Seruan Secara Bijaksana
By: Naufal
Alkaff
Bismillah Al-Rahman Al-Rahiim.
Mengembangkan Agama Islam lebih diutamakan secara Dakwah Islamiyah (seruan)
yang bijaksana sebagaimana Allah (swt) berfirman:
Serulah kejalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah
kebijaksaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahathlah dengan mereka
(yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu
Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.
[16:125]
Contoh yang paling baik sekali dapat kita ikuti ialah melalui Rasullullah (saw). Baginda berdakwah sesuai dengan keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Dakwah yang telah dijalankan adalah berperingkat-peringkat. Ada kalanya secara sulit, dan ada kalanya secara terang-terangan.
Peringkat pertama Rasullullah (saw) menyampaikan dakwahnya kepada ahli keluarga, kemudian disusuli dengan para sahabat dan akhirnya kepada orang ramai. Dalam menghadapi kesemua cabaran ini, Rasullullah (saw) bertindak dengan penuh bijaksana dan kesabaran serta ketabahan hati, dan senantiasa bertawakal kepada Allah (swt). Rasullullah (saw) tidak pernah berputus asa, sehingga Baginda wafat, dalam masa yang singkat itu (23 tahun) hampir keseluruhan bangsa Arab telah memeluk Agama Islam dan ianya telah berkekalan dan makin berkembang hingga kini. Rasullullah (saw) telah berhasil dalam tanggungjawab dan perjuangannya dan jika Ummah Islam pada masa kini inginkan perjuangan yang berhasil dan mendapat keredhaan Allah (swt), maka cara yang diambil oleh Rasullullah (saw) itu patut dijadikan contoh tauladan dan senantiasa kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Islam berkembang secara dakwah iaitu seruan secara baik dan bijaksana walaupun Ummah Islam telah dianiaya dan ditindas. Untuk menghindari pertumpahan darah atau korban yang sia-sia Rasullullah (saw) menyuruh sahabatnya supaya berhijrah ke Habsyah (dimana rajanya yang beragama kristian telah memeluk Agama Islam sesudah itu) dan kemudian ke Yathrib (Madinah). Ianya kemudian disusuli oleh Rasullullah (saw), Abu Bakr (ra), dan Ali (as), dimana mereka adalah yang terakhir sekali berhijrah setelah memastikan Ummah Islam yang lainnya telah selamat meninggalkan Kota Mekkah.
Setelah penganiayaan demi penganiayaan bertambah dilakukan oleh pihak Quraisy, maka untuk menegakkan kebenaran dan keadilan bagi melindungi Agama Islam dan Ummah Islam, ianya kemudian diizinkan bagi berperang untuk mempertahankan diri dan menjaga kehormatan dan martabat Islam. Peperangan hanya jalan yang terakhir sekali setelah segala usaha secara damai dijalankan terlebih dahulu gagal.
Terhadap mereka yang tidak memusuhi Ummah Islam apatah lagi terhadap mereka
yang mempunyai perjanjian damai dengan Ummah Islam maka Allah (swt) mewajibkan
bagi kita untuk berbuat baik terhadap mereka sebagaimana Firman Allah (swt):
Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang
tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari
kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil. [60:8]
Rasullullah (saw) diutus ke muka bumi ini adalah bagi rahmat untuk seluruh
alam, sebagaimana Firman Allah (swt):
Dan tiadalah Kami mengutus kau (Muhammad) melainkan untuk menjadi
rahmat kepada sekalian alam. [21:107]
Kedatangan Rasullullah (saw) membawa rahmat kepada seluruh alam, bererti segala makhluk yang dijadikan Allah (swt) di seluruh alam ini akan mendapat faedah dengan diutusnya Rasullullah (saw). Hal ini telah terbukti di dalam sejarah, bukan saja manusia mendapat manfaat, hinggalah haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga mendapat manfaat. Betapa Rasullullah (saw) selalu menasihatkan dan mengingatkan kita supaya berbuat baik kepada sesama makhluk Allah (swt) yang lain.