Sangeetha Swaram

A Unique Festival of Music & Dance With World Class Artistes from India

A Project Conceived by The Young Professionals

Fully in aid of The Taman Megah Disabled Children's Home & The Trinity Children's Home

Inaugration of Sruthi Laya Kendra Malaysia

(Founded by Karaikudi R. Mani)

       

     

Pada 17 Februari 2003, Uthaya Sankar SB menerima panggilan telefon daripada Thavanendran Mahalingam dan Sumitha Ramasamy yang merupakan Jawatankuasa Penganjur Sangeetha Swaram. Malah, Uthaya pernah terlibat sama dengan mereka berdua sebagai Jawatankuasa Penganjur Chandrasekaran and Karaikudi R. Mani in Concert pada April 2000.

    

Thava dan Sumitha (pasangan suami-isteri) mengatakan bahawa mereka memerlukan sukarelawan untuk membantu pada 21-23 Februari 2003 di Auditorium Dewan Sivik, Petaling Jaya.

      

Masalah yang timbul adalah bahawa pada 23 Februari 2003 sepatutnya diadakan Bengkel Apresiasi Novel di Ashwin Trading, Brickfields.

    

Uthaya Sankar SB, S.G. Prabhawathy dan Ganesan Duraisamy menghubungi pelajar, remaja dan pemuda terbabit untuk membincangkan perkara tersebut. Respon yang diterima amat membanggakan. Rata-rata mereka bersetuju untuk menyumbang bakti dengan menjadi sukarelawan bagi menjayakan Sangeetha Swaram. Bengkel pula ditangguh kerana masih boleh diadakan pada tarikh lain.

Perbincangan pada 20 Feb 2003

Pertemuan telah diadakan pada 20 Februari 2003 di Seksyen 17, Shah Alam untuk pembahagian tugas agar sukarelawan yang mewakili Kavyan ke Sangeetha Swaram boleh menunjukkan sikap profesional dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

    

Bagi remaja bawah umur 18 tahun, ibu bapa mereka telah dihubungi untuk memaklumkan pertukaran jadual. Kebenaran bertulis daripada ibu bapa juga diperoleh untuk membawa remaja terbabit sebagai sukarelawan ke Sangeetha Swaram.

     

Ganesan dengan bantuan rakan-rakannya mengatur kenderaan untuk membawa para sukarelawan ke Dewan Sivik.

    

Hasil kerjasama padu dan sikap profesional para sukarelawan yang mewakili Kavyan, tugas yang diamanahkan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah. Malah, para sukarelawan mendapat pujian daripada Thava, Sumitha dan Jawatankuasa Sangeetha Swaram kerana sikap profesional dan dedikasi yang ditunjukkan.

Prabha, Devishi, Thava, Sumitha - Sangeetha Swaram

"Entah apa yang telah kami lakukan tanpa bantuan daripada kalian!"

       

Kata-kata yang diluahkan ini tidak keterlaluan kerana sukarelawan Kavyan menguruskan sepenuhnya tugas pengiring penonton, jualan tiket, jualan VCD, jualan buku atur cara dan jualan makan-minum.

Sukarelawan Kavyan bergambar kenangan

Walaupun terpaksa bertugas selama tiga hari berturut-turut, para sukarelawan tidak mengeluh. Sebaliknya masing-masing bersemangat untuk membantu setakat yang termampu.

    

Program Sangeetha Swaram pada 21 Februari 2003 menyaksikan persembahan vokal Bombay Jayashri Ramnath; diiringi Peri Sree Rama Murthy (violin) dan Satish Kumar (mridangam). Sesi kedua pula dinamakan "The Sound of Thaniavarthanam". Artis terdiri daripada Prof Trichy Sankaran (mridangam), Sundarkumar (kanjeera) dan Prof E M Subramaniam (ghatam).

Karaikudi R Mani - The Rhythm of Thaniavarthanam

Program pada 22 Februari 2003 lebih meriah dengan "The Rhythm of Thaniavarthanam" yang menyaksikan kehebatan persembahan Karaikudi R Mani (mridangam) diiringi Thiruvalaputhur A Kaliyamurthy (thavil), B Sundarkumar (kanjeera), Prof EM Subramaniam (ghatam) dan Srirangam Kannan (morsing).

The Hyderabad Brothers - Sangeetha Swaram

Diikuti pula persembahan sitar oleh Pandit Gaurav Mazumdar dan tabla oleh Pandit Kumar Bose. Sesi ketiga pada malam itu menyaksikan persembahan vokal oleh The Hyderabad Brothers diiringi Peri Sree Rama Murthy (violin), Prof Trichy Sankaran (mridangam) dan Prof EM Subramaniam (ghatam).

    

Pada sebelah pagi 23 Februari 2003 diadakan ceramah-bengkel-demonstrasi bermain alat muzik di bawah pimpinan Karaikudi R Mani. Sesi ini sangat bermanfaat bagi mereka yang ingin bertukar-tukar pandangan serta mendapat bimbingan secara langsung daripada tokoh pemuzik berkenaan.

       

Program pada sebelah malam terakhir dimulakan dengan persembahan vokal oleh The Hyderabad Brothers; kali ini diiringi Karaikudi R Mani (mridangam), Peri sree Rama Murthy (violin) dan Srirangam Kannan (morsing).

     

Bahagian kedua menyajikan persembahan bharatanatyam oleh Rajeshwary Sainath. Persembahan beliau disertai penerangan bagi membantu pemahaman penonton.

   

Sesi terakhir adalah acara Flute-Gottuvadhyam Duet yang menampilkan Balasai (flute), Allam Durgaprasad (gottuvadhyam), Prof Trichy Sankaran (mridangam), B Sundarkumar (kanjeera) dan Prof EM Subramaniam (ghatam).

      

Turut dilancarkan Sruthi Laya Kendra Malaysia yang terbuka kepada mereka yang berminat mendalami seni muzik tradisional-klasik India. Jika berminat, bolehlah menghubungi Thava-Sumitha melalui nombor telefon 013-3404585.

Sukarelawan Kavyan - Sangeetha Swaram

Sukarelawan Kavyan rata-rata puas dengan pengalaman menabur budi pada Sangeetha Swaram. Apatah lagi, acara ini diadakan bagi tujuan kebajikan. Walaupun masing-masing sebenarnya sibuk dengan urusan sendiri, namun masih mampu memperuntukkan masa. Semuanya bergantung pada keihklasan hati dan kemampuan mengatur masa.

    

Malah, para sukarlawan juga menggesa supaya Kavyan sendiri menganjurkan sebuah Konsert Karnatik. Hasil perbincangan, didapati memang kesemua 22 sukarelawan yang berkhidmat pada Sangeetha Swaram mempunyai pengalaman dan kemampuan merancang, mengatur dan mengendalikan sebuah konsert.

  

Tambahan pula, memang Kavyan bercadang mengadakan konsert seumpama ini. Jadi, keputusan diambil oleh kumpulan Sukarelawan Sangeetha Swaram untuk mengadakan pertemuan pada 15 Mac 2003 bagi membincangkan secara terperinci cadangan menganjurkan Konsert Karnatik.

   

Hasil perbincangan itu nanti akan dibentang pada Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan (April 2003) untuk dibincang dan dibahas.

       

- Uthaya Sankar SB & Ganesan Duraisamy

Kavya, Mac 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1