Persaudaraan Dan Perpaduan Dalam Islam
By: Naufal Alkaff
Bismillah Al-Rahman Al-Rahiim.
Allah (swt) dan Rasullullah (saw) sentiasa menyeru Ummah Islam supaya mengukuhkan Persaudaraan Dan Perpaduan Ummah Islam.
Firman Allah (swt):
Sesugguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara kerana itu
damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu
mendapat rahmat. [49:10]
Sabda Rasullullah (saw):
Seorang Muslim itu saudaranya Muslim yang lain, tidak boleh
menganiayanya, tidak boleh menghalang-halangi keperluannya, dan tidak boleh
merendahkannya. Cukuplah seorang itu dianggap sebagai seorang yang hina apabila
ia menghinakan saudaranya sesama Islam.
Untuk mencapai perdamaian ummah manusia ini, pelbagai langkah-langkah telah diambil. Namun kenyataannya sehingga kini, keadaan dunia tidak putus-putusnya dalam suasana tegang, perdamaian dan keselamatan manusia sentiasa terancam. Manakala jika kita perhatikan keadaan Ummah Islam, suasana perpecahan dengan segala akibatnya sentiasa mengancam kita.
Perpecahan adalah amat berbahaya dan amat dimurkai oleh Allah (swt). Ianya boleh menghancur-leburkan perpaduan serta boleh membinasakan sesebuan ummah dan negara yang dahulunya amat dihormati dan disegani. Ianya juga akan mengakibatkan keamanan tidak terjamin dan segala pembangunan (rohani, jasmani, etc) tidak dapat berjalan lancar. Bagi mereka yang berfikiran sihat, sudah tentu ingin mencari jalan penyelesaian untuk menyatupadukan kembali ummah manusia, khasnya Ummah Islam. Namun demikian, perpecahan tetap berlaku, dari dahulu, sekarang, dan jika tidak diubati ianya akan berlanjutan sehingga bila-bila.
Setiap berlakunya sesuatu itu pasti ada sebab-sebabnya. Dalam soal ini, langkah-langkah yang bernas perlulah diambil sebelum terlambat. Walaupun kita sekarang dikatakan lebih bertamadun tinggi, tapi apakah bezanya kita sekarang ini dengan orang yang terdahulu? Pasti bagi mereka yang berakal dan takutkan azab Allah (swt) tidak ingin kejadian terdahulu berulang lagi dan menghancurkan segala-galanya. Namun nampaknya tanda-tanda awalnya sudah dapat kita lihat sekarang ini dengan jelas sekali.
Salah satu sebab yang menyumbang kepada berlakunya perpecahan ini adalah kerana hawa nafsu.
Firman Allah (swt):
Dan
yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang
menjadikan Tuhan yang dipatuhinya ialah hawa nafsunya, dan ia pula disesatkan
oleh Allah kerana diketahuinya (bahawa ia tetap kufur ingkar) dan dimetrikan
pula atas pendengarannya dan hatinya, serta dijadikan tutupan atas
penglihatannya, maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya
sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian) oleh itu mengapa kamu (wahai
orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan insaf? [45:23]
Jihad untuk membina peribadi-peribadi Muslimin dan Muslimah yang baik adalah jihad yang lebih tinggi nilainya daripada jihad menyabung nyawa, walaupun jihad menyabung nyawa adalah amat tinggi nilainya. Meskipun kemenangan telah diperolehi, akan tetapi yang lebih utama adalah peribadi-peribadi yang mengendalikan dan mengisi kemenangan itu dengan amal perbuatan yang baik.
Sudah menjadi lumrah kehidupan, manusia tentu berkeinginan sesuatu. Dalam mencapai kesemua keinginan ini perlulah adanya kesabaran, dan capailah semua itu menurut kemampuan masing-masing secara yang diredhai Allah (swt) dan gunakanlah pula pada jalan yang diredhaiNya.
Memang telah menjadi kewajiban bagi kita seluruh Ummah Islam untuk mengajak manusia kepada jalan Allah (swt) iaitu mengajak manusia ke jalan kebaikan dan melarang dari perbuatan yang mungkar, kerana amal perbuatan yang sedemikian, maka Allah (swt) memberi keutamaan kepada Ummah Islam, menjadi sebaik-baik ummah.
Firman Allah (swt):
Kamu
(wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu (pula) beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). [3:110]
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu (orang-orang Islam yang) bersaudara, dan kamu dahulu telah berada ditepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. [3:103]
Sabda Rasullullah (saw):
Kutinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), kamu tidak akan
tersesat untuk selama-lamanya, selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya,
iaitu Kitabullah dan Sunnah RasulNya.