A National Seminar on

National Unity Through Active Interfaith Communication and Cooperation: The Role of the Media

17-19 March 2003

APDC Building, Kuala Lumpur

      

Sehari sebelum Amerika Syarikat dan sekutunya melancarkan perang terhadap Iraq, sekitar 35 pengamal media sedang membicarakan soal keamanan yang ditekankan dalam semua agama utama dunia. Masing-masing membicarakan bagaimana untuk mengetepikan perbezaan dan menjadikan persamaan sebagai asas perpaduan.

Saya menerima undangan untuk menyertai seminar tertutup ini berdasarkan kapasiti saya sebagai Presiden Kavyan, Sasterawan Bahasa Malaysia, Pensyarah Bebas serta penglibatan saya sebagai co-editor antologi cerpen Golden Rule (Kavya, Mac 2003). Seminar ini anjuran Asian Institute for Development Communication (Aidcom) dengan kerjasama Konrad Adenauer Foundation (KAF).

Click HERE for details

Pada pagi 17 Mac 2003, Dr Chandra Muzaffar (President, International Movement for A Just World) berterus terang bahawa apabila mahu diadakan dialog antara agama (interreligion atau interfaith), kaum Melayu-Islam di Malaysia kurang menunjukkan minat. Semacam cuba mengelak, malah.

Dr Chandra Muzaffar - 17 March 2003Dr Chandra dalam pembentangan bertajuk "The Humanity of Religion" menjelaskan bahawa pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w), dialog seumpama ini digalakkan dan dijadikan amalan sihat. Malah, begitu banyak buku mengenai agama-agama lain ditulis oleh pakar agama Islam.

Bagi mengatasi masalah yang menghalang interaksi antara agama, kepercayaan dan kaum, beliau menyarankan supaya semua pihak kembali melihat masalah asas (root) - perlu mendepani prejudis dan rasa bencci yang sudah mendarah-daging. Masalah ini harus dilihat secara terbuka dan prospektif; lalu mencari penyelesaian (solution) berhubung cara terbaik untuk menanganinya (to deal).

Dr Chandra turut mengingatkan para peserta bahawa setiap agama utama dunia - apatah lagi agama-agama di Malaysia - membunyai persamaan nilai atau nilai-nilai kolektif. Jadi, nilai-nilai (values) ini harus dijadikan asas bagi membuka pintu ke arah dialog antara agama secara yang positif.

Semasa sesi soal jawab selepas itu, Dr M. Bala Thrumaningam dari Malaysian Hindu Sangam menekankan bahawa masyarakat majmuk di Malaysia sebenarnya sudah membuktikan bahawa mereka boleh hidup aman dan harmoni walaupun wujud perbezaan agama dan kepercayaan. Bagaimanapun, katanya, tanpa kerjasama daripada badan-badan politik, kesinambungannya semakin terjejas. Dalam hal ini, Dr Chandra menasihatkan supaya rakyat tidak terlalu bergantung pada kerajaan dan badan-badan politik semata-mata.

Apabila timbul cadangan agar semua tempat keagamaan (masjid, kuil, tokong, gereja dll) dibuka kepada semua tanpa batas agama, Anthony Sivabalan Thanasayan menjelaskan realiti bahawa tempat-tempat berkenaan rata-rata tidak mesra golongan istimewa; khususnya yang berkerusi roda. Malah, Anthony menyatakan bahawa dia tidak akan mneyertai rombongan ke Masjid Wilayah Jalan Duta, St Mary's Cathedral Jalan Raja Laut, Buddhist Vihara Jalan Berhala dan Krishna Temple Brickfields pada 18 Mac 2003 kerana pasti menghadapi masalah untuk masuk menggunakan kerusi rodanya.

Sardar V Harcharan Singh (Vice-President Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism & Sikhism) mengemukakan pandangan bahawa masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia harus belajar untuk bersatu. Bagaimanapun, pada realiti, sesuatu saranan hanya diterima jika ia 'sesuai' dengan agama Islam. Pegangan rigid seperti ini, menurut beliau, menyukarkan komunikasi dua hala. Malah, membuatkan imej agama suci itu terjejas di mata golongan bukan Islam.

Dalam hal ini, Dr Chandra menekankan bahawa umat Islam bukan hanya bantu-membantu sesama sendiri tetapi perlu juga bersedia membantu pihak lain. Begitu juga apabila bercakap soal "keadilan" (justice) - bukan hanya bagi umat Islam tetapi bagi seluruh umat manusia.

Berbalik pada isu Anthony tidak dibenarkan membawa anjing terlatihnya ke seminar ini kerana bimbang akan sensitiviti peserta beragama Islam, Dr Chandra mengingatkan bahawa agama Islam sebenarnya memperkatakan mengenai anjing secara penuh kasih. Malah, terdapat hak binatang (animal rights) dalam Islam. Malah, Islam juga tidak mengharamkan pemeliharaan anjing untuk tujuan memburu dan/atau melindungi harta benda.

Ir Ang Choo Hong, Bishop Rt Rev Julius D Paul, Prof Dr Muddathir (chairperson), Dr M Bala Thrumaningam, Tuan Syed Barkat Syed Ali, Sardar V Harcharan Singh

Sesi kedua pada 17 Mac 2003 menyaksikan lima anggota panel membicarakan topik "Basic Principles and Deviation in Religion".

Dr M. Bala Thrumaningam (Coordinator for Religious Development, Malaysian Hindu Sangam) yang memberikan penjelasan mengenai agama Hindu menerangkan bahawa agama itu menekankan aspek hidup secara harmoni dan aman. Memang terdapat pelbagai prinsip dan amalan dalam agama Hindu tetapi kesemua prinsip (mazhab) yang berbeza ini menjurus kepada kepercayaan "God is Love" - 'Tuhan adalah Cinta".

Beliau turut menjelaskan bahawa mengikut ajaran agama Hindu, Tuhan tidak mempunyai rupa, nama dan sebagainya (seperti mana ajaran agama-agama lain) tetapi manusia sendiri yang memberikan identiti atau simbol tertentu untuk menzahirkan kewujudan Pencipta. Perlu juga dinyatakan bahawa prinsip ajaran agama Hindu bermula jauh sebelum manusia mula bertamadun sepenuhnya.

Antara simbol yang digunakan untuk menzahirkan ciri-ciri Tuhan adalah simbol Saraswathi untuk merujuk pada Tuhan sebagai sumber ilmu, serta Lakshmi sebagai simbol harta dan kekayaan.

Shah Kirit Kakulal Govindji (Saba Islamic Media) bertanya apakah benar tanggapan umum bahawa terdapat lebih daripada satu Tuhan dalam agama Hindu. Lalu Dr Bala bertanya, "Adakah saudara percaya pada Tuhan?" dan dijawab "Ya." Kemudian, Dr Bala bertanya, "Adakah saudara percaya pada kuasa Tuhan?" yang mana sekali lagi dijawab "Ya."

Maka, Dr Bala bertanya, "Adakah saudara percaya pada Tuhan atau pada kuasa Tuhan? Kuasa dan Tuhan adalah sama. Cuma, bezanya, dalam ajaran agama Hindu, kuasa atau sakti Tuhan juga dilihat sebagai Dewi Shakti. Bagaimanapun, kedua-duanya adalah sama kerana Tuhan dalam agama Hindu tetap sama - Eka."

Beliau mengakhiri dengan mengatakan bahawa memang wujud pelbagai penyimpangan dalam ajaran dan pemahaman agama. Bagaimanapun, semua agama utama dunia menekankan bahawa Tuhan adalah Esa.

Ir Ang Choo Hong (President of the Buddhist Missionary Society of Malaysia) pula memberi penerangan mengenai agama Buddha. Beliau menjelaskan bahawa ajaran asas Siddharta Gautama Buddha adalah mengenai "dharma" iaitu natural laws. "Sanga" pula merujuk pada komuniti monk; bukan individu seperti yang disalah tafsir sekarang. "Sanga" ini berperanan menyebarkan ajaran Gautama Buddha.

Ir Ang mengakui bahawa segala ajaran agama Buddha adalah amat kompleks dan sukar difahami oleh orang biasa. Bagaimanapun, secara asas, Buddha menekankan bahawa "dukha" boleh diatasi melalui eight nobel path. Hidup ini memang penuh dengan kedukaan dan rasa tidak puas hati. Bagaimanapun, menurut beliau, masalah ini boleh diatasi dengan tiga cara: avaid all evil, do all good, purify the mind.

Bishop Rt Rev Julius D Paul (Evangelical Lutheran Church in Malaysia) pula memulakan penerangan dengan mengatakan bahawa aspek-aspek seperti love, grace, sacrifice, peace dan brotherhood adalah perkara-perkara asas dalam semua agama. Malah, kata beliau, semua nilai murni ini semacam tertanam dalam minda bawah sedar semua manusia.

Setiap agama mengamalkan cara yang berbeza untuk mendekati Tuhan. Setiap individu perlu dan berhak mencintai agama sendiri serta setia pada ajaran agama masing-masing. Bagaimanapun, setiap individu perlu bersikap liberal serta tahu menghormati agama-agama lain; apatah lagi di Malaysia.

Malah menurut beliau, kita perlu tahu, mmahami serta menghormati agama lain serta tidak was-was untuk menghadiri upacara dan perayaan berasaskan agama-agama lain. Apatah lagi jika kita memang sudah yakin dan punya pegangan pada agama sendiri.

Sikap toleransi juga penting. Kita tidak harus melihat agama-agama lain sebagai ancaman kepada agama anutan kita. Bagaimanapun, tindakan mana-mana pihak mengutuk atau menghina agama-agama lain sepatutnya dan selayaknya tidak harus dipandang ringan. Tidak harus ada sikap toleransi dalam hal seperti ini.

Tuan Syed Barkat Syed Ali (Chairman/Principal Consultant, Transformational Leadership Development Sdn Bhd) memulakan dengan terus terang mengatakan bahawa masalah dalam mana-mana agama timbul kerana manusia gagal "melihat" (see). Beliau turut mengingatkan bahasa ajaran agama Islam bukan hanya bermula dengan wahyu Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w tetapi telah bermula sejak Allah mencipta Adam.

Malah, menurut beliau, penganut Islam perlu percaya pada nabi. Jumlah sebenar nabi tidak diketahui. Tidak mustahil, kata Tuan Syed Barkat, bahawa Siddharta Gautama, Guru Nanak dan Vyasa juga antara nabi yang diutus Tuhan.

Islam mengutamakan keamanan (peace). Bersama-sama setiap hak (right) perlu ada tanggungjawab (responsibility). Sekadar contoh, jika mahu mempunyai empat isteri, perlu sedar akan tanggungjawab terhadap keempat-empat isteri serta kesemua anak.

Islam juga mementingkan hubungan erat dengan Tuhan dan segala ciptaan-Nya. setiap manusia adalah ciptaan Tuhan. Jadi, umat Islam perlu menjalin hubungan mesra dengan setiap manusia tanpa batas kaum, agama, warna kulit dan sebagainya. Malah, menurut beliau, penganut agama Islam juga sebenarnya perlu menerima ajaran agama-agama lain serta menghormati anutan masing-masing.

Beliau menjelaskan bahawa masalah timbul apabila umat tidak berpegang pada ajaran sebenar dalam agama. Penyimpangan terjadi apabila pengikut agama tidak mengikut ajaran-ajaran asas sebagaimana asal.

Tuan Syed Barkat mengakhiri penjelasan beliau dengan menyatakan pendapat bahawa orang Melayu-Islam di Malaysia agak takut untuk terlibat dalam dialog antara agama (interfaith dialogue) mungkin kerana bimbang akan kehilangan apa yang mereka miliki. Bagaimanapun, rasa takut ini tidak perlu ada sekiranya mereka yakin dan berpegang teguh pada agama.

Pembicara terakhir ialah Sardar V Harcharan Singh (Vice President, Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism & Sikhism) yang memberi penerangan mengenai agama Sikh.

Beliau memulakan dengan mengatakan bahawa rata-rata ajaran dalam semua agama adalah sama. Malah, Guru Nanak menggunakan agama Islam dan Hindu sebagai asas bagi agama Sikh.

Penganut agama Sikh akur bahawa terdapat hanya satu Tuhan, semua manusia adalah sama rata, manusia perlu saling membantu. Aga Sikh juga menghalang penyembahan berhala. Gurdhwara adalah tempat bersembahyang beramai-ramai tetapi bukan tempat menyembah berhala.

Semua acara dan upacara dalam masyarakat Sikh adalah terbuka kepada semua tanpa batas kaum, agama, status dan seumpamanya.Makanan bagi semua upacara biasanya dibuat secara gotong-royong. Jadi, semua upacara ini membuka peluang untuk bersosial.

Ajaran agama Sikh meminta penganut berkongsi serta menyebarkan ilmu kepada semua. Lima perkara yang perlu dielakkan: nafsu, marah, tamak, harta, sombong.

Beliau mengakhiri penjelasan mengenai agama Sikh dengan menekankan bahawa pihak media perlu membuat liputan mengenai segala persamaan nilai yang terdapat dalam semua agama.

     

Semasa sesi soal-jawab, seorang peserta bertanya mengapa ada penganut agama Buddha menyembah berhala Gautama. Lalu dijelaskan bahawa tindakan itu bukan menyembah berhala tetapi mengenang Gautama. Perbandingan yang dilakukan adalah seperti tindakan manusia meletak kalungan bunga di Tugu Negara.

Apabila ditanya tentang cara penganut agama Hindu mendekati Tuhan, dijelaskan bahawa terdapat empat cara: sariya, kiriya, nyana dan yoga.

Bagi cara memupuk persefahaman antara kaum dan agama, aspek yang perlu adalah: tolerance, acceptance, love, trust.

Hasil diskusi juga bersetuju bahawa agama Islam adalah agama rasmi Malaysia. Bagaimanapun, jika penganut Islam mahukan agama mereka diketahui, difahami dan dihormati oleh penganut agama lain, penganut agama Islam juga tentu sahaja perlu mengamalkan perkara yang sama terhadap agama-agama lain.

Golongan pengajar (guru dan pensyarah) pula diseru supaya berusaha menanam bibit persefahaman antara agama di jiwa kanak-kanak dan remaja. Generasi muda perlu tidak takut (fear) untuk mengetahui ajaran agama lain.

Manusia biasanya berasa takut apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak difahami dan tidak diketahui apa yang akan berlaku seterusnya. Malah, menurut Tuan Syed Barkat, Nabi Muhammad s.a.w juga berasa takut apabila menerima wahyu pertama; kerana pada masa itu baginda berhadapan dengan perkara yang baginda tidak tahu dan baginda tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Satu lagi perkara yang ditekankan adalah bahawa rakyat malaysia harus berani dan terbuka untuk belajar mengenai agama lain tanpa rasa bimbang bahawa mereka akan dipaksa untuk bertukar agama. Menyentuh tentang hal ini, panel mengakui bahawa pada masa dahulu, ada penyebar agama yang bermotif menarik orang ramai memeluk agama yang mereka bawa. Bagaimanapun, cara seperti itu tidak praktikal sekarang.

Segala perbincangan secara terbuka antara panel dan peserta membuka ruang untuk lebih memahami dan mengenali persamaan serta perbezaan yang wujud. Ternyata lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. malah, segala perbezaan itu lebih berupa ciptaan manusia dan bukan ciptaan Tuhan.

     

Pada 18 Mac 2003, para peserta dibawa melawat masjid, gereja, vihara dan kuil. Aktiviti 'turun padang' ini membantu memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai amalan beragama di Malaysia.

    

Pada sebelah pagi 19 Mac 2003, para peserta berbincang tentang pengalaman masing-masing semasa melawat beberapa tempat suci pada hari sebelumnya.

      

Sesi "Media Coverage on Religious Issues" dipengerusikan oleh Encik P C Shivadas (Director, New Straits Times). Panel pula terdiri daripada Datin Rose Ismail (Managing Editor, New Straits Times), Encik Bob Teoh (Freelance Writer), Encik Rash Behari Bhattacharjee (Deputy Editor, The Sun) dan Encik James Wong (Chief Analyst, Malaysiakini).

Mereka membicarakan realiti dan cabaran yang terpaksa dihadapi pihak media apabila membuat laporan mengenai isu berkaitan agama dan kepercayaan.

(left-right) Dato Jega, En Zainon (chairperson), Mother Mangalam, Dr Zulkifli & En Rehman

Sesi "Religion for Peace: Caring for Mankind" dipengerusikan Encik Zainon Ahmad (Editor-in-Chief, The Sun) manakala panel terdiri daripada Mother Mangalam (Pure Life Society), Encik Rehman Rashid (Associate Editor, New Straits Times), Dato' J Jegathesan (Advisor, Sri Sathya Sai Central Council of Malaysia), Dr Zulkifli Ahmad (Senior Writer, Harakah) dan Puan Sharifah Zuriah Aljefferi (Founder Member, Sisters-in-Islam).

Secara keseluruhan, mereka juga menekankan bahawa kita semua harus menerima hakikat bahawa kita adalah berbeza. Kemudian, kita harus belajar untuk memahami antara satu sama lain, menghormati agama dan budaya masing-masing serta belajar untuk hidup secara harmoni. Persamaan yang wujud antara kaum dan agama harus dijadikan jambatan bagi menghubungkan kita semua.

Nescaya jika saranan yang dikemukakan pada seminar ini direnung dan dipraktikkan, tidak akan wujud sengketa antara kaum dan agama. Konsep "Bangsa Malaysia" akan menjadi realiti tanpa mana-mana pihak perlu kehilangan identiti.

Salam kasih,

Uthaya Sankar SB

Kavya, April 2003

ArahKiri, April 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1