Kavya, Oktober 2003

          

Raja Se(ri)gala Bahasa

Uthaya Sankar SB

    

dalam belukar bahasa

bersembunyi serigala

menunggu saat

melompat

menyerang

meratah

mematah

memusnah

membinasa

bahasa

 

awas! hadirnya penuh ceria

berpura pencinta bahasa

bercakap soal bahasa

pagi petang siang malam

menyusun konspirasi

menunggu saat

naik ke persada

dan kemudian pula

memandang kita

lalu diludahinya

tepat ke muka

 

dialah Raja

segala penderhaka

liciknya sukar diduga

pandai berpura

bijak bermuka

 

hadirnya di depan

mata kita

tapi butakah kita?

 

dialah Raja

dialah serigala

guna segala muslihat

melihat bahasa binasa

di depan mata

  

hadirnya dalam komuniti

cakapnya penuh puisi

hatinya penuh benci

kematian bahasa jadi misi

 

dialah Raja

dialah serigala

hadirnya di depan mata

masih butakah kita?

   

Komuniti Penyair, 16-17 September 2003

Dibaca semasa Baca Puisi Anggerik di Galeri Shah Alam pada 20 September 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1