran.

Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.

 

1.3.4        Bimbingan dan kaunseling

 

Hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan juga dapat digunakan bagi keperluan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang berkaitan. Setiap pelajar mempunyai motivasi untuk  belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik. Yakni datang dari dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang  belajar disebabkan rasa ingin mengetahui tentang sesuatu dengan mendalam akan memperolehi keputusan pencapaian yang baik, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan sebagainya. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bercorak ekstrinsik yang datang daripada pengaruh luar. Misalnya, galakan dan dorongan ibu bapa, dorongan rakan sebaya, nasihat daripada guru-guru dan lain-lain.

 

Langkah mengadakan penilaian ini dapat meningkatkan motivasi untuk  murid belajar.  Murid yang mendapat  keputusan yang cemerlang akan terus berusaha untuk mengekalkan pencapaian dengan semangat yang tinggi. Sebaliknya murid-murid yang lemah dapat mengenal pasti aspek kelemahannya dan  membaiki kelemahan tersebut untuk  penilaian pada masa  akan datang agar mencapai keputusan yang lebih baik. Malah guru juga dapat membimbing dan menunjuk ajar  kepada pelajar yang bermasalah tentang  cara  menangani masalah murid-murid berkenaan.

 

1.3.5 Tujuan-tujuan lain

 

Selain tujuan yang dinyatakan di atas, penilaian dan pengujian juga penting  dalam menentukan kesediaan murid untuk  mempelajari  sesuatu kemahiran.  Ia dijalankan oleh guru sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Penilaian jenis ini  dibuat oleh guru melalui pemerhatian kesediaan  fizikal murid seperti tangan, mata, jari-jemari dan penumpuan pelajar terhadap guru. Melalui reaksi yang ditunjukkan, guru dapat menelah  kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran  atau sebaliknya. Memulakan pengajaran mengikut kesediaan murid amat penting  bagi memastikan murid mempunyai keyakinan mengikuti  sesi pengajaran dan seterusnya membolehkan mereka menguasai  kemahiran yang dipelajari.

 

Hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan oleh guru juga dapat memberikan input kepada guru tentang keberkesanan pengajarannya. Melalui  maklum balas yang ditunjukkan oleh murid guru dapat menilai sama ada pengajarannya berkesan atau sebaliknya. Sekiranya, rata-rata pelajar tidak dapat menguasai sesuatu yang diajar; maka jelas menunjukkan  strategi pengajarannya kurang berkesan dan memerlukan pengubahsuaian segera bagi memperbetulkan keadaan. Kepada pelajar pula, maklumat penilaian  ini menunjukkan tahap penguasaan mereka terhadap sesuatu topik pengajaran. Seandainya mereka lemah dalam sesuatu topik, maka mereka akan mengetahui dan memberikan tumpuan kepada aspek yang kurang dikuasai oleh mereka.

 

Kepada ibu bapa, penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat memberikan maklum balas terhadap kemajuan dan pencapaian anak-anak mereka dalam bilik darjah. Ibu bapa dapat mengambil tindakan sewajarnya seperti menghantar tuisyen atau memberikan tumpuan yang lebih kepada anak-anak mereka demi meningkatkan pencapaian dan membantu meningkatkan penguasaan anak sebaik yang boleh.

 

Penilaian yang dijalankan juga dapat memberikan maklumat yang jelas  kepada pihak penggubal dasar khususnya penggubal kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia tentang kurikulum yang dipelajari di sekolah- sekolah di seluruh negara. Pihak kementerian mendapat maklum balas  yang tepat tentang  pencapaian objektif sukatan pelajaran yang telah digubal sama ada telah dapat dicapai dengan jaya atau sebaliknya. Sekiranya maklum balas yang diperolehi tersebut menunjukkan masih terdapat kekurangan yang ketara dalam mencapai objektif yang ditentukan, maka pengubahsuaian akan dilakukan. Kelangsungan daripada  ini pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran berkenaan akan dapat dirangka dengan lebih baik dan mantap serta sistematik.

 

Secara umumnya penilaian yang dijalankan di bilk darjah dapat dibuat melalui tiga bentuk, iaitu : (i) Pemerhatian,  (ii) Lisan  dan (iii)  Penulisan. Ketiga-tiga bentuk penilaian ini  bertujuan mengesan pelajar secara serta-merta, mengesan kemajuan dan mengesan pencapaian. Secara mudah, jadual di bawah menunjukkan bentuk-bentuk penilaian berkenaan.

  

 

 

 

 

  Text Box: Latihan 1.3:
Bagaimanakah penilaian yang dijalankan dalam bilik darjah dapat membantu dalam memperbaiki pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah? 
Nyatakan ciri-ciri: 
Pengujian
Pengukuran
Penilaian 
 
 

 

 

 

 

 

 

 

 



1.4    RUMUSAN

 

 

Dalam bab ini anda telah didedahkan dengan konsep pengujian, pengukuran dan penilaian. Di samping itu juga, perbincangan turut menyentuh aspek aras ukuran serta kepentingan penilaian dalam bilik darjah. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa guru berperanan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid-murid dalam bilik darjah. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan melaksanakan penilaian serta merekod segala maklumat yang diperolehi dan mengadakan tindakan susulan. Melalui aktiviti penilaian guru dapat memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu agar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

 

 

Ringkasan:

Pengujian: Satu prosedur yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku. Tujuan  ialah menentukan pencapaian murid dalam sesuatu pembelajaran. Boleh dalam bentuk pemerhatian, ujian lisan mahupun bertulis.

Pengukuran: Satu prosedur dalam menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan  di antara murid. Tujuan ialah membuat perbandingan pencapaian kedudukan di antara murid dalam menguasai pembelajaran. Berbentuk ujian bertulis dengan skor dan gred.

Penilaian: Satu proses membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran. Bertujuan memberikan maklumat tentang pencapaian murid, objektif pelajaran, kaedah mengajar dan kurikulum.

Pentaksiran: Satu proses mendapatkan maklumat untuk membuat pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan.

Skala nominal: Data yang bersifat kualitatif dan dikelaskan mengikut kategori. Contoh jantina.

Skala ordinal: Data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Tidak dapat menjelaskan perbezaan secara mutlak. Contoh skala Likert.

Skala sela: Data mempunyai urutan atau pangkat serta anggapan  bahawa perbezaan antara sela wujud. Contoh ujian I.Q.

Skala nisbah: Mempunyai semua sifat skala sela dan mempunyai mutlak kosong. Contoh seperti ukuran ketinggian, umur, jarak.

 

Tujuan penilaian:

i)                    mengumpul maklumat pencapaian murid selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

ii)                   Menentukan kekuatan dan kelemahan murid dalam sesuatu pelajaran.

iii)                 Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam sesuatu kemahiran yang dipelajari.

iv)                 Mendapatkan maklumat keberkesanan pengajaran guru.

v)                  Merekod keputusan penilaian untuk tujuan rujukan.

vi)                 Menilai keberkesanan kurikulum.

 

RUJUKAN TAMBAHAN

 

Cronbach, L.J. (1970). Essential of psychological testing (3rd ed.) New York: Harper & Row.

Gay, L.R. (1985). Educational and evaluation and measurement. Competencies for analysis and application. 2nd ed. Charles E. Merril.

Penilaian kendalian sekolah. (2002). Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Popham, W.J. (1975). Educational evaluation. New Jersey: Printice-Hall Inc.

Popham, W.J. (2000). Testing : What every parent should know about school tests. London: Allyn & Bacon.

Raminah Hj Sabran. (1991). Penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia: Penerapannya pada peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Balik                                                                                                 Seterusnya

                                              

Hakcipta Mohd Isha Awang (UUM) dan Azizi Publicist 2005-2006

1