Tiga Acara Baca Puisi

   

Wakil Kavyan telah menyertai tiga acara baca puisi pada September 2003: Baca Puisi PENA, Baca Puisi Anggerik, dan Malam Puisi Anak Merdeka.

Pada 5 September 2003, Bathmavathi Krishnan telah diiringi oleh Uthaya Sankar SB, Jordan, Lesle, Thinesh, Sharuhasan, Logeswaran dan Sre Murugan ke Baca Puisi PENA di Rumah Pena.

Bathmavathi menunjukkan kehebatan beliau menyampaikan sebuah sajak dengan penuh gaya dan penghayatan. Tidak salah jika dikatakan beliau pembaca puisi kaum India terbaik pada acara berkenaan. Uthaya Sankar SB pula memenuhi undangan dengan pembacaan spontan sajak "Liar Yang Gila" karya Solihin Osman. Tanpa diduga, ada pula pihak yang merasakan bahawa 'anjing' yang dikutuk dalam sajak berkenaan merujuk pada dirinya! Sebenarnya, segala persamaan (jika ada) hanyalah secara kebetulan sahaja kerana Uthaya memilih sajak berkenaan secara rawak. Namun, siapa termakan cili dia terasa pedasnya!

Pada sebelah petang 20 September 2003, berlangsung ulang tahun pertama Baca Puisi Anggerik anjuran Sekretariat seniman Selangor (SSS) di Galeri Shah Alam. Sasterawan kaum India merangkap wakil Kavyan yang hadir ialah S.G. Prabhawathy dan Uthaya Sankar SB; serta Devishi Prabha Sankari. Turut hadir wakil Melayu.com atas undangan Kavyan mewakili pihak penganjur. Dr Ibrahim Ghafar selaku pengerusi majlis memuji usaha Kavyan membetulkan istilah "Penulis Bukan Melayu" yang kurang sesuai ditujukan kepada "Penulis Kaum India". Tidak lupa juga ucapan tahniah atas kejayaan Baca Cerpen Kavyan walaupun terdapat usaha sabotaj oleh dalang dan konspirator yang berniat jahat. Kebanyakan sajak yang disampaikan pada acara ini bertema "perjuangan bahasa". 

Begitu juga dengan sajak oleh S.G. Prabhawathy. Uthaya Sankar SB pula menyampaikan sajak terbaru berjudul "Raja Se(ri)gala Bahasa" - dan tidak mustahil jika sekali lagi ada pihak yang merasakan sajak pedas itu ditujukan khusus kepadanya. Bukankah benar kata-kata "siapa termakan cili dia terasa pedasnya"!

Pada sebelah malam 20 September 2003, wakil Kavyan sekali lagi dijemput ke Malam Puisi Anak Merdeka anjuran Kemudi di Dataran Karyawan, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor.

Wakil Kavyan terdiri daripada Mahendran, Suresh, Magaenthiran, Guruvaiyur,  S.G. Prabhawathy dan Uthaya Sankar SB; serta Devishi Prabha Sankari. SN Datuk A. Samad Said yang baru-baru ini menerima PhD (Kehormatan) diraikan dalam majlis ini. Turut hadir, sebelas wakil Melayu.com atas undangan Kavyan mewakili pihak penganjur.

S.G. Prabhawathy membuka tirai acara dengan menyampaikan sajak "Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia" karya Retna Devi Balan; diikuti sajak "Bahawa Kita Adalah Kekasih" oleh Uthaya Sankar SB. Kedua-duanya bertema perjuangan Bahasa Malaysia.

Wakil Kavyan dijangka menyertai lebih banyak acara baca puisi pada Oktober 2003. Ahli Kavyan yang berminat untuk turut serta diminta menghubungi Jawatankuasa Kavyan bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

Kavya, Oktober 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1