Dua Acara Baca Puisi Serentak
Pada 26 April 2003, pukul 8:30 malam, berlangsung "Malam Puisi Keamanan: Melambai Cinta Damai" anjuran bersama Universiti Malaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Auditorium Kompleks Perdanasiswa UM. Antara tokoh yang mengambil bahagian ialah SN A. Samad Said, Dato Jins Shamsudin, Prof Madya Rahman Shaari, penyanyi Uji Rashid dan Dato Prof dr Hashim Yaacob.
Turut memenuhi undangan pada majlis ini ialah Raja Rajeswari Seetha Raman dan suaminya, Venugopal; serta Uthaya Sankar SB dan S.G. Prabhawathy. Ramai mahasiswa hadir lengkap bertali leher. Apabila dirisik, rupa-rupanya mereka dipaksa (err ... diwajibkan) hadir.

Pada pukul 9:20 malam, sewaktu Uji Rashid muncul di pentas, Rajes, Venu, Prabha dan Uthaya terpaksa meninggalkan majlis dan pergi ke Dataran Shah Alam di mana sedang berlangsung "Malam Senandung Seni" kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor, Sekretariet Seniman Selangor (SSS), Majlis Bandar Raya Shah Alam, Metro Ahad dan Radio Malaysia Selangor.
Begitu ramai orang di sama pada sekitar pukul 10:00 malam. Suatu petanda yang baik. Malangnya, hasil risikan mendapati bahawa kebanyakan yang hadir bukan datang untuk menyaksikan persembahan tetapi sekadar untuk melepak di Dataran Shah Alam. Sama-sama kita harapkan agar mereka mula menikmati sastera!
Antara persembahan yang diadakan adalah bacaan gurindam, seloka, pantun, nazam, syair, lagu puisi, lagu rakyat, lagu asli, lagu keroncong, baca sajak, berodah serta tarian tradisional Melayu.

Raja Rajeswari diundang membaca sajak berjudul "Wau". Sajak ini boleh dibaca dalam Kavya Februari 2003.
Kavya, Mei 2003