Acara Baca Puisi

Perhimpunan Puisi Asia-Antarabangsa

(Asian-International Poetry Assembly)

21 & 22 Mac 2003

Auditorium Perdanasiswa, Universiti Malaya

      

S.G. Prabhawathy & Uthaya Sankar SB

         

Acara ini diadakan sempena Hari Puisi Sedunia yang setiap tahun dianjurkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Acara Baca Puisi bersempena Hari Puisi Sedunia kali ini adalah yang julung kali diadakan di Malaysia. Syabas kepada Pusat Kebudayaan Universiti Malaya.

Objektif acara adalah untuk mempersembahkan puisi dalam hampir 35 bahasa terkemuka negara-negara Asia. Puisi-puisi berkenaan disampaikan dalam versi asal serta versi terjemahan Bahasa Inggeris.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk, Prof Dr Ghulam Sarwar Yousof, acara ini juga bertujuan mewujudkan interaksi yang berkesan di kalangan penyair dan pencinta puisi, serta untuk membolehkan para hadirin menghayati puisi pelbagai bahasa yang disampaikan pula dalam pelbagai gaya.

Sasterawan Negara A. Samad Said

Antara penyair yang menyampaikan puisi pada 21 Mac 2003 ialah Sasterawan Negara Dato A. Samad Said, Zurinah Hassan, Prof Madya Dr Bukhari Lubis, Encik Re Shanmugam dan Prof Victor A Pogadaev. Dr Ariffin Said menyampaikan lagu rakyat manakala Sivaraj menyampaikan bharatanatyam. Majlis turut diserikan dengan persembahan ghazal dalam Bahasa Urdu.

Re Shanmugam - penyair, pemuzik dan penyanyi Tamil tempatan

Apa yang menyedihkan, kehadiran penonton dan peminat puisi amat mendukacitakan. Mungkin pihak penganjur tidak bijak membuat promosi dan publisiti. 

Perbualan dengan Encik Re Shanmugam juga mendedahkan bahawa pihak penganjur tersilap menghantar surat jemputan bagi acara pada bulan Mei 2003; bukan Mac 2003. Kesilapan kecil yang boleh menimbulkan masalah.

Kami juga dimaklumkan bahawa penyair negara luar tidak hadir kerana melibatkan kos yang tinggi. Mereka dijangka hadir pada Jun 2003 iaitu sempena Peringkat Kedua Perhimpunan Puisi Asia-Antarabangsa.

CLICK HERE for details

Pada 22 Mac 2003, acara baca puisi diadakan dalam dua sesi: pukul lima petang dan lapan malam. Bagaimanapun, kedua-dua sesi bermula lewat. Ternyata ramai yang tidak tahu mematuhi masa; termasuk jawatankuasa penganjur sendiri.

Kami tidak menyertai baca puisi pukul lima petang. Sebaliknya, kami berdua mengikuti acara pada sebelah malam. Turut diedarkan risalah mengenai Kavyan kepada para hadirin. Jumlah penonton masih tidak memuaskan. Semuanya mungkin berbalik pada kelemahan publisiti. Malah, Prof Singaravelu (bekas Ketua Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya) mengatakan bahawa beliau 'ternampak' sepanduk di luar Kompleks Perdanasiswa dan memutuskan untuk datang melihat apa yang sedang berlaku.

Victor A Pogadaev - penggunaan Bahasa Malaysia yang membanggakan! Juga mampu membaca puisi pelbagai bahasa

Antara puisi yang disampaikan adalah oleh Rahman Shaari, Victor A Pogadaev, Tariqul Haq, Norliza Amin, Arwati Karim, Zubir Ali, Ghulam Sarwar Yousof, Raj Morgan, Re Shanmugam, Uthaya Sankar SB, Mukherjee, Indra, Syed Atif Abas, Navid Tariq, Muhamad Afzal dan Rajesh Nair.

Raj Morgan membaca puisi "Kannama" manakala Re Shanmugam melagukannya

Raj Morgan menyampaikan sajak "Kannama" karya Barathiyar sementara Re Shanmugam menyanyikannya. Rajesh Nair menyampaikan sajak dalam Bahasa Malayalam, Telegu dan Urdu. Uthaya Sankar SB pula menyampaikan sajak sendiri berjudul "Kaviteyin Kaadhal Kadhanayagi" dalam Bahasa Tamil, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Uthaya Sankar SB dan S.G. Prabhawathy menganggap Baca Puisi Asia sebagai peluang mengetengahkan puisi dalam pelbagai bahasa India

Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Barat serta bharatanatyam oleh Sivaraj dan Mritula Shiva.

Secara keseluruhan, Perhimpunan Puisi Asia-Antarabangsa adalah acara besar dan penuh bermakna tetapi gagal dirancang dan dianjurkan dengan baik. Terdapat terlalu banyak kelemahan yang perlu ditangani segera. Misalnya aspek ketepatan masa, atur cara, surat jemputan peserta, promosi dan publisiti.

Semoga segala kelemahan dan kekurangan dapat diatasi sebelum Seminar Perhimpunan Puisi Asia-Antarabangsa diadakan pada Jun 2003. Sama-sama kita harapkan program yang lebih berjaya - serta mampu memulihkan imej yang tercemar.

Kavya, April 2003

ArahKiri, April 2003

Nila, 1 Jun 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1