Pengalaman Indah

Bertemu Idola – Karaikudi R. Mani

Oleh: Ganesan Duraisamy

   

Semasa berlangsungnya “Sangeetha Swaram” di Petaling Jaya, Selangor pada Februari 2003, ramai peminat muzik karnatik telah hadir. Kebanyakan daripada mereka datang untuk menyaksikan persembahan penyanyi terkenal dari India, Bombay Jayashri.

[Baca laporan lengkap acara itu di sini]

Saya pula telah pergi untuk menyaksikan persembahan idola saya iaitu Karaikudi R. Mani. Beliau merupakan pemain mridangam terkemuka dari India. Malah, kehebatan beliau bermain mridangam tersebar luas ke seluruh dunia. Pelajar beliau terdapat di Amerika, Britain, Kanada, Peranchis, Australia, Jerman, Sri Lanka, Jepun, Singapura dan Malaysia.

Karaikudi R. Mani seorang yang sangat berbakat serta diakui telah membawa mridagam ke suatu tahap yang tinggi dalam dunia muzik klasik. Beliau berpengalaman membuat persembahan di serata dunia.

Walaupun begitu, beliau bukanlah seorang yang suka menyombong. Sebaliknya, beliau suka bercakap kepada semua orang dengan penuh mesra dan penuh hormat. Beliau selalu tersenyum mesra. Saya mengalami sendiri perkara ini kerana telah bertemu beliau sebanyak dua kali.

Pada April 2000, Karaikudi R. Mani telah datang ke Malaysia untuk membuat persembahan bersama-sama pemain violin terkemuka, Chandrasekaran dari India. Pada masa itu, saya mendapat peluang untuk beramah-mesra dengan Karaikudi R. Mani.

Saya mendapat satu lagi peluang untuk bertemu beliau pada tahun ini. Saya benar-benar terkejut kerana beliau masih mengingati saya! Beliau juga memberi nasihat kepada saya supaya selalu berlatih jika ingin menjadi pemain mridangam yang baik. Saya sedang belajar bermain mridangam.

Pada 22 Februari 2003, saya sempat menyaksikan satu lagi persembahan hebat oleh pemuzik kegemaran saya semasa “Sangeetha Swaram”. Dalam segmen yang dinamakan “The Rhythm of Thaniavarthanam”, Karaikudi R. Mani telah membuktikan kehebatan beliau bermain mridangam.

Saya sangat kagum dengan bakat dan dedikasi beliau. Karaikudi R. Mani akan sentiasa menjadi idola saya. Saya juga telah mengisi borang untuk menjadi ahli Sruthi Laya Kendra Malaysia yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia. Karaikudi R. Mani menubuhkannya khas untuk rakyat Malaysia yang berminat mendalami seni muzik tradisional dan klasik dari India.

NILA, 1 Mei 2003

Kavya, Jun 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1