Esei
PERHIMPUNAN PENULIS VETERAN DI PANTAI BUNDUSAN
21 – 22 September 2002
MESKI
sedikit lewat, menghadiri majlis Perhimpunan Penulis-penulis Veteran
Sabah di Pantai Bundusan, Papar pada 22 September 2002 merawat kerinduan
terhadap penulis-penulis yang sudah lama menghilang. Pada wajah Tuan
Haji Shuhaibun Yussuf (selepas ini Pak Shuhaibun), insan yang berada di
belakang penganjuran aktiviti dua hari ini, tergambarkan kepuasannya.
Walaupun tidak semua penulis veteran dapat menghadirkan diri namun ini
menjadi perintis kepada penganjuran yang lain. Tentulah bisik-bisik Pak
Shuhaibun yang hinggap di telinga saya akan dibawa balik oleh Pengarah
DBP Cawangan Sabah, Sdr Zaini Ozea dan Pengerusi MBSS Datuk Haji Sapawi
Haji Ahmad. Di Sabah DBP dan MBSS merupakan tonggak kepada keutuhan
gerakan sastera dan bahasa sekali gus membina budaya baca, seni, ilmu
secara berterusan di samping persatuan-persatuan penulis yang aktif
seperti IPS, Bahasa dan juga Warisan.
Perhimpunan
ini diisi dengan acara baca puisi pada sebelah malam 21 September dan
forum dijalankan keesokannya ditenagai oleh ahli panel yang hebat iaitu
Datuk Haji Halik Zaman, Datuk Haji Ismail Abbas dan Sdr. Datu Tigabelas
Datu Zainal Abidin di samping Sdr. Zaini Ozea yang bertindak sebagai
pengerusi. Datuk Haji Halik adalah seorang penulis puisi yang amat
popular di zamannya. Beliau juga merupakan seorang ahli politik Sabah
yang pernah digelar ‘Singa Berjaya’ di zaman kerajaan Berjaya
menerajui negeri Sabah. Datuk Haji Ismail Abbas atau lebih dikenali
sebagai Amil Jaya merupakan mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah dan
penerima SEA Write's Award. Datu Tigabelas pula adalah Pengarah Jabatan
Arkib Negeri Sabah.
Perhimpunan
yang dirasmikan oleh Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah telah menghimpunkan lebih 50
orang penulis baru dan lama. Antara mereka ialah Datuk Haji Murshidi
Nambi, Datuk Haji Ismail Abbas, Datuk Yaman Ahmad Mus, Datuk Haji Halik
Zaman, Datuk Haji Dahali Elias, Hajah Dayang Salmah Salam, Dr. Haji
Abdul Aziz Ahmad, Pg. Haji Bagul Pg Hassan, Haji Masri Mohd Yassin,
Ramli A.R. dan Anan Ramli. Secara umum perhimpunan ini amat bermakna
kepada barisan penulis veteran. Memang banyak yang boleh disumbangkan
kepada mereka sebagai penghargaan. Sungutan yang sering diluahkan di
belakang perlulah dibawa lebih jauh ke dalam. Penulis bukanlah sesiapa
dan apa-apa sekiranya keberadaan mereka itu tidak melambangkan makna di
dalam setiap buah fikirnya. Mereka juga tidak bermakna kepada orang lain
sekiranya orang lain itu tidak memandang jauh ke dalam sanubari para
penulis ini.
Perlukah
sebutir bintang disematkan di baju sebagai mengenang jasa mereka?
Anugerah kebesaran negeri atau negara yang bagaimanakah dapat diimbangi
dengan jasa yang telah mereka taburkan. Anak bangsa kita boleh ke mercu
jaya kerana adanya khazanah ilmu yang dibina oleh para penulis. Namun
penulis selalu saja dipinggirkan dan tidak dilihat berada sebaris dengan
pemimpin besar negara!
Apabila
Perdana Menteri membacakan puisi sejak akhir-akhir ini, apakah kita
memandang ke arah penulis lain? Apakah PM itu seorang penyair sebaik
penyair yang sedia ada? Apakah karyanya menjadi karya agung suatu hari
nanti sehingga terlalu diagung-agungkan berbanding karya-karya yang
dihasilkan oleh A.Samad Said, Usman Awang, Amil Jaya, Jamdin B dan
sebagainya? Jawapannya mudah kerana PM seorang pemimpin yang dihormati
dan apa saja yang perkatakannya akan menjadi igauan orang lain.
Muka
[ 1 | 2 ]
5